Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Thursday, December 26, 2002

Satukan kutipan zakat

Oleh: Mohamed Dahan Abdul Latiff

Malaysia merupakan negara Islam yang diiktiraf maju dari segi pembangunan dan kemajuan beberapa institusi Islam seperti haji, perbankan Islam, takaful, masjid dan zakat.

Tidak boleh dinafikan juga Pusat Pungutan Zakat (PPZ) telah mengembangkan paradigma dan pemantapan institusi zakat di negara ini dengan mengubah konsep amil perseorangan kepada konsep amil berpasukan.

Iaitu menggunakan satu kumpulan profesional di bawah konsep syarikat atau korporat untuk memungut zakat bagi Majlis Agama Islam, menggunakan struktur dan sistem yang mengadun cara korporat dan teknologi informasi dan komunikasi (ICT) moden, melaksana kaedah yang proaktif, menumpu kepada jenis zakat harta selain daripada zakat fitrah.

PPZ juga mengalih sumber zakat kepada mementingkan mengutip zakat daripada golongan yang berada dalam bentuk zakat pendapatan, zakat perniagaan dan zakat harta amnya, berbeza dengan penumpuan pada masa dahulu kepada menumpu kepada mengutip zakat padi dan pertanian daripada golongan yang biasanya dianggap miskin dalam hierarki masyarakat moden.

Pembaharuan yang dibawa di Kuala Lumpur pada tahun 1991 telah menarik perhatian bukan sahaja negeri-negeri di Malaysia tetapi negara-negara Islam lain yang mulai sedar peranan pragmatik negara kita dalam membentuk negara Islam yang moden.

Apabila pungutan zakat meningkat daripada lebih kurang RM25 juta setahun pada tahun 1980-an kepada beratus-ratus juta ringgit setahun (tahun 2001-RM320 juta yang mana RM50 juta adalah zakat fitrah dan RM270 juta adalah zakat harta) dari seluruh negara, barulah masyarakat Islam sedar akan potensi institusi zakat menjadi satu institusi sosioekonomi yang boleh menolong golongan yang memerlukan bantuan, walaupun ada had-hadnya.

Tentu sekali kebolehan sesebuah negeri atau Majlis Agama Islam membuat kerja agihan amat bergantung kepada saiz pungutan. Negeri yang memungut RM70 juta setahun mempunyai lebih skop dan kemampuannya dibanding dengan negeri yang mengutip hanya RM5 juta.

Pada masa ini, pungutan sesebuah negeri kebanyakannya dibelanjakan dalam negeri tersebut, iaitu belum ada satu sistem agihan nasional kerana ketiadaan badan nasional untuk zakat, berbeza dari institusi haji.

Juga sesebuah Majlis Agama Islam berpegang kepada konsep bahawa sesebuah negeri adalah tanggungjawab Majlis Agama Islam negeri yang berkenaan sahaja dan Majlis Agama Islam lain tidak boleh campur tangan. Bagaimanapun, kerjasama diharuskan dan perundingan selalu dilakukan melalui mesyuarat dan jawatankuasa di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Isu pelaburan juga menjadi perhatian apabila pungutan zakat meningkat. Tentu sekali ada tempoh masa di antara kebolehan membelanjakan atau mengagihkan wang zakat dengan pungutan. Contohnya, pungutan yang paling tinggi adalah dalam bulan Disember setiap tahun dan tentu sekali mustahil untuk membelanjakan dalam tahun yang sama.

Ini bermakna konsep membelanjakan wang zakat dalam tahun yang sama ia dipungut mesti ada fleksibiliti. Tambahan pula, sudah menjadi kebiasaan bagi negeri-negeri yang tinggi kutipan zakatnya, merezab dan mengumpul dalam lingkungan 20 peratus kutipan tahunan beberapa tahun untuk membiayai projek jangka panjang yang menelan belanja besar seperti membina pusat latihan kemahiran, pusat pendidikan, pusat dialisis, hospital Islam dan pusat perlindungan bagi faedah asnaf-asnaf dan masyarakat yang memerlukan bantuan. Pelaburan biasanya dalam bentuk pasif dan konservatif untuk keselamatan, seperti meletak dalam akaun pelaburan di bank-bank.

Tidak dinafikan institusi zakat masih boleh diperbaiki dalam semua kategori. Inilah cabaran yang dihadapi. Institusi zakat tidak boleh bergerak dalam kepompong bersendirian. Sebaliknya ia mesti ada rangkaian dengan berbagai institusi lain. Institusi akademik dan media sebenarnya boleh memberi input yang berguna kepada institusi zakat berasaskan kajian-kajian berkenaan kehendak dan masalah semasa masyarakat yang tidak dapat dimasukkan dalam sistem atau program kerajaan.

Faktor tiadanya rebat untuk pembayaran zakat oleh bukan perseorangan, iaitu syarikat, koperasi dan organisasi, selalu ditimbulkan. Ini bukan perkara syarak tetapi adalah isu setempat sesebuah negara Islam. Ia tidak perlu dijadikan isu. Cabaran kepada pentadbir zakat ialah bagaimana menarik syarikat dan peniaga membayar zakat perniagaan walaupun dalam keadaan tiada rebat daripada cukai. Hanya Malaysia yang memberi rebat daripada cukai selama ini di kalangan 56 negara Islam. Indonesia baru sahaja mengikut contoh Malaysia pada tahun 2001.

Kewajaran tidak menjadikan perkara tiadanya rebat daripada cukai untuk bayaran zakat perniagaan oleh bukan individu sebagai isu kerana pembayaran cukai adalah juga untuk menolong golongan susah atau golongan yang memerlukan bantuan. Malahan, wang cukai yang digunakan untuk jalan raya, tenaga elektrik, air, kemudahan awam, klinik dan hospital, sekolah dan universiti, infrastruktur bagi menarik pelaburan dan sebagainya, semuanya adalah ke arah mengurang golongan fakir dan miskin.

Ini bererti berkuranglah beban institusi zakat membelanja wang kepada golongan fakir dan miskin. Sekarang pun diperhatikan bahawa asnaf fisabilillah merupakan asnaf yang paling tinggi mendapat perhatian oleh institusi zakat kerana banyak beban menolong golongan fakir dan miskin sudah ditanggung oleh pihak kerajaan dengan wang cukai, selain daripada pihak syarikat-syarikat yang memberi pekerjaan.

Pendeknya, apabila golongan kelas menengah meningkat tinggi atau menjadi golongan yang terbesar dalam sesebuah masyarakat, ini menolong meningkatkan pungutan zakat dan mengurangkan beban kepada institusi zakat menolong asnaf fakir dan miskin yang mungkin suatu hari amat sedikit sekali, membolehkan wang zakat digunakan untuk lain-lain asnaf, seperti fisabilillah.

Lagi satu perkara ialah mengurangkan perbahasan dan polemik perkara terperinci berkenaan zakat. Biarlah ditumpu kepada peranan besar mengapa Allah s.w.t. mengadakan zakat sebagai satu rukun Islam selain daripada sembahyang, puasa dan haji.

Sedikit sebanyak tujuan asal Allah s.w.t. mengadakan kefardhuan berzakat ialah membetulkan sikap manusia iaitu lebih kepada minda dan perasaan, dan bukan kepada pengagihan kekayaan. Kadar 2.5 peratus bertujuan mengagih kekayaan kerana kadar tersebut terlalu rendah dibanding dengan kadar cukai.

Ia lebih kepada mendidik sikap dan minda golongan berada terhadap rezeki dan kekayaan yang mereka terima daripada Allah s.w.t., iaitu bersyukur dan sanggup berkongsi, selain mendidik golongan susah untuk tidak iri hati terhadap golongan kaya dengan adanya hak mereka dalam harta golongan kaya.

Konsep masyarakat prihatin dan konsep tanggungjawab sosial syarikat adalah sehaluan dengan syariat dan semangat berzakat. Ini menunjukkan kesan utama yang diharapkan daripada zakat ke atas manusia ialah perubahan sikap dan minda berhubung dengan tanggungjawab sesama manusia yang timbul dari rezeki dan kekayaan yang diberi oleh Allah s.w.t.

Sebab itu, pendekatan berdakwah kepada masyarakat dan bukan pendekatan penguatkuasaan perundangan atau menghukum telah dapat meningkatkan pungutan zakat di zaman moden ini. Memang diakui Khalifah Abu Bakar As-Siddiq terpaksa mengugut untuk berperang ke atas sesiapa yang tidak membayar zakat, tetapi itu ialah zaman syiar Islam belum mantap di kalangan masyarakat Arab.

Bolehkah satu badan nasional untuk zakat diwujudkan di negara ini? Ini satu isu yang sudah banyak diperbahaskan. Dari segi kewajaran dan faedah, memang logik sekali untuk diwujudkan sebuah badan nasional seperti Lembaga Urusan Zakat Malaysia (Luzam) berasaskan konsep Lembaga Tabung Haji dengan peranan nasionalnya.

Tetapi, realiti Perlembagaan Malaysia meletakkan agama sebagai urusan negeri-negeri dan bukan urusan Persekutuan. Bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan ada menyebutkan bahawa agama rasmi Persekutuan adalah Islam. Bolehkah klausa ini dijadikan asas untuk Kerajaan Pusat mewujudkan Luzam sebagai satu organisasi nasional yang menolong organisasi di negeri-negeri dengan tidak menimbulkan perbahasan yang memecah belah masyarakat?

Kita juga perlu membincang peranan zakat di kalangan negara-negara Islam, iaitu dari sudut bagaimana zakat boleh dijadikan satu faktor mengeratkan lagi hubungan antara 56 negara-negara Islam. Negara Islam yang lebih maju mesti sanggup mengguna sebahagian daripada wang zakat yang dikutip oleh badan nasionalnya untuk disalurkan kepada negara-negara Islam yang miskin.

Malaysia selalu didatangi oleh rombongan dari negara-negara Islam yang bertanyakan setakat mana kesediaan institusi zakat di negara ini sanggup mengagih sebahagian kekayaan masyarakat Islam di sini kepada masyarakat Islam di negara lain.

Kalau kita terlalu asyik memerhati kepada permasalahan tempatan atau dalam negeri, kita akan terlupa kepada konsep ummah yang dianjurkan oleh Islam. Kita semua adalah bersaudara. Ada kerja fisabilillah di peringkat antarabangsa yang memerlukan bantuan. Atau kita pulangkan kepada Kerajaan Persekutuan dengan wang cukainya untuk membiayai maksud tersebut?

- DATUK MOHAMED DAHAN ABDUL LATIFF ialah Pengurus Besar, Pusat Pungutan Zakat.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 26/12/2002