Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Tuesday, September 25, 2007

Agihan dana tabarru' dalam takaful diharuskan

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan bahawa pengagihan lebihan dana tabarru’ dalam skim takaful dan penggunaan konsep wakalah dalam instrumen deposit adalah harus di sisi Syariah.

Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) BNM.

BNM berkata, MPS membenarkan lebihan akaun tabarru’ bagi pelan takaful keluarga dan pelan takaful am untuk diagihkan kepada peserta serta pengendali takaful adalah berasaskan kontrk takaful itu sendiri.

"Secara umumnya, kontrak takaful secara umumnya terbina atas dasar tabarru’ iaitu sumbangan dan ta’awun iaitu bantu membantu.

"Prinsip tabarru’ merupakan prinsip utama yang mendasari produk takaful, manakala prinsip lain seperti wakalah dan mudharabah digunakan dalam menyokong perlaksanaan operasi takaful,’’ kata BNM.

Menurut kenyataan itu, keputusan MPS membenarkan pengagihan tersebut dibuat adalah atas dasar upah prestasi bagi pengendali takaful.

Jelas BNM, secara umumnya, cara pengagihan seumpama itu turut diamalkan di kalangan pengendali takaful di Timur Tengah.

Selain itu, tambah kenyataan itu, MPS juga mengumumkan akaun deposit berasaskan kontrak wakalah bi al-istithmar iaitu perwakilan bagi tujuan pelaburan adalah diharuskan.

Namun begitu, katanya, perlaksanaan kontrak tersebut hendaklah dilakukan secara berhati-hati agar ia bebas daripada elemen jaminan oleh wakil terhadap pulangan pelaburan.

Kata BNM, wakalah bi al-istithmar merupakan kontrak Syariah yang baru diluluskan oleh BNM untuk digunakan dalam instrumen deposit dan ia diharap dapat menambah bilangan produk institusi kewangan Islam yang kreatif dan berinovasi.

Sumber: BERNAMA
Tarikh: 25/9/2007

Sunday, September 9, 2007

Menelusuri status janji dalam muamalah

Oleh: Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

JANJI atau dalam istilah Arabnya wa‘ad merupakan satu prinsip penting dalam sistem muamalah Islam. Malah status janji menempati kedudukan yang tinggi dalam Islam sehinggakan seseorang yang memungkiri janji dianggap munafik dan mengundang malapetaka Allah di akhirat kelak.

Dari segi syarak, janji atau wa‘ad membawa maksud komitmen seseorang untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu pada masa depan.

Di sini wa‘ad hanya bersifat sehala dan mengikat orang yang berjanji itu sahaja. Ia berbeza dengan perjanjian berbentuk kontrak atau ‘aqad yang bersifat dua hala dan mengikat kedua-dua belah pihak yang berakad dan telah menandatangani kontrak perjanjian tersebut.

Sebagai contoh, ‘Ammar berjanji untuk menjual keretanya kepada ‘Affaf pada harga RM20,000. Janji yang dilakukan ‘Ammar untuk menjual keretanya ini masih bersifat satu hala dan tidak mengikat ‘Affaf untuk menerima tawaran tersebut. Hanya apabila ‘aqad pembelian (‘aqad al-bai‘) termeterai barulah ia mengikat kedua-dua belah pihak untuk mematuhi segala syarat jual-beli yang ditetapkan syarak.

Perbahasan di kalangan ulama muktabar turut berkisar seputar status wa‘ad dari aspek perundangan sama ada ia boleh dikuatkuasakan sebagaimana kontrak biasa. Polemik yang sering tercetus adalah berkenaan persoalan apakah tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas seseorang yang mengingkari janjinya.

Dalam konteks ini wujud perbezaaan pandangan di kalangan ulama-ulama terdahulu dan kontemporari mengenai status keterikatan dan nilai perundangan sesuatu janji yang dilakukan.

Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafie, Imam Ahmad dan sebahagian ulama dari mazhab Maliki berpandangan bahawa penunaian janji adalah suatu yang kudus dari perspektif Islam tetapi tidaklah wajib atau boleh dikuatkuasakan melalui perundangan sebagaimana akad kontrak.

Bagi ulama-ulama seperti Samurah bin Jundub, Umar bin Abdul Aziz, Hassan al-Basri, Said bin al-Ashwa’, Ishaq bin Rahwaih, Imam Bukhari dan sebahagian ulama Maliki pula berpendapat menunaikan janji adalah wajib dan orang yang berjanji mempunyai tanggungjawab dari segi moral dan perundangan untuk mematuhi janji yang dibuat.

Polemik berkaitan janji ini lebih terserlah dalam realiti muamalah di zaman moden. Amalan dan penggunaan prinsip janji atau wa‘ad sebenarnya semakin meluas dalam operasi urusniaga kewangan dan perbankan Islam masa kini. Hampir semua kontrak yang diguna pakai dalam perbankan Islam mempunyai elemen janji bagi menjamin kelancaran operasi kewangan dan perbankan.

Sebagai contoh, bank yang menggunakan kontrak jual-beli secara murabahah dalam pembiayaan bagi membeli sesuatu komoditi atau barangan turut mendapatkan surat janji (undertaking letter) daripada pembeli.

Surat janji ini penting bagi memastikan pelanggan yang memohon pembiayaan tersebut membeli barangan yang dihajatinya itu setelah pihak bank mendapatkannya daripada pengeluar. Ini kerana akad jual-beli antara bank dan pelanggan hanya boleh termeterai apabila bank sudah memiliki komoditi tersebut sebelum menjualnya kepada pelanggan.

Ini sejajar dengan saranan Rasulullah: Tidak dibolehkan berjual beli sesuatu benda yang tidak wujud di sisi kamu. (Abu Dawud, at-Tirmizi dan an-Nasai).

Persoalannya apakah bank boleh mengambil tindakan mahkamah sekiranya pelanggan ingkar terhadap janjinya untuk membeli barangan tersebut daripada bank.

Menyedari realiti dan kekangan yang dihadapi oleh perbankan Islam inilah maka ulama kontemporari melakukan ijtihad dengan mengeluarkan fatwa baru mengenai status perundangan surat janji atau prinsip wa‘ad.

Sebuah resolusi telah diluluskan oleh Majlis Fatwa Tertinggi di peringkat OIC (Pertubuhan Negara-Negara Islam) mengenai status janji yang dibuat dalam urusniaga muamalah. Menurut resolusi tersebut, seseorang yang mungkir janji boleh diambil tindakan mahkamah sekiranya terbukti bahawa ada pihak yang mengalami kerugian dan kemudaratan.

Walau bagaimanapun pampasan hanya terbatas kepada tahap kerugian sebenar yang dialami oleh pihak menuntut dan tidak termasuk nilai keuntungan yang dinafikan.

Demikianlah sebahagian daripada isu kontemporari yang menyentuh amalan muamalah khususnya berkaitan dengan operasi perbankan dan kewangan Islam yang semakin rancak berkembang bukan sahaja di negara-negara Islam malah negara-negara bukan Islam seantero dunia.

Ia membuktikan bagaimana kayanya khazanah syariat Islam dalam mengatur dan memperincikan urusan kehidupan manusia agar terhindar dari sebarang penyelewengan dan kemudaratan.

Ini sekali gus menafikan tanggapan segelintir yang sering menyempitkan ruang lingkup Islam kepada urusan peribadatan dan ritual semata-mata. Walhal ulama-ulama muktabar telah membincangkan secara terperinci isu-isu muamalah termasuklah berkenaan dengan urusniaga kewangan.

Semua ini menzahirkan betapa Islam agama syumul yang menjamin kebahagiaan dan keselesaan hidup bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 9/9/2007

Keanjalan Sistem Muamalah Islam

Islam adalah agama fitrah yang sesuai untuk kehidupan di sepanjang zaman tanpa mengira sempadan waktu mahupun geografi. Justeru tanggapan segelintir yang mengatakan Islam agama kuno yang sudah tidak lagi relevan dengan zaman moden yang serba canggih kini hanyalah menggambarkan kedangkalan fikiran yang tidak memahami sifat tabii Islam itu sendiri.

Memang al-Quran mahupun hadis Nabi s.a.w. tidaklah memperincikan setiap perkara yang bersangkutan dengan kehidupan manusia secara tuntas. Malah al-Quran sendiri diturunkan dalam bentuk dalil-dalil yang bersifat qat‘i (putus) dan muhkam, dan juga bersifat dzanni (samar) atau juga dipanggil mutasyabihat.

Dalil-dalil yang qat‘i dan muhkam ialah nas-nas yang terang, tegas maksudnya dan tidak perlu lagi dibahaskan. Manakala dalil-dalil bersifat dzanni atau mutasyabihat merujuk kepada nas-nas yang masih samar dan memerlukan penjelasan dan pemahaman lebih lanjut.

Allah sendiri memperakuinya apabila menyebut di dalam al-Quran: Di antara isinya ada ayat-ayat muhkamat (iaitu ayat yang jelas maksudnya dan dapat difahami dengan mudah) itulah pokok-pokok isi al-Quran dan yang lain ayat-ayat mutasyabihat. (Ali-Imran: 7).

Menurut Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya Al-Ijtihad fi Syariah al-Islamiyah Ma‘a Nadharatin Tahliyyatin fil-Ijtihad al-Muasir menyebut, di antara hikmah turunnya ayat-ayat mutasyabihat ini adalah untuk memberi kesempatan bagi manusia menggunakan akal yang dikurniakan Allah berijtihad hingga membawa kepada beberapa pemahaman dan interpretasi.

Keanjalan Islam dalam konteks muamalah ini turut dijelmakan melalui kaedah fiqah yang disepakati oleh majoriti ulama muktabar kecuali Zahiri iaitu: “Hukum asal bagi muamalah adalah harus, selagi mana tidak terdapat larangan yang jelas terhadap perkara-perkara tersebut.”

Ini berbeza sama sekali apabila melibatkan urusan ibadah yang menyentuh hubungan manusia dengan Penciptanya. Ulama berpandangan hukum asal bagi ibadah adalah haram. Justeru, untuk melaksanakan sesuatu yang bersifat ibadah seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji mestilah berpandukan aturan yang ditentukan dalil-dalil syarak bagi mengelakkan terjebak dalam perbuatan bidaah (inovasi dalam ibadah) yang diharamkan.

Sebaliknya dalam konteks muamalah di mana tidak terdapat dalil qat‘i, ulama dibenarkan berijtihad dengan menggunakan pelbagai kaedah fiqah seperti qias (menyamakan perkara baru yang tiada nas dengan hukum asal yang ada nas kerana mempunyai ‘illah yang sama); maslahah (mengambil kira kebaikan umum), istishab (doktrin pengekalan hukum terdahulu); ‘urf (adat dan kebiasaan) dan sebagainya.

*Kaedah

Berasaskan pelbagai prinsip dan kaedah inilah ulama-ulama kontemporari cuba merungkai pelbagai permasalahan baru yang menyentuh hal-ehwal keduniaan yang dikategorikan dalam urusan muamalah atau hubungan sesama manusia.

Salah satu sektor yang pesat berkembang lantaran keanjalan sistem muamalah Islam ini termasuklah bidang kewangan dan perbankan Islam. Kaedah fiqah yang memberi kemudahan untuk ulama berijtihad telah merangsang pengenalan transaksi, kontrak atau prinsip-prinsip baru yang tidak pernah wujud sebelum ini.

Pelbagai produk kewangan dan perbankan Islam telah dibentuk dan diperkenalkan bukan sahaja memenuhi prinsip syarak malah selaras dengan kehendak pasaran dan keperluan pelbagai lapisan masyarakat. Umpamanya produk pembiayaan perumahan dan kenderaan menggunakan kontrak baru seperti musyarakah mutanaqisah dan ijarah wa iqtina. Begitu juga produk pasaran modal yang lebih canggih seperti instrumen sukuk yang berasaskan pelbagai kontrak seperti ijarah (sewaan), musyarakah (perkongsian untung rugi), mudarabah (perkongsian untung) dan murabahah (jual-beli).

Namun kebebasan berkontrak juga tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Ulama membahagikan kebebasan berkontrak kepada dua. Pertamanya ialah menyentuh hak Allah (huququllah) dan keduanya ialah hak sesama manusia (huquq al-ibad). Hak Allah tidak boleh diubah suai sedangkan hak sesama manusia masih terbuka luas untuk berlaku pengubah suaian selagi mana kedua-dua pihak yang berakad reda antara satu sama lain (rujuk ayat al-Nisa:29).

Sebagai contoh, dalam membentuk suatu kontrak mestilah bebas daripada unsur riba walaupun kedua-dua pihak reda antara satu sama lain. Ini kerana riba merupakan hak Allah yang tidak boleh dipertikaikan dan wajib dipatuhi oleh pihak yang bermuamalah. Namun, manusia bebas memasukkan syarat-syarat baru (sulh) selagi kedua-dua pihak reda tanpa menafikan hak Allah seperti pengharaman riba, maisir (judi) atau gharar fahish (ketidakpastian melampau).

Begitulah hebatnya sistem muamalah Islam yang diaduni keseimbangan antara unsur ketegasan dan keanjalan dalam mengatur kehidupan manusia. Dua unsur inilah yang menjadikan Islam sebagai agama yang kekal relevan dan mampu menangani pelbagai isu dan permasalahan baru dalam dunia yang serba canggih dan moden kini. Apa yang lebih mendesak kini adalah keperluan untuk mempersiapkan generasi ulamak yang bukan sahaja menguasai disiplin ilmu Islam tetapi mampu menganggapi permasalahan baru secara bijaksana dan inovatif.

Sumber: Utusan Malaysia