Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Friday, December 15, 2006

Cara Mengurus & Melupus Harta Haram

Oleh: Ustaz Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Minggu ini, sekali lagi artikel ini ditulis berdasarkan persoalan yang sering dikemukan kepada saya. Kali ini berkenaan cara terbaik untuk bertawbat dan menguruskan harta haram yang telah dimilikinya. Sebagai asas pertama, perlu diingat beberapa dalil seperti sabda Nabi SAW : ertinya " Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik.." (Riwayat Muslim, 3/85 ).

Justeru, harta haram tidak sekali-sekali boleh digunakan untuk manfaat diri pemiliknya, samada untuk kegunaan pembayarn cukainya, saman keretanya, makanan keluarganya, tambang basnya dan lain-lain untuk kepentingan dirinya. Apatah lagi digunakan untuk menunaikan Haji dan Umrah. Kemungkinan Haji itu dilihat sah berdasarkan rukun dan syaratnya tetapi tidak diterima Allah SWT kerana ia adalah dari hasil yang tidak baik sama sekali.

Sebuah hadith lain pula menyebut ; Ertinya : "Barangsiapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala (kerana harta itu bukan hartanya) dan penanggungan dosanya kekal (sehingga bertawbat)" (Riwayat al-Hakim, sohih menurut al-hakim dan disepakati oleh az-Zahabi ; Albani : Ianya lemah )

Harta haram yang saya maskudkan di sini adalah harta yang dimiliki dengan cara yang tidak diiktiraf oleh Shariah. Ia termasuklah wang yang diperolehi dari hasil pinjaman dengan transaksi Riba, harta curi, tipu, judi, pecah amanah, rasuah, hasil perniagaan haram, hasil keuntungan dari jualan barang curi, hasil keuntungan pelaburan haram, hasil wang dari proses perniagaan secara monopoli dan banyak lagi.

Cara Melupus

Syeikh Atiyyah Saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar) berkata, : "Wajib melupskan harta yang haram ketika bertawbat, ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan diri darinya dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu). ( Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, hlm 2/65)

Persoalannya ; 1) Bagaimana mahu melupuskan harta haram yang di dalam simpanan ? 2) Adakah harus untuk menyedeqahkan harta yang haram ?, sedangkan pemilik harta haram tidak dikira memiliki harta itu menurut pandangan Islam.

Menurut Shariah, jika sesuatu harta yang didapati dari sumber haram itu diketahui pemiliknya (seperti harta haram hasil curi dan diketahui pemiliknya), cara melupuskannya adalah dengan memulangkan kembali wang curi itu kepada tuannya serta meminta maaf dan kemudian melakukan tawbat kepada Allah SWT. Bagaimanapun, jika gagal memulangkan semula kepada tuan miliknya, hendaklah ia memulangkannya kepada warisnya, jika gagal juga, barulah harta itu disalurkan kepada sedeqah (Zad al-Ma'ad, Ibn Qayyim, 4/251).

Demikian juga harta yang terhasil dari riba pinjaman, maka perlulah dipulang semula kepada peminjam yang dikenakan riba itu. Sekiranya harta itu bukan milik perseorangan tetapi milik sekumpulan seperti koperasi sekolah, syarikat atau yayasan; maka cara memulangkannya adalah dengan memasukkan dalam akaun sekolah, yayasan atau syarikat itu; atau cara lain adalah dengan membayarkan bil air sekolah dan syarikat sebanyak jumlah yang dicurinya. Ia secara tidak langsung dikira pemulangan kepada pemilik organisasi. Manakala jika ia dicuri dari tabung masjid atau derma surau, maka ia boleh dipulangkan kepada mana-mana surau dan masjid kerana ia adalah milik umum umat masjid.

Dalil memulangkan harta haram yang diketahui pemiliknya ini datangnya dari Hadith Nabi SAW yang menyebut :-

من كانت له مظلمة لأخيه من عرضه أو شيئ فليتحلل منه اليوم من قبل أن لا يكون دينار ولا درهم , إن كان له عمل صالح أخذ منه بقدر مظلمه , وإن لم يكن له حسنات أخذ من سيئات صاحبه فحمل عليه
Ertinya : Barangsiapa yang menzalimi kehormatan atau apa jua (harta) saudaranya m hendaklah ia meminta halal darinya pada hari ini sehingga jangan tinggal satu dinar atau dirham jua. (jika tidak di hari kiamat ) sekiranya ia punyai amal soleh, maka akan diambillah amal solehnya dengan kadar kezaliman yang dilakukannya, dan kiranya ia taida lagi kebaikan, maka akan dipertanggungkan kejahatan orang (yang dizaliminya itu) pula" ( Riwayat Al-Bukhari dengan Fath Al-bari , 5/121)

Demikian juga dalil hadith :
على اليد ما أخذت حتى تؤديه
Ertinya : "Kewajiban atas tangan (yang mencuri) apa-apa yang diambilnya , sehinggalah ia memulangkannya" ( Riwayat Al-Baihaqi dan At-Tirmidzi, 3/566 ; Tirmidzi : Hasan Sohih )

Sedeqah Dengan Harta Haram?

Berkenaan isu ketepatan menggunakan lafaz ‘sedeqah' atau men'derma'kan wang haram yang pada hakikatnya tidak dimilikinya itu. Ia sememangnya boleh dipertikaikan sekiranya ‘sedeqah' itu bertujuan mendapatkan pahala. Memang benar salah satu syarat bagi mendapatkan pahala bagi harta sedeqah adalah memilikinya dengan sah serta ikhlas niat. Bagaimanapun dalam hal harta haram ini, ia bukan bertujuan mendapat pahala bagi dirinya tetapi hanya memenuhi salah satu syarat tawbat dan melepaskan diri dari memanfaatkan harta haram untuk dirinya. Manakala, pahala dari pengorbanan (derma) pula itu akan diperolehi oleh si pemilik samada ia masih hidup atau telah meninggal.

Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya adalah :- Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat 1 dan 2 yang mengisyaratkan kejauthan Rom) bahawa Kerajaan Rom akan tewas. Kemduian apabila Rom benar-benar jatuh maka Abu Bakar telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran), apabila Abu Bakar datang kepada Rasulullah SAW menceritakan perihal harta haram perolehan judi itu, Rasulullah bersabda : "Ini kotor, sedeqahkan ia". Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. ( Tafsir At-Tabari, 20/16 ; At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin. Demikian pandangan keempat mazhab utama Islam ( Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225 )

Hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti ini adalah pelbagai hadith Rasulullah SAW yang diriwayat Abu Daud dengan sanad yang baik, hadith tentang kekalahan Rom tadi, athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

Tarikh: 15/12/2006
Sumber: Zaharuddin.net