Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Sunday, November 2, 2008

Contohi kaum lain mencarum dalam insurans

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Muttalib mengingatkan orang Melayu mencontohi kaum lain yang memperuntukkan sebahagian pendapatan mereka untuk mencarum dalam skim insurans sebagai persiapan menghadapi musibah.

Menurutnya, tahap kesedaran terhadap kepentingan mencarum di kalangan orang Melayu masih rendah walaupun semakin banyak institusi insurans bercirikan Islam wujud di negara ini.

Malah ujarnya, terdapat segelintir orang Melayu memandang remeh skim insurans yang menyebabkan mereka menghadapi masalah kewangan apabila mengalami musibah.

”Orang Melayu perlu akur skim insurans penting sebagai persiapan perlindungan diri yang paling berkesan pada waktu kritikal seperti kemalangan, perubatan dan persiapan pendidikan.

”Orang Melayu usah bersikap terlalu konservatif dalam soal ini kerana mereka mempunyai banyak pilihan untuk menyertai skim insurans yang berteraskan Islam,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan cek Skim Insurans Kemalangan Skim Rondaan Sukerala (SRS) Takaful Ikhlas bernilai RM18,000 kepada seorang ibu tunggal, Badariah Talib, 47, di Kampung Kuala Sentol di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Projek Insurans Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Shahrul Azmi Ab. Rahman.

Badariah adalah ibu kepada Allahyarham Muhamad Fikri Norzilan, 22, seorang anggota SRS KRT Taman Sri Sentol yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Paya Pasir pada 4 Julai lalu.

Ismail berkata, kurangnya kesedaran itu menyebabkan ramai orang Melayu tidak mengambil peduli terhadap kepentingan skim insurans.

Katanya, polisi skim insurans ini amat penting kerana kos perubatan kini semakin meningkat.

”Sebagai contoh, waris Muhamad Fikri mendapat faedah daripada polisi yang diambil oleh Allahyarham membolehkan keluarganya menerima pampasan sebanyak RM18,000,” katanya.

Ismail menjelaskan, skim insurans bukan bermaksud membayar harga nyawa tetapi sebagai perlindungan kewangan untuk kegunaan waris bagi meneruskan kehidupan mereka.

Beliau turut memuji komitmen Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang menyediakan skim insurans Jawatankuasa KRT dan SRS.

Katanya, skim insurans yang disediakan kepada ahli KRT itu membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap individu yang melakukan aktiviti sukarela di kawasan kampung.

Ismail menegaskan, pendekatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang menyediakan skim insurans kepada ahli KRT, secara langsung mendidik orang Melayu terhadap kepentingan polisi insurans.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 2/11/2008