Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Friday, March 14, 2008

Kos rawatan buah pinggang melebihi purata pendapatan sebulan rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR - Kos rawatan untuk pesakit buah pinggang yang menjalani hemodialisis kronik kini lebih daripada RM2,000 seorang sebulan, melebihi purata pendapatan sebulan rakyat Malaysia.

Dekan dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Datuk Dr Lokman Saim berkata Unit Nefrologi PPUKM pula membelanjakan hampir RM1 juta setiap tahun untuk rawatan itu.

"Seramai 15,000 pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang, menjalani rawatan hemodialisis kronik di seluruh negara tahun lepas dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 20,000 pesakit menjelang 2010," katanya ketika merasmikan Hari Buah Pinggang Sedunia 2008 peringkat PPUKM.

Dr Lokman juga berkata majlis itu diadakan bagi menyedarkan masyarakat bahawa buah pinggang, walaupun hanya satu organ, namun apabila rosak akan memberi kesan yang teruk terhadap kesihatan seseorang.

Menurutnya sehingga kini sebanyak 57 peratus kes penyakit buah pinggang kronik (CKD) berpunca daripada penyakit kencing manis dan jika masalah itu tidak dirawat segera, pesakit mungkin memerlukan dialisis untuk meneruskan hidup.

Katanya penyakit buah pinggang berpunca daripada gaya hidup serta pemakanan seseorang yang tidak berdisiplin dan kurangnya pengetahuan masyarakat mengenai pentingnya mengutamakan penjagaan kesihatan buah pinggang.

Sementara itu, pensyarah dan pakar perubatan Nefrologi PPUKM, Dr Rashid Saidin berkata setiap tahun terdapat 50 hingga 60 orang pesakit yang melakukan pembedahan buah pinggang di Malaysia dan 30 hingga 40 peratus pendermanya membabitkan mangsa kemalangan yang meninggal dunia.

"Seramai 15,000 pesakit sedang menunggu giliran menerima buah pinggang," katanya.

Dr Rashid juga berkata pada masa ini kesedaran masyarakat terhadap pendermaan organ, terutama buah pinggang, di kalangan ahli keluarga pesakit semakin kurang kerana mereka lebih menaruh harapan dan menunggu organ tersebut daripada penderma yang berdaftar.

Mengulas mengenai alternatif lain selain bergantung kepada penderma buah pinggang, Dr Rashid berkata PPUKM sedang giat menjalankan kajian mengenai sel stem dengan harapan dapat membentuk buah pinggang baru yang mempunyai fungsi sama seperti buah pinggang asal untuk dipindahkan semula ke dalam badan pesakit.

Sel stem ialah sel kosong berbanding sel-sel lain yang bersifat tersendiri seperti sel hati, sel lemak, sel saraf dan sel kulit. Ini bermakna sel stem memiliki keupayaan membahagi dan menghasilkan lebih banyak sel kosong dan merangsang pembentukan sel-sel lain seperti sel darah merah dan sel darah putih.

"Penghasilan sel buah pinggang melalui sel stem tidak mustahil. Bagaimanapun, kajian ini masih di peringkat permulaan dan akan mengambil masa yang lama (untuk mendapat hasil)," katanya.

Menurut Dr Lokman, HUKM yang kini dikenali sebagai PPUKM berkuatkuasa 25 Feb lepas setelah Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia meluluskan penstrukturan baru dua entitinya iaitu HUKM dan Fakulti Perubatan UKM, dengan menggabungkan pentadbirannya.

Sebarang urusan surat menyurat kepada pihak Pengarah Hospital UKM atau Dekan Fakulti Perubatan UKM kini hendaklah dibuat atas nama Dekan dan Pengarah, PPUKM, Tingkat 1, Kompleks Pendidikan Perubatan Canselor Tuanku Jaafar, Jalan Yaakob Latif, Bandar Tun Razak, 56000 Cheras, Kuala Lumpur.

Talian utama telefon PPUKM juga menggunakan nombor baru 03-9145 5555.

Sumber: BERNAMA
Tarikh: 14/3/2008