Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Monday, November 23, 2009

Siti Amynur akur wasiat arwah ibu belajar di KGV

SEREMBAN — Murid cemerlang Siti Amynur Ain Putri Rosdi, 12, yang menerima keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah ketika jenazah ibunya sedang diuruskan untuk pengebumian Khamis lepas, akur dengan wasiat ibunya untuk menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V(KGV) di sini walaupun ini bermakna dia terpaksa berpisah dengan satu-satunya abangnya, Mohd Amin Azaly, 14.

Ibunya, Rusmah Abdullah, 47, yang meninggal dunia Rabu lepas akibat tekanan darah rendah, telah menyatakan keinginan untuk melihat Siti Amynur Ain menyambung pelajaran ke sekolah itu yang terletak di tengah bandar Seremban, dan dianggap antara yang terbaik di negara ini.

"Saya tidak mahu berpisah dengan abang, (tapi) arwah emak semasa hidup mahu lihat saya bersekolah di KGV,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan singkat adik beradik yatim piatu itu dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini hari ini.

Semalam, Mohamad telah menghantarkan wakilnya Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat ke rumah penjaga kedua adik beradik itu untuk menguruskan kemasukan Siti Amynur Ain ke sekolah berasrama penuh.

Semasa pertemuan singkat tadi, Mohamad berpesan kepada Siti Amynur Ain dan Mohd Amin bahawa kejayaan boleh dicapai walaupun mereka tidak mempunyai ibu dan ayah untuk menjadi pendorong.

Sumber : Bernama
Tarikh : 23/11/2009

Friday, November 20, 2009

Berhati-hati mohon sumbangan

Soalan:

ADAKAH kita dibolehkan menerima dan memohon sumbangan ikhlas daripada orang perseorangan atau syarikat-syarikat yang selalu berurusan contohnya dalam urusan perbankan dan saham amanah?

Hadiah tersebut adalah dalam bentuk hamper dan orang perseorangan yang diterima dalam bentuk wang tunai secara sumbangan ikhlas.

Jawapan:

Islam menggalakkan umatnya untuk menderma atau menghulurkan sumbangan kerana ia memberi kesan positif dalam sebuah kehidupan bermasyarakat.

Perlakuan yang berlaku antara dua pihak iaitu golongan yang memohon atau menerima sumbangan dengan penyumbang sumbangan akan memupuk kesatuan, perasaan saling bantu-membantu dan wujudnya tautan kasih-sayang dan mahabbah sesama mereka.

Firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan... (al-Maidah: 2)

Pelbagai faktor yang mendorong seseorang mencari bantuan atau sumbangan. Faktor-faktor tersebut ada yang bersifat tetap dan ada pula yang bersifat mendadak atau tidak diduga. Contohnya:

1) Faktor ketidakupayaan, kefakiran, dan kemiskinan yang dialami oleh orang-orang yang mengalami kesulitan untuk memenuhi keperluan keluarga seharian.

Mereka memang tidak mempunyai gaji tetap atau sumber-sumber kehidupan yang lain. Mereka sendiri tidak memiliki keterampilan atau keahlian khusus yang dapat mereka manfaatkan untuk menghasilkan wang. Seumpama mereka ialah anak-anak yatim, golongan kurang upaya yang tidak mampu berkerja.

2) Faktor kegawatan ekonomi dihadapi oleh golongan yang mengalami kerugian harta cukup besar.

Contohnya seperti para pengusaha yang muflis. Mereka memerlukan bantuan kerana sedang mengalami kesulitan ekonomi secara mendadak sehingga tidak mampu membiaya keluarganya.

3) Faktor musibah yang menimpa suatu keluarga atau masyarakat seperti kebakaran, banjir, gempa bumi, penyakit menular mengakibatkan mereka terpaksa memohon bantuan atau sumbangan.

4). Faktor-faktor yang tidak disangka-sangka seperti golongan yang secara mendadak harus menanggung hutang kepada berbagai pihak tanpa sanggup membayarnya, menanggung anak yatim dan seumpamanya.

Pada prinsipnya, Islam menggalakkan umatnya mendapatkan sesuatu dari sumber yang bersih dan jauh dari sumber syubhat. Nabi SAW juga menganjurkan kita untuk berusaha dan mencari sumbangan dalam apa saja bentuknya, selama ia halal dan baik, tidak ada syubhat, tidak ada keharaman dan tidak dengan meminta-minta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak sekali-kali menerima kecuali suatu yang baik sahaja. (riwayat Ahmad, Muslim dan al-Tirmidzi)

Sebagai umat Islam, kita juga disunnahkan untuk ta'affuf (memelihara diri daripada meminta-minta). Hal ini sebagaimana yang firman Allah yang bermaksud: (Apa yang kamu infakkan adalah) untuk orang-orang fakir yang terhalang (usahanya kerana jihad) di jalan Allah sehingga dia tidak dapat berusaha di bumi; (orang lain) yang tidak tahu, menyangka bahwa mereka adalah orang-orang kaya kerana mereka menjaga diri (dari minta-minta). Engkau (Muhammad) mengenal mereka dari ciri-cirinya, mereka tidak minta secara paksa kepada orang lain. Apa pun harta yang baik yang kamu infakkan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 273).

Rasulullah SAW sangat menggalakkan sikap suka memberi, sama ada atas nama sedekah, hadiah, sumbangan, hibah atau sebarang bantuan dan pertolongan.

Hal ini disebutkan dalam sabda baginda yang bermaksud, Nabi SAW suatu hari keluar untuk mengerjakan sembahyang hari raya, lalu baginda bersembahyang dua rakaat. Dan baginda tidak pernah melakukan sembahyang (hari raya) sebelum ia diperintahkan dan sekalipun selepasnya. Kemudian baginda dan bersamanya Bilal pergi ke tempat sekumpulan perempuan dan menyuruh mereka agar bersedekah, maka (atas perintah itu) seorang perempuan menanggalkan gelang dan kalungnya untuk disedekahkan. (riwayat Al-Bukhari)

Kesimpulannya boleh memohon dan menerima sumbangan berbentuk wang tunai daripada individu perseorangan atau sesiapa sahaja yang tidak mempunyai kepentingan peribadi.

Begitu juga boleh memohon dan menerima sumbangan daripada syarikat atau agensi dengan syarat bentuk sumbangan yang dimohon atau diterima itu selamat dari unsur haram dan tidak menimbulkan fitnah (orang lain menganggap ia rasuah).

Golongan yang menyumbang dengan rela hati memberi sumbangan tersebut dan golongan yang memohon dan menerima sumbangan berbesar hati dan bersyukur.

Dinasihatkan agar pihak mengelakkan diri daripada memohon sumbangan dari individu perseorangan dan syarikat-syarikat yang berkepentingan di sebalik sumbangan itu yang diberikan.

Jika sumbangan yang diterima tersebut akan merosakkan syiar Islam, mengakibatkan keburukan semakin bertambah, rasuah berleluasa maka diharamkan untuk memohon apatah lagi menerimanya.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 20/11/2009

Tuesday, November 17, 2009

Hak-hak berkaitan sebelum pembahagian harta pusaka menurut Islam

Dalam syariat Islam, sebelum dilaksanakan pembahagian pusaka kepada ahli waris, maka hendaklah terlebih dahulu diselesaikan hak-hak yang berkaitan dengan tārikah . Secara umumnya jumhur ulama berpendapat terdapat lima hak ke atas harta peninggalan yang perlu diselesaikan secara tertib atau berperingkat-peringkat iaitu:

2.4.1 Hak Perhutangan yang Ditanggung oleh Harta Si Mati

Maksud hak perhutangan yang ditanggung oleh harta si mati ialah keadaan harta yang masih terikat dengan orang lain walaupun zahirnya adalah milik si mati. Misalnya seperti barang gadaian dan juga haiwan ternakan milik si mati yang telah merosakkkan tanaman orang lain, maka kedua-duanya tergolong di dalam kategori ini. Sehubungan dengan itu, maka menjadi kewajipan tanggungjawab ahli waris si mati umtuk melunaskan gadaian dan membayar gantirugi kerosakan yang dilakukan oleh haiwan ternakan. Hal ini perlu dilaksanakan dengan segera oleh para waris setelah kematian si mati mengikut pandangan jumhur ulama. Pada pendapat sebahagian ulama madhhab Hanafi berpendapat hak perhutangan yang tertanggung ke atas harta sebagai hak pertama yang wajib dilunaskan oleh para waris. Jika semua harta si mati habis kerana melunaskan perkara tersebut, maka si mati dianggap tidak meninggalkan harta.

Selain daripada dua contoh di atas, sebahagian urusan muamalat semasa juga termasuk di dalam kategori ini iaitu seperti melunaskan caruman takaful sebagai syarat memperolehi manfaat, menjelaskan baki hutang ke atas harta yang digadaikan ketika membeli, membayar gantirugi untuk mendapatkan wang deposit si mati, dan sebagainya. Oleh itu, harta-harta yang pernah digadaikan oleh si mati semasa hidupnya, maka ahli waris si mati mestilah terlebih dahulu menebus harta tersebut sebelum harta itu dijadikan sebagai harta pusaka untuk mereka yang berhak menerimanya.

2.4.2 Mengeluarkan Perbelanjaan Untuk Menyelenggarakan dan Menguruskan Pengkebumian Si Mati

Hak kedua yang perlu didahulukan sebagai hak-hak si mati sebelum membahagikan harta pusaka ialah menggunakan harta peninggalan si mati untuk perbelanjaan bagi menguruskan pengkebumian si mati seperti membeli kain kapan, membayar upah memandikan si mati dan peralatannya, upah menggali kubur, keranda mengusung, serta sebagainya. Pemberian kepada orang yang menyembahyangkan jenazah yang biasanya dua ringgit atau lima ringgit seorang adalah tidak dikira sebagai belanja pengkebumian yang wajib. Oleh itu, ia tidak boleh diambil daripada harta si mati. Begitu juga bagi mereka yang membuat ratib tahlil, misalnya satu hari, tiga hari, tujuh hari, dan sebagainya ia bukanlah satu perkara yang wajib. Oleh itu perbelanjaan mengadakannya tidak boleh dianggap sebagai belanja pengkebumian.

Para ulama fiqh menegaskan bahawa perbelanjaan untuk menyelenggarakan dan menguruskan si mati mulai dari saat kematiannya hingga ke saat pengkebumiannya mestilah diambil daripada harta peninggalannya mengikut ukuran yang sederhana sahaja, tidak berlebih-lebihan, dan tidaklah pula tersangat kurang. Jika berlebih-lebihan di dalam perbelanjaan pengurusan dan penyelenggaraan si mati, maka sudah pasti akan mengurangi hak ahli waris. Sebaliknya jika tersangat kurang, maka sudah tentu pula akan mengurangi hak si mati. Kedua-dua ini adalah berlawanan dengan kehendak syarak. Kesederhanaan dalam membelanjakan harta telah ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya iaitu:

Maksudnya:

“Dan orang-orang (yang diredhai Allah itu) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah berlebihan dan tiada pula kikir; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah di tengah-tengah di antara kedua-duanya demikian”.

2.4.3 Membayar Hutang-Hutang Mutlak Si Mati

Hak si mati yang ketiga yang perlu diselesaikan oleh ahli-ahli warisnya setelah mengkebumikan si mati iaitu menjelaskan bayaran hutang-hutang yang masih menjadi tanggungan si mati. Hutang-hutang yang masih menjadi tanggungan si mati ada dua kategori iaitu hutang-hutang si mati kepada Allah dan hutang-hutang si mati kepada manusia.

1) Hutang-Hutang Si Mati Kepada Allah

Jumhur ulama telah berpendapat bahawa hutang-hutang Allah adalah berkaitan dengan apa yang ditinggalkan oleh si mati. Mengikut pendapat yang asah (أصح) dalam mazhab As-Syafi’i telah menyatakan bahawa hutang kepada Allah seperti zakat, kifarat, dan haji hendaklah didahulukan ke atas hutang kepada manusia. Pendapat mereka berdalilkan kepada hadis daripada Ibnu ‘Abbas R.A iaitu:

أن امرأة أتت رسول الله صلى الله عليه وسلم فقالت إن أمي ماتت وعليها صوم شهر فقال أرأيت لو كان عليها دين أكنت تقضينه قالت نعم قال فدين الله أحق بالقضاء

Maksudnya:

“Sesungguhnya seorang wanita telah datang kepada Rasulullah S.A.W maka dia berkata: Jika ibuku telah meninggal dunia, adakah ke atasnya puasa (bulan Ramadhan). Maka Rasulullah berkata: Adakah kau berpendapat kalau ke atasnya hutang, adakah kau akan menggantikannya (qadha’ puasa). Maka berkata wanita itu: Ya. Maka Rasulullah S.A.W bersabda: Maka hutang Allah berhak diganti”.

Setelah si mati telah meninggal dunia, hak yang perlu dilaksanakan oleh ahli warisnya ialah membayar zakat harta-harta si mati yang telah sempurna dari segi haul dan nisab, cukup syarat-syarat untuk dikeluarkan, dan zakat tersebut belum sempat dikeluarkannya. Maka wajib menjadi tanggungjawab ahli warisnya bagi mengeluarkan zakatnya sebelum harta pusaka tersebut dibahagi-bahagikan di antara mereka.

Namun bagi pendapat Abu Hanifah bagi Madhhab Hanafi telah berpendapat bahawa telah gugur pembayaran zakat bagi orang-orang yang telah mati. Hal ini disebabkan beliau berpandangan bahawa hutang-hutang kepada Allah merupakan ibadat-ibadat wajib yang mesti wujud niat dan ikhtiar. Maka si mati tidak dapat lagi melakukan kedua-duanya kerana ia telah gugur tanggungan atas kematiannya. Namun begitu jika si mati ada mewasiatkan kepada waris-warisnya bahawa dirinya masih ada hutang dengan hak-hak Allah, maka itu wajib dilaksanakan oleh warisnya. Jika tidak mewasiat atau tidak sempat mewasiatkan perkara itu, maka segalanya kehendak Allah untuk mengazab atau mengampunkan si mati dengan keadilan-Nya.

Sekiranya si mati mempunyai tanggungan kifarat, contohnya seperti si mati pernah bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadhan namun tidak sempat melaksanakan kifarat tersebut, maka wajiblah ke atas waris-waris menyelesaikannya. Jika si mati ketika hayatnya mempunyai nazar untuk melakukan perkara tabarru’, akan tetapi beliau meninggal dunia sebelum sempat menunaikan nazarnya, maka itu juga tanggungjawab para waris untuk menyempurnakan nazarnya.

Di samping itu, jika si mati semasa hayatnya masih belum menunaikan haji yang wajib ke atasnya, maka waris-waris hendaklah menguruskan upah haji si mati. Dan sekiranya si mati sepanjang hidupnya pernah meninggalkan puasa fardhu di bulan Ramadhan ataupun tidak sempat mengqadha’kannya akibat sakit, maka wajib ke atas waris-waris si mati membayar fidyah puasa si mati.

2) Hutang-Hutang Si Mati Kepada Manusia

Hutang-hutang si mati kepada manusia adalah merangkumi hal muamalat yang pernah dilakukannya namun tidak sempat menyelesaikannya iaitu seperti berhutang untuk meminjam wang atau harta dan si mati pernah membuat pembelian secara tangguh. Ahli waris mestilah menggunakan harta pusaka peninggalan si mati untuk menjelaskan hutang-hutang si mati yang masih belum dibayar sebelum harta tersebut dibahagi-bahagikan kepada mereka yang berhak menerimanya. Hal ini disebabkan hutang-hutang yang ditanggung oleh si mati akan mengakibatkan rohnya tergantung jika tidak diselesaikan hutang tersebut. Hal ini jelas di dalam hadis Rasulullah S.A.W yang telah diriwayatkan daripada Abū Hurairah iaitu:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah r.a telah berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan”.

Bagi mereka yang mempunyai piutang pula hendaklah memberitahu dengan segera kepada ahli waris si mati mengenai jumlah hutang si mati dan menunjukkan bukti atau saksi sebelum harta pusaka tersebut dibahagi-bahagikan di kalangan ahli waris tadi. Hal ini sudah jelas di dalam adab muamalat berhutang bagi si penghutang dan pemiutang melalui firman Allah SWT iaitu:

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.

Sekiranya jumlah hutang si mati itu lebih banyak daripada harta pusakanya, maka pembayaran hutang itu hendaklah dicukupkan dengan harta pusakanya yang ada. Dalam masalah ini, jika ahli waris secara bersama ingin untuk membayar hutang si mati itu atau salah seorang daripada mereka dengan kerelaan hati sanggup menjelaskan semua hutang si mati (ataupun sebahagiannya sahaja) maka perbuatan tersebut merupakan kebajikan bagi ahli waris tersebut. Perlulah diingati juga di sini bahawa perbuatan si pemiutang menuntut hutang bukanlah merupakan satu kewajipan hukum yang mesti dituntut olehnya kepada ahli waris si mati. Jika si pemiutang sanggup menghalalkan segala hutang-hutang yang pernah dipinjam oleh si mati, maka tindakan itu adalah lebih baik dan ia merupakan kebajikan bagi si pemiutang tersebut.

2.4.4 Melaksanakan dan Menyempurnakan Wasiat Si Mati

Mengenai wasiat yang dibuat oleh orang yang telah meninggal dunia sewaktu dirinya masih hidup dalam kadar yang dibenarkan oleh syarak, iaitu tidak lebih daripada satu pertiga harta tārikah setelah diambil dan ditolak perbelanjaan menyelenggara serta menguruskan pengkebumian si mati, dan juga setelah dibayar hutang-hutang yang masih menjadi tanggungan si mati. Wasiat menurut pandangan ulama madhhab syafici juga merupakan pemberian atau sumbangan sama ada harta itu sendiri atau manfaatnya oleh seseorang kepada pihak lain setelah dirinya meninggal dunia bertujuan untuk melakukan amal kebajikan (tabarru’). Wasiat (yakni kurang satu pertiga daripada harta) tidaklah memerlukan kepada persetujuan di kalangan ahli waris, bahkan wasiat itu adalah sah tanpa persetujuan mereka.

Akan tetapi jika wasiat itu lebih daripada satu pertiga daripada harta tārikah, maka wasiat yang lebih daripada kadar yang ditetapkan itu tidak diluluskan oleh hukum syarak dan tidak sah, melainkan dengan keredhaan dan izin persetujuan ahli-ahli waris. Hal ini adalah berhujahkan dengan hadis melalui sabda Rasulullah SAW kepada sahabatnya iaitu Sacad bin Abī Waqas mengenai pertanyaan beliau semasa dirinya sakit yang berbunyi:

جاءني رسول الله صلى الله عليه وسلم يعودني عام حجة الوداع من وجع اشتد بي فقلت يا رسول الله قد بلغ بي من الوجع ما ترى وأنا ذو مال ولا يرثني إلا ابنة لي أفأتصدق بثلثي مالي قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لا فقلت فالشطر قال لا ثم قال رسول الله صلى الله عليه وسلمالثلث والثلث كثير إنك أن تذر ورثتك أغنياء خير من أن تذرهم عالة يتكففون الناس

Maksudnya:

“Diriwayatkan daripada Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Pada waktu Haji Wida' Rasulullah s.a.w menziarahiku ketika aku sedang sakit tenat. Waktu itu aku berkata: Wahai Rasulullah, lihatlah keadaan aku yang berada dalam keadaan tenat ini sebagaimana yang kamu lihat, sedangkan aku ini seorang hartawan dan hanya seorang anak perempuan sajalah yang akan mewarisi harta saya. Adakah saya boleh mengeluarkan sedekah dua pertiga dari harta saya? Baginda menjawab: Tidak! Aku bertanya lagi: Bagaimana kalau sebahagiannya? Baginda menjawab: Tidak! Tetapi satu pertiga dan satu pertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan papa dan meminta-minta kepada orang lain”.

Di dalam perbincangan mengenai mendahulukan wasiat terlebih dahulu atau mendahulukan membayar hutang perlu lebih diutamakan, maka timbul kemusykilan mengenainya ketika mana merujuk pada nas firman Allah ayat 11 surah An-Nisa' secara zahir iaitu:

Daripada sesudah wasiat yang dia wasiatkan dengannya atau (dibayar) hutang. Ayat di dalam surah An-Nisa’ ayat 11 tersebut secara terang mendahulukan hak wasiat berbanding dengan hutang. Walau bagaimanapun pentafsiran sesuatu ayat Al-Quran mesti dikaji mengikut adabnya iaitu mentafsirkan sesuatu hukum Al-Quran dengan hadis Rasulullah S.A.W selepas tidak terdapat nas-nas Al-Quran yang menyatakan tentang hukum tersebut. Maka para ulama telah mendapati terdapat hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan lain-lain iaitu:

عن الحارث عن علي أن النبي صلى الله عليه وسلم قضى بالدين قبل الوصية وأنتم تقرون الوصية قبل الدين قال أبو عيسى والعمل على هذا عند عامة أهل العلم أنه يبدأ بالدين قبل الوصية

Maksudnya:

Daripada Al-Harith meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a katanya: “Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W telah memutuskan bahawa membayar hutang itu mendahului wasiat, dan kamu semua membaca (ayat Al-Quran) bahawa menunaikan wasiat itu sebelum membayar hutang”. Telah berkata Abu cIsa bahawa telah beramal para ahli ilmu dengan mendahulukan membayar hutang sebelum (menunaikan) wasiat.

Persoalan yang akan timbul mengapa di dalam firman Allah S.W.T mendahulukan wasiat daripada hutang. Hal ini telah diperjelaskan oleh Imam al-Kasaniy di dalam kitabnya Bada’ic As-Sona’ic bahawa adapun hikmah daripada mendahulukan wasiat pada sebutan ke atas membayar hutang di dalam ayat berkenaan merupakan peringatan daripada Allah S.W.T kepada kita supaya wajib melaksanakan wasiat orang yang telah meninggal dunia jika wasiat itu tabarruc. Bagi pendapat Imam al-Sancaniy pula telah menjawab persoalan tersebut dengan berkata:

“Imam al-Suhayliy telah menjawab persoalan ini dengan berkata: Sesungguhnya tujuan wasiat adalah untuk membuat kebaikan dan menghubungkan silaturahim sesama manusia manakala hutang pula adalah untuk melunaskan tanggungjawab si mati, maka mendahulukan wasiat untuk menunjukkan kebaikan si mati itu tentu lebih baik”.
Sesungguhnya wasiat merupakan satu perbahasan yang cukup panjang dan teliti sehinggakan para ulama fiqh meletakkannya satu bab khusus di dalam penulisan mereka. Memandangkan penulis hanya ingin mengupas tentang hak-hak berkaitan dengan harta peninggalan, maka apa tang dibincangkan sudah memadai sebagai pendedahan awal untuk mengetahui hak keempat ini.

2.4.5 Hak Membahagikan Harta kepada Para Waris

Sesudah menyelesaikan empat hak harta peninggalan si mati yang telah dibincangkan sebelum ini, maka baki harta yang tinggal tersebut merupakan harta pusaka atau istilah fuqaha’ dikenali sebagai al-mīrāth atau al-fara’id. Maka hak kelima ini adalah untuk menentukan bahagian-bahagian yang boleh diwarisi oleh waris-waris si mati sebagaimana yang ditetapkan Allah S.W.T di dalam Al-Quran dan hadis-hadis baginda S.A.W.

Bagi menepati kehendak syariat dari segi pembahagian pusaka tersebut, maka pihak yang membahagikan harta tersebut hendaklah mengetahui rukun perwarisan, sebab-sebab perwarisan, syarat perwarisan, halangan-halangan perwarisan, ahli waris dan bukan waris, cara pembahagian dan kadar bahagian, serta sebagainya sepertimana yang dijelaskan oleh para ulama di dalam bab al-fara’id.

Rujukan

Mohd Ali bin Mohd Yusuf & Dr. Basri bin Ibrahim, Kajian Hak-Hak Berkaitan Harta Peninggalan: Satu Sorotan, Kertas Kerja Prosiding Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat, dan Wakaf, anjuran MAIDAM & Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, 18 &19 Oktober 2008.

Al-Bujairimiy, Sulaimān bin cUmar bin Muhammad, Hāsyiyyah Al-Bujairimiy cala Sharh Minhaj At-Tullab (At-Tajrid linafci Al- c abid), Dār An-Nasyar, Turki, t.th,

Muhammad bin Ahmad bin Muhammad cAlish, bab al-faraid , Manh Al-Jalil Syarh calā Mukhtasar Sayyid Khalil , juz 9, Dar Al-Fikr, beirut, 1984 M/ 1409 H,

Wan Abdul Halim bin Wan Harun, Pengurusan dan Permbahagian Harta Pusaka, cetakan pertama, Dawama Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 2006,

As-Syarbiniy, Shamsuddin Muhammad bin Al-Khatib, Mughnī Al-Muhtaj ilā Macrifati Macānī Alfaz Al-Minhaj calā Matn Minhaj At-Tōlibīn, juz 3, Dar al-Macrifah, beirut, 1997

Muslim, sahih, Imam Abī Husīn Muslim bin Al-Hajjaj Al-Qusyairiy An-Nisāburiy, Bab Al-Qadha’ As-Shiyam cani Al-Mayit, Sahih Muslim, Dar Ihyā’ Al-Kutub Al-cArabiyyah, Kaherah, t.th,

Wahbah Az-Zuhaylīy, Al-Fiqh Al-Islāmīy Wa Adillatuhū, jilid 8, Dar al-fikr, beirut, 2000

Daud, Ahmad bin Muhammad Ali, Al-Huqūq al-Mutacāliqah bi al-Tarikah bayna al-Fiqh wa al-Qānūn: al-Tajhiz wa Ad-Duyūn wa Al-Wisōyā wa Al-Mirāth wa taqsimānihā, Dar As-Saqāfah lil nasyar wa al-Tawzic, Amman, 2006

Al-Hashim,Abdul Rahim bin Ibrahim bin Abdul rahman As-Sayyid, Al-Wajiz fi al-Fara’id, Dar Ibn Al-Jauziy, Riyadh, 1993,

CAbdullah al-Jaburīy dan cAbdul Haq Hamīsh, Ahkām al-Mawārīth wa al-Wasōyā fī Sharīcah al-Islamiyyah, cetakan pertama, Jāmicah As-Syāriqah, Emiriyah Arab Bersatu, 2007

At-Tirmidhī, Abī cIsa Muhammad bin cIsa bin Sūrah, Kitab al-Janā’iz cani Rasulillah Sallallahu calaihi Wasallam, al-Jāmic al-sahih wahuwa Sunan At-Tirmidhī, jilid 4, Dar al-Kutub Al-cIlmiyah, beirut, t.th,

Al-Husainīy Al-Hisonīy, Taqiyuddin Abī Bakr bin Muhammad Al-Dimasyqī As-Syaficī, Kifāyatul Akhyār fī Hala Ghāyati Al-Ikhtisār, Dar al-Kutub Al-cIlmiyah, beirut, 2001

An-Nawawī, Abī Zakariyā Muhyiddin bin Syaraf, Kitāb Al-Wasōyā, Kitāb Al-Majmūc Syarh al-Muhazzab lil Shīrāzīy, juz 16, Maktabah Al-Irshad, Jeddah, t.th,

Imam Malik bin Anas bin Malik, Bab Al-Wasiyyah fī Ath-Thuluth Lā Tactadīy, Muwatta’ Malik, juz 1, Dar Ihyā’ Al-culum Al-cArabiyyah, kaherah, 1994 M/1414 H

Al-Kasaniy, Abu Bakar Mascud bin Ahmad, Bada’ic As-Sona’ic fi Tartib Shara’ic, jilid 7, Dar al-Kutub Al-cIlmiyah, beirut, 1986,

Al-Sancaniy, Muhammad bin Ismail, Subul al-Salam, jilid 3, Dar al-Kutub Al-cIlmiyah, beirut, 1988,

Sumber : Mahir Danial Blogspot
Tarikh : 17/11/2009