Thursday, January 29, 2009

Suami fail rayuan ketepi keputusan kes harta isteri

SHAH ALAM: Bekas ahli geologi Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz, memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini menggugurkan namanya daripada senarai penerima harta peninggalan isterinya, berjumlah RM319,445.02.

Notis rayuan yang difailkan melalui peguam Musa Awang, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini, pagi semalam, merayu keputusan mahkamah pada pada 15 Januari lalu yang membenarkan permohonan Amanah Raya Berhad (ARB) mendapat perintah menggugurkan kelayakan Muhamad Suhaimi menerima pusaka Pegawai Sumber Manusia Petronas Carigali, Faizah Arshad.

Hakim Syarie Saarani Ismail memerintahkan nama bekas Eksekutif Petronas Carigali yang dibebaskan daripada tuduhan membunuh isterinya 10 tahun lalu, digugurkan daripada senarai pewaris harta milik isterinya.

Sementara itu, Musa berkata, anak guamnya mengemukakan rayuan itu bagi mendapat keadilan dan bukan semata-mata mendapatkan harta isterinya.

Katanya, walaupun Mahkamah Tinggi Jenayah dan Mahkamah Rayuan Sivil sudah membuat keputusan Muhamad Suhaimi tidak bersalah dalam kes pembunuhan isterinya sendiri, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah menggambarkan sebaliknya.

“Beliau kurang berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah, seolah-olah mahkamah itu tidak mengakui apa yang diputuskan di Mahkamah Sivil,” katanya.

Musa berkata, selepas notis rayuan berkenaan difailkan, Mahkamah Tinggi Syariah akan memberikan alasan penghakiman dan dalam tempoh 14 hari selepas menerima alasan penghakiman itu, pihaknya akan memfailkan alasan permohonan mereka.

Katanya, perkara itu akan didengar di hadapan tiga panel yang diketuai Hakim Datuk Ibrahim Lembut.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 29/1/2009

0 komen:

Post a Comment