Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Showing posts with label penyucian. Show all posts
Showing posts with label penyucian. Show all posts

Wednesday, February 2, 2011

Imam Hamzah khatam setiap bulan

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

PEMILIHAN Qurra Tujuh yang dibuat oleh Ibnu Mujahid (meninggal 324 hijrah) telah memilih seorang Imam mewakili setiap kota Islam ketika itu iaitu Madinah, Mekah, Basrah dan Syam.

Bagi Kufah, Ibnu Mujahid telah memilih tiga Qurra kerana ramai Qurra yang masyhur di Kufah. Tiga Qurra yang dimaksudkan ialah Imam Asim, Imam Hamzah dan Imam al-Kisai.

Imam Hamzah dilahirkan pada tahun 80 hijrah dan meninggal dunia pada tahun 154 hijrah. Ilmu Qiraat yang dikuasai Imam Hamzah adalah hasil usaha yang berterusan yang ditimbanya daripada beberapa guru yang tersohor pada zamannya.

Antara gurunya ialah Sulaiman al-'Amasy, Hamran Ibnu 'Ayun, Abi Isahaq al-Subai'e, Muhammad Ibnu Abdulrahman Ibnu Abi Laila dan lain-lain.

Ramai ulama yang bertalaqqi al-Quran dengan Imam Hamzah antaranya ialah Ibrahim Ibnu Adham, Sulaim Ibnu Isa, Sufiyan al-Thauri, Syuraik Ibnu Abdullah, Syu'iab Ibnu Harb, Ali Ibnu Hamzah al-Kisai dan lain-lain.

Imam al-Syatibiy (meninggal pada 590 hijrah) merakamkan pujian kepada Imam Hamzah dengan menyebut sebagai seorang yang rajin membaca al-Quran.

Sheikh Mahmud Khalil al-Husari menghurai kata-kata tersebut dengan menyatakan bahawa Imam Hamzah khatam al-Quran setiap bulan adalah sebanyak 25 atau 29 kali khatam.

Keilmuannya yang tinggi dalam Ilmu Qiraat mendapat perhatian Imam Abu Hanifah yang hidup sezamannya sehingga beliau berkata dua perkara; kamu mengatasi kami dan kami tidak akan berbantah dengan kamu iaitu al-Quran dan Faraid.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 2/2/2011

Friday, December 24, 2010

Berhutang untuk haji?

Oleh : SITI AINIZA KAMSARI

DEMIKIANLAH maksud di sebalik bacaan Talbiah (Labaikka Allahumma Labaik) yang dilaung-laungkan oleh para jemaah haji selama mereka berada di Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Iaitu bermula selepas berniat ihram di miqat sehinggalah melontar jamrah Kubra atau sehingga melakukan tawaf rukun.

"Datang kerana menyahut panggilan Mu" itu tentu sekali mempunyai implikasi daripada aspek syarie dan falsafah haji itu sendiri.

Dari aspek syarie soal kedatangan ke Tanah Suci itu berkait rapat dengan soal kemampuan. Ini sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 97.

Tidak dinafikan soal kemampuan seseorang itu untuk mengerjakan haji sering mendapat perhatian pelbagai pihak apabila tidak kurang merasakan mereka perlu berhutang untuk menunaikan haji. Jika tidak berhutang sampai bila-bila pun mereka tidak mungkin berpeluang menunaikan haji.

Sementelah usia masih muda, badan masih sihat dan kuat, apa perlunya menunggu ke Tanah Suci kerana bimbang jika pergi pada usia bersara atau tua, badan sudah tidak kuat untuk menghadapi pelbagai cabaran fizikal dan mental yang menunggu di Mekah mahupun Madinah.

Di tambah lagi 'seruan telah sampai' dan keinginan telah membuak-buak dan tidak boleh ditahan-tahan lagi. Maka pergi tetap pergi walaupun terpaksa berhutang.

Dalam masalah ini pendakwah bebas terkenal, Datuk Daud Che Ngah berkata Islam telah menetapkan mengenai soal kemampuan untuk menunaikan haji itu adalah bebas daripada berhutang.

Begitu pun hukum berhutang untuk menunaikan haji adalah harus, dibolehkan pergi. Malah, jika ibadat itu dapat dilakukan dengan baik maka tentunya sahaja ibadat haji itu sah.

"Ini sebagaimana resolusi yang dicapai dalam Muzakarah Ibadat Haji Tahun 2006 menerusi pembentangan sebuah kertas kerja mengenai berhutang untuk mengerjakan haji.

"Berhutang dibenarkan apabila si peminjam didapati mempunyai cagaran, iaitu dalam bentuk simpanan dalam Skim Perkeso, Caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), elaun saraan (pencen), ganjaran pekerjaan dan sebagainya.

"Semua ini dapat menampung hutang terutama apabila si peminjam ini tadi ditakdirkan tuhan meninggal dunia di Tanah Suci semasa mengerjakan haji," katanya.

Maka ia tidak akan meninggalkan beban kepada waris untuk membayar hutang haji kerana si mati ada meninggalkan simpanan dalam akaun-akaun tersebut.

"Si peminjam mempunyai jaminan dalam bentuk wang cuma tidak sampai masa untuk dikeluarkan," katanya.

Namun, tegas Daud, hutang si mati tidak boleh dilunaskan berdasarkan tuntutan insurans nyawa.

"Kecuali jika melalui Insurans Takaful kerana ia menepati kehendak-kehendak syariat berbanding insurans konvensional dikhuatiri mengandungi unsur gharar," katanya.

Maka yang penting berhutang itu tidak melanggar perkara yang haram dan tidak akan membebankan orang lain.

"Seeloknya andai berlaku kematian, yang ditinggalkan harta untuk waris bukannya hutang yang boleh membebankan pula kepada orang lain untuk menanggungnya," katanya.

Begitupun kata Daud, berhutang untuk mengerjakan haji bukan sebahagian daripada falsafah dan keindahan pengajaran daripada ibadat haji itu sendiri.

"Ini sebagaimana yang Allah telah tegaskan dalam surah di atas tadi, iaitu soal kemampuan. Walaupun wajib seseorang itu mengerjakan haji jika dia mampu. Andai tidak mampu maka boleh ditangguhkan sehingga dia benar-benar mampu tanpa perlu berhutang," katanya.

Ini kerana apabila membicarakan soal 'berkuasa' untuk mengerjakan haji terdapat 12 syarat di dalamnya.

Antaranya termasuklah mestilah jemaah itu seorang Islam, berakal (tidak gila), baligh (capai umur mukalaf), bukan hamba sahaya (merdeka) dan berkuasa (mampu) dengan lain perkataan bukan berhutang.

"Berkuasa di sini pula sama ada dengan pertolongan orang lain dan kedua dengan kemampuan diri sendiri.

"Kemampuan diri sendiri ini tertakluk kepada syarat; ada perbelanjaan yang halal, ada kenderaan untuk pergi dan balik, ada tambang menambang (kos pengangkutan), sihat tubuh badan, aman dalam perjalanan dan berkesempatan dari aspek masa," kata Daud.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 24/12/2010

Sunday, October 17, 2010

Menjelas Kekeliruan Berkenaan Penyaluran Wang Dari Sumber Haram & Bercampur

Oleh : Zaharuddin Abd Rahman

Bermula dari isu sumbangan kerajaan Pulau Pinang kepada beberapa penerima, kelihatan timbul kekeliruan dan keserabutan dalam memahami letak duduk isu wang haram dan sumbangannya kepada kemaslahatan awam serta faqir dan miskin. Walau isu tersebut sudah padam dan tenggelam. Namun masih ada kekeliruan yang belum terjawab, akibatnya, ada yang berkata :-

“Jika harus diberikan wang haram itu kepada faqir miskin, maka bolehlah kita teruskan aktiviti haram itu kerana hasilnya masih boleh dimanfaatkan”

“Kerana hukumnya harus, maka mana-mana kerajaan pun yang naik selepas ini, mereka masih boleh membiarkan aktiviti haram”

“oo..bolehlah kita beri lagi banyak lesen kepada pusat judi, pelacuran dan riba, sebab untung mereka lebih besar dan kemudian kita boleh ambil manfaat dari harta mereka untuk membiayai faqir miskin dan pembangunan negara”.

Jika itulah kefahaman sebahagian pembaca selepas membaca hujjah-hujjah para ulama mazhab yang silam dan kontemporari, maka mereka sebenarnya sungguh terkeliru.

Memang benar, tulisan saya yang lalu menjelaskan fatwa ulama silam dan kontemporari berkenaan harusnya kumpulan faqir, miskin dan kemaslahatan awam termasuk warga emas yang memerlukan menerima sama ada wang dari kerajaan negeri atau pusat walaupun ia datang dari hasil keuntungan judi, riba dan lain-lain aktiviti haram.

Namun apa yag sangat perlu difahami begini :-

Konteks sebenar yang disebut oleh para ulama mesti difahami dengan tepat. Kesemua mereka memberikan fatwa tersebut ketika mengulas kemanakah perlu disalurkan hasil harta-harta haram yang berada didalam pemilikan individu. Konteksnya adalah, sekiranya seseorang itu TELAH memperolehi wang haram sama ada hasil judi, perniagaan haram, pelaburan haram dan kini ingin bertaubat, maka kemanakah patut disalurkan wang tersebut?, Adakah ia perlu dilupuskan atau dibakar atau dibuang debunya ke dalam sungai dan lautan.?

Jawapannya mudahnya, telah hampir sepakat seluruh ulama mengatakan melupuskannya seperti cara di atas, tanpa memberi manfaat kepada sesiapa pun adalah bercanggah dengan pelbagai dalil, Maqasid Shari’ah dan logik aqal. Ini adalah kerana dosa perolehan harta haram itu adalah bersifat hukmi dan bukan ‘aini (jisim).

Berbeza jika kiranya barang yang dimiliki itu adalah haram pada ‘ain dan zatnya seperti sebotol berisi arak, semangkuk sup daging babi, sepotong daging kambing tidak sembelih untuk makan tengahari dan yang sepertinya. Ketika itu, barulah hukumnya wajib melupuskannya dengan cara buang serta diharamkan untuk diberikan kepada sesiapa jua, termasuk menjualnya, menjadikan bahan perhiasan, walaupun kepada orang bukan Islam. Demikian menurut hadis :-

نهانا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نشرب في آنية الذهب والفضة وأن نأكل فيها، وعن لبس الحرير والديباج وأن نجلس عليه، وقال: هو لهم (أي للكفار) في الدنيا ولنا في الآخرة

Ertinya : Rasulullah Sallahualahiwassalam telah melarang kami makan dan minum dari bekas yang diperbuat dari emas dan perak, dan memakai (kaum lelaki) pakaian dari sutera dan juga menggunakannya untuk alas duduk, baginda juga berkata : itu semuanya untuk orang kafir di dunia, dan kita hanya dibenarkan di Syurga kelak. ( Riwayat Al-Bukhari).

Berasaskan dari hadis terbabit, lalu para ulama membuat kesimpulan sebuah kaedah iaitu :-

وما حرم استعماله حرم اتخاذه تحفة وزينة

Ertinya : dan apa-apa yang diharamkan penggunaannya, diharamkan juga mengambilnya sebagai barangan yang disayangi (barang dianggap berharga = masterpiece) dan perhiasan. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusuf Al-Qaradawi)

Dan juga petunjuk jelas dari hadis ini :-

عن أنس عن أبي طلحة رضي الله عنهما قال: قلت يا رسول الله إني اشتريت خمرا لأيتام في حجري فقال صلى الله عليه وسلم :أهرق الخمر واكسر الدنان

Ertinya : dari Anas dari Abi talhah (r.a) berkata : aku berkat kepada Rasulullah : wahai Rasulullah aku telah terbeli arak untuk anak yatim yang didalam peliharaanku. Baginda memberikan arahan “ Musnahkan arak tersebut dan pecahkan bejana-bejananya” ( Riwayat At-Tirmizi : Hadis Hasan menurut Ibn Hajar & Albani)

Menurut huraian para ulama, sahabat yang membeli tersebut berniat untuk memeramkan arak terbabit sehingga ia bertukar sifat dan kemudian memanfaatkannya, tetapi itu juga dilarang oleh Nabi s.a.w. Ada juga ulama yang mentafsirkannya, sahabat tersebut membelinya sebelum turun wahyu pengharaman arak. Terdapat dalil lain pula yang menyebut anak-anak yatim tersebut mewarisi arak-arak dari ibu bapa mereka yang meinggal dunia, lalu apabila ditanya kepada nabi sama ada ia boleh diperam sehingga bertukar sifat, tetapi baginda tidak membenarkannya.[1]

Dari hadis di atas dan pelbagai dalil lain membuktikan pemilikan harta yang haram secara zat mesti dilupus, dihapus dan dibuang.

HARAM SECARA HUKMI

Manakala, harta haram secara hukmi ( menurut hukum kerana caranya bercanggah dengan Shari’ah seperti judi, rasuah, rompak, riba dan lain-lain) yang dimiliki individu adalah HARAM digunakan untuk dirinya sendiri dan keluarganya.

Bagaimanakah cara melupuskannya?

Cara melupuskannya adalah dengan menyalurkannya sama ada kepada Baitul Mal, pusat zakat atau terus kepada faqir dan miskin. Itulah konteksnya.

Bagaimana jika ia adalah sebuah negara atau negeri?

Jawabnya, cara pelupusan yang sama terpakai untuk sesebuah negara atau kerajaan. Setiap hasil cukai dan pendapatan dari hasil yang haram. Pemerintah yang bertanggungjawab mestilah menyalurkannya kepada faqir, miskin dan kemaslahatan awam, menurut nilai jumlah pendapatan itu. Itulah kaedah dan cara untuk mereka melupus dan menggunakannya.

Ini kerana harta haram tersebut, jika terus dibiar berada dalam pemilikan individu, ia bakal merosak keberkatan kehidupannya dan rezekinya.

Di peringkat Negara, membiarkan negara bergantung kepada hasil haram tanpa justifikasi yang betul dari sudut hukum Shari’ah, akan menjerumuskan pemimpin ke dalam kehinaan, dosa dan balasan azab pedih di akhirat.

Justifikasi yang dimaksudkan di atas adalah, sesebuah kerajaan pimpinan Islam DIBENARKAN meluluskan sesuatu yang diterima oleh agama lain dengan syarat ia khusus untuk penduduk setempat itu. Dalam masa yang sama kerajaan dibenar untuk mengutip cukai hasil pemberian lesen itu.

Contohnya, dalam sesetengah agama, arak adalah dibenarkan, justeru pemerintah Islam menghormati kebenaran itu, justeru para ulama menyatakan keharusan bagi kerajaan meluluskan pembukaan kedai arak yang khusus untuk penganut agama terbabit sahaja. Itulah namanya siyasah syariyyah.

Demikian statusnya dengan babi dan makanan tidak sembelih, disebabkan agama mereka membenarkan, kerajaan Islam mestilah membenarkan pembukaan kedai jual babi, penternakan babi, dan gerai-gerai yang menjual makanan tidak sembelih setelah dipohon oleh penganut agama yang membenarkan, namun secara terhad dan berhati-hati. Dalam masa yang sama, kerajaan boleh mengenakan cukai biasa dari lesen dan cukai dari perniagaan itu.

Hasil sebegitu, walau kelihatan kotor, tetapi dari sudut pandangan Islam, ia adalah harus diterima oleh baitul mal bagi sesebuah kerajaan pemerintahan Islam, dibenarkan pula untuk diagihkan kepada kemaslahatan umum dan faqir miskin tanpa sebarang syubhah. Walau bukan dari akaun dan tabungan negara yang berasingan.

YANG DISEPAKATI HARAM

Namun begitu, perlu diingat tiada sebarang agama yang mengharuskan pelacuran, pengurusan kewangan riba dan perjudiaan. Sebarang kebenaran bagi pembukaan premis sebegitu dan pengambilan cukai darinya adalah haram. Apabila ia masuk ke dalam pendapatan negara. Keberkatan dalam negara akan hilang, tatkala itu, ia memerlukan kepada proses pembersihan. Menurut perspektif Islam, jika tidak dibersihkan, bebanan hukuman haram itu, akan ditanggung oleh pemerintah terbabit.

Justeru, dalam keadaan itu, dosa sudah terlekat di bahu pemerintah jika dia Muslim, jika dia bukan Islam. Ia di luar perbincangan kita.

Namun walau ia berdosa di bahu pimpinan, setelah dan jika diperolehi wang itu, kemana boleh disalurkannya? Kemanakah saluran yang tepat dari sudut pandangan Islam?. Wang dari sumber haram boleh berganda haramnya jika tidak disalurkan dengan betul..!

Sekali lagi, saluran terbaik menurut dalil dan perbincangan ulama dalah kemaslahatan umum, faqir dan miskin. Golongan ini sentiasa diharuskan oleh Islam untuk menerima wang dari sebarang hasil atas kapasiti mereka selaku faqir, miskin dan sangat memerlukan. Justeru mereka adalah penerima harta sumbangan kerajaan dan individu secara yang sah dan syar’ie dari sudut pandangan Islam. Tiada syubhat untuk mereka menerimanya dan tidak lagi haram. Sebarang momokan yang mengatakannya syubhat dan haram adalah kegagalan dalam memahami dalil dan fatwa mazhab yang empat.

IA ADALAH GALAKAN KEPADA INDUSTRI HARAM?

Tidak sama sekali! Jika difahami sebegitu, pembaca terbabit silap memahami konteks.

Fatwa keharusan untuk disalurkan kepada tiga kumpulan tadi bukan merupakan satu galakan, sokongan atau sengaja membiarkan pimpinan meluluskan premis jualan arak, perjudian, pelacuran, riba dan sebagainya.

Pimpinan itu tetap berdosa meluluskan sesuatu aktiviti sedemikian tetapi fatwa keharusan itu adalah suatu pemberitahuan kaedah pelupusan sumber wang haram yang diperolehi oleh individu dan kerajaan. Bagi melepaskan bebanan haram yang sedang ditanggung oleh negara dan individu.

KESIMPULAN

Hasil dari itu, perlu dijelaskan sekali lagi iaitu :-

1.Memahami perbezaan di antara aktiviti haram (menurut Islam) tetapi diluluskan oleh agama lain dan yang tidak diharuskan oleh semua agama. Aktiviti pertama boleh sesebuah kerajaan mengambil hasil darinya, manakala yang kedua tidak dibenarkan, namun jika telah bertapak sekian lama dan terus menerus memberi hasil dalam bentuk cukai kepada kerajaan, cara penggunaannya yang tepat adalah kepada tiga kumpulan iaitu kemaslahatan awam, faqir dan miskin. Ia dibuat bagi tujuan pembersihan diri bagi individu dan Negara.dan perlu ada usaha untuk menamatkan perkembangan industri haram terbabit walau secara beransur-ansur.

2.Pelupusan harta dari sumber haram adalah dengan cara menyalurkan kepada tiga kumpulan tadi dibuat BAGI TUJUAN PEMBERSIHAN DIRI SENDIRI DI PERINGKAT INDIVIDU DAN PEMBERSIHAN HARTA NEGARA. Proses pembersihan ini amat perlu bagi mendatangkan berkat dan kemakmuran dalam diri, rumah tangga, masyarakat dan Negara.

3.Cadangan pelupusan itu BUKANLAH MEMBAWA MAKSUD MENGGALAKAN INDIVIDU DAN KERAJAAN TERBABIT DAN TERUS MENERUS MENDAPATKAN HASIL DARI AKTIVITI HARAM, sama ada dengan memberi lesen terus memakmurkannya. Jika selepas pelupusan, mereka tetap perolehan haram itu, ia akan merosakkan hati dan membawa dosa ke atas pelakunya dan pengutip keuntungan itu.

Tatkala itu, jika di peringkat individu, AHLI KELUARGA YANG LAIN WAJIB menegur. Manakala di peringkat kerajaan sebagaimana diajar oleh nabi, wajib pula ahli kepimpinan yang lain atau penyokong-penyokong mereka untuk menegur. Jika teguran tidak dilakukan, dosa terbabit dikongsi bersama oleh pimpinan lain dan penyokong, berdasarkan banyak dalil, antaranya hadis nabi.

ومن دعا إلى ضلالة كان عليه من الإثم مثل آثام من اتبعه إلى يوم القيامة ، لا ينقص ذلك من آثامهم شيئا

Ertinya : Barangsiapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalah hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit ( Riwayat Muslim & Ibn Majah )

“Ustaz sebelum ini sibuk mengajak orang makan makanan dan harta halal, tapi kali ini adakah ustaz ingin kumpulan faqir miskin itu memakan wang syubhat dan haram? Pelik sungguh..” kemudian dia membawakan senarai panjang hadis-hadis nabi yang mengarahkan kita menjauhi harta haram dan syubhat.

Ini adalah kekeliruan juga, saya sentiasa bersama kempen menjauhkan umat Islam dari syubhat dan haram sama ada dari judi, riba, penipuan, rasuah dan yang sepertinya.

Namun individu yang berkata di atas bercakap dan memahami dalam konteks yang salah. Ini kerana kita sedang bicara soal cara pelupusan yang memang bertujuan untuk membersihkan pemilik harta haram sama ada individu atau kerajaan. Ia bertujuan untuk membawa berkat dan tanda taubat mereka.

Untuk melakukan taubat itu, wang haram dan syubhat yang dimiliki perlu disalurkan kepada dipulangkan kepada mangsa (jika ia dicuri darinya). Namun jika tidak diketahui pemilik asal secara specifik, penerima yang dibenarkan hanyalah maslahat awam, faqir dan miskin.

Bagaimana untuk bertaubat jika kemaslahatan awam, faqir dan miskin juga tidak boleh menerima wang tersebut? tambahan pula dalam keadaan tidak diketahui pemilik asal harta terbabit. Adakah ingin dilemparkan ke dalam lautan atau dibakar? Itu sebuah pembaziran yang tidak perlu sebagaimana telah diterangkan di atas dan artikel sebelum ini.

Justeru, semua tulisan saya hanya membawakan pandangan ulama mazhab dan kontemporari dan mengajak kepada tatacara urusan wang secara halal dan tepat, menjauhi syubhat dan haram.

Ditegaskan sekali lagi, harta tadi tidak sama sekali menjadi haram dan syubhat ke atas penerima sama ada yang termasuk dalam golongan maslahat awam, faqir dan miskin. Justeru semua hadis yang cuba digunakan untuk penerima faqir miskin itu tidak relevan dan salah konteksnya sama sekali.

Harapnya, persoalan ini mampu difahami dengan baik oleh semua pembaca.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

Sumber : zaharuddin.net
Tarikh : 17/10/2010

Thursday, October 14, 2010

Agama tidak menghalang

ANGKA penderma organ yang begitu kecil di negara ini mungkin boleh dikaitkan dengan faktor keagamaan (bagi orang Islam).

Namun menurut Pensyarah Jabatan Undang-Undang Islam, Universiti Islam Antarabangsa, Datin Dr. Paizah Ismail, sepatutnya faktor agama tidak boleh dijadikan alasan kerana fatwa membenarkan pendermaan dan pemindahan organ telah dikeluarkan sejak tahun 1970 lagi.

''Dalam hal ini (menderma organ) bukanlah satu benda baru yang dibincangkan malah Majlis Fatwa Kebangsaan telah menetapkan garis panduan tertentu yang mengharuskan pendermaan dilakukan.

''Pada prinsipnya Islam sendiri tidak melarang pendermaan organ malah dari segi hukum pun kita rasa tidak ada yang bercanggah.

''Dalam Islam sendiri ada menyatakan sekiranya apa-apa yang boleh memberi kebaikan kepada manusia dan yang boleh menjauhkan manusia daripada keburukan itu memang dibenarkan,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Gombak, baru-baru ini.

Beliau tidak menafikan masyarakat hari ini melihat menderma organ ini satu perkara yang tidak bagus dan tidak wajar malah ada yang mengatakan ia akan menyeksa mayat.

Dan melihat akan perkara tersebut, menurut Dr. Paizah, ini tidak seharusnya timbul dan untuk itu kesedaran harus diberikan kepada masyarakat hari ini mengenai betapa pentingnya menderma organ.

Untuk itu semua pihak harus berganding bahu menganjurkan pelbagai aktiviti mahupun kempen menderma organ dengan lebih kerap agar masyarakat mengetahui dengan lebih lanjut kebaikan menderma darah.

Pada masa yang sama, kerjasama antara pihak-pihak seperti JAKIM serta badan bukan pertubuhan (NGO) Islam turut dialu-alukan dalam usaha memberi kesedaran serta fahaman yang lebih mendalam mengenai menderma organ.

Fatwa

Sejarah awal mengharuskan pendermaan organ dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Perlis pada 6 November 1965 iaitu menerusi pendermaan kornea.

Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 23 Jun 1970 menetapkan garis panduan tertentu yang mengharuskan pendermaan dilakukan iaitu:

* Pemindahan organ boleh dilakukan selepas tiada pilihan atau jalan akhir untuk menyelamatkan seseorang yang organnya tidak berfungsi.

* Penderma atau pengikrar organ sudah disahkan meninggal dunia.

* Kebenaran diperoleh daripada ahli keluarga si mati.

* Tidak ada unsur perdagangan atau jual beli bagi organ itu.

Keputusan Lujnah Fatwa

1. Pemindahan atau pendermaan organ adalah haram dalam keadaan bukan darurat, manakala hukumnya harus dalam keadaan darurat.

2. Orang yang mati otak adalah dihukumkan mati.

Bagaimanapun sebelum dibenarkan untuk melakukan pemindahan atau pendermaan atau melakukan ke atas orang yang mati otak, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi untuk memelihara kesucian Islam iaitu

i) Pemindahan organ ada dua keadaan iaitu:

a) Keadaan penderma masih hidup

* Menjalankan kajian perubatan dengan cara terperinci dan profesional tentang kebaikan dan keburukan pemindahan ini, kejayaan dan kegagalan pemindahan.

* Dengan reda penderma, tanpa paksaan.

* Sudah dipastikan pemindahan itu berjaya pada kebiasaannya.

* Keadaan darurat yang mendesak bagi menyelamatkan nyawa orang yang didermakan kepadanya, terutama yang ada hubungan nasab dan keluarga.

* Organ yang dipindahkan bukan dijadikan dagangan dan jual beli, dagangan dan jual beli hanya akan mengundang perbuatan khianat yang memberi mudarat kepada penerima, memberi keuntungan kepada orang tengah dan juga kesempatan kepada doktor-doktor yang tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan.

* Kebenaran bertulis daripada penderma dan penderma dibolehkan menarik balik pada bila-bila masa.

b) Keadaan penderma yang telah mati

* Menjalankan pemeriksaan perubatan dengan cara terperinci dan profesional tentang kebaikan dan keburukan pemindahan ini, kejayaan dan kegagalan pemindahan, ia memerlukan pemeriksaan rapi.

* Dengan reda penderma, melalui wasiat ataupun waris-waris dan perakuan daripada kerajaan.

* Sudah dipastikan pemindahan itu berjaya pada kebiasaannya atau dalam erti kata lain, pemindahan itu dijamin berjaya.

* Dilakukan pemindahan itu dengan penuh disiplin ilmu, iman dan takwa, penghormatan yang sewajarnya kepada si mati mengikut hukum syarak serta tiada unsur-unsur penghinaan.

* Keadaan darurat yang mendesak bagi menyelamatkan nyawa orang yang didermakan kepadanya, terutama yang ada hubungan nasab dan keluarga.

* Organ yang dipindahkan bukan dijadikan dagangan dan jual beli, hanya akan mengundang perbuatan jenayah yang memberi mudarat kepada penerima, memberi keuntungan kepada orang tengah dan juga kesempatan kepada doktor-doktor yang tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan.

ii) Mati otak

* Menjalankan pemeriksaan perubatan dengan cara professional tentang berlakunya mati otak.

* Digalakkan mendapat persetujuan dari keluarga terdekat dari suami, anak, ibu dan bapa.

* Perakuan tentang berlakunya mati otak hendaklah dilakukan oleh sekurang-kurangnya tiga doktor profesional (doktor Islam diutamakan).

* Sekiranya dengan kecanggihan rawatan perubatan (sains dan teknologi) boleh mengubat, maka suasana ini gugur.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 14/10/2010

Friday, October 1, 2010

Perlukah Memulangkan Wang Sumbangan Kerana Ia Hasil Judi ?

Oleh : Zaharuddin Abd Rahman

Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM

Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, kepercayaan warga emas tersebut adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang ( dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjankannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam ( Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225 ).

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia juga memfatwakan keharusannya pada tahun 2009. Buka teks fatwa di sini

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut :-

والملك الخبيث سبيله التصدق به, ولو صرف في حاجة نفسه جاز . ثم إن كان غنيا تصدق بمثله

Ertinya : Pemilikan kotor ( haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) ( Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. ( rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata:

وإذا دفعه - أي المال الحرام- إلى الفقير لا يكون حراماً على الفقير , بل يكون حلالا طيبا

Ertinya : sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir ( dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka. ( Al-Majmu' , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain :-

وقول القائل: لا نرضى لغيرنا ما لا نرضاه لأنفسنا فهو كذلك ولكنه علينا حرام لاستغنائنا عنه وللفقير حلال إذا حلّه دليل الشرع وإذا اقتضت المصلحة التحليل وجب التحليل

Ertinya : Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan. (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata :

إذن ما دام هو ليس مالكا له, جاز له أخذه والتصدق به على الفقراء والمساكين أو يتبرع به لمشروع خيري

Ertinya : Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). ( Fatawa Mu'asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL


Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda :

هذا سحت فتصدق به

Ertinya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN

• Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka bercampur antara wang halal dan haram.

• Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini. Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.

• Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.

• Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.

• Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.

Sumber : zaharuddin.net
Tarikh : 1/10/2010

Friday, September 17, 2010

Keutamaan zakat pendapatan

SOALAN:

Ada pihak yang mempertikaikan, bahawa zakat pendapatan tidak wujud pada zaman nabi dan ia tidak patut dilaksanakan. Namun dalam konteks semasa, zakat pendapatan merupakan penyumbang terbesar kepada kutipan keseluruhan zakat harta.

Maka, bolehkah dijelaskan relevannya zakat pendapatan ini dalam konteks keperluan semasa?

JAWAPAN:

Benar, zakat pendapatan hanya wujud selepas kewafatan nabi. Namun aspek teknikal zakat sentiasa berubah-ubah mengikut keperluan semasa dan selari dengan konsep pengembangan harta zakat (an-nama').

Harta pendapatan yang dimaksudkan merangkumi gaji, upah, bayaran profesional, royalti dan honorarium dan sebagainya. Kesemua ini termasuk ke dalam kategori harta mustafad, iaitu harta yang diperolehi melalui hasil pekerjaan.

Sebahagian ulama turut menyatakan harta yang bukan diperolehi melalui jalan pekerjaan seperti hadiah, hibah, pusaka, graduiti persaraan, wasiat, pencen, bayaran saguhati sebagai harta mustafad.

Adapun, harta yang diperolehi melalui jalan penyewaan dan pajakan, misalnya hasil sewaan rumah, pajakan tanah dan termasuklah sewaan permit, dikategorikan sebagai harta mustaghallat dan ia dimasukkan juga sebagai harta mustafad dan ia wajib dizakatkan.

Ulama bersetuju bahawa zakat harta pendapatan perlu ditunaikan demi kemaslahatan umat Islam. Hal ini memandangkan gaji atau upah daripada pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang itu mampu menjadikannya kaya.

Dr. Yusuf al-Qaradawi menggunakan hujah daripada al-Quran untuk mewajibkan zakat harta pendapatan. Misalnya firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang kamu keluarkan daripada hasil bumi. (al-Baqarah: 267)

Walaupun ayat ini tidak dianggap dalil khusus kepada perintah mengeluarkan zakat pendapatan, para ulama bersetuju bahawa ayat ini menjadi dalil kepada pelaksanaan zakat harta pendapatan dan harta-harta lain.

Hal ini selari dengan perintah Rasulullah SAW yang memerintahkan umat Islam bekerja supaya dapat menunaikan zakat. Sabda baginda: "Setiap Muslim wajib bersedekah". Sahabat bertanya, "Jika tidak dapat?" Nabi menjawab: "Bekerjalah dengan tangannya yang berguna bagi dirinya dan ia dapat bersedekah." (Riwayat Abu Musa

Menurut sebahagian ulama, zakat pendapatan sudah diamalkan sejak zaman para sahabat lagi. Hal ini dapat dilihat pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan yang mana beliau memerintahkan tenteranya mengisytiharkan harta pada setiap akhir tahun.

Sesiapa yang mempunyai lebihan harta hendaklah mengeluarkan zakat ke atas harta itu. Lebihan harta bermaksud harta yang sudah ditolak dengan keperluan wajib diri yang meliputi makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, rawatan dan pengangkutan.

Walaupun demikian, ada juga ulama berpandangan zakat pendapatan wajib dikeluarkan tanpa menolak perbelanjaan asas. Hal ini dikiaskan kepada zakat hasil pertanian yang mana zakat dikeluarkan tanpa dibuat sebarang tolakan.

Oleh hal yang demikian, pusat-pusat zakat di negara ini memberi kebebasan kepada pengeluar zakat sama ada mahu membuat tolakan atau tidak ke atas jumlah pendapatan yang hendak dizakatkan.

Sesuai dengan keanjalan hukum fikah, penerimaan hukum zakat pendapatan ini sebenarnya memberikan natijah yang sangat besar kepada umat Islam.

Ia juga sesuai dengan konsep pengembangan harta (an-nama') sebagaimana yang digagaskan oleh Saidina Umar bin al-Khattab r.a. ribuan tahun silam.

Hal ini mencerminkan sifat Islam sebagai agama yang meraikan keperluan dan perubahan zaman. Oleh itu, wajarlah umat Islam menghayati dan menerima zakat pendapatan ini sebagai kewajipan baharu yang tidak patut dikesampingkan, demi meraih keberkatan dalam pendapatan dan keberkatan dalam segenap aspek kehidupan. Wallahu a'lam.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 17/9/2010

Wednesday, July 21, 2010

Jerangkap Kad Kredit @ Nafsu Hutang

Oleh : Zaharuddin Abd Rahman

Jika sebelum ini saya telah pernah menulis berkenaan kredit kad dan beberapa persoalan berkaitan hukum Fiqh. Tulisan saya kali ini ingin cuba mendedahkan ulasan kredit kad jika dilihat dari sudut kira-kira untung dan rugi, atau dalam kata lainnya, dari sudut kewangan (monetary).

KONSEP KAD KREDIT

Tanpaperlu mengulas panjang lebar dan begitu ilmiah, saya akan mengulas berkaitankad kredit semudah yang mungkin bagi tatapan orang kebiasaan.

Jika dilihat definisi kad kredit, kita akan memahami ia adalah sekeping kad plastik yang diberikan oleh pengeluarnya sama ada bank atau Institusi Kewangan setelahd iyakini pemohon mempunyai kemampuan untuk membayar hutang-hutang yang bakal dibuat melalui penggunaan kad tersebut. Melalui kad tersebut, pemilik kad boleh berbelanja sehingga tahap kredit bulanan (monthlycredit limit) yang dibenarkan.

Hubungan di antara pengguna dan pengeluar kad adalah hutang. Pihak pengeluar akan membayar jumlah pembelian yang dibuat kepada penjual (peniaga). Kemudian, sebagai balasan, pihak peniaga perlu membayar kepada pengeluar kad sebanyak 1 hingga 3 % dari jumlah barang yang dibeli sebagai komisyen, manakala pengguna pula perlu membayar semula hutang tadi beserta caj riba yang mahal, iaitu17.5 % setiap tahun.

"Kredit kad adalah sama seperti Ah Long (Loan Shark)" Itulah yang dikatakan oleh Dr. Elizabeth Warren, Professor Undang-undang yang pakar di dalam bidang kewangan di Havard University, USA.

Bezanya,ia diatur secara lebih tersusun dan professional, tidak seperti Ah Long yang beroperasi secara gelap dan berbau jenayah. Namun hakikatnya, kedua-duanya adalah sama dari sudut caj dan kezalimannya.

KAD KREDIT ADALAH KAD NAFSU


Darisudut objektif, kad ini boleh dikatakan amat tidak menepati kehendak Islamkerana :-

1) Menggalakkan Leverage Melampau (menggandakankemampuan pembelian melalui hutang)

Kewujudan kad kredit hanya menggalakkan pengguna untuk berbelanja melebihi kemampuan kewangan bulanannya. Manakan tidak, saya masih ingat seorang rakan saya yang berpendapatan sekadar RM 4,000 sebulan, dengan tanggungan rumah, keluarga dan kereta setiap bulan, masih diluluskan oleh bank untuk menerima kad kredit dengan had penggunaan (credit limit) sebanyak RM 8,000 sebulan. Sebagaimana disebutkan oleh Professor Elizabeth juga, pengeluar kad juga biasanya mensasarkan golongan pertengahan (middle class) yang berpotensi besar untuk menangguh bayaran serta tidak berkemampuan membayar penuh setiap bulan.

Hari ini, individu yang berpendapatan RM 2,500 sudah layak memilik sekeping kad kredit. Kredit limitnya sudah pasti melebih jumlah pemdapatan bulanannya. Belum lagi ditolak lain-lain beban kewangan bulanannya.

Kad ini juga boleh dianggap sebagai sekeping kad plastik ‘untuk melayan nafsu berbelanja secara tidak terkawal.', Ini kerana ia tentunya merangsang nafsu berbelanja ramai pemiliknya, pada awalnya mungkin mereka mampu mengawal perbelanjaan namun lama-kelamaan mereka tewas dalam mengawal nafsu membeli belah dan menangguh bayaran.

Kad kredit ini tidak ubah seumpama sebuah perangkap dan jerangkap samar yang hanyamenunggu sedikit kelalaian pengguna, tatkala itu kesakitan yang akan ditinggalkannya adalah pedih dan amat sukar diubati.

2) Kad yang sengaja menggalakanpemilik melewatkan bayaran ;

Kad ini juga sememangnya direka cipta untuk memerangkap pengguna. Saya mengatakan demikian kerana, kerangka asas kad ini adalah pengguna HANYA diminta untuk membuat bayaran bulanan hanya 3-5 % dari jumlah penggunaan bulannnya. Jika semua jumlah yang digunakan dilangsaikan sebelum tempoh ‘grace period' (biasanya 20 hari), pengguna tidak akan dikenakan sebarang caj. Sebarang tangguhan bayaran melebihi 20 hari, caj interest RIBA yang tinggi akan dikenakan.

Di Malaysia cajnya hasil peraturan yang dikenakan oleh bank Negara Malaysia, caj interest kad kredit di Negara ini seperti berikut :-

TIER : No. of prompt payment in the past 12 months (Interest Rate)
Tier 1 : 12 consecutive months (13.5%)
Tier 2 : at least 10 (16%)
Tier 3 : Others (17.5%)

Keterangannya

Tier-1 : Caj tahunan yang dikenakan bagi pemegang kad yang secara konsisten melangsaikan bayaran minimum secara berturut-turut selama 12 bulan yang sebelumnya dalam tempoh dibenarkan.

Tier-2 : Caj interest tahunan yang dikenakan bagi pemegang kad yang melangsaikan bayaran minimum selama 10 bulan dalam setahun,

Tier-3 : Caj yang dikenakan bagi semua pemeganga yang tidak menepati dua ciri di atas.

Boleh difahami dari jadual di atas, bagi mereka yang gagal melangsaikan bayaran minimum secara konsisten akan menderita dengan kadar riba yang lebih tinggi berbanding mereka yang konsisten membayar. Pun begitu, kadar caj interest terendah bagi bank-bank pengeluar kad di Malaysia adalah 13.5 % dan tertinggi adalah 17.5 %. Itu adalah setelah peraturan baru yang dikeluarkan oleh bank Negara Malaysia. Perlu disedari caj tersebut amat lah tinggi dan tersangat merugikan.

Pembaca boleh melihat sendiri bagaimana caj yang dikenakan oleh HSBC bank di link INI.

Manakala Standard Chartered Bank seperti berikut PULA

Perlu difahami, jumlah yang dituntut bayar setiap bulan oleh pihak bank biasanya hanya 5 peratus dari jumlah penggunaan bulanan, manakala jumlah interest sebanyak 1.46 peratus setiap bulan (atau 17.5 % tahunan) itu akan dikenakan kepada semua pokok hutang atau jumlah tertunggak.

Sekarang cuba bayangkan, ruginya mereka yang membeli belah dengan menggunakan kad kredit dan kemudian membiarkan caj berbelas peratus itu dikenakan ke atas mereka. Jika pengguna faham dan sedar, bermakna setiap pembelian pengguna akan lebih mahal berbanding pembayaran yang dibuat secara tunai atau menggunakan debit kad.

CONTOH KIRAAN MUDAH

Sekali lagi, ini bermakna, pembeli yang membeli menggunakan kad kredit membayar secara purata adalah 17.5 % tahunan (iaitu sama dengan 1.46 peratus bulanan) berbanding pembeli secara tunai.

Sebagai contoh kiraan mudah faham, katalah Ah Chong berbelanja menggunakan kad kredit sebanyak RM 10,000 (nilai pokok pinjaman) pada bulan Januari, dia perlu membayar semula jumlah tersebutditambah 1.46 peratus setiap bulan iaitu RM 146. Memang benar, ia kelihatan kecil, tetapi cuba fahamkan bahawa jumlah tersebut bersifat compounding atau akan masuk di dalam jumlah pokok.

Katalah Ah Chong tidak membayar jumlah minima wajib 5 % setiap bulan. Maka akibatnya pada bulan Januari, jumlah pokok yang perlu dibayar meningkat kepada RM 10,146.

Pada bulan Februari, jika jumlah tersebut dibiarkan, lagi 1.46 peratus dikenakan dari jumlah baki terkumpul yang baru iaitu 1.46 peratus x RM 10,146 = RM 148.13.

Pada bulan Mac, jumlah pokok terkumpul sudah berubah menjadi RM 10,146 + RM 148.13 = RM 10,294.13.

Begitulah kiraan dipermudah bagi caj interest bulanan sehinggalah semua jumlah tertunggak itu diselesaikan. Akibat dari cara kiraan sebegini sekitar 30 peratus pemilik kad kredit jatuh muflis, kebanyakkannya dari kalangan eksekutif muda yang tidak dapat mengawal runtunan nafsu berbelanja dan kurang displin dalam membayar hutang.

Menurut statistik yang diperolehi oleh BNM, jumlah hutang kad kredit ini bertambah 20 peratus pada setiap tahun.Dengan kadar faedah 1.5 peratus sebulan. Bank-bank Malaysia dengan mudah mendapat keuntungan faedah berjumlah RM159 juta setiap tahun tidak termasuk caj-caj untuk perkhidmatan lain seperti caj pengeluaran tunai (5%) dan caj lambat bayar (RM5). Mujurlah di Malaysia, BNM menghadkan caj interset maksimum kepada 17.5 % setahun sahaja, bayangkan di Negara lain seperti Amerika, caj tersebut boleh meningkat kepada 40 %, malah pihak bank di sana sentiasa mendesak kerajaan agar menghapuskan kadar maksimum interest bagi kad kredit.

Bayangkah betapa ruginya menggunakan kad kredit dari sudut kiraan duit, lebih mendukacitakan, mereka juga dikira terjebak dengan dosa riba yang maha besar setiap kali penggunaannya. Sudahlah rugi dari perspektif kewangan, rugi juga dari sudut spiritual.

Kerana itu, saya tidak sama sekali menggunakan kad kredit. Sehingga hari ini, saya tidak memilik satu pun kad kredit walaupun ia kad kredit yang diolah secara Islam. Cukuplah memadai dengan kad caj Islam dan kad debit Islam saya gunakan bagi segala macam urusan.

TIADALAGI 20 HARI GRACE PERIOD TANPA RIBA

Kalau dahulu, pihak pengeluar kad memberikan tempoh 20 hari setiap bulan sebagaitempoh NO CAJ NO INTEREST jika dibayar jumlah minimum 5 peratus. Namun bermulahujung tahun 2008, Bank Negara Malaysia telah memansukhkan undang-undang terbabit bagi merendahkan kadar interest yang lain. Justeru kini, hanya mereka yang membuat full repayment sebelum tamat tempoh 20 hari itu sahaja yang terkecuali dari caj interest dalam jadual di atas. Yang lain tidak lagi terselamat sebagaimana dahulu. Baca di SINI

CAJ LAIN

Selain dari caj-caj utama yang disebutkan di atas, caj lain juga adakalanya perlu disemak sebaiknya. antara caj yang dikenakan oleh pengeluar kad kredit adalah :-

• Caj kelewatan pembayaran iaitu 1 % dari jumlah tertunggak atau maksimum RM 100.

• Yuran tahunan, namun sebahagian pengeluar kad menyerap kos ini bagi menjadikan kad mereka lebih menarik.

• Caj bagi pembelian antarabangsa samada jika pengguna membeli di luar Negara atau membeli barangan luar Negara melalui internet. HSBC dan Maybank mengenakan caj sebanyak 1.25 % dari nilai harga belian luar negara terbabit.

• Caj 5 % apabila membuat belian terlebih dari had kredit yang dibenarkan. Di Amerika Syarikat, difahamkan ada pihak pengeluar sengaja merendahkan jumlah had kredit tanpa memaklumkan kepada pelanggan dengan niat sengaja memerangkap pelanggan dengan caj ini. Di Malaysia saya tidak pasti, namun ada baiknya pembaca menyemak sendiri dengan pengeluar kad masing-masing. Ia dipanggil overlimit fees. HSBC mengenakan kos caj sebanyak RM 25 sebulan.

• Sebahagian pengeluar mengenakan cash advances fees. HSBC mengenakan caj sebanyak 5 % dari jumlah tunai yang dikeluarkan atau RM 5 minimum.

• Selain cash advance fee, cash advances itu sendiri dikenakan caj yang tersendiri iaitu 18 % dari jumlah yang dikeluarkan, itu adalah caj yang dikenakan oleh HSBC sebagai contoh.

KESIMPULAN


Demikian sifat sekeping kad kredit yang sering dibanggai oleh pemiliknya bagi menunjuk kemewahan diri namun hakikatnya ia hanya sekeping 'kad hutang' yang menunjukkan potensi diri pemiliknya untuk jatuh muflis, atau menunjukkan pemiliknya yang lebih suka membayar sesuatu dengan harga yang lebih mahal, suka berhutang, cenderung berbelanja melebihi pendapatan.

Itulah juga kad kredit, sekeping kad yang disediakan untuk melayan kebuasan nafsu membeli dan berhutang manusia dan mengambil kesempatan atas kelemahan itu. Diberinya kemudahan membeli sehingga melebih kemampuan pendapatan, malangnya dikenakan caj yang tinggi, adakalanya kurang difahami cara kiraannya oleh pengguna itu sendiri, lalu bertambahlah malang.

Akhirnya, saya nasihatkan hentikanlah penggunaan kad kredit dan berpindahlah kepada Kad Caj Islam dan Debit kad Islam sahaja.

Hapuskanlah kad kredit anda, khususnya apabila ia sekeping kad kredit dari bank konvensional kerana ia adalah riba menurut fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa.

Walau hutang diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh 20 hari yang diberi, riba tetap mengenai pengguna, ia adalah kerana setiap penggunaan menyebabkan peniaga perlu membayar komisyen 1-3 peratus kepada pengeluar kad. Hasilya, setiap penggunaan kad kredit konvensional dianggap bantuan dan sokongan secara langsung kepada industri kad nafsu berteraskan riba. Insafilah dan beringatlah sebelum terlambat. Moga kita diberikan kekuatan untuk bertindak dan memotong kad-kad kredit kita.

Sumber : zaharuddin.net
Tarikh : 21/7/2010

Monday, March 22, 2010

Rezeki, Berkat & Apa Pula Untukmu ?

Oleh : Zaharuddin Abd Rahman

Telah banyak kali rasanya disebutkan oleh ribuan malah jutaan ilmuan Islam di seluruh dunia, bahawa menderma dan bersedeqah itu menambahkan rezeki dan bukan mengurangkannya.

Namun sudah tentu akan tetap wujud individu yang masih belum mampu memperolehi keyakinan bahawa rezekinya akan bertambah apabila menghulurkan sejumlah wang yang diusahakan dengan penat lelah itu.

Ini berlaku biasanya, disebabkan oleh minda individu terbabit yang mengecilkan skop rezeki hanya kepada penilaian naik turun harta dan wang di hadapan mata. Akibat dari itu, apa yang berkurang akan dirasa sentiasa menurun. Perasaan itu terus menerus mengunci dirinya untuk bersedeqah dan menyumbang, malah lebih serius apabila ada sebahagiannya menahan diri dari berbelanja untuk diri dan keluarganya.

MAKSUD REZEKI DALAM ISLAM

Bagaimana sebenarnya maksud rezeki di dalam Islam?

Rezeki di dalam Islam bukan hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta'ala dan Rasulullah terlalu amat luas meliputi rezeki yang rencam. Hakikatnya orang yang ‘memberi' dan menyumbang akan memperolehi pulangan dari Allah dalam bentuk yang amat pelbagai, juga mencakupi material dan spiritual.

Namun sebelum itu, perlu difahami, sebagaimana rezeki yang tidak boleh dikecilkan skopnya hanya kepada harta, begitu juga ‘pemberian' dan ‘sumbangan' yang juga tidak terhad kepada wang dan harta. Ia sangat nyata sebagaimana yang pernah saya tuliskan petikan hadis Nabi Muhammad dalam artikel saya sebelum ini . Bahawa mengajak orang kepada kebaikan dan melarangnya dari kemungkaran adalah sebuah pemberian berharga, membantu mereka yang melakukan kerja yang baik itu pemberian, dan menahan diri dari melakukan maksiat itu sendiri merupakan sebuah pemberian amat bermakna.

Apa yang jelas, semua jenis ‘pemberian' dan ‘sumbangan' itu adalah amalan kebajikan apabila ia menepati dua syarat yang paling minima iaitu :-

1) Ikhlas kerana Allah
2) Ia berupa sumbangan ke arah kebaikan berdasarkan penilaian hukum Islam.

Justeru, apa sahaja yang disumbangkan, sama ada idea, ilmu, teguran, nasihat, tenaga untuk kerja, masa, perasaan, emosi dan sebagainya untuk membawa kebaikan untuk Islam, ia adalah sumber terbukanya rezeki di sisi Islam. Ia juga merupakan sumber kewujudan unsur ‘berkat' di dalam kehidupan dan harta.

APA ITU BERKAT ?


Setinggi-tinggi darjat insan soleh, dia mampu mengekang dirinya di ketika menyumbang dari terpengaruh oleh fikiran atau bisikan seperti, "apa balasannya di dunia"?.

Apa yang akan menjadi dorongan dan motivasi utama hanyalah apa yang bakal diperolehi di akhirat. Bukan ganjaran di dunia yag difikirkan. Apa yang diinginkan untuk dunianya hanyalah memperolehi rezeki yang BARAKAH atau berkat.

Menurut para ulama ‘barakah' atau berkat itu adalah :-

هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثرته، وإذا حلت في كثير نفع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز وجل.

Ertinya : iaitu kepastian kebaikan disisi Ilahi pada sesuatu perkara, yang mana apabila ia jatuh kepada perkara yang sedikit ia akan menambah banyakkan ia, dan apabila ia jatuh kepada yang banyak, ia akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila ia digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah azza wa jalla.

Walaupun begitu, tidak ramai manusia yang mampu mencapai darjat tersebut, dan masih ramai individu soleh yang melakukan kebaikan, namun masih sering terfikir-fikir tentang ganjaran buatnya untuk dinikmati di dunia ini lagi.

WHAT YOU GET BACK?

Hasilnya, ramai yang bertanya berkenaan ‘what will you get back?'

Bagi membuka minda kita semua akan bentuk-bentuk balasan yang mampu diperoleh hasil dari segala sumbangan kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. Secara ringkas, saya bahagikan ganjaran yang boleh diperolehi sejak dari alam dunia ini lagi, semua ganjaran-ganjaran ini mempunyai dalil dan athar yang tersendiri, namun bagi mengelakkan terlalu panjang, saya tidak menyertakan semua dalilnya. Balasan tersebut adalah seperti berikut :-

a. Keberkatan dalam kehidupan berkeluarga

• Rumahtangga kita didamaikan oleh Allah dari sebarang pergaduhan besar yang meruntuh kepercayaan dan kebahagian si suami, isteri dan anak.

• Hati dan fikiran dikurniakan ketenangan yang akhirnya memberikan kesan positif kepada produktiviti kita di tempat kerja dan tugas, lalu mendapat kenaikan gaji dan pangkat.

b. Kesihatan

• Allah selamatkan kita dan keluarga dari penyakit.

Nabi bersabda :

صنائع المعروف تقي مصارع السوء والآفات والهلكات

Ertinya : Perlakuan perkara kebaikan mampu menghalang dari terjerumus dalam keburukan, kecatatan dan kebinasaan. (At-Tabrani, Al-Haitahami : sanadnya Hasan)

• Kita diselamatkan dari kemalangan dan bencana seperti di jalanraya, di dalam rumah, luar rumah, di tempat kerja dan sebagainya. Namun perlu diingat, ADA JUGA TERDAPAT HARTA YANG BERKAT TETAPI DITIMPA MUSIBAH DAN BENCANA, namun tanda berkatnya ia adalah bencana dan musibah itu membawanya lebih hampir kepada Allah dan bukan semakin jauh. Itulah fungsi keberkatan harta itu, ia hilang dan ditimpa musibah sebagai asbab untuk kebaikan tuan miliknya.JUSTERU, bukan tugas kita untuk menuduh harat si polan itu berkat atau tidak berkat setiap kali ditimpa musibah kerana kita TIDAK TAHU HAKIKAT SEBENARNYA.

• Dikurniakan zuriat yang sihat dan jika sakit sekalipun, ia tidak seteruk mereka yang lebih parah sakitnya.

c. Harta

• Dihindar dari mendapat kerjaya yang haram dan terselamat dari sebarang jawatan atau kenaikan pangkat yang memudaratkan masa hadapan. Perlu diingat bukan semua kenaikan pangkat itu baik untuk hati dan jiwa manusia, ada sebahagian besar jawatan yang menghancur dan mengubah habis jiwa kebaikan dalam diri seseorang kepada jiwa penerima rasuah, tamak, rakus kuasa dan sebagainya.

• Direndahkan minat dan nafsu kepada harta dan pendapatan haram serta diberi kekuatan untuk istiqamah dalam yang halal. Inilah yang boleh digelar sebagai salah satu dari cabang ‘zuhud', iaitu kebebasan jiwa dan hati dari keterikatan dengan harta dunia. Jika diperolehi, syukur dipanjatkan, jika ia hilang dan pergi tidaklah terlalu ditangisi.

• Diberikan rasa cukup dan selesa dengan pendapatan yang diperolehi kini walau zahirnya kelihatan kurang mencukupi. Inilah dinamakan oleh ulama tasauf sebagai Qana'ah iaitu berasa cukup dengan apa yang telah ada, tetapi tidak henti untuk terus menerus memperbaiki diri dan kerja.

• Kenderaan yang digunakannya jauh lebih baik dari kenderaan yang jauh lebih mahal darinya. Begitu juga harta-hartanya yang lain seperti rumah dan lokasinya, diberi rezeki oleh Allah untuk berada di persekitaran yang baik, berjiran dengan mereka yang tidak menimbulkan banyak masalah.

• Sumber pendapatan tambahan boleh datang secara tanpa disangka-sangka. Ia tidak semestinya dalam masa terdekat, ia mungkin berlaku 10 atau 20 tahun akan datang. Ini termasuklah di dalam tawaran Allah yang disebut di dalam durah at-Talaq, yang dinamakan oleh ramai sebagai ayat seribu dinar :

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Ertinya : Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. ( At-Talaq : 2-3)

Namun perlu diperhati sejelas-jelasnya, ayat di atas mensyaratkan seseorang untuk menjadi ‘BERTAQWA' sebagai jalan dibuka jalan kemudahan dan kebaikan dari pelbagai sumber tidak dijangka. Tidaklah sama sekali tepat pandangan ramai yang mengaitkan ‘gantung' ayat tersebut di rumah dan kedai sebagai cara meningkatkan rezeki dan pendapatan, tanpa bersifat taqwa di dalam kerjaya, perniagaan dan tugasan. Sedangkan hakikatnya, taqwa itulah kuncinya, bukan dengan menggantung ayat tersebut dan sebagainya.

Ibn Abbas menegaskan maksud jalan keluar di atas sebagai jalan keluar dari perkara syubhat di dunia, jalan keluar untuk menghadapi kematian, dan kesukaran di hari kiamat. (Tafsir Al-Qurtubi)

d. Sekeliling yang baik

• Dipermudah oleh Allah untuk berada di tempat dan persekitaran yang baik dan tidak merbahaya untuk diri dan keluarga.

• Kewujudannya menjadi pelopor kepada kebaikan mereka yang disekitarnya, penyekat kepada kemaksiatan. Ia bertepatan dengan sebuah sabdaan Nabi:

إن من الناس مفاتيح للخير مغاليق للشر وإن من الناس مفاتيح للشر مغاليق للخير فطوبى لمن جعل الله مفاتيح الخير على يديه وويل لمن جعل الله مفاتيح الشر على يديه

Ertinya : Dari kalangan manusia ada yang menjadi kunci kebaikan dan penutup serta penghalang kepada kejahatan. Dan ada pula yang menjadi kunci kejahatan dan penutup kebaikan, bergembiralah bagi sesiapa yang dijadikan oleh Allah sebagai kunci kebaikan di tangannya, dan celakalah mereka yang kunci kejahatan di tangannya ( Riwayat Ibn Majah : Sohih )

KESIMPULAN

MashaAllah, terlalu banyak cara dan kaedah untuk Allah membalas baik sangka hambaNya dan amalan kebaikan hambaNya. Sama ada di dunia atau akhirat.

Lalu apa yang menjadi penghalang kini hanyalah ‘hati' masing-masing.

Jika hati itu masih belum mampu menyakini maha Pemurahnya Allah ta'ala.

Masih belum boleh menyakini Allah akan membalasnya.

Masih belum yakin wujudnya Allah dan ganjaran kebaikan-Nya.

Selagi itu, seseorang itu akan sentiasa dihambat pelbagai perasaan tamak, kedekut dan malas ketika ingin memberi.

Jalan awal penyakit tersebut adalah ‘malas' dan dikuti berterusan melakukan dosa dan berasa jalan ‘dosa' itu adalah cara pendapatan yang terbaik baginya.

Saya teringat, tatkala saya mengingatkan orang ramai perihal pelaburan haram, skim haram, skim cepat kaya, money game, skim piramid wang, MLM yang haram dan sebagainya, lalu berteriaklah beberapa orang yang tidak berpuas hati seraya berkata :

"Kami orang susah, ustaz bolehlah kata itu dan ini...cuba ustaz duduk di tempat kami selaku individu yang kurang berpendidikan, kerja berat tapi gaji sedikit. Itulah sahaja cara yang mudah untuk kami menambah pendapatan"

Individu seperti ini tidak sama sekali sedar, keterlibatannya dalam perkara haram HANYA AKAN LEBIH MENAMBAH JAUHNYA DIA DARI SEBARANG REZEKI HARTA DAN KETENANGAN. Nabi pernah bersabda :

لا يزيد في العمر إلا البرولا يرد القدر إلا بالدعاء وإن الرجل ليحرم الرزق للخطيئة يعملها

Ertinya : Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan[1], dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu'allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu DITAHAN REZEKINYA disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya" ( Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan)

Justeru, jangan jadikan posisi kesukaran diri di waktu ini sebagai excuse untuk melibatkan diri dalam perkara yang haram, kerana ia sama sekali bukan jalan keluar tetapi ia jalan buntu dan hanya akan melebarkan bencana terhadap diri dan keluarga.

Imam Ibn Kathir pernah mengulas bahawa apabila manusia melupakan soal dosa pahala dalam harta dan kehidupan mereka maka

وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

Ertinya : Tetapi mereka telah mendustakan ( tidak patuh kepada hukum Islam), maka kami rampas dari mereka apa-apa yang telah mereka usahakan (Al-A'raf : 96 )

PERKEMBANGAN POTENSI, JANGAN ASYIK MEMBUAT ‘EXCUSE'

Apa yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan duit simpanannya untuk mempelajari ilmu yang boleh digunakan untuk memperkembang potensi diri, bukan dengan menceburi skim-skim haram itu. Dan kemudian mengemukan alas an serta excuses yang pelbagai. Lihat ulama tabi'en berkata :

من طلب العلم تكفل الله برزقه

Ertinya : Barangsiapa yang menuntut ilmu Allah seolah telah menjamin rezekinya ( Kanzul Ummal, 10/139)

Ilmu itulah yang akan menerangkan kita jalan untuk bekerja dengan sebaik mungkin, dalam keadaan halal dan seterusnya membuka lebih banyak pintu rezeki. Semua ini perlu dilakukan tanpa malas. Atas dasar itu Nabi mengingatkan :-

لو أنكم توكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصاً وتروح بطاناً

Ertinya : Kalau kamu benar-benar bertawakkal kepada Allah, nescaya akan diberikan rezeki kepadamu sebagaimana diberikan rezeki kepada burung-burung, yang keluar dengan perut lapar di pagi hari, pulang dalam keadaan kenyang.

Para ulama menyebut dengan jelas lagi terang, maksud tawakkal dalam hadis di atas merujuk kepada usaha, ilmu dan bersungguh dan sesudah itu bersangka baik kepada Allah.

Sesiapa yang bersangka baik kepada Allah, Allah akan menunaikan sangkaan baiknya. Begitu juga sebaliknya.

Akhir sekali, Nabi menasihatkan seorang sahabat yang agak kerap memohon bantuan harta dari Nabi s.a.w:-

يا حكيم إنّ هذا المال خضرة حلوة فمن أخذه بسخاوة نفس بورك له فيه، ومن أخذه بإشراف نفس لم يبارك له فيه، كالذي يأكل ولا يشبع

Ertinya : Wahai Hakim, sesungguhnya harta merupakan seperti buahan yang subur, manis lagi disukai, barangsiapa yang mengambilnya dengan jiwa yang zuhud (dan tidak meminta-minta) nescaya akan diberkati baginya pada harta itu, barangsiapa mengambilnya dengan tinggi diri (serta tamak) tiada berkat di dalamnya, sebagaimana orang yang makan tetapi tidak kenyang" (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sumber : Zaharuddin Abd Rahman
Tarikh : 22/3/2010

Friday, November 20, 2009

Berhati-hati mohon sumbangan

Soalan:

ADAKAH kita dibolehkan menerima dan memohon sumbangan ikhlas daripada orang perseorangan atau syarikat-syarikat yang selalu berurusan contohnya dalam urusan perbankan dan saham amanah?

Hadiah tersebut adalah dalam bentuk hamper dan orang perseorangan yang diterima dalam bentuk wang tunai secara sumbangan ikhlas.

Jawapan:

Islam menggalakkan umatnya untuk menderma atau menghulurkan sumbangan kerana ia memberi kesan positif dalam sebuah kehidupan bermasyarakat.

Perlakuan yang berlaku antara dua pihak iaitu golongan yang memohon atau menerima sumbangan dengan penyumbang sumbangan akan memupuk kesatuan, perasaan saling bantu-membantu dan wujudnya tautan kasih-sayang dan mahabbah sesama mereka.

Firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan... (al-Maidah: 2)

Pelbagai faktor yang mendorong seseorang mencari bantuan atau sumbangan. Faktor-faktor tersebut ada yang bersifat tetap dan ada pula yang bersifat mendadak atau tidak diduga. Contohnya:

1) Faktor ketidakupayaan, kefakiran, dan kemiskinan yang dialami oleh orang-orang yang mengalami kesulitan untuk memenuhi keperluan keluarga seharian.

Mereka memang tidak mempunyai gaji tetap atau sumber-sumber kehidupan yang lain. Mereka sendiri tidak memiliki keterampilan atau keahlian khusus yang dapat mereka manfaatkan untuk menghasilkan wang. Seumpama mereka ialah anak-anak yatim, golongan kurang upaya yang tidak mampu berkerja.

2) Faktor kegawatan ekonomi dihadapi oleh golongan yang mengalami kerugian harta cukup besar.

Contohnya seperti para pengusaha yang muflis. Mereka memerlukan bantuan kerana sedang mengalami kesulitan ekonomi secara mendadak sehingga tidak mampu membiaya keluarganya.

3) Faktor musibah yang menimpa suatu keluarga atau masyarakat seperti kebakaran, banjir, gempa bumi, penyakit menular mengakibatkan mereka terpaksa memohon bantuan atau sumbangan.

4). Faktor-faktor yang tidak disangka-sangka seperti golongan yang secara mendadak harus menanggung hutang kepada berbagai pihak tanpa sanggup membayarnya, menanggung anak yatim dan seumpamanya.

Pada prinsipnya, Islam menggalakkan umatnya mendapatkan sesuatu dari sumber yang bersih dan jauh dari sumber syubhat. Nabi SAW juga menganjurkan kita untuk berusaha dan mencari sumbangan dalam apa saja bentuknya, selama ia halal dan baik, tidak ada syubhat, tidak ada keharaman dan tidak dengan meminta-minta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak sekali-kali menerima kecuali suatu yang baik sahaja. (riwayat Ahmad, Muslim dan al-Tirmidzi)

Sebagai umat Islam, kita juga disunnahkan untuk ta'affuf (memelihara diri daripada meminta-minta). Hal ini sebagaimana yang firman Allah yang bermaksud: (Apa yang kamu infakkan adalah) untuk orang-orang fakir yang terhalang (usahanya kerana jihad) di jalan Allah sehingga dia tidak dapat berusaha di bumi; (orang lain) yang tidak tahu, menyangka bahwa mereka adalah orang-orang kaya kerana mereka menjaga diri (dari minta-minta). Engkau (Muhammad) mengenal mereka dari ciri-cirinya, mereka tidak minta secara paksa kepada orang lain. Apa pun harta yang baik yang kamu infakkan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 273).

Rasulullah SAW sangat menggalakkan sikap suka memberi, sama ada atas nama sedekah, hadiah, sumbangan, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan.

Hal ini disebutkan dalam sabda baginda yang bermaksud, Nabi SAW suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya, lalu baginda bersembahyang dua rakaat. Dan baginda tidak pernah melakukan sembahyang (hari raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya untuk disedekahkan. (riwayat Al-Bukhari)

Kesimpulannya boleh memohon dan menerima sumbangan berbentuk wang tunai daripada individu perseorangan atau sesiapa sahaja yang tidak mempunyai kepentingan peribadi.

Begitu juga boleh memohon dan menerima sumbangan daripada syarikat atau agensi dengan syarat bentuk sumbangan yang dimohon atau diterima itu selamat dari unsur haram dan tidak menimbulkan fitnah (orang lain menganggap ia rasuah).

Golongan yang menyumbang dengan rela hati memberi sumbangan tersebut dan golongan yang memohon dan menerima sumbangan berbesar hati dan bersyukur.

Dinasihatkan agar pihak mengelakkan diri daripada memohon sumbangan dari individu perseorangan dan syarikat-syarikat yang berkepentingan di sebalik sumbangan itu yang diberikan.

Jika sumbangan yang diterima tersebut akan merosakkan syiar Islam, mengakibatkan keburukan semakin bertambah, rasuah berleluasa maka diharamkan untuk memohon apatah lagi menerimanya.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 20/11/2009

Wednesday, September 30, 2009

Pelaksanaan hibah dalam konteks operasi Takaful

Oleh : WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

HIBAH secara asasnya bermaksud pemberian, sedekah atau hadiah melibatkan akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh pemilik harta kepada seseorang secara suka rela semasa hayatnya atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan balasan ('iwad).

Hibah adalah diharuskan sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 177 surah al-Baqarah.

Selain itu, terdapat hadis berkaitan urusan hibah ini. Sabda Rasulullah SAW: Berilah hadiah, kamu akan berkasih sayang. (riwayat al-Bukhari)

Pun begitu, apabila seseorang telah menghibahkan hartanya kepada individu yang lain, dia tidak boleh menarik semula atau membatalkan hibah tersebut kecuali dalam situasi seorang bapa menghibahkan harta kepada anaknya atau datuk kepada cucunya.

Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang mengambil balik hibahnya seperti orang yang menjilat kembali muntahnya". (riwayat Al-Nasa'i)

Sabda Baginda SAW lagi: "Seseorang tidak boleh meminta balik hibahnya melainkan hibah bapa terhadap anaknya". (riwayat Al-Nasa'i)

Setiap kontrak dalam Islam mempunyai rukun-rukun dan syarat-syarat yang mesti dipatuhi, begitu juga dengan hibah.

Akad hibah tidak akan wujud melainkan setelah rukun-rukun dan syarat-syaratnya dipenuhi.

Rukun-rukun bagi hibah ialah pemberi hibah (al-wahib), penerima hibah (al-mauhub lahu), benda yang dihibahkan (al-mauhub) dan sighah (penawaran dan penerimaan atau ijab dan qabul).

Syarat-syarat sah pemberi ialah pemberi merupakan pemilik yang sah ke atas harta yang ingin dihibahkan, tidak dihalang oleh sesuatu perkara.

Pemberi juga merupakan seorang yang telah baligh dan hibah atau pemberian yang dibuat perlulah dibuat secara suka rela dan tanpa paksaan. Jika pemberi dipaksa untuk menghibah atau menghadiahkan hartanya kepada orang lain, secara automatik hibah tersebut adalah terbatal.

Selain itu, syarat-syarat penerima pula ialah penerima perlu wujud semasa proses hibah atau kontrak dijalankan. Syarat-syarat bagi barang yang ingin dihibahkan ialah ia mesti wujud semasa berlakunya akad hibah, halal, mempunyai nilai dan dimiliki oleh pemberi hibah.

Penerima hibah tidak boleh menghibahkan barang yang menjadi milik orang lain. Contohnya; Ali menghibahkan pen Ahmad kepada Abu. Hibah tersebut adalah tidak sah kerana pen tersebut adalah dimiliki oleh Ahmad dan bukan kepunyaan Ali.

Apabila sesuatu akad hibah memenuhi rukun-rukun dan syarat-syaratnya serta berlaku penyerahan dan pemberian barang itu (al-qabd), maka harta itu menjadi milik si penerima hibah. Jika al-qabd tidak berlaku, maka akad hibah tidak sah dan pemberi hibah berhak menarik balik hibah itu selama mana harta masih berada dalam miliknya.

Hibah diadaptasi sebagai konsep tambahan kepada produk-produk Takaful dan diamalkan oleh kebanyakan pengendali takaful seperti produk Pelan Pendidikan oleh Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

Pembayar sumbangan

Produk ini hanya ditawarkan kepada ibu bapa yang mempunyai anak di mana ibu atau bapa akan bertindak sebagai pembayar sumbangan (pemberi hibah) dan anaknya merupakan peserta takaful (penerima hibah). Hibah seperti ini diharuskan kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.

Selain itu, pengendali Takaful melalui pengurusan Tabung Tabarruk akan menghibahkan sesuatu kepada peserta sebagai ganjaran di atas kejayaan tertentu yang dicapai oleh peserta. Hibah jenis ini juga jelas dan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.

Berkaitan hibah manfaat Takaful kepada penama yang dinamakan di dalam borang penerima manfaat, para ilmuwan berselisih pendapat berkaitan beberapa isu yang ditimbulkan daripada amalan ini.

Antaranya adalah hibah seharusnya dilakukan semasa hidup, akan tetapi hibah manfaat Takaful akan hanya berkuatkuasa setelah peserta Takaful meninggal dunia.

Status manfaat Takaful juga masih dipertikaikan sama ada ia adalah harta si mati atau tidak. Jika ia adalah harta, adakah ia perlu dibahagi-bahagikan kepada ahli waris mengikut hukum faraid atau hibah yang dibuat itu sudah memadai untuk dilaksanakan.

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya yang ke 34 bertarikh 21 April 2003 / 19 Safar 1424, telah membuat keputusan mengenai aplikasi konsep hibah bagi pembahagian manfaat Takaful:

1. Manfaat Takaful boleh dihibahkan kerana ia merupakan hak para peserta. Justeru, para peserta mesti dibenarkan untuk melaksanakan hak-hak mereka berdasarkan pilihan mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariah;

2. Status hibah yang digunakan dalam pelan takaful tidak akan berubah menjadi wasiat, kerana jenis hibah yang digunakan ialah hibah bersyarat di mana hibah yang dibuat ialah tawaran kepada penerima untuk tempoh masa yang tertentu.

Dalam konteks Takaful, manfaat Takaful dikaitkan dengan kematian peserta dan tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup semasa tempoh matang sijil, manfaat Takaful akan dimiliki oleh peserta. Akan tetapi, jika peserta meninggal dunia sebelum tempoh matang, maka hibah akan berkuatkuasa;

3. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat sebelum tempoh matang sijil, kerana hibah bersyarat hanya sempurna selepas berlakunya penyerahan (qabdh);

4. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat kepada seseorang individu dan menyerahkan barang yang ingin dihibahkan itu kepada orang lain atau membatalkan penyertaan dalam Takaful, jika penerimanya mati sebelum tempoh matang;

5. Borang penamaan Takaful perlu diselaras dan dinyatakan dengan jelas status penama sama ada sebagai benefisiari atau pemegang amanah (wasi). Sebarang masalah berkaitan pembahagian manfaat Takaful mestilah dirujuk kepada kontrak yang telah dimeterai.

Bagi produk-produk Takaful Keluarga yang ditawarkan oleh Takaful Ikhlas, pihak syarikat menyediakan borang cadangan hibah untuk peserta sekiranya mereka bercadang menghibahkan manfaat Takafulnya setelah berlaku kematian peserta.

Namun begitu, nama yang dicadang perlulah terdiri sama ada ibu bapa, pasangan yang sah, anak dan adik-beradik.

Walaupun hibah secara asasnya boleh diberi kepada sesiapa sahaja, namun, bagi menjaga dan memelihara kebajikan waris terdekat, pihak syarikat mengkhususkan kategori individu yang ingin dicadangkan sebagai penerima hibah.

Kesan daripada penggunaan akad hibah ialah harta yang telah dihibah terkeluar daripada harta pusaka dan tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka atau faraid. Selain itu, harta tersebut tidak boleh dituntut oleh ahli waris yang lain.

Melihat kepada keperluan semasa, seharusnya lebih banyak produk yang berasaskan konsep hibah dihasilkan. Ia bagi menjadikan produk-produk tersebut lebih kompetitif dan mampu menandingi produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat insurans konvensional.

Justeru, para pengendali Takaful seharusnya mempergiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan produk-produk yang bukan hanya kompetitif.

Apa yang paling penting, ia mestilah selaras serta selari dengan prinsip-prinsip yang digariskan oleh syariah.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 30/9/2009

Friday, June 5, 2009

Sunat wasiat untuk berwakaf

Soalan:

Ibu saya bercadang mewakafkan rumahnya dan sebahagian daripada hartanya melalui wasiat tetapi ragu-ragu adakah ia dibenarkan dalam hukum.

Jawapan:

Wasiat sebegini harus dalam Islam, malahan hukum berwakaf adalah sunat. Lebih-lebih lagi umat Islam yang daif yang amat memerlukan bantuan saudara-saudara Islam yang lain.

Kita juga perlu yakin bahawa salah satu alternatif bagi memulih dan mengekalkan kepesatan kewangan Islam ialah melalui cara berwakaf.

Di awal perkembangan Islam golongan korporat dari kalangan sahabat telah mewakafkan sebahagian besar dari harta mereka untuk tujuan pengembangan Islam. Natijahnya hari ini, terdapaat hampir 1.7 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Niat dan tujuan ibu untuk mewakafkan rumah dan sebahagian hartanya adalah langkah yang sangat baik, kerana manfaatnya bukan sahaja di dunia. Malahan pahalanya tidak akan terputus seperti air sungai yang mengalir.

Adalah lebih baik diperhatikan persoalan yang berkaitan dengan wakaf dan permasalahannya seperti berikut:

Apabila ditinjau dari segi bahasa wakaf bererti menahan. Sedangkan menurut istilah syarak, ialah menahan sesuatu benda yang kekal zatnya, untuk diambil manfaatnya untuk kebaikan dan kemajuan Islam.

Menahan suatu benda yang kekal zatnya, ertinya tidak boleh dijual dan tidak diberikan serta tidak pula diwariskan, tetapi hanya disedekahkan untuk diambil manfaatnya saja.

Ada beberapa pengertian tentang wakaf antara lain:

*Pengertian wakaf menurut mazhab Syafie dan Hambali adalah: “seseorang menahan hartanya untuk dimanfaatkan di segala bidang kemaslahatan dengan tetap mewakafkan harta tersebut sebagai taqarrub (menghampirkan diri) kepada Allah SWT.

*Pengertian wakaf menurut mazhab Hanafi adalah: “menahan harta-benda sehingga menjadi hukum milik Allah. Maka seseorang yang mewakafkan sesuatu bererti ia melepaskan kepemilikan harta tersebut dan memberikannya kepada Allah untuk beroleh manfaatnya kepada manusia secara tetap dan berterusan, tidak boleh dijual, dihibahkan ataupun diwariskan.

*Pengertian wakaf menurut Imam Abu Hanafi pula adalah: “menahan harta-benda atas kepemilikan orang yang berwakaf dan bersedekah dari hasilnya atau menyalurkan manfaat dari harta tersebut kepada mereka yang dicintainya. Berdasarkan definisi Abu Hanifah ini, maka harta tersebut ada dalam pengawasan orang yang berwakaf (wakif) selama ia masih hidup, dan boleh diwariskan kepada ahli warisnya jika ia sudah meninggal samaada untuk dijual atau dihibahkan (hadiah).

Definisi ini berbeza dengan yang diberikan oleh Abu Yusof dan Muhammad, sahabat kepada Imam Abu Hanifah itu sendiri.

*Pengertian wakaf menurut mazhab Maliki adalah memberikan sesuatu hasil manfaat dari harta, dimana harta pokoknya konsisten atas kepemilikan pemberi manfaat tersebut walaupun sesaat.

Daripada definisi itu dapat disimpulkan bahawa wakaf itu termasuk salah satu di antara pemberian, akan tetapi hanya boleh diambil manfaatnya dan bendanya harus tetap utuh.

Oleh kerana itu, harta yang layak untuk diwakafkan adalah harta yang tidak habis dipakai dan umumnya tidak dapat dipindahkan, misalnya tanah, bangunan dan serupa dengannya.

Utamanya untuk kepentingan umum, misalnya untuk masjid, surau, sekolah, rumah-rumah kebajikan, jalan awam, dan sebagainya.

Hukum wakaf sama dengan amal jariah. Sesuai dengan jenis amalnya maka berwakaf bukan sekadar berderma (sedekah) biasa, tetapi lebih besar pahala dan manfaatnya terhadap orang yang berwakaf.

Pahala yang diterima mengalir terus menerus selama barang atau benda yang diwakafkan itu masih berguna dan bermanfaat. Hukum wakaf adalah sunat.

Hadis Rasulullah yang bermaksud: Apabila anak Adam meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya, kecuali tiga (perkara), iaitu sedekah jariah (yang mengalir terus), ilmu yang dimanfaatkan, atau anak saleh yang mendoakannya. (riwayat Muslim)

Harta yang diwakafkan tidak boleh dijual, dihibahkan atau diwariskan. Akan tetapi, harta wakaf tersebut harus secara terus menerus dapat dimanfaatkan untuk kepentingan umum sebagaimana maksud orang yang mewakafkan.

Syarat dan Rukun Wakaf

*Syarat Wakaf

Syarat-syarat harta yang diwakafkan sebagai berikut:

1. Diwakafkan untuk selama-lamanya, tidak terbatas waktu tertentu.
2. Tunai tanpa menggantungkan pada suatu peristiwa di masa yang akan datang.
Misalnya, “Saya wakafkan bila dapat keuntungan yang lebih besar dari usaha yang akan datang”.
3.Jelas mauquf alaihnya (orang yang diberi wakaf) dan bisa dimiliki barang yang diwakafkan (mauquf) itu.

*Rukun Wakaf

Orang yang berwakaf (wakif), syaratnya:

1. Kehendak sendiri.
2. Berhak berbuat baik walaupun bukan Islam
Sesuatu (harta) yang diwakafkan (mauquf), syaratnya:
1. Barang yang dimiliki dapat dipindahkan dan tetap zatnya, berfaedah saat diberikan maupun dikemudian hari.
2. Milik sendiri walaupun hanya sebahagian yang diwakafkan (bercampur dan tidak dapat dipindahkan dengan bahagian yang lain)
Akad, misalnya: “Saya wakafkan ini kepada masjid, sekolah orang yang tidak mampu dan sebagainya” tidak perlu qabul (jawab) kecuali yang bersifat peribadi (bukan bersifat umum).

*Hikmah Wakaf

Hikmah wakaf adalah seperti berikut:

*Melaksanakan perintah Allah SWT untuk selalu berbuat baik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan buatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan. (al-Hajj: 77)

Memanfaatkan harta atau barang bagi tempoh yang tidak terbatas. Kepentingan diri sendiri sebagai pahala sedekah jariah dan untuk kepentingan masyarakat Islam sebagai sebagai tanggungjawab kaum muslimin. Mengenai hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang tidak memperhatikan urusan dan kepentingan kaum muslimin maka tidaklah ia dari golonganku”.

*Mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi. Wakaf biasanya diberi kepada pihak berkuasa agama negeri. Kalau di selangor Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Atau di mana-mana organisasi yang berautoriti yang diberi izin oleh pihak berkuasa negeri atau Kerajaan Persekutuan. Kaedah usul fiqh yang bermaksud: “Kemaslahatan umum harus didahulukan daripada kemaslahatan yang khusus”.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 5/6/2009

Monday, April 20, 2009

Rasulullah 'nyawa' Abu Talib

Oleh : SITI AINIZA KAMSARI

KISAH seterusnya bukan sekadar; "Nabi Muhammad kemudiannya dijaga oleh bapa saudara, Abu Talib Bin Abdul Mutalib selepas kematian datuk kesayangan baginda!" Ini kerana baginda lebih banyak menghabiskan usia mudanya bersama Abu Talib, iaitu sejak berusia lapan tahun sehinggalah baginda menginjak dewasa dan mendirikan rumah tangga pada usia 40 tahun dengan wanita terkemuka Arab pada masa itu, Saidatina Siti Khadijah binti Khuwailid.

Tentunya sepanjang di bawah penjagaan Abu Talib ini, merupakan kesinambungan satu sirah nabi yang menjanjikan pelbagai lagi inti pati pengajaran kepada umat Islam.

Abu Talib, adalah abang kepada bapa Nabi, Abdullah bin Abdul Mutalib. Nama sebenar beliau ialah Imran dan digelar Abu Talib kerana anak sulungnya bernama Talib iaitu hasil perkahwinannya dengan Fatimah binti Asad. Mereka dikurniakan anak-anak yang lain iaitu, Jaafar, Ali dan Aqil serta dua anak perempuan, Fakhitah dan Jumanah (Ummu Hani) binti Abu Talib.

Abdullah Al Khazini dalam bukunya, "Abu Thalib (Talib) Mukmin Quraisy - Paman, sekali gus Pengasuh, Pelindung dan Pembela Rasulullah SAW (Darul Fikir, 1978) menulis, Abu Talib yang juga mendapat julukan Abdul Manaf dikatakan menerima wasiat daripada bapanya, Abdul Mutalib akan tanggungjawabnya untuk memelihara Nabi Muhammad dalam satu bentuk syair, yang berbunyi;

Ku wasiatkan pada mu wahai Abdul Manaf sepeninggalanku,
Akan anak yatim, yang ditinggal ayahnya sendirian.
Ku wasiatkan pada orang yang ku juluki Abdul Manaf
Dialah orangnya yang memiliki banyak pengalaman
Akan anak kekasih, kerabat paling mulia
Anak yang ditinggalkan ayahnya hidup sendiri
Wasiat ini dipikulkan kepada diri Abu Talib
Tempat tinggalnya yang kukuh dan ia menyukainya
Jangan kau wasiat aku dengan keharusan dan kewajiban
Kerana ku dengar keajaiban yang sangat mengkagumkan
Dari semua orang yang berilmu dan cerdik cendekiawan
Hingga jelaslah dengan puji Allah dan ucapan Rahib itu

Wasiat tersebut dilafazkan ketika detik-detik kematian kian menghampiri Abdul Mutalib yang dikatakan meninggal dunia pada usia 120 tahun. Lalu dijawab oleh Abu Talib; "Aku menerimanya. Demi Allah, Dialah yang menjadi saksinya".

Walaupun tidak memiliki kekayaan harta benda yang lumayan dan melimpah, namun kecerdasan dan daya kepimpinan yang tinggi adalah kekayaan yang dimiliki oleh bapa saudara Nabi ini.

Kepimpinan yang jitu ditunjukkan oleh Abu Talib dalam mengambil alih tugas bapanya iaitu sebagai pemberi makan dan minum kepada jemaah yang datang ke Kaabah untuk mengerjakan haji. Sebagai penjaga Telaga Zamzam, Abu Talib akan melemparkan buah kurma dan kismis ke dalam telaga itu supaya air Zamzam terasa manis lagi menyegarkan untuk para jemaah yang menempuh perjalanan jauh dan panas. Apatah lagi melalui padang-padang Sahara yang kering lagi tandus itu.

Jatuh miskin

Namun pada suatu ketika, Abu Talib benar-benar jatuh miskin yang boleh menggugat kemampuannya untuk terus membantu para jemaah itu. Namun bapa saudara Nabi ini tidak sanggup meninggalkan kemuliaan tugas itu hanya kerana kemiskinan.

Demi meneruskan usaha bapanya, Abu Talib kemudiannya menemui saudaranya yang yang lebih kaya dan berharta, iaitu al Abbas. Tanpa segan Abu Talib meminjam wang 10,000 dirham daripada saudaranya itu bagi membolehkan beliau terus menunaikan kewajipannya kepada para jemaah.

Jelas sekali Abu Talib menggambarkan satu daya kepimpinan yang tinggi namun jasa beliau yang sangat dikenang oleh penduduk Mekah dapat kita ikuti melalui satu peristiwa.

Pada satu ketika Mekah benar-benar ditimpa musibah yang amat perit untuk ditanggung oleh para penduduknya apabila berhari-hari tidak hujan menyebabkan berlakunya musim kemarau yang paling buruk.

Ibnu Assakir dalam satu riwayat daripada Julhamah bin Arthafah yang menceritakan Julhamah yang datang ke Mekah yang mendapati penduduk di situ begitu sengsara. Seorang daripada penduduk berkata; "Marilah kita bersandar (memohon pertolongan) kepada Lata dan Uzza (berhala)!" Sementara seorang lagi pula berkata: "Marilah kita bersandar kepada Manat (berhala)," Namun seorang lagi pula berkata: "Mengapa kalian menjadi lemah akal, sementara di tengah-tengah kalian masih ada yang mewarisi keturunan Ibrahim (Nabi) dan Ismail (Nabi?)!"

Lalu mereka berkata; "Nampaknya, orang yang kamu maksudkan adalah Abu Talib!".
"Benar!" jawab si polan yang ketiga tadi.

Lalu mereka terus menuju ke rumah Abu Talib dan berkata; "Wahai Abu Talib, wadi-wadi yang ada telah mengering, tanah serta ladang semakin gersang. Oleh kerana itu, mintakanlah supaya hujan turun supaya kami dapat meneruskan kehidupan seperti sedia kala!"

Sambil tersenyum tanda sedia membantu, Abu Talib pun keluar dari rumahnya dengan membawa seorang kanak-kanak, iaitu anak saudaranya, Nabi Muhammad.

Awan gelap

Sejurus mereka melangkah keluar awan yang tebal dan gelap terus berkumpul di langit yang sebelum ini begitu cerah tanpa segumpal awan pun.

Setibanya mereka di Kaabah, Abu Talib pun merapatkan badan anak saudaranya itu ke dinding Rumah Allah itu dan mereka bersama-sama memohon kepada Allah supaya bumi yang gersang itu akhirnya dibasahi hujan.

Ditakdirkan Allah, tidak lama kemudian hujan pun turun dengan mencurah-curah sebagaimana yang diminta oleh penduduk Mekah itu.

Lembah Mekah pun kembali subur dan tiada lagi keperitan untuk ditanggung.

Peristiwa ini seperti yang disebut oleh Abi Talib dalam syairnya;

Si Putih yang diminta hujan dengan berkat wajahnya

Ketua anak-anak yatim dan pelindung balu-balu!

Kejadian ini juga menyuntik lagi kekuatan kepada Abu Talib untuk menjaga anak saudaranya itu kerana kini semakin nampak mengenai kedudukan Nabi Muhammad sebagaimana yang sering diucapkan oleh bapanya sebelum ini. Keperibadian Nabi Muhammad benar-benar tidak sebagaimana anak-anak yang lazimnya.

Apa yang dilihat oleh Abu Talib, anak saudaranya itu tidak sahaja memiliki segala kesempurnaan dan kelebihan tetapi beliau yakin Nabi Muhammad akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tentangan. Ini menyebabkan Abu Talib akan mempertahankan anak saudaranya itu walau terpaksa bergalang dengan nyawanya sendiri.

Namun dalam satu peristiwa lain, Abu Talib pernah cuba hendak meninggalkan Nabi Muhammad dalam jagaan orang lain. Ini semata-mata beliau tidak mahu anak saudaranya itu terdedah kepada sebarang ancaman keselamatan ketika beliau bersama beberapa pedagang Quraisy yang ingin memulakan perjalanan untuk berniaga di Syam (Syria).

Namun ketika kafilah-kafilah yang membawa pelbagai dagangan itu hendak mulakan perjalanan yang jauh itu, Abu Talib memalingkan muka dan alangkah terkejutnya beliau apabila melihat dengan jelas anak saudaranya itu sedang menyapu air mata yang jatuh membasahi pipi. Rupa-rupanya Nabi Muhammad sangat sedih untuk berpisah dengan dengan bapa saudaranya itu.

"Pakcik, kepada siapakah kau hendak tinggalkan aku sementara ketiadaanmu di sini? Sedangkan aku tidak mempunyai baik ayah mahupun ibu," kata si anak saudara dalam sedu dan sedan.

Wajah sedih dan kata-kata Nabi Muhammad itu membangkitkan rasa hiba Abu Talib dan tidak semena-mena beliau sendiri merasakan tidak sanggup meninggalkan anak saudaranya itu.

Lalu dipeluknya anak saudaranya yang ketika itu dikatakan dalam usia 12 tahun sambil berkata; "Demi Allah, aku akan membawa kau pergi bersamaku. Kau tidak akan berpisah dengan aku dan aku tidak akan meninggalkan engkau lagi wahai anak saudaraku!"

Berdagang

Nabi Muhammad yang dalam rangkulan bapa saudaranya itu kemudiannya turut dibawa untuk berdagang ke Syam itu. Satu perjalanan getir lebih-lebih lagi terpaksa menempuh padang pasir yang kering dan kontang yang tentunya tidak sesuai untuk anak yang semuda Nabi itu.

Namun Abu Talib mendapati bahawa perjalanan kali ini berbeza, tidak ada kepayahan kecuali yang menyenangkan tanpa sebarang ancaman yang boleh mengganggu perjalanan mereka.

Mereka berjaya melewati Madian, Lembah Qura, negeri Tsamud sehinggalah daripada jauh mereka dapat menyaksikan keindahan matahari yang sedang terbit dari arah Syria. Sungguh indah sehinggakan mereka semakin bersemangat untuk sampai ke negeri itu walaupun telah berhari dan berbulan dalam perjalanan ini.

Namun telah menjadi kebiasaan kepada mana-mana kafilah yang hendak mengunjungi Syam, mereka mesti terlebih dahulu singgah di Busra. Ini kerana di tempat itu, semua kafilah-kafilah dagang yang berhenti mesti mengunjungi sebuah biara yang padanya terdapat seorang pendeta Nasrani bernama Buhaira.

Mereka mesti bertemu Buhaira untuk mendapatkan barakah! Namun sesetengah riwayat menyebut bahawa Busra sekadar destinasi kepada kafilah untuk mereka berhenti untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Syria.

Justeru apakah yang berlaku apabila Pendeta Buhaira ini berjaya 'menangkap' sesuatu pada Nabi Muhammad, yang menyebabkan Abu Talib semakin tersentak! Ikuti pada keluaran seterusnya!

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 20/4/2009

Thursday, April 16, 2009

Derma organ diharuskan - Fatwa

JOHOR BAHRU - Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan hukum pendermaan organ adalah diharuskan dalam keadaan darurat iaitu apabila diperlukan.

Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin berkata, fatwa tersebut menetapkan garis panduan tertentu yang mengharuskan pendermaan dilakukan dan ia berdasarkan keadaan penderma, sama ada masih hidup atau telah mati.

Memandangkan pendaftaran pemindahan organ di negara ini hanya membabitkan golongan penderma yang telah mati, justeru hanya topik golongan tersebut yang akan dikupas.

Mohd. Tahrir berkata, bagi penderma yang telah meninggal dunia, enam aspek perlu diambil kira sebelum pemindahan organ dijalankan.

Pertama, katanya, perlu terlebih dahulu dijalankan pemeriksaan perubatan secara profesional tentang kebaikan, keburukan, kejayaan dan kegagalan pemindahan organ.
Kedua, dilaksanakan dengan kerelaan penderma, melalui wasiat atau waris-waris dan perakuan daripada kerajaan.

Ketiga, dijalankan setelah dipastikan pemindahan itu secara lazimnya akan berjaya.

Keempat, pemindahan itu dilakukan dengan penuh disiplin ilmu, iman dan takwa, dengan memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada si mati mengikut hukum syarak serta tiada unsur-unsur penghinaan.

''Ia juga diharuskan apabila darurat yang mendesak bagi menyelamatkan nyawa orang yang didermakan kepadanya, terutamanya yang ada hubungan nasab dan keluarga.

''Selain itu, organ yang dipindahkan bukan dijadikan dagangan dan untuk kegiatan jual-beli," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd. Tahrir berkata, orang yang mati otak adalah dihukumkan sebagai telah mati dan pemindahan organ juga diharuskan dalam keadaan darurat.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan perubatan secara profesional perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan individu itu telah mati otak.

''Perakuan tentang berlakunya mati otak hendaklah dilakukan oleh sekurang-kurangnya dua doktor profesional, sebaik-baiknya doktor beragama Islam,'' katanya.

Menurut Mohd. Tahrir, sebelum pemindahan organ di dalam kes mati otak dijalankan, adalah digalakkan untuk mendapatkan persetujuan daripada keluarga terdekat seperti suami, isteri, anak, ibu dan bapa.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 16/4/2009

Wednesday, June 25, 2008

Islam benar tangguh bayar hutang

Oleh: Dr. Zulkifli Mohamad Albakri

Firman Allah SWT : Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu lebih baik bagimu, jika kamu Mengetahui. (al-Baqarah: 280)

Sayyid Qutub berkata: “Ayat yang berikut menjelaskan hukum-hukum hutang yang sukar untuk mendapat bayarannya. Cara melayani hutang yang seperti ini bukannya mengenakan riba tangguh bayaran, iaitu melanjutkan tempoh bayaran dengan mengenakan bayaran yang lebih, tetapi enggan melanjutkan tempoh bayaran sehingga kepada waktu kelapangan membayarnya di samping menggalakkan kepada amalan menyedekahkan hutang itu kepada mereka yang ingin mendapat kebajikan yang lebih sempurna.”

Firman Allah SWT: Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan.

Al-Mawardi berkata : Maksud ayat ini dengan dua pendapat ulama:

Pertama: Menangguhkan pembayaran hutang daripada orang yang susah adalah wajib pada hutang riba sahaja. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Syuraih

Kedua: Ia umum dan wajib beri penangguhan bagi semua hutang sebagaimana zahir ayat. Inilah pendapat Ata’ dan al-Dhahak.

Al-Nasafi berkata: “Jika berlaku orang yang berhutang dalam kesusahan maka hukumnya hendaklah ditakkhirkan pembayaran tersebut hingga waktu kemudahan. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak berlalu hutang seorang lelaki Muslim maka ditakkhirkannya untuk menyenangkan yang berhutang kecuali baginya setiap hari sebagai sedekah.”

Al-Maraghi berkata, maksud ayat ini ialah jika orang yang berhutang sedang menanggung kesulitan, hendaklah pemiutang menunggu atau memberi tempoh sampai ada kelapangan sehingga memungkinkan dia melunaskan hutangnya.

Sebuah hadis diriwayatkan, bahawa Bani Mughirah berkata kepada Bani Amr ibnu Umar seperti dalam kisah di atas, katanya: “Saat ini kami sedang menanggung kesulitan. Oleh sebab itu, berilah kami tempoh sampai musim memetik buah!” Akan tetapi mereka menolak permintaan ini. Lalu turunlah ayat tentang kisah mereka ini sebagaimana yang termaktub dalam dua ayat yang sebelum ini.

Begitu juga al-Baghawi menyebut kelebihan orang yang menolong mereka yang berhutang supaya ditakkhirkan pembayaran hingga waktu lapang.

Sayyid Qutub berkata: “Itulah toleransi yang murah hati yang dibawa oleh Islam kepada umat manusia. Itulah naungan yang teduh, yang memberi perlindungan kepada golongan manusia yang letih dan lesu di bawah naungan pancaran matahari nafsu tamak, bakhil dan rakus.

“Itulah bayangan rahmat kepada si pemberi hutang, kepada si yang berhutang dan kepada masyarakat yang melindungi mereka semua.”

Kita memang sedar bahawa kata-kata ini tidak memberi apa-apa erti kepada akal manusia yang hidup di bawah panas matahari jahiliah dan kebendaan sekarang ini. Kecapan harum manis daripada kata-kata ini tidak dirasai dalam hati mereka yang telah keras membatu itu terutama hati golongan pemakan riba yang buas, sama ada mereka terdiri daripada individu-individu yang berasingan di ceruk-ceruk negeri.

Mereka duduk bersimpuh menjilat-jilat bibir menunggu mangsa-mangsanya yang terdiri daripada insan-insan yang menderita akibat dilanda berbagai kesusahan.

Mereka amat memerlukan wang untuk membeli makanan, pakaian, ubat-ubatan atau pada sesetengah ketika memerlukan perbelanjaan untuk membiayai kos ketika berlaku kematian di kalangan ahli keluarga mereka, tetapi mereka tidak menemui seorang pun yang sanggup menghulurkan bantuan ikhlas kepada mereka.

Oleh itu, mereka terpaksa meminta pertolongan di sarang-sarang pemakan riba yang buas untuk mendapatkan wang sama ada mereka terdiri daripada individu-individu seperti ini atau mereka berada dalam bentuk institusi kewangan dan bank-bank ribawi. Mereka sama sahaja.

Cuma yang membezakan golongan yang akhir ini mereka berada di pejabat-pejabat yang indah dengan kerusi yang empuk dan di belakang mereka tersusun buku-buku teori ekonomi, karangan-karangan ilmiah serta buku-buku yang berkaitan dengan undang-undang dan lain-lain.

Seluruh siap siaga untuk menjustifikasi jenayah mereka dan melindungi mereka. Seterusnya menyalahkan sesiapa sahaja yang teragak-agak untuk membayar faedah riba kepada peti wang mereka atas nama undang-undang.

Firman Allah SWT: dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu lebih baik bagimu...

Al-Maraghi berkata: “Maksud ayat ini ialah kamu bersedekah kepada orang berhutang yang sedang menanggung kesulitan, dengan membebaskan sebahagian atau seluruh hutangnya adalah lebih baik bagi kamu dan lebih besar pahalanya di sisi Allah SWT, daripada menunda masa pembayaran mereka.

Dalam ayat ini terdapat anjuran supaya memberi sedekah dan berlapang dada terhadap kesulitan si berhutang. Sikap berlapang dada ini mencerminkan kasih sayang dan kemurahan hati serta kebaikan seseorang kepada yang lain.

Oleh demikian akan terbina hubungan persaudaraan antara setiap individu, menjadikan ikatan yang kukuh di dalam masyarakat umat Islam dan mewujudkan sikap sama-sama berjuang demi kepentingan umum, seperti yang ditunjukkan oleh hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perumpamaan seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang saling menguatkan antara bahagian dengan bahagian yang lainnya”.

Firman Allah SWT: jika kamu Mengetahui.

Hamka berkata: “Itulah lanjutan jiwa pembangunan jiwa masyarakat orang yang beriman. Alangkah baik dan mesranya, jika seseorang yang berhutang datang memohon maaf dan meminta tempoh agar sekalian bulan, lalu disambut oleh orang yang memberi hutang dengan perkataan: “Hutangmu itu telah aku halalkan, engkau tidak berhutang lagi denganku.” Dia berkata: Bahawa cara begini jika kamu fikirkan adalah lebih baik bagi dirimu sendiri. Dengan cara ini telah menaikkan darjat budimu. Ia akan berkesan dalam jiwamu sendiri, menjadi dermawan dan mengukuhkan ukhwah dengan orang yang berhutang.

Muhammad Quraish Syihab berkata: “Apabila ada seseorang yang berada dalam situasi sulit atau akan terjerumus dalam kesulitan bila membayar hutangnya, maka tangguhkan penagihan sampai ia lapang. Jangan menagihnya jika kamu mengetahui dia sempit, apalagi memaksanya membayar dengan sesuatu yang amat dia perlukan.

Rasulullah bersabda: Siapa yang menangguhkan pembayaran hutang orang yang berada dalam kesulitan, atau membebaskannya daripada hutangnya, maka dia akan dilindungi Allah SWT pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan-Nya (hari kiamat). (riwayat Imam Muslim.)

Al-Maraghi berkata: Maksud ayat ini pula ialah jika kamu sudah tahu bahawa menyedekahkan barang yang dihutangkan kepada si berhutang lebih baik daripada menunda pembayarannya, kerjakanlah dengan seikhlasnya dan berlapang dada terhadap saudaramu, serta pupuklah hati saudaramu dengan perasaan sayang dan belas kasihan.

Ayat ini menunjukkan kewajipan memberi kelonggaran kepada si berhutang yang sedang menanggung kesulitan sampai tiba masa dia dapat menunaikannya. Akan tetapi lebih baik kalau membebaskan dan menyedekahkan barang yang dihutangkan itu.

Sumber: Utusan Malaysia (Ruangan Bicara Agama)
Tarikh: 25/06/2008