Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Thursday, June 26, 2003

Mengapa Zakat Perlu Dibayar Kepada Institusi Amil?

Oleh : Mohd Safri Mahat

Zakat merupakan suatu ibadah mengenai harta kekayaan umat Islam yang mempunyai matlamat yang besar dan luas merangkumi pelbagai aspek termasuk sosial, ekonomi, pendidikan, akidah dan sebagainya. Oleh itu, suatu dana yang besar dan mencukupi serta pengurusannya yang teratur dan cekap amat diperlukan bagi memenuhi agenda besar ini. Ini hanya dapat dilakukan melalui kesedaran dan sokongan yang jitu dan menyeluruh daripada umat Islam sendiri.

Dari aspek pengurusan zakat di Malaysia, kita dapat melihat perkembangan yang amat menggalakkan berhubung peranan yang dimainkan oleh Institusi Pengurusan Zakat (Amil), malah telah jauh terkehadapan berbanding dengan negara-negara lain di dunia. Namun begitu, kesedaran umat Islam terhadap kewajipan berzakat serta komitmen masyarakat terhadap Institusi Amil ini masih di tahap yang agak rendah, di mana masih terdapat kecenderungan sebahagian masyarakat Islam mengeluarkan ‘zakat’ mereka terus kepada golongan asnaf yang mereka fikirkan layak menerimanya atau melalui saluran-saluran yang tidak rasmi.

Fenomena ini secara umumnya berlaku disebabkan oleh ketidakfahaman umat Islam berhubung tuntutan ibadah zakat yang sebenarnya. Sebahagian daripada mereka masih terikut dengan budaya dan tradisi generasi terdahulu tanpa menyoal atau memahami tuntutan sebenar malah mereka menganggap perbuatan mereka itulah yang terbaik sepatutnya mereka lakukan. Tidak kurang juga faktor-faktor lain seperti tiada rebet cukai syarikat, ketidakyakinan terhadap Institusi Amil, tidak mengetahui perundangan zakat yang ada, latarbelakang pendidikan dan pendirian politik yang berbeza, serta pengaruh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan sehingga mempengaruhi pemikiran masyarakat Islam, turut membantu kewujudan fenomena ini.

Apa yang dikhuatiri, tanpa pemahaman dan pengetahuan yang jelas mengenai hukum zakat yang sebenar, wang yang dikeluarkan tersebut ada kemungkinan tidak diterima ALLAH sebagai zakat, dan dikehendaki mengeluarkan zakatnya semula. Oleh itu, umat Islam perlu berhati-hati dalam melaksanakan ibadah zakat ini supaya ia menepati kehendak Islam yang sebenar seterusnya dapat menjamin hak asnaf seperti yang telah ditentukan.

Tanggungjawab Mengurus Zakat

ALLAH telah berfirman di dalam surah at-Taubah, ayat 104 yang bermaksud:
“Ambillah zakat dari sebahagian harta-harta mereka, yang dengan zakat itu membersihkan mereka dan mensucikan mereka”.

Perkataan ‘ambillah’ dalam ayat di atas merujuk kepada suatu perintah ALLAH terhadap pengurusan zakat yang sudah semestinya melibatkan kemampuan oleh satu pihak yang berkuasa untuk ‘mengambilnya’, iaitu pihak pemerintah. Ayat ini juga adalah sebagai dalil bahawa pihak pemerintah atau kerajaan berhak menuntut dan memungut zakat, bahkan beberapa ulama’ besar seperti Imam ar-Razi dan al-Syairazi menegaskan bahawa tanggungjawab dan keterlibatan negara dalam pengurusan zakat adalah bersifat wajib.

Tanggungjawab pemerintah dalam pengurusan zakat ini ditegaskan lagi melalui firman ALLAH dalam surah at-Taubah, ayat 60 yang bermaksud:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan AMIL-AMIL yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan ALLAH, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari ALLAH. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Melalui ayat ini, ALLAH telah menetapkan secara jelas bahawa Amil merupakan salah satu asnaf yang berhak menerima zakat. Oleh itu, Amil perlu dilantik oleh pemerintah seterusnya diberi kuasa untuk mengutip dan mengagihkan zakat tersebut. Kedudukan asnaf Amil diletakkan di tempat ketiga selepas fakir dan miskin, menunjukkan bahawa peranan Amil begitu penting di dalam kewajipan rukun Islam yang ketiga ini. Ayat ini memberi iktibar bahawa Islam amat mementingkan aspek pengurusan khususnya dalam pengendalian wang zakat, yang mana hanya melalui pengurusan Amil yang baik dan cekap akan dapat memastikan ketujuh-tujuh asnaf yang lain terjamin dan terbela.

Hikmah Diurus Amil

Terdapat beberapa hikmah dan sebab mengapa zakat perlu diuruskan oleh Amil yang dilantik pemerintah;

1. Ketelusan dan akauntabiliti di dalam pengurusan zakat adalah jauh lebih tinggi dan terjamin jika ia dilaksanakan oleh Amil yang dilantik oleh pihak pemerintah berbanding agihan yang dibuat sendiri oleh pembayar zakat atau melalui saluran yang tidak rasmi. Sebagai contoh di Selangor, Pusat Zakat Selangor (PZS) iaitu Institusi Amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), tertakluk kepada beberapa jenis pengauditan merangkumi aspek kewangan, pengurusan dan kualiti perkhidmatan oleh beberapa agensi audit yang berbeza sepanjang tahun, di antaranya; Audit Negeri, Audit Kualiti SIRIM ISO 9002, Audit Kualiti Dalaman ISO 9002, Audit Dalaman MAIS, Audit Kewangan Syarikat dan Audit Dalaman PZS sendiri.

2. Tidak dapat dinafikan iman dan nurani kebanyakan umat Islam pada masa ini, semakin lemah akibat cintakan dunia yang berlebihan. Oleh itu, sekiranya kewajipan menunaikan zakat diserahkan semata-mata hanya kepada kesedaran individu, sudah pasti hak dan kesejahteraan golongan asnaf penerima zakat tidak terjamin. Sebaliknya, hak asnaf zakat adalah lebih terjamin apabila zakat diuruskan oleh Institusi Amil yang dilantik pemerintah. Dengan kuasa yang ada termasuk melalui peruntukan perundangan serta pengurusan Amil yang cekap dan tegas, para muzakki (pembayar zakat) akan lebih berdisiplin dan tidak akan terlepas daripada menunaikan kewajipan berzakat mereka.

3. Amil bertanggungjawab memberikan bantuan bukan sahaja kepada mereka yang meminta (membuat permohonan) tetapi juga perlu pro-aktif mencari dan menyiasat khususnya golongan fakir dan miskin yang tidak meminta (mungkin kerana malu, rendah diri atau tidak terdedah kepada maklumat), seterusnya mengagihkan wang zakat kepada mereka yang berhak. Cara ini dapat menghalang mereka daripada menjadi pengemis di jalanan, selaras dengan firman ALLAH dalam surah az-Zariyat, ayat 19 yang bermaksud:

“Dan pada harta-harta mereka, ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”

Tanggungjawab seperti ini tidak akan dapat dilakukan secara perseorangan. Dengan ini juga, kehormatan dan perasaan asnaf penerima zakat khususnya golongan fakir dan miskin akan lebih terjaga dan terpelihara kerana terhindar dari rasa malu dan rendah diri, malah turut terhindar daripada hinaan dan cacian pemberi zakat yang mungkin tidak bertanggungjawab.

4. Pengurusan Institusi Amil yang diuruskan oleh pemerintah adalah lebih teratur dan sistematik, berbanding pengagihan zakat yang dilakukan sendiri oleh para muzakki secara perseorangan. Dengan tenaga kerja yang mencukupi dan berpengalaman, serta gabungan dari pelbagai bidang kemahiran, pengurusan zakat lebih berupaya untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti pengumpulan, pengawalan serta pengagihan wang zakat dengan lebih teratur, menyeluruh dan berkesan.

5. Salah satu manafaat terbesar diperolehi jika zakat dibayar kepada Institusi Amil ialah keupayaan mengumpulkan dana zakat yang besar secara berpusat. Dengan ini, usaha-usaha membangun umat Islam khususnya pembasmian kemiskinan akan dapat dilakukan secara lebih terancang, menyeluruh dan berkesan.

Sebagai contoh, melalui perancangan jangkapanjangnya yang menyeluruh dalam agenda pembasmian kemiskinan di Selangor, PZS lebih menekankan kepada konsep pembangunan bersepadu dan seimbang, yang mana pembangunan asnaf ini tidak hanya tertumpu kepada pembangunan material seperti ekonomi dan sosial semata-mata tetapi penekanan turut diberikan kepada usaha-usaha pembangunan insan dan pembangunan pendidikan. Usaha seumpama ini memerlukan dana yang besar dan komitmen yang berterusan, yang mana sudah pasti tidak akan dapat dilaksanakan secara sendirian dan berasingan.

6. Pengumpulan maklumat berpusat melalui Institusi Amil juga memberikan banyak kelebihan. Maklumat yang lengkap dan menyeluruh akan dapat diwujudkan, seterusnya dapat mengelak daripada berlakunya pertindihan dan pembaziran wang zakat. Maklumat berpusat ini juga dapat mengelakkan wang zakat daripada berkumpul kepada satu-satu orang, kumpulan atau asnaf sahaja, yang pada kebiasaannya hanya terhad kepada orang atau kumpulan yang dikenali oleh pembayar zakat. Keadaan ini memungkinkan berlakunya pengenepian hak orang lain yang mungkin lebih memerlukan.

Sesungguhnya zakat bukanlah hanya hak orang-orang fakir dan miskin sahaja tetapi terdapat juga asnaf lain yang berhak menerimanya seperti golongan muallaf, riqab, gharim, fisabilillah dan ibnu sabil. Dengan ini, peruntukan bagi kepentingan yang lebih umum akan dapat disalurkan dengan lebih baik kerana pemerintah lebih mengetahui sasaran pemanfaatannya.
Pandangan Syarak

Kita harus menyedari bahawa sekiranya kita membayar zakat secara terus tanpa melalui Amil yang dilantik secara sah, maka kita akan dipertanggungjawabkan di atas pemberian kita itu sama ada menepati asnaf zakat atau pun tidak. Dalam hal ini, Imam Malik, Imam Asy-Syafie, Abu Yusuf, Ats-Tsauri dan Ibnu Mundzir berpendapat bahawa apabila ternyata seseorang itu telah tersilap dalam memberi zakat kepada orang yang tidak berhak, maka zakatnya adalah tidak sah, dan mereka wajib mengeluarkan zakatnya sekali lagi kepada orang yang berhak menerimanya.

Sebaliknya, jika kita membayar zakat kepada Amil yang dilantik oleh pemerintah, maka dengan sendirinya kita sudah terlepas daripada kewajipan berzakat kerana Amil itu sendiri merupakan salah satu daripada asnaf yang layak menerima zakat. Soal Amil tidak melaksanakan tugasnya, itu persoalan lain dan tidak akan menjejaskan sahnya pemberian zakat tersebut. Amil itu sendirilah yang akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dilakukan, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dari Anas r.a. ujarnya:

“Sesungguhnya seorang lelaki berkata kepada Rasulullah saw: Apakah bila saya telah berikan zakat kepada utusan (Amil), terlepaskah saya dari kewajipan zakat kepada ALLAH dan RasulNYA? Nabi saw menjawab: Benar, apabila telah kamu berikan zakat kepada utusanku, terlepaslah engkau daripadanya kepada ALLAH dan RasulNYA. Engkau memperoleh pahalanya dan dosanya atas mereka yang menukar-nukarkannya.”

Kepentingan umat Islam membayar zakat kepada pemerintah dijelaskan lagi menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Sa’id ibn Mansur dari Suhail r.a. ujarnya:

“Telah berkumpul padaku nafkah, yang padanya ada zakat, yakni telah sampai nisab zakat, maka aku bertanya kepada Sa’ad Ibnu Abi Waqqash, Ibn ‘Umar, Abu Sa’id Al-Khudry, Abu Hurairah, kataku: Apakah aku mengagihnya sendiri atau aku berikan kepada penguasa? Semua mereka menyuruh aku memberikan kepada penguasa. Seorang pun tidak ada di antaranya yang menyuruh aku agih sendiri.”

Bagaimanapun terdapat juga pandangan yang membolehkan seseorang individu mengagih sendiri zakat ‘harta batin’ mereka. Harta batin di sini bermaksud harta yang jumlahnya hanya diketahui oleh pemiliknya, seperti barang-barang perniagaan dan wang simpanan. Namun begitu, Prof Dr Yusuf al-Qardhawy memberi pandangan bahawa di antara nas-nas dan dalil-dalil syariah yang mengesahkan kekuasaan seseorang pemimpin umat Islam untuk mengutip zakat, tidak terdapat satu nas pun yang membezakan antara zakat harta zahir dan harta batin. Sebaliknya menurut beliau, pemerintahan Islam berkewajipan secara mutlak untuk mentadbir urusan zakat keseluruhannya. Inilah ketentuan hukum zakat yang asal sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam.

Meskipun demikian, al-Qaradhawy berpendapat kelonggaran masih boleh diberikan kepada pemilik harta untuk membayar sendiri zakat mereka khususnya kepada kaum keluarga terdekat atau para jirannya yang memerlukan. Namun menurut beliau, jika terbukti mereka tidak mengagihkan jumlah yang dibenarkan pengurusannya kepada mereka itu, maka Institusi Amil berhak untuk mengambil keseluruhan harta zakat mereka tanpa berbaki sedikitpun.

Melihat kepada ketegasan Islam berhubung perkara ini, penulis lebih cenderung kepada pandangan yang utarakan oleh Prof. Dr. Abdullah Ibrahim di dalam salah satu Muzakarah Agihan Zakat anjuran JAKIM ketika membincangkan prinsip dalam agihan zakat, iaitu para muzakki mempunyai hak untuk menamakan calon penerima zakat kepada Amil khususnya kaum keluarga dan jiran terdekat mereka. Ini bermakna para muzakki masih berkewajipan menunaikan zakat mereka kepada Amil yang dilantik di samping mereka berhak menamakan calon penerima zakat yang difikirkan layak. Adalah menjadi kewajipan pula kepada Amil untuk membuat siasatan dan susulan mengenai cadangan muzakki tersebut bagi memastikan kelayakan calon tersebut.

Perundangan Zakat

Dalam mengamalkan ibadah zakat ini kita juga perlu melihat kepada peruntukan perundangan yang ada supaya apa yang kita lakukan bukan sahaja menepati hukum syarak, tetapi juga tidak menyalahi pentadbiran dan undang-undang yang ada. Di Selangor misalnya, perundangan zakat mengenai kesalahan berhubung tidak membayar zakat atau fitrah terkandung di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dalam Bahagian III Perkara 21 yang menyatakan bahawa:

Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi:-
a) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu; atau
b) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana pihak lain yang diberikuasa oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Dengan ini jelas kepada kita bahawa pengurusan zakat di Selangor sepenuhnya adalah di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab pemerintah dan sesiapa yang tidak membayar zakat kepada Amil yang dilantik adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh didakwa.

Muhasabah Kepada Amil

Bagaimanapun, isu ini juga merupakan suatu cabaran kepada Institusi Amil supaya dapat memperkemas dan meningkatkan tahap profesionalisma masing-masing dalam menguruskan zakat supaya hak asnaf zakat terjamin dan terpelihara, seterusnya dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat. Malah itulah sebenarnya yang sepatutnya dilakukan demi memartabatkan institusi zakat!

Oleh: Mohd Safri Mahat, Pengurus Besar, Pusat Zakat Selangor

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 26/6/2003