Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Thursday, June 26, 2008

Remaja dan Tabiat Berbelanja

Oleh: Nurul Izzah Sidek

SIBUK diperkatakan kini mengenai isu kenaikan harga makanan, harga bahan api petrol dan diesel serta kenaikan harga barang yang lain.

Kenaikan harga asas keperluan ini meresahkan bukan sahaja kepada pihak berkuasa, tetapi juga rakyat sebagai pengguna utama yang menerima kesan langsung daripada kenaikan harga ini. Kerajaan telah menggalakkan rakyat supaya merancang perbelanjaan secara berhemah dan terurus.

Namun begitu, terdapat juga rakyat Malaysia yang tidak terkesan daripada fenomena ini dan masih lagi meneruskan tabiat perbelanjaan yang boros dan tidak berhemah. Sebagai remaja, apakah peranan kita dalam mengawal perbelanjaan seharian? Apakah signifikan remaja dalam mengawal tabiat berbelanja?

Tabiat Berbelanja

Mengikut laporan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun lalu, pendapatan isi rumah purata di kalangan rakyat Malaysia meningkat kepada RM3,686 sebulan pada tahun 2007 berbanding RM3,249 sebulan pada tahun 2004.

Pendapatan isi rumah di kawasan bandar naik kepada RM4,356 sebulan pada tahun 2007 berbanding RM3,956 sebulan pada tahun 2004, manakala pendapatan isi rumah di luar bandar bertambah kepada RM2,283 sebulan berbanding RM1,875 sebulan. (Utusan Malaysia, 6 Mac 2008)

Sungguhpun demikian, dengan kenaikan harga kos bahan api, harga barang serta harga makanan, pengguna perlu lebih berhati-hati dengan perbelanjaan agar urusan lain seperti pembayaran kereta, rumah, bil-bil elektrik, air dan telefon serta lain-lain dapat diuruskan dengan baik.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh JPM menyatakan kebanyakan kes bankrap pada tahun 2006 adalah disebabkan pinjaman peribadi termasuk pembelian secara kredit dan sewa beli. Bagi hutang kad kredit, ia menyumbang sebanyak 2.10 peratus daripada 13,590 kes yang dicatatkan 2006.

Kerajaan mengadakan pelbagai kempen dan dasar untuk menggalakkan pengguna supaya lebih berhemah dalam perbelanjaan seharian. Malah pelbagai agensi diwujudkan untuk membantu pengguna dalam perancangan perbelanjaan mereka.

Antaranya, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi membantu kaunseling kewangan dan pengurusan hutang kepada individu dan juga pembiayaan pendidikan untuk mengawal situasi kewangan daripada penggunaan kredit.

Bagaimanapun, dasar kewangan dan belanjawan belum memadai jika rakyat tidak memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan dalam menjayakan dasar yang diperkenalkan. Kejayaan setiap dasar yang diperkenalkan itu banyak bergantung kepada sikap dan budaya rakyat berbelanja.

Sekiranya rakyat mengamalkan membeli barangan atau perkhidmatan mengikut selera dan tanpa perancangan, maka sudah tentu pihak yang menawarkan barangan atau perkhidmatan akan mengambil kesempatan daripada keghairahan pengguna berbelanja dengan menaikkan harga. Fenomena ini tentunya tidak akan berupaya mengekang kesan lain seperti inflasi.

Remaja juga tidak terkecuali daripada menerima impak ini. Kini timbul kecenderungan di kalangan remaja untuk membeli telefon bimbit, mengubah suai kenderaan, beli pakaian, permainan video yang bersifat sampingan atau hiburan.

Sayang sekali terdapat juga remaja yang membelanjakan wang sama ada daripada wang saku yang diberikan ibu bapa, pinjaman atau biasiswa daripada organisasi tertentu mahupun hasil duit poket daripada kerja sambilan mereka dengan membeli rokok, barang-barang terlarang, berbelanja di tempat-tempat hiburan dan sebagainya.

Perubahan gaya hidup yang cenderung untuk berhibur dan bersuka-suka telah mengubah pola perbelanjaan remaja dengan menghabiskan kepada perkara-perkara yang sia-sia. Apatah lagi dengan tabiat remaja yang suka mengikut trend terkini, pengeluar produk berlumba-lumba untuk menghasilkan barangan untuk menarik golongan muda ini untuk membeli.

Dengan kos hidup yang semakin meningkat, remaja perlu memahami beban yang ditanggung oleh ibu bapa dan perancangan kewangan yang lebih teliti perlu dilakukan supaya perbelanjaan terancang dapat dijalankan serta mengikut kemampuan yang ada.

Ubah Tabiat Berbelanja

Sama ada negara dilanda krisis ekonomi atau tidak, Islam sememangnya menganjurkan supaya umatnya mengamalkan amalan berjimat-cermat dan perbelanjaan berhemah. Ajaran Islam juga pada dasarnya amat melarang perbuatan yang membazir dan sia-sia.

Allah berfirman:…Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (al-Israk: 26-27).

Oleh itu, remaja juga hendaklah mengambil peranan dalam merancang perbelanjaan secara berhemah. Ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Perkara pokoknya adalah bagaimana menguruskan sumber wang yang diperolehi dengan baik.

Pakar kewangan ada mencadangkan perkara asas yang mudah iaitu senarai barang perbelanjaan ditulis dan dicatatkan supaya aliran keluar masuk wang dapat diperiksa selalu. Keperluan utama perlu didahulukan seperti membeli buku, peralatan sekolah dan sebagainya.

Keperluan hendaklah diasingkan antara keperluan yang mendesak ataupun keperluan pada masa jangka panjang. Dalam hal ini, kekuatan dalaman adalah sangat mustahak kerana tanpanya, senarai yang disediakan pun tidak akan berguna.

Selain itu, remaja juga amat digalakkan menabung untuk simpanan hari depan. Dalam keadaan masa kini, pembiayaan kos pendidikan dan taraf hidup yang makin meningkat memungkinkan bahawa semakin susah untuk mendapat pembiayaan perbelanjaan pendidikan atau sara diri.

Maka, dengan amalan menabung seawal umur remaja lagi, wang tersebut dapat digunakan untuk keperluan yang mendesak nanti.

Remaja juga boleh mengambil langkah untuk mengurangkan perbelanjaan kepada perkara-perkara yang mereka sering belanjakan. Contohnya, perbelanjaan membeli kredit panggilan telefon, pakaian dan makanan. Tidak dapat dinafikan barang-barang tersebut menjadi keperluan pada zaman ini.

Namun begitu, pengurangan penggunaan kredit telefon misalnya, dapat menjimatkan banyak wang yang boleh seterusnya dijadikan tabungan. Pembelian pakaian baru dapat dihadkan, pembelian makanan yang tidak berkhasiat juga dapat dielakkan sebagai langkah berjimat-cermat.

Dalam pada itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Mereka perlu menerangkan tentang kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga barang baru-baru ini kepada remaja agar remaja memahami situasi sebenar. Ibu bapa juga boleh melibatkan remaja dalam perancangan perbelanjaan harian supaya mereka memahami akan perbelanjaan rumah yang perlu untuk keperluan mereka seisi keluarga.

Selain itu, ibu bapa perlu memberi contoh yang baik kepada remaja dalam aspek perbelanjaan supaya anak-anak mereka dapat meneladaninya. Mereka perlu mengawal diri daripada terpengaruh dengan jualan-jualan murah dan menggalakkan anak-anak berberjimat-cermat dengan memberikan wang saku yang secukupnya mengikut keperluan dan tempat.

Di peringkat sekolah, subjek ekonomi dan perancangan ekonomi boleh menjadi subjek teras kerana ia relevan kepada kehidupan sekarang, sama seperti pentingnya subjek sejarah dalam silibus pelajaran. Ini kerana kerajaan turut dapat manfaat kerana dapat menjelaskan suatu keputusan berkaitan isu ekonomi contohnya kenaikan minyak baru-baru ini. Dengan ilmu ekonomi juga, kesedaran pelajar mengenai perancangan kewangan dan ekonomi mereka dalam mendepani cabaran pada masa akan datang akan meningkat.

Kesimpulan

Remaja perlu mengamalkan tabiat berbelanja berhemah dan berdisiplin dalam membantu keluarga dan diri sendiri pada masa akan datang. Amalan berjimat-cermat yang amat dituntut dalam Islam ini seharusnya menjadi panduan supaya suatu hari nanti, remaja serta keluarga tidak merasa tertekan dan bersedia dengan kemungkinan akibat daripada krisis ekonomi atau kenaikan harga barang dan kos sara hidup, bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan.

Ukurlah baju di badan sendiri setiap kali berbelanja atau membeli belah, jangan sampai besar pasak dari tiang.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 26/06/2008

Wednesday, June 25, 2008

Islam benar tangguh bayar hutang

Oleh: Dr. Zulkifli Mohamad Albakri

Firman Allah SWT : Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui. (al-Baqarah: 280)

Sayyid Qutub berkata: “Ayat yang berikut menjelaskan hukum-hukum hutang yang sukar untuk mendapat bayarannya. Cara melayani hutang yang seperti ini bukannya mengenakan riba tangguh bayaran, iaitu melanjutkan tempoh bayaran dengan mengenakan bayaran yang lebih, tetapi enggan melanjutkan tempoh bayaran sehingga kepada waktu kelapangan membayarnya di samping menggalakkan kepada amalan menyedekahkan hutang itu kepada mereka yang ingin mendapat kebajikan yang lebih sempurna.”

Firman Allah SWT: Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan.

Al-Mawardi berkata : Maksud ayat ini dengan dua pendapat ulama:

Pertama: Menangguhkan pembayaran hutang daripada orang yang susah adalah wajib pada hutang riba sahaja. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Syuraih

Kedua: Ia umum dan wajib beri penangguhan bagi semua hutang sebagaimana zahir ayat. Inilah pendapat Ata’ dan al-Dhahak.

Al-Nasafi berkata: “Jika berlaku orang yang berhutang dalam kesusahan maka hukumnya hendaklah ditakkhirkan pembayaran tersebut hingga waktu kemudahan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak berlalu hutang seorang lelaki Muslim maka ditakkhirkannya untuk menyenangkan yang berhutang kecuali baginya setiap hari sebagai sedekah.”

Al-Maraghi berkata, maksud ayat ini ialah jika orang yang berhutang sedang menanggung kesulitan, hendaklah pemiutang menunggu atau memberi tempoh sampai ada kelapangan sehingga memungkinkan dia melunaskan hutangnya.

Sebuah hadis diriwayatkan, bahawa Bani Mughirah berkata kepada Bani Amr ibnu Umar seperti dalam kisah di atas, katanya: “Saat ini kami sedang menanggung kesulitan. Oleh sebab itu, berilah kami tempoh sampai musim memetik buah!” Akan tetapi mereka menolak permintaan ini. Lalu turunlah ayat tentang kisah mereka ini sebagaimana yang termaktub dalam dua ayat yang sebelum ini.

Begitu juga al-Baghawi menyebut kelebihan orang yang menolong mereka yang berhutang supaya ditakkhirkan pembayaran hingga waktu lapang.

Sayyid Qutub berkata: “Itulah toleransi yang murah hati yang dibawa oleh Islam kepada umat manusia. Itulah naungan yang teduh, yang memberi perlindungan kepada golongan manusia yang letih dan lesu di bawah naungan pancaran matahari nafsu tamak, bakhil dan rakus.

“Itulah bayangan rahmat kepada si pemberi hutang, kepada si yang berhutang dan kepada masyarakat yang melindungi mereka semua.”

Kita memang sedar bahawa kata-kata ini tidak memberi apa-apa erti kepada akal manusia yang hidup di bawah panas matahari jahiliah dan kebendaan sekarang ini. Kecapan harum manis daripada kata-kata ini tidak dirasai dalam hati mereka yang telah keras membatu itu terutama hati golongan pemakan riba yang buas, sama ada mereka terdiri daripada individu-individu yang berasingan di ceruk-ceruk negeri.

Mereka duduk bersimpuh menjilat-jilat bibir menunggu mangsa-mangsanya yang terdiri daripada insan-insan yang menderita akibat dilanda berbagai kesusahan.

Mereka amat memerlukan wang untuk membeli makanan, pakaian, ubat-ubatan atau pada sesetengah ketika memerlukan perbelanjaan untuk membiayai kos ketika berlaku kematian di kalangan ahli keluarga mereka, tetapi mereka tidak menemui seorang pun yang sanggup menghulurkan bantuan ikhlas kepada mereka.

Oleh itu, mereka terpaksa meminta pertolongan di sarang-sarang pemakan riba yang buas untuk mendapatkan wang sama ada mereka terdiri daripada individu-individu seperti ini atau mereka berada dalam bentuk institusi kewangan dan bank-bank ribawi. Mereka sama sahaja.

Cuma yang membezakan golongan yang akhir ini mereka berada di pejabat-pejabat yang indah dengan kerusi yang empuk dan di belakang mereka tersusun buku-buku teori ekonomi, karangan-karangan ilmiah serta buku-buku yang berkaitan dengan undang-undang dan lain-lain.

Seluruh siap siaga untuk menjustifikasi jenayah mereka dan melindungi mereka. Seterusnya menyalahkan sesiapa sahaja yang teragak-agak untuk membayar faedah riba kepada peti wang mereka atas nama undang-undang.

Firman Allah SWT: dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu lebih baik bagimu...

Al-Maraghi berkata: “Maksud ayat ini ialah kamu bersedekah kepada orang berhutang yang sedang menanggung kesulitan, dengan membebaskan sebahagian atau seluruh hutangnya adalah lebih baik bagi kamu dan lebih besar pahalanya di sisi Allah SWT, daripada menunda masa pembayaran mereka.

Dalam ayat ini terdapat anjuran supaya memberi sedekah dan berlapang dada terhadap kesulitan si berhutang. Sikap berlapang dada ini mencerminkan kasih sayang dan kemurahan hati serta kebaikan seseorang kepada yang lain.

Oleh demikian akan terbina hubungan persaudaraan antara setiap individu, menjadikan ikatan yang kukuh di dalam masyarakat umat Islam dan mewujudkan sikap sama-sama berjuang demi kepentingan umum, seperti yang ditunjukkan oleh hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perumpamaan seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang saling menguatkan antara bahagian dengan bahagian yang lainnya”.

Firman Allah SWT: jika kamu Mengetahui.

Hamka berkata: “Itulah lanjutan jiwa pembangunan jiwa masyarakat orang yang beriman. Alangkah baik dan mesranya, jika seseorang yang berhutang datang memohon maaf dan meminta tempoh agar sekalian bulan, lalu disambut oleh orang yang memberi hutang dengan perkataan: “Hutangmu itu telah aku halalkan, engkau tidak berhutang lagi denganku.” Dia berkata: Bahawa cara begini jika kamu fikirkan adalah lebih baik bagi dirimu sendiri. Dengan cara ini telah menaikkan darjat budimu. Ia akan berkesan dalam jiwamu sendiri, menjadi dermawan dan mengukuhkan ukhwah dengan orang yang berhutang.

Muhammad Quraish Syihab berkata: “Apabila ada seseorang yang berada dalam situasi sulit atau akan terjerumus dalam kesulitan bila membayar hutangnya, maka tangguhkan penagihan sampai ia lapang. Jangan menagihnya jika kamu mengetahui dia sempit, apalagi memaksanya membayar dengan sesuatu yang amat dia perlukan.

Rasulullah bersabda: Siapa yang menangguhkan pembayaran hutang orang yang berada dalam kesulitan, atau membebaskannya daripada hutangnya, maka dia akan dilindungi Allah SWT pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan-Nya (hari kiamat). (riwayat Imam Muslim.)

Al-Maraghi berkata: Maksud ayat ini pula ialah jika kamu sudah tahu bahawa menyedekahkan barang yang dihutangkan kepada si berhutang lebih baik daripada menunda pembayarannya, kerjakanlah dengan seikhlasnya dan berlapang dada terhadap saudaramu, serta pupuklah hati saudaramu dengan perasaan sayang dan belas kasihan.

Ayat ini menunjukkan kewajipan memberi kelonggaran kepada si berhutang yang sedang menanggung kesulitan sampai tiba masa dia dapat menunaikannya. Akan tetapi lebih baik kalau membebaskan dan menyedekahkan barang yang dihutangkan itu.

Sumber: Utusan Malaysia (Ruangan Bicara Agama)
Tarikh: 25/06/2008

Saturday, June 14, 2008

Ambil berat pelan penurunan harta pusaka

Oleh: IKBAL SALAM

PEMAHAMAN berkaitan masalah pusaka tidak akan sempurna tanpa kita mengetahui di manakah kes pusaka kita akan dibicarakan jika kita meninggal dunia. Di negara kita permohonan pembahagian pusaka umat Islam boleh dibuat di:

1. Mahkamah Tinggi Malaya Melalui Peguam/Amanah Raya Seksyen 77A Akta Probet & Pentadbir 1959 Order 71 Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 Harta Alih & Tak Alih lebih RM600,000.

2. Pejabat Pusaka Kecil Waris Si mati/Peguam Seksyen 13 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 Seksyen 4 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 Seksyen 3(2) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 Harta Alih & Tak Alih kurang daripada RM600,000.

3. Amanah Raya Berhad Seksyen 13 Akta Pemegang Amanah Raya 1995 Seksyen 8 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 Seksyen 17 (1) Akta Pemegang Amanah Raya 1995 Seksyen 17(2) Akta Pemegang Amanah Raya 1995 Harta Alih kurang daripada RM600,000.
Harta Alih kurang daripada RM50,000.

Tegasnya, umat Islam di negara kita dalam banyak keadaan terpaksa menyerahkan permohonan pusaka mereka kepada dua bidang kuasa perundangan iaitu di Mahkamah Syariah bagi memperolehi Sijil faraid dan kemudiannya mendapatkan perintah pembahagian daripada Mahkamah Tinggi atau Pejabat Pusaka Kecil.

Proses ini terkadang menjadi lebih rumit bila terdapat keadaan di mana berlakunya pertindihan atau kesamaran bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam hal-hal bagi menentukan sama ada harta si mati boleh dikategorikan sebagai harta pusaka atau tidak.

Oleh kerana hambatan perundangan tersebut adalah penting bagi umat Islam memastikan harta yang mereka miliki dapat diperturunkan kepada mereka yang memerlukan dalam waktu yang seberapa singkat.

Untuk tujuan itu langkah yang pertama sendirian bila terdapat ahli-ahli waris yang mahu menuntut harta dengan petah berhujah sambil merujuk kepada ayat-ayat pewarisan dalam surah an-Nisa'.

Begitulah juga yang lazimnya berlaku bila si suami menggunakan kuasa veto mereka untuk berpoligami sambil merujuk kepada ayat 2 surah an-Nisa' yang memberikan ruang kepada suami untuk berpoligami.

Kes-kes monopoli harta pusaka sehingga mewujudkan kematian yang berlapis-lapis seharusnya tidak berlaku kepada umat Islam memandangkan kita telah diajar akan azab yang bakal menimpa jika memakan harta anak yatim atau harta yang bukan milik kita.

Sebaliknya ada juga dikalangan kita yang mengambil sikap "tak kuasa" atau tidak peduli untuk bertegang urat atau berparang berebut tanah pusaka lebih-lebih lagi perlu pula berhadapan dengan bapa saudara atau saudara sepupu yang terkenal dengan panas barannya.

Walaupun menjadi amalan yang dituntut untuk kita tidak terbabit dengan perebutan harta pusaka tetapi keengganan ahli-ahli waris untuk berhadapan dengan masalah itu sekarang adalah petanda jelas bahawa pemilikan tanah pusaka tersebut akan terus tergantung dari satu generasi ke generasi.

Akhirnya tanah tersebut tidak mempunyai nilai komersial untuk dibangunkan akibat ketidaktentuan status pemiliknya.

Jauh di sudut hati terfikir juga kita daripada hartanah yang ditinggalkan menjadi punca perbalahan, alangkah baiknya jika tanah tersebut dahulunya diwakafkan sahaja oleh nenek tersebut.

Bagi mengelakkan masalah kematian berlapis ini, sangat perlu untuk umat Islam membahagikan harta pusaka dengan seberapa segera selepas kematian si mati.

Penyegeraan pembahagian pusaka akan dapat memastikan tanggungan si mati sama ada kepada Allah atau manusia dapat dijelaskan sebelum aset yang ditinggalkan dibahagi-bahagikan kepada mereka yang layak.

Percayalah, bertangguh dalam membahagikan pusaka memberi ruang kepada lebih banyak masalah pusaka di masa depan.

Umat Islam juga perlu menyedari bahawa betapa agama Islam adalah agama yang cukup sempurna, relevan pada setiap zaman dan mendukung prinsip keadilan secara total.

Sementara kita mengakui bahawa faraid adalah ketentuan hukum dari Allah yang tidak boleh disanggah, syarak menyediakan pula pelbagai kaedah bagi memastikan harta yang ditinggalkan mampu menambahkan pahala berpanjangan kepada yang mati dan boleh menambah baik keadaan ekonomi ahli keluarga yang ditinggalkan.

Antara kaedah yang digariskan oleh syarak adalah antaranya Hibah, Hadiah, Amanah, Nazar, Wakaf dan Sedekah.

Kes-kes pusaka akan dapat diatasi atau dikurangkan tahap permasalahan jika umat Islam menyediakan pelan yang jelas berkaitan harta yang dimiliki menurut kaedah yang dinyatakan di atas.

Pelan penurunan harta inilah yang semacam menjadi fobia di dalam masyarakat Islam kita hingga bila dicadangkan agar wasiat ditulis ramai pula yang dengan sinis menjawab, maaflah saya belum nak mati lagi atau tak mengapalah harta saya sedikit sahaja.

Sebagai perbandingan ramai pula di kalangan kita yang apabila meninggalkan rumah walau hanya seketika, meninggalkan pesanan kepada anak mereka umpamanya; 'Jangan bergaduh, jangan lupa pastikan pintu rumah dikunci dan jangan lupa angkat kain baju di ampaian'.

Hujah saya, jika meninggalkan rumah yang sebentar itu pun kita perlu berpesan, mengapa tidak kita menyediakan pesanan dan perancangan yang sempurna untuk ahli-ahli keluarga sebelum kita meninggalkan alam sementara ini ke alam yang kekal yang tidak diketahui bila pula ia akan tiba.

Kaedah perancangan pusaka yang digariskan syarak di atas memberikan ruang untuk kita memberikan harta yang dimiliki kepada mana-mana pihak sekalipun orang itu bukanlah ahli waris kita pada kadar yang difikirkan sesuai.

Prinsip asas yang perlu dipatuhi adalah apa pun sahaja pemberian yang hendak diturunkan itu hendaklah dibuat dan dilaksanakan semasa hayat si pemilik harta.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 14/06/2008

Friday, June 13, 2008

Wang insurans tidak ikut syarak bukan harta pusaka

Soalan:

Anak lelaki saya sudah meninggal dunia dan meninggalkan saya, ibunya, seorang isteri serta dua anak perempuan. Saya sudah mendapatkan Surat Pentadbir Kuasa bagi mentadbir harta arwah. Dalam surat itu, beliau diamanahkan sebagai wasi dan hendaklah membahagikan wang berkenaan mengikut hukum faraid.

Baru-baru ini, pihak insurans mengeluarkan wang insurans nyawa secara berkelompok arwah kepada balunya. Arwah tiada meletakkan penama untuk insurans itu. Namun, sehingga kini balu arwah tidak membahagikan wang berkenaan mengikut faraid atau menyimpan di tabung amanah untuk cucu saya walaupun dinasihatkan berkali-kali. Alasannya ialah wang insurans itu adalah insurans konvensional dan bukan secara Islam, jadi tidak perlu dibahagikan mengikut faraid.

Apakah hak saya dan waris lain khasnya cucu terhadap wang insurans nyawa itu sama ada ia secara konvensional mahupun Islam.

Ayah dan datuk,
Selangor Darul Ehsan.

Jawapan:

Isu dalam kes ini ialah sama ada wang pampasan insurans nyawa boleh dianggap sebagai harta pusaka atau sebaliknya kerana seseorang yang mengambil insurans nyawa sama ada melalui syarikat insurans konvensional atau secara Islam, beliau akan mencarum sejumlah wang tertentu setiap bulan.

Menurut Akta Insurans, insurans nyawa yang diambil pencarum terbahagi kepada dua jenis iaitu insurans nyawa yang dilantik penama dan insurans nyawa tidak dilantik penama. Pampasan insurans nyawa yang tidak dilantik penama adalah menjadi harta pusaka dan hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid.

Bagi pampasan insurans nyawa dilantik penama, ada dua keputusan mahkamah yang berbeza di mana dalam kes Re Man Minhat (1965) 2 MLJ 1 yang diikuti oleh kes Re Bahadun Hassan (1974) 1 MLJ 4, mahkamah memutuskan pampasan insurans nyawa menjadi hak penama.

Namun, dalam kes Re Ismail Rentah (1939) FMSLR 230 dan (1940) MLJ 98, Mahkamah Tinggi memutuskan sebaliknya di mana fakta kes lebih kurang sama dengan kes Re Man Minhat, penama adalah isteri si mati.

Mahkamah memutuskan bahawa undang-undang Islam adalah sebahagian undang-undang awam negeri. Di bawah undang-undang Islam, mengikut kajian mahkamah seseorang boleh membuat hibah harta yang tertentu ketika hayatnya.

Hibah yang diberi dalam marad al-mawt dianggap sebagai pemberian melalui wasiat, pemberian kepada seorang waris (isteri) adalah tidak sah melainkan waris lain bersetuju. Surat penama tidak boleh dianggap sebagai hibah masa hidup kerana tiada pindah milik kepada orang yang menerima.

Oleh itu, mengikut undang-undang Islam, jumlah wang itu terpulang untuk dibahagikan kepada semua waris dan bukan menjadi milik isteri sebagai penama.

Hukum berkaitan penama sudah difatwakan pada 1973 di mana penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Wang Simpanan Pejabat Pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid.

Penama adalah orang yang diberi kuasa untuk mengeluarkan wang si mati dengan mudah dan segera tanpa perlu melalui proses pembahagian harta pusaka mengikut undang-undang pembahagian harta pusaka.

Namun, penama bukanlah pemilik wang itu kerana penama hanyalah bertindak sebagai wasi atau pemegang amanah. Selepas mengeluarkan wang, penama hendaklah membahagikannya kepada waris mengikut faraid.

Dalam kes tuan, laporan polis boleh dibuat berkaitan tindakan balu arwah pecah amanah sebagai wasi pampasan insurans seperti dinyatakan dalam surat syarikat insurans kepadanya. Tuan juga boleh memfailkan kes di Mahkamah Sivil bagi tuntutan itu.

Namun, rujukan harus dibuat kepada fatwa berkaitan penggunaan wang insurans nyawa itu. Pada 1979, Kesatuan Ulama Fiqh Dunia yang bersidang di Makkah, majoritinya memutuskan insurans jenis perniagaan sama ada ke atas barang perniagaan, nyawa dan lain-lain daripada jenis harta adalah haram.

Pada 1985, majoriti ulama sedunia mengharuskan insurans jenis kerjasama iaitu insurans termasuk dalam jenis kontrak sumbangan ikhlas yang diikat untuk mencapai matlamat bantu membantu antara individu masyarakat yang menghadapi musibah dan demi mengurangkan bebanan ditanggung berdasarkan syarat ditetapkan oleh syarak.

Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan memutuskan hukum memakan wang daripada wang insurans nyawa bagi syarikat insurans yang mengamalkan kegiatan bertentangan dengan hukum syarak adalah haram.

Maka, tuan perlu meneliti sama ada syarikat insurans arwah menjalankan kegiatan yang menurut hukum syarak atau tidak sebelum membelanjakan wang pampasan itu. Jika syarikat berkenaan tidak menjalankan kegiatan mengikut hukum syarak, wang daripada insurans selepas pencarum meninggal dunia hukumnya adalah tidak menjadi harta pusaka.

Hanya wang pendahuluan atau wang yang dibayar setiap bulan oleh si mati saja menjadi harta pusaka dan perlu dibahagikan mengikut faraid.

Berbincanglah secara baik dengan balu arwah serta dapatkan khidmat guaman yang meliputi undang-undang sivil dan hukum syarak supaya pembahagian dan penggunaan wang insurans itu menurut hukum syarak.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak.

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Tarikh: 13/6/2008