Friday, January 16, 2009

Gagal peroleh harta isteri dibunuh

Oleh Erywan Norshal

SHAH ALAM - Bekas eksekutif Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz, yang dituduh membunuh isterinya sembilan tahun lalu, gagal mendapat harta peninggalan wanita itu selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menghalangnya mewarisi harta berkenaan.

Hakim Syarie Saarani Ismail membenarkan permohonan Amanah Raya Berhad (plaintif) untuk menghalang Muhamad Suhaimi, 49, (defendan pertama) mendapat tiga bahagian daripada peninggalan harta arwah isterinya, Faizah Arshad berjumlah RM319,445.02.

Saarani berkata, keputusan itu dibuat selepas mengguna pakai pendapat mazhab Syafie yang menjadi amalan di Selangor.

Menurutnya, keputusan turut dibuat bagi menjaga kepentingan keluarga arwah Faizah yang lebih berhak terhadap harta itu.

“Mahkamah turut membenarkan satu permohonan teratur untuk pembahagian harta kepada pihak yang layak dan memerintahkan kos ditanggung Muhamad Suhaimi selepas ia ditaksirkan ketua pendaftar mahkamah,” katanya.

Saarani dalam penghakimannya berkata, keempat-empat mazhab iaitu Imam Hanafi, Imam Hanbali, Imam Syafie dan Imam Malik sepakat bahawa seseorang pembunuh dihalang mewarisi harta, tetapi berbeza berpendapat berhubung pembunuhan yang dilakukan.

Katanya, walaupun Muhamad Suhaimi dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan dengan alasan tidak siuman, dia tidak dinafikan terbabit dengan pembunuhan berkenaan.

Menurutnya, mahkamah bersetuju dengan hujahan dikemukakan peguam syarie yang mewakili ibu bapa dan tiga anak mangsa bahawa alat digunakan pembunuh boleh disabitkan dengan niat membunuh.

“Dalam kes ini, laporan mengatakan defendan pertama menggunakan pisau dan konsisten dengan pendapat mazhab Imam Syafie bahawa alat yang dikategorikan sebagai alat pembunuh iaitu tajam dan boleh memotong daging atau benda keras. Jadi ini boleh dikategorikan sebagai bunuh dengan niat.

“Mahkamah bersetuju mengikut Imam Syafie bahawa seorang pembunuh adalah terhalang mewarisi harta peninggalan mangsa termasuk mereka tidak siuman.

“Selain itu, pendapat ini adalah untuk menjaga hubungan kekeluargaan pewaris kerana pembunuh boleh dikatakan cuba mempercepatkan pewarisan harta kepadanya,” katanya.

Selepas keputusan itu, Muhamad Suhaimi yang memakai kemeja putih dan seluar coklat terus meninggalkan mahkamah dan enggan ditemuramah wartawan manakala ibu bapa Faizah serta tiga anaknya tidak hadir pada prosiding.

Bagaimanapun, peguam syarie Musa Awang yang mewakili Muhamad Suhaimi ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu anak guamnya kecewa dengan keputusan itu berikutan terpaksa menanggung kos.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu arahan daripada Muhamad Suhaimi sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Plaintif diwakili peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar, manakala peguam syarie Hairunnajmi Najmuddin mewakili lima defendan iaitu ibu bapa Faizah, Arshad Shafie, 81, (defendan dua) dan Mariam Abdul Latif, 74, (defendan tiga) serta tiga anak pasangan terbabit.

Mereka ialah Muhamad Fariz, 18, (defendan empat); Muhamad Syafiq, 16, (defendan lima) dan Sarah, 13, selaku defendan enam.

Sebelum ini, Amanah Raya Berhad pada Februari tahun lalu mengemukakan permohonan untuk membatalkan sijil pembahagian harta (faraid) bertarikh 13 Oktober 2000 berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Plaintif memohon mahkamah mengeluarkan sijil perakuan harta yang baru dengan mengeluarkan Muhamad Suhaimi sebagai penerima pusaka harta arwah isterinya Faizah Arshad bernilai RM319,445.02.

Plaintif mendakwa si mati iaitu Faizah meninggal dunia pada 25 September 1995 dan sah di sisi hukum syarak dia sebagai isteri Muhamad Suhaimi, tetapi kematiannya itu disebabkan tindakan Muhamad Suhaimi membunuhnya.

Muhamad Suhaimi menikam mati Faizah, pegawai sumber manusia Petronas Carigali, dalam bilik air di rumah mereka di Bukit Damansara pada 3 petang.

Dia bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan itu atas alasan kurang siuman dan menjalani rawatan pemulihan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong sehingga 4 Okt 2007. Dia kini menjalani hidup seperti biasa di bawah jagaan bapanya di Terengganu.

Sumber: Harian Metro
Tarikh: 16/1/2009

0 komen:

Post a Comment