Monday, January 3, 2011

Takaful Ikhlas: MNRB masih mahu terus kuasai ekuiti


KUALA LUMPUR - MNRB Holdings Bhd. (MNRB) dipercayai tidak bercadang melupuskan kesemua pegangannya dalam Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) kepada Allianz Malaysia Bhd. (Allianz).

Sebaliknya, difahamkan MNRB masih mahu terus menguasai sebahagian besar ekuiti dalam Takaful Ikhlas.

Pendirian itu berasaskan kepada prestasi menggalakkan Takaful Ikhlas yang kini menjadi pengendali takaful ketiga terbesar di Malaysia selepas Etiqa dan Takaful Malaysia.

Takaful Ikhlas juga menerajui dalam beberapa portfolio takaful.

Malah, menurut jurucakap MNRB, syarikat itu mahu menjadikan Takaful Ikhlas sebagai syarikat takaful yang berwibawa bukan sahaja di Malaysia tetapi di luar negara.

Seorang penganalisis ekonomi berkata, Takaful Ikhlas adalah penjana tunai kepada MNRB, sudah tentu ia merupakan satu kerugian sekiranya MNRB melepaskan kepada Allianz.

Apatah lagi, katanya, jenama Takaful Ikhlas semakin kukuh dari segi produk dan rangkaiannya.

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi itu tidak menolak Takaful Ikhlas mampu berkembang lebih pesat di bawah Allianz.

''Allianz sudah tentunya mahu menguasai Takaful Ikhlas, portfolio yang belum dimilikinya, tetapi ia sukar,'' ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Allianz adalah syarikat pelaburan bagi Allianz General Insurance Company (M) Bhd. (AGIC) dan

Bright Mission Bhd., entiti bagi sayap insurans am dan Allianz Life (M) Bhd. bagi insurans nyawa.

MNRB dan Allianz mendapat persetujuan daripada Bank Negara Malaysia untuk memulakan rundingan bagi pembelian ekuiti dalam Takaful Ikhlas pada 17 Disember lalu.

Isu pembelian kepentingan Takaful Ikhlas diperkatakan pada tahun ini apabila syarikat itu dikatakan akan menerima suntikan daripada entiti asing.

Takaful Ikhlas juga didakwa turut menarik minat Malayan Banking Bhd (Maybank) tetapi spekulasi itu dinafikan oleh Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Pengendali takaful itu juga dikatakan mahu dimiliki oleh Bank Rakyat.

Jurucakap MNRB itu, proses rundingan yang telah bermula, bagaimanapun buat masa ini tiada tarikh tertentu ditetapkan bagi memuktamadkan sebarang keputusan.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 3/1/2011

0 komen:

Post a Comment