Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Friday, December 31, 2010

Kunta Kinte: Hutang cepat, bayar liat

KUNTA Kinte dah selalu cakap pasal hutang. Kalau boleh jangan berhutang. Tapi kalau terpaksa juga, hutanglah ikut kemampuan.

Jangan hutang banyak semata-mata kerana ada kedai televisyen, bank, syarikat kerjasama atau syarikat kad kredit yang sedia bagi.

Sekarang ini, walaupun kerajaan dan Bank Negara kata nak kawal kegiatan hutang melalui kad kredit, tapi Kunta Kinte tengok kegiatan keluarkan kad kredit oleh bank komersial dan promosi guna kad kredit makin menjadi-jadi.

Boleh kata tak ada hari, pengeluar kad kredit tak hantar pesanan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) promosi itu dan promosi ini. Bank pun nampaknya tak fikir lagi soal seseorang itu mampu atau tak mampu guna kad kredit. Asal ada alamat atau nombor telefon mereka akan tawar.

Amalan dan kegiatan bagi hutang macam inilah yang Kunta Kinte rasa antara punca orang kita berhutang terlalu banyak sampai tak mampu bayar balik atau jadi tabiat berhutang, tapi tak mahu bayar balik.

Maaf cakaplah, Kunta Kinte dah banyak kali jadi mangsa kepada manusia jenis ini. Manusia yang berhutang, tapi lepas itu batang hidung pun tak nampak. Telefon tak jawab. Hantar surat tak jawab. Cari di pejabat, pejabat tutup. Duit hilang, kawan pun hilang.

Masa nak pinjam bukan main lagi. Anak nak masuk universiti la. Kurang duit nak bayar gaji pekerja la. Nak pinjam seminggu dua sebelum bank keluarkan pinjaman la. Kalau gula manis, manis lagi mulut orang yang minta pinjam duit kita.

Ini bukan calang-calang orang. Ada pegawai tinggi kerajaan. Ada eksekutif syarikat penerbangan. Ada jutawan yang ada syarikat di Bursa Malaysia. Semua Islam. Semua Melayu. Semua kawan baik. Sudah-sudah duit hilang, kawan lesap.

Kunta Kinte ikut teladan Allahyarham ayah Kunta Kinte. Dasar dia, biar kita tinggal sehelai sepinggang, tapi hutang wajib dibayar. Jadi bila dia kembali ke rahmatullah dua tahun lalu, dia tak ada sekeping tanah pun. Semua habis dijual untuk sara anak-anaknya belajar dan untuk bayar hutang. Yang tinggal harta pusaka emak yang tidak disentuh.

Tak kira kita hutang siapa – hutang kawan, hutang bank, hutang kerajaan – kita wajib bayar. Tak payahlah Kunta Kinte bagi ceramah agama pasal beratnya tanggungan hutang. Kalau ada lagi orang Islam yang tak faham mengenai beratnya beban orang yang berhutang, susahlah nak mengaku Islam.

Lebih-lebih lagilah hutang daripada sebuah tabung pusingan yang diwujudkan khas untuk biayai pelajaran macam hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Pinjaman Pelajaran MARA.

Malangnya, tak kira Islam, tak kira ada ijazah, tak kira belajar dalam negara atau luar negara, tak kira anak orang senang atau anak orang susah, ramai yang mungkir janji dan pecah amanah bila sampai masa bayar balik hutang.

Kunta Kinte baca satu laporan yang kata jumlah pinjaman PTPTN sepatutnya dibayar balik berjumlah RM2.12 bilion yang babitkan 597,066 peminjam. Daripada jumlah itu, RM1.02 bilion telah berjaya dikutip balik. Baki yang tertunggak sebanyak RM1.09 bilion. Siapa yang liat bayar balik? Seramai 73.2 peratus adalah Melayu yang berhutang RM798 juta, 16 peratus Cina (RM174.05 juta), 4.7 peratus India (RM51.0 juta) dan 6.2 peratus kaum lain dengan hutang tertunggak RM67.3 juta.

Maaf cakaplah, Kunta Kinte malu dengan sikap peminjam Islam/Melayu ini. Susah kita nak hormat orang macam ini, tak kira tinggi macam mana pun ijazah mereka dan di universiti mana mereka belajar. Bagi Kunta Kinte, orang yang tak bayar hutang, tak boleh percaya.

Katalah apa pun, hutang tetap hutang. Duit pembayar cukai yang mereka pinjam wajib bayar balik. Kalau kita biar mereka ‘songlap’ duit PTPTN atau duit Tabung Pinjaman MARA, lama-lama habislah. Sepatutnya, bukan saja mereka bayar hutang, malah mereka patut ambil giliran bantu pula pelajar yang tak mampu.

Tapi apa nak buat. Kita boleh mengeluh dan meratap. Sistem keluarga, masyarakat, pendidikan dan politik kita nampaknya telah gagal hasilkan insan yang amanah, berhemah dan bermaruah. Tak hairanlah dibagi pinjaman dia tak bayar balik. Dibagi kerja, dia curi tulang. Dibagi amanah dia pecah amanah. Dibagi kuasa dia salah guna kuasa. Maruah dia tak kira. Yang dia kira rasuah.

Bagi orang macam ini, dia hanya tahu hukuman dan paksaan. Malu dia tak malu lagi. Jadi Kunta Kinte harap semua pihak, termasuklah Kementerian Pengajian Tinggi, berhentilah daripada berdolak-dalik pasal hutang PTPTN ni.

Buatlah apa pun. Gunakanlah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau mana-mana agensi kerajaan potong gaji, rampas harta atau senarai hitamkan makhluk-makhluk berpelajaran tinggi, namun tak ada maruah dan perasaan.

Orang yang ada pelajaran tapi tak ada ilmu dan tak ada akhlak macam inilah yang buat orang lain susah. Orang macam ini sebenarnya tak boleh dipakai. Buat malu agama dan bangsa saja. Kalau nak kata Kunta Kinte cabul, katalah. Tapi Kunta Kinte tak tahan sangat dengan orang yang pandai berhutang, tapi liat nak bayar. Yang makan cabai melaka tu rasa-rasalah pedasnya.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 31/12/2010

Wednesday, December 29, 2010

Peguam Syarie Menulis: Kerangka akta kewangan Islam masih kabur

Oleh : Mohamad Isa Abd Ralip

Sistem terus dibayangi kuasa sivil mengikut Perlembagaan Persekutuan

MALAYSIA muncul sebagai pemain sistem kewangan Islam yang rancak dan komprehensif sejak pertengahan tahun 80-an sejajar penggubalan Akta Bank Islam (ABI) 1983 dan Akta Pelaburan Kerajaan 1983, membolehkan transaksi perbankan dan kewangan Islam mengikut prinsip syariah.

Hal ini dikembangkan dengan kewujudan perlindungan insurans melalui Akta Takaful (AT) 1984. Pindaan Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989 memasukkan Seksyen 124 pula telah melebar luaskan Sistem Perbankan Islam (SPI) ke dalam bank konvensional.

Kewujudan Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 kemudian menjadikan sistem kewangan Islam maju setapak lagi terutama dalam pasaran modal Islam. Namun, di sebalik graf kemajuan ini, sistem kewangan Islam masih dibelenggu pelbagai halangan terutama dalam aspek perundangan.

Kerangka perundangannya masih kabur dan terus dibayangi kuasa sivil yang diberi Perlembagaan Persekutuan dan bukannya atas prinsip syariah.

Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menubuhkan Mahkamah Syariah seperti peruntukan Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri), Perlembagaan Persekutuan.

Namun, bidang kuasa diberikan kepada Mahkamah Syariah terhad kepada skop tertentu dan terpakai ke atas orang Islam saja. Bidang kuasa jenayah terhad kepada kesalahan jenayah yang tidak melebihi hukuman tiga tahun penjara, denda RM 5,000, enam kali sebatan atau gabungannya.

Walaupun begitu, pindaan perlembagaan dalam Perkara 121 (1A) yang memisahkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil sedikit sebanyak memberi ruang kepada Mahkamah Syariah untuk beroperasi tanpa gangguan.

Pindaan pada 1988 ini menyatakan Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun, timbul persoalan sama ada kewangan Islam termasuk dalam bidang kuasa khas Mahkamah Syariah.

Jawapannya tidak. Sehingga kini, semua kes berkaitan kewangan Islam dibicarakan di Mahkamah Sivil. Inilah sesuatu yang malang bagi sistem kewangan Islam di negara kita kerana Mahkamah Sivil menjadi pemutus bagi pertikaian membabitkan undang-undang Islam.

Kerangka perundangan bagi sistem kewangan Islam di Malaysia sebenarnya tertakluk kepada kuasa persekutuan seperti dinyatakan dalam Perlembagaan, bermakna ia tertakluk kepada undang-undang diluluskan Parlimen sebelum boleh beroperasi.

Antara isu berkaitan kewangan Islam adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam kes muamalat. Kes Bank Islam Malaysia Berhad vs Adnan Bin Omar (1994), Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa membabitkan orang Islam saja.

Justeru, Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa mendengar kes itu kerana pelanggan bank juga terdiri daripada orang bukan Islam. Malah, bank Islam adalah sebuah badan korporat dan tidak dianggap seseorang yang menganut Islam.

Ini bermakna Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa mendengar kes itu. Malah, ABI 1983 dan AT 1984 sendiri tidak memperuntukkan sebarang bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk bertindak dalam pertikaian berkaitan muamalah Islam.

Sistem kewangan Islam di Malaysia tidak mempunyai undang-undang atau akta lengkap untuk beroperasi. Ia hanya diurus selia beberapa akta khas seperti ABI 1983 dan AT 1984 menyebabkan kewangan Islam masih bergantung harap kepada akta sivil untuk beroperasi.

Hal ini menyebabkan berlaku pertentangan antara akta dengan prinsip syariah. Contohnya, prinsip syariah melarang berlakunya dua kontrak dalam satu akad. Namun, Akta Sewa Beli 1967 membenarkan akad seperti itu.

Sebab itulah, institusi kewangan Islam menawarkan produk sewa beli menggunakan kontrak al-Ijarah Thumma al-Bay’ (sewa diikuti dengan pembelian) atau al-Ijarah Muntahiyah bi Tamlik (sewa berakhir dengan pemilikan).

Selain itu, ada isu Penafsiran Kontrak Kewangan Islam dengan Kontrak Konvensional seperti kes Tinta Press Sdn Bhd vs Bank Islam (M) Bhd (1987), mahkamah mentafsirkan kontrak dipakai adalah sewaan sedangkan bank menggunapakai kontrak al-Ijarah dalam urus niaga antara mereka.

Mahkamah lebih selesa berhujah mengenai faedah dalam kontrak sedangkan BBA menggunakan prinsip keuntungan. Dalam kedua-dua kes ini, mahkamah tidak merujuk kontrak kepada muamalat dan prinsip syariah, sebaliknya merujuk kepada peraturan yang wujud dalam sistem konvensional.

Kajian berkaitan sistem kewangan Islam oleh Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UiTM Shah Alam mencadangkan diwujudkan kerangka perundangan sistem kewangan Islam yang lebih menyeluruh dan bertepatan kehendak syariah.

Bidang tugas Mahkamah Syariah perlu diperluaskan untuk mendengar kes muamalat Islam kerana hakim dibantu peguam syarie yang terlatih dengan prinsip syariah.

Perkara 74 (2) dan Jadual Kesembilan, Senarai I (Senarai Persekutuan) dan akta berkaitan perlu dipinda supaya undang-undang Islam secara menyeluruh termasuk sistem muamalat Islam dimasukkan dalam Senarai Persekutuan.

Ini bagi membolehkan sistem kewangan Islam dapat beroperasi dan Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa mendengar kes berkaitan kewangan dan muamalat Islam membabitkan pelanggan Islam atau bukan Islam.

Cadangan pindaan perlembagaan dan akta tertentu perlu diamati pihak berwajib supaya sistem perbankan dan kewangan Islam dapat beroperasi berlandaskan kehendak syariah sepenuhnya, tanpa mencampuradukkan sistem perundangan Islam dan sivil seperti sekarang.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 29/12/2010

PNB: Pulangan dipengaruhi pasaran

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) yakin mampu memberikan pulangan yang kompetitif kepada pemegang unit amanahnya pada tahun depan sekiranya keadaan pasaran saham tempatan menunjukkan prestasi lebih baik.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, para penganalisis pasaran saham tempatan menjangkakan penanda aras indeks FBM KLCI bakal mencecah paras 1,600 mata pada tahun hadapan.

''Sekiranya ia berlaku, ia akan memberi kesan positif kepada keadaan ekonomi dan membantu PNB berada dalam prestasi lebih baik.

''Apabila prestasi yang ditunjukkan baik, PNB dapat memberikan pulangan kompetitif kepada pemegang unit amanah kami,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pengumuman agihan pendapatan Skim Amanah Saham Nasional (ASN) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010, di sini hari ini.

Tambah Hamad Kama Piah, pertumbuhan ekonomi juga dijangka melebihi paras enam peratus pada tahun hadapan ekoran kesan positif yang diterima daripada pasaran semasa.

''Namun ia masih bergantung kepada pasaran saham secara menyeluruh iaitu perkembangan pasaran global dan tempatan,'' jelasnya.

Secara keseluruhan, Hamad Kama Piah berkata, beliau berpuas hati dengan pulangan yang diberikan kepada pemegang unit pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan Amanah Saham 1Malaysia (AS1Malaysia), Hamad Kama Piah berkata, setakat ini sebanyak 4.45 bilion saham tersebut telah dilanggan dengan tiga bilion unit bagi kaum Cina telah habis dijual.

''Buat masa ini, kuota bumiputera dan kaum India masih lagi belum habis dijual. Peluang masih terbuka bagi mereka untuk memiliki unit amanah AS1Malaysia ini,'' tambahnya.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 29/12/2010

Friday, December 24, 2010

Berhutang untuk haji?

Oleh : SITI AINIZA KAMSARI

DEMIKIANLAH maksud di sebalik bacaan Talbiah (Labaikka Allahumma Labaik) yang dilaung-laungkan oleh para jemaah haji selama mereka berada di Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Iaitu bermula selepas berniat ihram di miqat sehinggalah melontar jamrah Kubra atau sehingga melakukan tawaf rukun.

"Datang kerana menyahut panggilan Mu" itu tentu sekali mempunyai implikasi daripada aspek syarie dan falsafah haji itu sendiri.

Dari aspek syarie soal kedatangan ke Tanah Suci itu berkait rapat dengan soal kemampuan. Ini sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 97.

Tidak dinafikan soal kemampuan seseorang itu untuk mengerjakan haji sering mendapat perhatian pelbagai pihak apabila tidak kurang merasakan mereka perlu berhutang untuk menunaikan haji. Jika tidak berhutang sampai bila-bila pun mereka tidak mungkin berpeluang menunaikan haji.

Sementelah usia masih muda, badan masih sihat dan kuat, apa perlunya menunggu ke Tanah Suci kerana bimbang jika pergi pada usia bersara atau tua, badan sudah tidak kuat untuk menghadapi pelbagai cabaran fizikal dan mental yang menunggu di Mekah mahupun Madinah.

Di tambah lagi 'seruan telah sampai' dan keinginan telah membuak-buak dan tidak boleh ditahan-tahan lagi. Maka pergi tetap pergi walaupun terpaksa berhutang.

Dalam masalah ini pendakwah bebas terkenal, Datuk Daud Che Ngah berkata Islam telah menetapkan mengenai soal kemampuan untuk menunaikan haji itu adalah bebas daripada berhutang.

Begitu pun hukum berhutang untuk menunaikan haji adalah harus, dibolehkan pergi. Malah, jika ibadat itu dapat dilakukan dengan baik maka tentunya sahaja ibadat haji itu sah.

"Ini sebagaimana resolusi yang dicapai dalam Muzakarah Ibadat Haji Tahun 2006 menerusi pembentangan sebuah kertas kerja mengenai berhutang untuk mengerjakan haji.

"Berhutang dibenarkan apabila si peminjam didapati mempunyai cagaran, iaitu dalam bentuk simpanan dalam Skim Perkeso, Caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), elaun saraan (pencen), ganjaran pekerjaan dan sebagainya.

"Semua ini dapat menampung hutang terutama apabila si peminjam ini tadi ditakdirkan tuhan meninggal dunia di Tanah Suci semasa mengerjakan haji," katanya.

Maka ia tidak akan meninggalkan beban kepada waris untuk membayar hutang haji kerana si mati ada meninggalkan simpanan dalam akaun-akaun tersebut.

"Si peminjam mempunyai jaminan dalam bentuk wang cuma tidak sampai masa untuk dikeluarkan," katanya.

Namun, tegas Daud, hutang si mati tidak boleh dilunaskan berdasarkan tuntutan insurans nyawa.

"Kecuali jika melalui Insurans Takaful kerana ia menepati kehendak-kehendak syariat berbanding insurans konvensional dikhuatiri mengandungi unsur gharar," katanya.

Maka yang penting berhutang itu tidak melanggar perkara yang haram dan tidak akan membebankan orang lain.

"Seeloknya andai berlaku kematian, yang ditinggalkan harta untuk waris bukannya hutang yang boleh membebankan pula kepada orang lain untuk menanggungnya," katanya.

Begitupun kata Daud, berhutang untuk mengerjakan haji bukan sebahagian daripada falsafah dan keindahan pengajaran daripada ibadat haji itu sendiri.

"Ini sebagaimana yang Allah telah tegaskan dalam surah di atas tadi, iaitu soal kemampuan. Walaupun wajib seseorang itu mengerjakan haji jika dia mampu. Andai tidak mampu maka boleh ditangguhkan sehingga dia benar-benar mampu tanpa perlu berhutang," katanya.

Ini kerana apabila membicarakan soal 'berkuasa' untuk mengerjakan haji terdapat 12 syarat di dalamnya.

Antaranya termasuklah mestilah jemaah itu seorang Islam, berakal (tidak gila), baligh (capai umur mukalaf), bukan hamba sahaya (merdeka) dan berkuasa (mampu) dengan lain perkataan bukan berhutang.

"Berkuasa di sini pula sama ada dengan pertolongan orang lain dan kedua dengan kemampuan diri sendiri.

"Kemampuan diri sendiri ini tertakluk kepada syarat; ada perbelanjaan yang halal, ada kenderaan untuk pergi dan balik, ada tambang menambang (kos pengangkutan), sihat tubuh badan, aman dalam perjalanan dan berkesempatan dari aspek masa," kata Daud.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 24/12/2010

Wednesday, December 22, 2010

Konsortium Pengendali Takaful dilancar

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Konsortium Pengendali Takaful Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi membantu penjawat awam mendapatkan tawaran skim perlindungan mampu milik.

Konsortium yang dibentuk hasil daripada perbincangan CUEPACS bersama Dar Al Istithmar Sdn. Bhd. itu melibatkan lima syarikat pengendali Takaful iaitu Takaful Malaysia Sdn. Bhd., Takaful Ikhlas Sdn. Bhd., Etiqa Insurans dan Takaful, MAA Takaful Bhd serta Hong Leong Tokio Marine Takaful Bhd (HLTM Takaful).

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, hasil daripada pembentukan konsortium itu, skim Takaful Kasih 1CUEPACS berjaya diwujudkan dan kini sedia untuk disertai oleh penjawat awam.

"Pembentukan konsortium ini selain membantu penjawat awam mendapatkan tawaran skim perlindungan mampu milik turut bertujuan menyediakan tabungan sewaktu berlaku bencana atau malapetaka," katanya.

Perdana Menteri dalam majlis itu turut menyaksikan upacara menandatangani persefahaman (MoU) pembentukan konsortium berkenaan di antara Dar Al Istithmar Sdn. Bhd. dan lima syarikat pengendali takaful tersebut.

Omar menambah, pembentukan konsortium itu turut bakal membantu penjawat awam untuk berjimat dan merancang kewangan.

"Ia juga membuktikan bahawa CUEPACS tidak hanya bertindak sebagai badan pendesak semata-mata dan bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.

"Sebaliknya, ia mempunyai program yang konkrit, terancang, terurus serta berkesan dalam membantu penjawat awam melalui program tertentu," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 22/12/2010

Monday, December 20, 2010

KWSP menang anugerah inovasi ICT

KUALA LUMPUR 20 Okt - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memenangi dua anugerah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) - Anugerah Inovasi Enterpris IDC 2010 dan Anugerah Inovasi Proses Terbaik, Persatuan Perkongsian Panduan Anugerah ICT Malaysia 2010.

Kedua-dua anugerah itu adalah bagi projek elektronik-Pilihan Pelaburan Ahli (ePPA) yang menggantikan sistem operasi manual untuk permohonan pengeluaran oleh pencarum KWSP yang dilaburkan dalam unit amanah.

"Kami bangga menerima anugerah itu yang mencerminkan kejayaan kami mengetengahkan tahap perkhidmatan kami kepada pelanggan menerusi inovasi teknologi seperti projek ePPA," kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol dalam kenyataannya hari ini.

Menerusi pelaksanaan ePPA, beliau berkata, sebanyak 99 peratus permohonan diproses dengan jayanya antara satu dan lima hari.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, sebanyak 93 peratus diluluskan dalam tempoh dua hari manakala satu peratus permohonan mengambil masa lebih lima hari.

Azlan berkata, selain kejayaan penting dalam kecekapan dan produktiviti, ePPA juga menawarkan penjimatan kos yang ketara kepada KWSP berbanding transaksi secara manual.

Anugerah Inovasi Enterpris IDC yang berpejabat di Singapura, yang menerima penyertaan daripada organisasi terkemuka dari seluruh Malaysia, memperakui syarikat yang menggunakan inovasi IT untuk membangunkan perniagaan secara lebih kompetitif dan berkekalan.

Persatuan Perkongsian/Panduan (Malaysia) ialah kumpulan pengguna IT dan persatuan bukan mementingkan keuntungan, dengan anggota persatuan terdiri daripada pengguna teknologi dan perkhidmatan IT.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 20/12/2010

Friday, December 17, 2010

Kepentingan melantik pemegang amanah urus, tadbir harta pusaka

AmanahRaya organisasi bertanggungjawab sebagai pemegang amanah

MINGGU ini kita akan memperkatakan satu lagi elemen penting yang perlu difahami oleh umat Islam iaitu pemegang amanah.

Pemilihan pemegang amanah penting dan kebanyakan umat Islam kurang faham mengenainya atau ada yang sudah maklum tetapi masih keliru akan keperluannya.

Apa yang jelas, pemilihan untuk melantik pemegang amanah perlu dilakukan dengan cara yang betul kerana pemegang amanah mempunyai tugas serta tanggungjawab berat dan peranannya amat penting.

Pemegang amanah ialah pihak yang diberi kepercayaan melaksanakan amanah diberi dan berdasarkan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995, amanah itu termasuk kewasian atau hal tadbir.

Dalam soal ini, umat Islam perlu memastikan sesiapa juga dipilih daripada orang perseorangan, syarikat amanah atau institusi masjid sebagai pemegang amanah, perlu benar-benar mengetahui dan memahami tanggungjawab yang bakal dipikul.

Sesiapa saja boleh dipilih sebagai pemegang amanah selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak dan mampu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan adil. Bagaimanapun, adalah lebih baik syarikat amanah milik penuh kerajaan, AmanahRaya dilantik pemegang amanah.

Ini kerana AmanahRaya tidak mempunyai kepentingan peribadi dan mendapat jaminan kerajaan serta selaras dengan objektif penubuhannya sebagai organisasi yang menunjukkan rasa tanggungjawab sosial dengan memberikan perhatian kepada kepentingan komuniti Malaysia.

Sejarah sendiri membuktikan pentingnya peranan pemegang amanah dalam menjaga dan memastikan kebajikan, kesinambungan kehidupan serta kesejahteraan rakyat pada semua peringkat tanpa mengenal agama atau bangsa selepas kematian anggota keluarga.

Menyedari kepentingan ini, AmanahRaya, jabatan khas diwujudkan sejak 1921 sewaktu pemerintahan Inggeris kekal sehingga negara mencapai kemerdekaan.

AmanahRaya ditubuhkan di bawah akta Pemegang Amanah Raya 1950 (Akta 247) dan Pegawai Pentadbir Pusaka sebuah jawatan statutori diwujudkan di bawah Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

Pada 1 Ogos 1995, jabatan ini dikorporatkan di bawah Akta Syarikat 1995 dan diperbadankan di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995, dikenali sebagai Amanah Raya Berhad.

Ikuti keterangan lanjut mengenai pemegang amanah pada minggu hadapan.

INFO: Fungsi dan kuasa AmanahRaya (Seksyen 12, Akta 532)

• Perbadanan boleh dilantik menjadi pemegang amanah apa-apa wasiat atau berian atau suratcara lain yang mewujudkan amanah atau untuk melaksanakan apa-apa amanah atau kewajipan yang tergolong dalam kelas dibenarkan untuk menerima, dan boleh dilantik sedemikian sama ada wasiat atau berian atau suratcara lain yang mewujudkan amanah atau kewajipan itu dibuat atau mula berkuatkuasa sebelum atau selepas tarikh ditetapkan, dan sama ada sebagai pemegang amanah asal atau baru, atau sebagai pemegang amanah tambahan, dalam hal sama dan dengan cara sama dan oleh orang atau mahkamah yang sama seolah-olah ia adalah orang persendirian yang bertindak atas sifat itu.

• Walaupun pada hakikatnya mana-mana wasiat, berian atau suratcara lain yang mewujudkan amanah atau kewajipan membuat peruntukan bagi atau mengarahkan atau menghendaki perlantikan dua pemegang amanah atau lebih, Perbadanan boleh dilantik dan bertindak dengan sah sebagai pemegang amanah tunggal.

• Jika Perbadanan telah dilantik sebagai pemegang amanah apa-apa amanah, seorang pemegang amanah bersama boleh bersara daripada amanah itu di bawah dan mengikut seksyen 43 Akta pemegang amanah 1949, walaupun tidak terdapat lebih daripada dua orang pemegang amanah dan tanpa apa-apa persetujuan yang dikehendaki oleh seksyen itu.

• Perbadanan tidak boleh dilantik sama ada sebagai pemegang amanah baru atau tambahan jika wasiat, berian atau suratcara lain yang wujudkan amanah atau kewajipan itu mengandungi arahan yang bertentangan, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

• Notis mengenai apa-apa cadangan perlantikan Perbadanan sama ada sebagai pemegang amanah baru atau tambahan hendaklah, jika praktik, diberikan kepada semua orang yang mempunyai kepentingan benefisial yang bermastautin di Malaysia dan yang alamat mereka diketahui oleh orang yang bercadang membuat perlantikan itu, atau, jika benefisari itu ialah orang yang belum dewasa, kepada penjaga mereka.

• Jika mana-mana orang yang kepadanya notis itu telah diberikan memohon kepada mahkamah dalam tempoh 21 hari dari penerimaan notis itu, mahkamah boleh, jika setelah mengambil kira kepentingan semua benefisiari ia memikirkan bahawa adalah suaimanfaat dibuat sedemikian, membuat perintah melarang perlantikan itu dibuat.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 17/12/2010

Tuesday, December 14, 2010

Kes tuntutan harta Siti Fairuz tangguh 13 Jan.

SHAH ALAM – Prosiding tuntutan harta sepencarian dan mutaah hampir RM2 juta oleh penyanyi terkenal 80-an, Siti Fairuz sekali lagi ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Peguam syarie, Zuri Zabudin Budiman yang mewakili bekas suaminya Siti Fairuz, Muhamad Zainuddin Kordi, 46, memberitahu pemberita bahawa penyanyi itu kini berada di luar negara.

Sehubungan itu menurut beliau, Penolong Pendaftar Masroha Duki menetapkan 13 Januari depan untuk kedua belah pihak menandatangani terma perjanjian persetujuan berhubung tuntutan sepencarian.

Siti Fairuz atau nama sebenarnya Siti Fairus Sheikh Mohamed, 46, disahkan bercerai secara taklik dengan pembantu teknik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 14 Julai 2008.

Lafaz yang berbunyi: ‘‘Kalau you nyanyi lagi, jatuh talak,’’ itu yang dibuat kira-kira 15 tahun lalu disabitkan taklik oleh mahkamah kerana ia dengan niat menceraikan Siti Fairuz.

Penyanyi itu dikatakan melanggar taklik tersebut apabila menyanyi di Pentas Lanai Seni di sini kira-kira pukul 8.30 malam, 30 Mac 2008.

Antara harta sepencarian yang dituntut adalah enam bidang tanah di Subang Indah, Petaling Jaya; Tiara Beach Resort, Port Dickson; Bukit Merah Lake Town, Perak; Damansara dan Sungai Buloh serta empat rumah di Mutiara Damansara, Bandar Sri Damansara dan Shah Alam.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 14/12/2010

Friday, December 10, 2010

Pewasiat disaran semak, kemas kini wasiat

Kandungan dalam wasiat umpama hati dan jantung wasiat

WASIAT adalah satu instrumen yang amat mudah dimiliki, diterima dan dilaksanakan apabila umat Islam memahami semua tuntutan syarak serta peranan wasiat itu sendiri. Wasiat akan menjadi masalah apabila masih ramai di kalangan umat Islam tidak dapat menerima hakikat bahawa kandungan wasiat adalah kehendak pewasiat sendiri.

Lazimnya, situasi ini timbul apabila rasa ketidakpuasan dalam pembahagian yang seolah-olah tidak berpihak kepada ahli waris yang berhak. Keadaan sedemikian tidak dapat dielakkan kerana kurang pemahaman terhadap kandungan wasiat itu sendiri. Ada kalanya boleh menjadi lebih buruk dan berpanjangan jika tidak ditangani segera dan secara bijaksana.

Apakah sebenarnya berlaku? Kebiasaannya perkara ini membabitkan kandungan wasiat itu sendiri. Oleh itu, umat Islam mesti faham bahawa kandungan wasiat itu amat penting sama pentingnya dengan kadar 1/3 yang ditetapkan dan dibincangkan pada minggu lalu.

Mengapakah kandungan wasiat itu penting? Kandungan dalam wasiat itu adalah umpama hati dan jantung wasiat. Kedudukannya amat penting kerana ia juga pesanan terakhir oleh pewasiat sebelum kematian. Bagaimana penting kandungan Wasiat maka umat Islam wajar mengikut apa yang dilakukan oleh umat Islam sebelum itu.

Menurut satu riwayat daripada Abdul Razak sesungguhnya Anas r.a berkata yang bermaksud: “Mereka (sahabat) menulis pada wasiat mereka: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ini adalah Wasiat Fulan bin Fulan bahawa dia bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan tiada sekutu bagi-Nya. Dia juga bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya. Dia juga bersaksi bahawa hari kiamat pasti akan tiba dan Allah akan membangkitkan manusia dari kubur.

Dia mewasiatkan ahli keluarganya yang masih tinggal agar takutkan Allah dan saling memelihara hubungan mereka. Hendaklah mereka mentaati Allah dan rasul-Nya sekiranya mereka orang-orang yang beriman. Dia mewasiatkan mereka sebagaimana wasiat Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub kepada keturunan mereka...”

Oleh itu adalah wajar untuk kita memulakan kandungan wasiat seperti yang dilakukan oleh kalangan sahabat.

Apabila seseorang itu merancang untuk menulis wasiat ia selalunya membabitkan dua perkara utama iaitu harta pewasiat yang dimiliki sewaktu hayat dan juga harta pewasiat selepas kematian pewasiat. Keadaan ini berlaku kepada harta yang dimiliki oleh pewasiat dan bagaimana ia ingin diwasiatkan.

Masalah ini membabitkan; kadar sebenar harta yang ada pada pewasiat ketika pewasiat membuat wasiat atau harta yang hanya diketahui atau sebaliknya atau termasuk harta tambahan yang diperoleh yang tidak diketahui oleh pewasiat selepas kematian. Situasi begini sering berlaku kerana kadar harta yang semakin susut.

Terdapat perselisihan di kalangan fuqaha mengenai perkara itu di mana menurut jumhur fuqaha’ termasuk mazhab Syafie dan Hanafi, pewasiat tidak disyaratkan mengetahui kadar sebenar harta yang ada pada masa dia membuat wasiat kerana harta sebenar yang diambil kira adalah harta yang ada pada waktu kematiannya.

Apabila ini berlaku, kesan positif yang dapat dilihat dengan jelas adalah terbentuk dan wujudnya sekatan secara automatik dalam wasiat dengan kadar yang ditetapkan iaitu 1/3 saja daripada harta peninggalan pewasiat.

Ini adalah formula yang amat sempurna di mana sebagai pewasiat keadaan berwasiat dapat dilaksanakan dan tidak bertentangan dengan kehendak syarak.

Pewasiat berupaya menyatakan keinginan dengan berwasiat dan dalam masa yang sama dapat memelihara kebajikan hak ahli waris ke atas harta peninggalan itu.

Dalam banyak keadaan ada kalanya pewasiat secara sedar atau tidak dan berkemungkinan boleh menafikan harta peninggalannya kepada waris yang berhak dengan melepaskan semua hartanya atau mengurangkan bahagian mereka hingga menjejaskan kadar bahagian mereka dalam bentuk lain atau menggunakan instrumen lain yang dibenarkan.

Sekiranya ini benar-benar berlaku maka pewasiat boleh mengambil pendekatan untuk mendapatkan pandangan secara profesional dan PERCUMA daripada syarikat milik penuh Kerajaan seperti AmanahRaya Berhad (AmanahRaya) dan anak syarikatnya, AmanahRaya Legacy Services Sdn Bhd (AmanahRaya Legacy).

AmanahRaya Legacy adalah anak syarikat milik penuh AmanahRaya yang ditubuhkan khas untuk tujuan memberi khidmat runding cara profesional kepada umat Islam antaranya, mencadang dan merangka wasiat secara sistematik serta dalam masa yang sama menepati kehendak syarak dan juga yang paling utama mentadbir harta pusaka berwasiat.

AmanahRaya tidak mempunyai kepentingan peribadi. Oleh demikian, ia akan sentiasa berusaha memberi khidmat terbaik, tanpa berbelah bagi atau berat sebelah secara profesional kepada umat Islam semasa hayat dan selepas kematian pewasiat tanpa menjejaskan kepentingan mana-mana pihak.

Ada kalanya terdapat dalam kandungan wasiat di mana pewasiat gagal menjelaskan kadar yang hendak diwasiatkan. Ada juga wasiat yang tidak menjelaskan kadar sebenar yang sepatutnya diterima oleh penerima wasiat.

Bagaimanapun, masalah ini diharap dapat dielakkan dengan mendapatkan khidmat runding cara secara profesional daripada kakitangan AmanahRaya.

AmanahRaya Legacy kerap kali melaksanakan promosi khas kepada pewasiat untuk mengemas kini maklumat terkini atau meminda wasiat sedia ada. Promosi ini memberi peluang pewasiat mengemas kini butiran masing-masing seperti butiran peribadi dan keluarga, senarai harta baru atau yang sudah tiada, hutang yang sudah dijelaskan atau hutang baru, kehendak amal jariah ataupun sedekah dan lain-lain.

Promosi ini juga memberi kesempatan kepada pewasiat untuk menyerahkan dokumen penting untuk simpanan AmanahRaya Legacy atau direkodkan. Proses mengumpul, menyenarai dan menyemak semula dokumen sokongan adalah satu proses yang remeh dan tidak ramai yang suka melakukannya. Lebih-lebih lagi untuk datang ke pejabat AmanahRaya sendiri. Oleh itu juga maka kakitangan AmanahRaya sentiasa bersedia untuk menemui pewasiat secara peribadi sekiranya diperlukan.

Semuanya boleh dilakukan dan diuruskan dengan sempurna, teratur dan berdasarkan piawaian antarabangsa. AmanahRaya Legacy untuk setanding syarikat antarabangsa, bekerjasama dengan Institute of Professional Will Writers, United Kingdom, mengadakan siri latihan, peperiksaan dan kursus Pembangunan Profesional Berterusan. Ini bagi memastikan semua kakitangan AmanahRaya Legacy mendapat pendedahan tentang Perkhidmatan Penulisan Wasiat yang diiktiraf dan mengikut piawaian antarabangsa.

Oleh demikian, semua pewasiat perlu mengambil peluang mengemas kini maklumat atau membuat pindaan kepada wasiat masing-masing sekiranya perlu pada bila-bila masa dan AmanahRaya Legacy mengadakan promosi khas pengemaskinian maklumat dan pindaan Wasiat pada bulan Disember ini. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan keinginan pewasiat dilindungi begitu juga dengan semua ahli waris yang berhak.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 10/12/2010

Friday, December 3, 2010

Umat Islam patut faham kadar maksimum wasiat 1/3 jumlah harta

Pewasiat perlu bincang pembahagian pastikan hak waris tak diabai

PEMBAHAGIAN harta pusaka melalui faraid adalah wajib mengikut bahagian yang ditetapkan kerana pembahagian faraid mengutamakan keadilan hakiki kepada ahli waris yang berhak. Pengetahuan mengenainya penting terutama ketika membuat perancangan kadar diperuntukkan untuk diwasiatkan.

Umat Islam dinasihatkan supaya mendalami perkara itu supaya faham mengenai keperluan dan ketetapan pembahagian faraid serta tujuannya.

Saad Bin Abu Waqqas berkata: Telah datang Rasulullah SAW untuk melihatku sedang aku berada di Makkah. Aku berkata: Wahai Rasulullah, apakah aku harus mewasiatkan semua hartaku. Baginda menjawab: Tidak. Aku berkata: Sebahagiannya. Baginda menjawab: Tidak. Aku berkata: Sepertiga. Baginda menjawab: Ya, sepertiga dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebaik berlaku kematian seseorang umat Islam, semua harta peninggalan si mati yang dimiliki secara sah akan diklasifikasi sebagai hak milik semua ahli waris yang sah. Hak itu sudah diperjelas sebelum ini, begitu juga kadar pembahagian harta pusaka yang dijelaskan dalam al-Quran.

Persoalan yang sering timbul adalah bolehkah kita mewasiatkan lebih daripada 1/3? Ada juga yang musykil kenapa 1/3 dan tidak 1/2? Inilah antara dilema umat Islam yang bukan hanya terjadi hari ini tetapi sejak dulu lagi sewaktu wasiat diperkenalkan.

Meskipun terdapat maklumat mengenai kadar yang boleh diwasiatkan, masih ramai yang samar-samar dan kabur mengenainya.

Kadar harta yang dibolehkan untuk diwasiatkan terbahagi kepada dua keadaan iaitu apabila pewasiat mempunyai waris dan pewasiat tidak mempunyai waris.

Menurut jumhur fuqaha (selain Zahiri dan Maliki), apabila seseorang itu mewasiatkan melebihi 1/3, maka wasiat itu tidak berkuat kuasa kecuali apabila semua ahli waris yang berhak memberi persetujuan.

Jika berlaku percanggahan keputusan dalam kalangan ahli waris, ada yang menerima, membantah atau menolak kehendak yang melebihi kadar itu, maka pelaksanaan wasiat masih boleh dilakukan secara terhad.

Pelaksanaan wasiat hanya mengambil kira bahagian membabitkan waris yang bersetuju saja sementara waris yang tidak bersetuju akan mendapat bahagian masing-masing.

Oleh itu, jika umat Islam berhasrat untuk berwasiat lebih daripada 1/3, kehendak ini boleh dilakukan tetapi pada saat pembahagian masih perlu mendapat persetujuan daripada semua ahli waris. Tujuan utama persetujuan untuk memastikan hak waris dilindungi dan tidak terabai atas sebab bertentangan hukum syarak.

Apa yang penting semasa membuat perancangan terakhir, pewasiat digalakkan berbincang dengan waris mengenai keinginan ini supaya mereka memahaminya.

Contohnya, seorang ayah ingin memberi bahagian lebih kepada anak angkat yang menjaga dan menanggung keperluan hidup sewaktu hayatnya. Cara ini memungkinkan semua waris memberi persetujuan atau sebaliknya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain. (Hadis riwayat Abu Daud)

Semua pihak terutama pewasiat dan waris memikul amanah besar dalam soal wasiat. Sebagai pewasiat, sebenarnya kadar 1/3 yang dibenarkan sudah mencukupi dan dianggap banyak seperti dijelaskan Rasulullah SAW.

Walaupun sudah ditetapkan kadar maksimum harta yang boleh diwasiatkan iaitu 1/3, masih wujud perbezaan pendapat dalam kalangan sahabat tetapi fuqaha bersetuju kadar sebaik-baiknya untuk berwasiat adalah tidak melebihi kadar maksimum.

Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali tidak berwasiat dengan kadar 1/3, keduanya berwasiat hanya sekadar 1/5 daripada harta mereka. Manakala Saidina Umar berwasiat dengan kadar 1/4 bahagian daripada hartanya.

Menurut Qatadah, sebaik-baik berwasiat adalah dengan kadar 1/5 bahagian harta dan demikian juga pendapat ahli fiqh Basrah. Al-Shabi menyatakan kebanyakan ulama cenderung dengan kadar 1/4 dan 1/5 daripada bahagian harta saja.

Oleh demikian, semua waris bertanggungjawab untuk membuat keputusan secara bersama apabila terdapat kehendak wasiat yang melebihi kadar 1/3.

Persetujuan yang dicapai sama ada bersetuju atau sebaliknya pada lebihan kadar membawa makna yang berbeza. Apabila dipersetujui bermakna wasiat itu sah dan berkuat kuasa. Sebaliknya, jika berlaku waris tidak bersetuju, maka kadar melebihi 1/3 akan terbatal dan tidak sah.

Walau bagaimanapun, menurut mazhab Maliki dan Zahiri, wasiat melebihi 1/3 tidak boleh berkuat kuasa sekalipun jika mendapat persetujuan waris.

Untuk itu, peranan waris untuk memperkasa wasiat amat mulia lagi terpuji. Apatah lagi dengan memberi persetujuan bersama supaya hasrat pewasiat dapat disempurnakan secara ikhlas dan reda untuk mendapat manfaat dan ganjaran pahala berterusan dari Allah.

Ada juga kes pewasiat tidak mempunyai waris pada saat kematiannya. Menurut mazhab Hanafi, wasiat itu sah sementara pendapat jumhur menyatakan wasiat melebihi 1/3 adalah tidak harus secara mutlak kerana membabitkan hak orang Islam.

Kesedaran dan kefahaman mengenai wasiat perlu sebati dalam diri umat Islam supaya pelaksanaan wasiat menjadi lebih mudah, dapat menjauhi perpecahan institusi keluarga dan tidak menzalimi mana-mana pihak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya. (Hadis riwayat Al-Bahari dan Muslim)

Bersambung minggu depan.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 3/12/2010

Wednesday, December 1, 2010

Produk takaful disasar berkembang 15 peratus

KUALA LUMPUR - Produk takaful keluarga di Malaysia dijangka terus berkembang pada kadar 15 peratus tahun ini didorong oleh peningkatan sentimen pengguna dan kekuatan produk itu sendiri.

Pasaran takaful di Malaysia dan beberapa negara lain, secara amnya amat menarik kerana 65 peratus daripada produknya dibeli oleh orang bukan Islam, kata Dr. Manfred J. Dirrheimer, Pengerusi FWU AG yang merupakan peneraju perniagaan takaful dunia.

Beliau berkata, ini menunjukkan produk takaful itu mampu dijual, bukan kerana kepercayaan agama sahaja tetapi sebaliknya kerana ia mempunyai struktur yang kukuh dan menguntungkan.

Dirrheimer berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk 'Meneroka Potensi di dalam Insurans Hayat/ Perniagaan Takaful Keluarga sempena Konvensyen Pelaburan Syariah Antarabangsa' di sini hari ini.

''Pengguna sebenarnya melihat kepada kelebihan dan ketelusan sesuatu produk sebelum membuat sebarang keputusan dan faktor inilah yang menjadi kekuatan kepada produk takaful,'' katanya.

Dirrheimer juga meramalkan industri takaful global secara keseluruhan akan berkembang lima kali ganda dalam tempoh 10-15 tahun akan datang.

Beliau meramalkan pertumbuhan lebih besar bagi pasaran Arab Saudi iaitu sebanyak 40 hingga 50 peratus manakala Emiriah Arab Bersatu pada sekitar 30 peratus.

Dirrheimer juga menjelaskan, produk takaful keluarga mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding produk konvensional.

''Terdapat perubahan berbanding tiga atau empat tahun lalu dan jika dilihat penguasaan pasaran produk insurans keluarga semakin kehilangan penguasaan pasaran.

"Ini kerana produk-produk takaful keluarga kini lebih kompetitif dan mendapat permintaan," tambah beliau.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 1/12/2010

AHB dapat sambutan baik

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mendapat sambutan baik di kalangan masyarakat bumiputera negara ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar ibu kota hari ini mendapati, rata-rata mereka berpendapat, skim itu baik untuk pelaburan jangka panjang memandangkan nilai hartanah semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Seorang kakitangan swasta, Ismail Rahmat, 47, berkata, skim itu diyakini bakal menjana keuntungan dan kerana itu ia perlu mendapat sokongan padu bumiputera.

"Bagaimanapun, pelaburan minimum RM500 mungkin agak sukar bagi mereka yang kurang berkemampuan," katanya.

Semalam, syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) melancarkan skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) dengan saiz RM1 bilion yang dibuka jualannya kepada para pelabur bumiputera berusia dari tiga bulan ke atas.

Unit amanah itu dijangka memberi peluang kepada golongan bumiputera memiliki pegangan dalam sektor hartanah komersial bernilai tinggi dengan pelaburan minimum RM500 sehingga RM200,000.

Sementara itu, seorang lagi kakitangan swasta, Aladin Mohamad, 45, memberitahu, kerajaan perlu memberi penerangan lebih lanjut mengenai skim itu kepada orang ramai memandangkan ia baru sahaja dilancarkan.

"Kalau boleh, buat perbandingan sekali di antara Skim AHB itu dengan skim-skim yang lain seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Nasional (ASN) dan sebagainya.

"Mungkin dengan cara itu ia dapat menarik lebih banyak kaum Melayu dan bumiputera Sabah, Sarawak untuk membuat pelaburan kerana matlamatnya setakat ini memang sangat baik," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Alister anak Augustine, 19, berpendapat, skim itu bagus tetapi berharap agar kadar pelaburan minimum sebanyak RM500 itu dapat dikurangkan selepas ini.

"Jika tidak, skim ini hanya akan dimanfaatkan oleh mereka yang berkemampuan sahaja," katanya yang berasal dari Serian, Sarawak.

Seorang lagi pelajar, Nur Amisya Bujang, 19, juga menyatakan minat untuk melabur dalam skim tersebut apabila mempunyai wang mencukupi di masa depan.

"Mungkin saya hanya akan mula melabur apabila telah bekerja selepas tamat belajar nanti," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 1/12/2010