Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Friday, February 27, 2004

Zakat - Ekonomi Islam dan harapan ummah

Oleh MOHD SAFRI MAHAT

Pelantikan Tan Sri Mohamed Nor sebagai Menteri Kewangan Kedua, seorang tokoh ekonomi yang mempunyai sumbangan besar di dalam pelaksanaan sistem ekonomi Islam di Malaysia, adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan lagi sistem berkenaan khususnya dalam sektor kewangan Islam, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa terutamanya di kalangan negara anggota Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC). Tambahan pula, Malaysia yang baru diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi, turut mendapat kepercayaan anggota OIC lain untuk merintis usaha penggunaan sistem mata wang Dinar (Emas).

Ekonomi Islam mempunyai masa depan yang cerah, tidak hanya di Malaysia bahkan di seluruh dunia terutamanya di negara-negara Islam. Ini bukan sahaja kerana faktor kestabilan politik kerajaannya tetapi juga kerana realiti sistem yang ada telah terbukti gagal. Justeru, dunia memerlukan satu sistem alternatif yang dapat mengembalikan semula tamadun manusia yang kini hampir bobrok. Akibatnya, suhu dunia bertambah panas dan manusia pula menjadi semakin ganas. Sistem sosio-politik-ekonomi yang diharap dapat menjamin kehidupan rupanya tidak memberi sebarang jaminan. Yang nampak jelas, ia lebih banyak mendorong pencipta dan pengamalnya menjadi rosak dan sesat.

Di dalam artikel beliau, Menangani Agenda Baru Ummah, Muhammad Azizan Abdullah (2003), menegaskan betapa perlunya dunia kepada sistem alternatif yakni Islam adalah kerana dunia kini sudah hilang kepercayaan kepada sistem yang sedia ada akibat daripada krisis ekonomi 1997-1998. Ini ditambah lagi dengan perubahan geopolitik dan iklimnya akibat peperangan di Afghanistan dan Iraq lewat peristiwa 11 September. Beliau turut menegaskan bahawa umat Islam, dengan merujuk kepada OIC, tiada pilihan selain daripada kembali kepada sistem mereka sendiri yang berasaskan al-Quran dan sunah. Sementelahan pula, dunia ingin melihat kemampuan sistem Islam dalam menangani kemelut ini.

Bagaimanapun beliau menambah, bagi mencetus kesedaran ummah, satu reformasi perlu dilakukan. Reformasi yang dimaksudkan adalah reformasi ekonomi yang sudah tentunya yang berasaskan Islam. Seterusnya beliau mengemukakan dua formula utama reformasi ini. Pertama, menjadikan Dinar Emas sebagai mata wang alternatif. Pentingnya Dinar Emas ini bukan hanya dilihat dari segi kemampuan kewangannya tetapi juga dari sudut peranannya sebagai mekanisme perpaduan ummah di samping medium dakwah dan dialog antara tamadun Islam dan Barat. Kedua, menggerakkan penubuhan Kesatuan Ekonomi Islam. Menurut beliau umat Islam sebenarnya kaya dengan pelbagai sumber dan kepakaran serta aset. Selain memiliki sumber semula jadi seperti minyak dan kepakaran dalam bidang sains dan teknologi, mereka juga memiliki beberapa institusi kewangan. Ini termasuklah institusi zakat.

Kedudukan zakat dalam membangun ekonomi ummah memang diakui penting. Ini dijelaskan sendiri oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (1996) apabila beliau menulis, ``Sheikh Yusof al-Qardhawi, semasa memberi ceramah mengenai zakat tidak lama dahulu, juga telah menerangkan betapa besarnya peranan yang boleh dimainkan oleh zakat jika ditadbirkan dengan berkesan.'' Seterusnya beliau menambah, ``Oleh yang demikian, adalah kena pada masanya, sekiranya Kerajaan Persekutuan melibatkan diri secara langsung dalam usaha untuk mempertingkatkan taraf dan status zakat sebagai satu institusi Islam yang berkesan di Malaysia.''

Ekonomi Islam ditakrifkan oleh kebanyakan para sarjana sebagai sains sosial yang mengkaji masalah ekonomi yang berpegang kepada nilai-nilai Islam. Ia lebih bersifat komprehensif berbanding dengan ekonomi konvensional kerana tidak mengabaikan faktor-faktor non-ekonomi umpamanya politik, sosial, etika dan moral. Ini dapat dilihat dalam zakat yang sifatnya dimensional kerana pendekatannya yang mikro dan makro itu, mampu memberi penyelesaian kepada setiap masalah sosio-ekonomi meliputi pelbagai isu daripada kemiskinan, pembangunan insan, pembangunan masyarakat, pendidikan, ekonomi, perancangan kewangan dan perniagaan.

Falsafahnya juga, menurut Profesor Khurshid Ahmad (1981), terbina di atas dasar utama iaitu tauhid, rububiyyah, khalifah dan tazkiyyah. Ini turut menjadi falsafah zakat yang menjadi unsur atau elemen pembersihan tazkiyyah roh sumber pendapatan, kewangan, ekonomi dan lain-lain harta yang dimiliki umat Islam dengan mengagihkannya dengan saksama kepada golongan yang berhak menerima di kalangan mereka (umat Islam). Dengan ini, limpahan kekayaan secara zahir dan batin dapat dirasai bersama.

Sebagaimana diketahui umum, zakat adalah rukun Islam ketiga yang difardukan ke atas orang Islam yang cukup syarat-syaratnya. Ia dikeluarkan dari sumber harta yang halal yang telah ditetapkan oleh syarak mengikut nisab (kadar) dan haul (tempoh). Ia dibayar kepada amil yang dilantik oleh penguasa (kerajaan) dan diagihkan kepada 8 asnaf (golongan penerima zakat) termasuk golongan miskin. Secara teori, apabila wujud golongan miskin dan golongan berada atau kaya, maka akan wujudnya kelas. Justeru, wujudnya dua golongan ini, bermakna berlaku ketidakseimbangan atau sistem yang tidak sekata di dalam masyarakat. Jadi apabila setiap individu daripada golongan kaya membayar zakat dan diagihkan mengikut nisbah asnaf yang telah ditetapkan, maka dia telah mengimbangi keadaan itu dengan cara mewujudkan apa yang tiada di pihak golongan miskin atau menambah apa yang kurang.

Apabila ini terjadi, maka jurang perbezaan tadi dapat dikurangkan atau lebih idealnya, langsung dapat dihapuskan. Di dalam pengertian yang lebih tepat, zakat itu sebenarnya adalah hak yang dikembalikan kepada yang berhak bagi memastikan kesamarataan dan keadilan ekonomi di dalam masyarakat Islam. Hal ini telah dijelaskan di dalam sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: Ajaklah mereka supaya mengakui bahawa tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah, dan sesungguhnya aku pesuruh Allah. Jika mereka telah mematuhi yang demikian, terangkanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka solat lima kali sehari semalam.

Kalau mereka mentaatinya, ajarkanlah bahawa Allah memerintahkan kepada mereka supaya membayar zakat daripada harta mereka yang dipungut daripada orang kaya mereka dan dikembalikan kepada fakir miskin.

Hal yang sama juga dijelaskan oleh Datuk Profesor Dr. Syed Othman al Habshi (1990), bekas Profesor Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang kini merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), apabila beliau menegaskan, ``Pembahagian zakat dapat menambahkan kemampuan mereka untuk meningkatkan penggunaan masing-masing. Hal ini amat jelas sekali pada lazimnya, orang-orang miskin tidak berkeupayaan membeli dengan banyak. Pendapatan mereka yang rendah itu, sudah tentu tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup mereka. Dengan ini, kecenderungan mengguna di kalangan orang-orang kaya. Tambahan pula, orang-orang kaya adalah lebih cenderung untuk menggunakan barang-barang mewah dan bukan barang-barang di peringkat hajiyyat. Dengan demikian, harta zakat yang diterima oleh golongan miskin akan membolehkan mereka meningkatkan penggunaan barang-barang daruriyyat dan hajiyyat. Ini akan dapat menggalakkan pengeluaran yang boleh meningkatkan ekonomi negara seluruhnya.''

Sebaliknya, jika di dalam teori sosio-ekonomi konvensional, golongan ini (miskin dan sebagainya) tiada hak dan kuasa untuk membeli dan memiliki barang kerana mereka merupakan golongan yang tidak produktif. Ini kerana, mereka tidak menyumbang kepada proses kemajuan ekonomi sebaliknya hanya menunggu untuk menerima subsidi percuma daripada kerajaan. Ini berlaku di kebanyakan negara barat, di mana kerajaan terpaksa memperuntukkan sebahagian besar subsidi daripada bajet negara hasil kutipan cukai, untuk diberikan kepada golongan miskin, tiada berpelajaran atau buta huruf, tiada pekerjaan, melarat dan mereka yang termasuk di dalam kriteria golongan `yang memerlukan'.

Kos bajet untuk mereka bertambah saban tahun dan ini memeningkan kerajaan yang memerintah kerana kesan daripada ini, mereka terpaksa memperkenalkan pelbagai cukai baru selain melipatkgandakan harga cukai yang sedia ada. Akibatnya, rakyat golongan menengah atas dan atas yang terpaksa membayar pelbagai cukai yang tinggi, memprotes sama ada dengan cara demonstrasi terbuka atau melalui parti politik pembangkang atau pilihan raya. Fenomena seperti ini sering terjadi di negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Eropah dan lain-lain negara yang sudah mencapai status negara maju.

Inilah di antara kelemahan dan kebobrokan ketara sistem ekonomi konvensional yang berteraskan kapitalisme. Benar ia tidak mengenepikan golongan `yang memerlukan', tetapi ia gagal membangunkan mereka dan jiwa mereka, sebaliknya `memaksa' mereka terpaksa terus berkeadaan demikian selamanya. Sedangkan golongan seperti mereka semakin bertambah dari sehari ke sehari. Berbeza dengan sistem Ekonomi Islam, golongan `yang memerlukan' ini atau di dalam terma zakat dipanggil asnaf, bukan setakat dibela melalui agihan hak yang mereka peroleh. Bahkan mereka juga dibangunkan dan dimotivasikan agar berdikari untuk terus hidup dengan cara memanfaatkan wang agihan sebagai sumber modal. Mereka wajib pula berusaha dan berikhtiar untuk memajukan ekonomi mereka dengan menjana sumber daripada agihan zakat yang diperoleh. Dengan lain perkataan, sumber atau wang agihan yang diperoleh itu dijadikan modal untuk perniagaan misalnya.

Melalui aktiviti perniagaan ini, mereka akan berusaha meningkatkan ekonomi mereka sehingga mampu merancang kewangan mereka dan mengeluarkan zakat mereka sendiri; sama ada zakat perniagaan, pertanian, pendapatan, wang simpanan dan seumpamanya. Apabila ini terjadi mereka secara automatiknya terkeluar daripada asnaf zakat. Zakat juga sebenarnya mempunyai peranan penting dalam instrumen perancangan kewangan. Walaupun realitinya, di dalam Perancangan Kewangan, terutamanya konvensional, zakat masih terpinggir. Dalam Perancangan Kewangan Islam, kedudukan zakat dapat dilihat sebagai penyaring kepada keseluruhan proses penjanaan aliran satu sistem kewangan yang terdiri daripada produk dan instrumen kewangan Islam seperti Wakaf, Takaful, Hibah, Ar-Rahnu dan sebagainya.

Penyaringan tersebut berlaku di peringkat akhir sistem di mana zakat sebagai `pembersih' atau `penyuci' roh hasil harta-harta tersebut yang lahir di dalam bentuk dividen, bonus, lebihan untung dan sebagainya. `Pembersihan' atau `penyucian' itu dilakukan melalui pembayaran zakat, yang mana harta yang dizakatkan itu diagihkan pula kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya sebagai sumber pendapatan dan ekonomi mereka pula untuk diusahakan. Seperti yang telah dicontohkan sebelumnya, proses yang sama boleh dan akan berulang secara berterusan dan berantaian sehingga kemiskinan dapat dibasmi.

Jelasnya, sistem ekonomi Islam mampu berperanan menjadi sebuah sistem ekonomi utama jika ia dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Manakala zakat pula boleh memainkan peranan sebagai penggerak utamanya. Cuma malangnya, kerana ia tidak berada di dalam keutamaan sistem ekonomi, maka menyebabkan ia tidak dianggap penting. Begitupun, usaha mestilah diteruskan, walau dalam apa jua keadaan sekalipun, agar dunia kembali aman dan makmur di bawah naungan Kalimah Agung.

- MOHD SAFRI MAHAT, Pengurus Besar, Pusat Zakat Selangor.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 27/2/2004

Friday, February 6, 2004

Hi-Tech - Antara kepentingan ekonomi dan tanggungjawab sosial

Oleh: MOHD SAFRI MAHAT

Ketika menyampaikan ucapan di majlis makan malam sempena 10 tahun Kumpulan Industri Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyarankan agar MIGHT memberikan tumpuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada mencari sumber ekonomi dan pendapatan baru untuk golongan miskin.

Dengan lain maksud, Perdana Menteri mahukan bidang teknologi tinggi (hi-tech) dimanfaatkan untuk membangunkan golongan miskin. Saranan beliau ini dilihat sebagai satu saranan yang down-to-earth.

Selama ini MIGHT banyak memberikan tumpuan kepada bidang yang bersifat futuristik. Mungkin, sudah tiba masanya pula kita `tawaqquf seketika untuk menoleh semula ke belakang (sejarah) dan melihat di mana kita berdiri ketika ini (realiti), sebelum merenung kembali ke hadapan (wawasan)'.

Sementara kita komited kepada usaha-usaha pembangunan dan kemajuan negara khususnya dalam bidang industri berteknologi tinggi dan moden, yang berupaya menjamin pulangan ekonomi yang besar, seperti automobil, aeroangkasa dan nanoteknologi.

Hendaknya, kita juga tidak lupa kepada usaha-usaha untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin - menambah pendapatan sekali gus mengeluarkan mereka daripada kemelut kemiskinan atau setidak-tidaknya mengurangkan kadarnya.

Apabila kita bercakap mengenai usaha ini, bidang yang dilihat secara strategik boleh diberi perhatian utama adalah pertanian. Ini kerana rata-rata golongan petani, peladang dan nelayan di negara kita masih miskin.

Aktiviti ekonomi yang terhad menyebabkan mereka tidak mampu meningkatkan daya pengeluaran apalagi untuk menambah pendapatan.

Ini ditambah pula dengan risiko yang berakibat daripada apa yang biasa disebut sebagai `bencana alam' - walaupun pada hakikatnya ia hanyalah proses sunatullah terhadap alam dan manusia!

Jika benar, ini bermakna strategi baru pertumbuhan ekonomi haruslah bermatlamatkan sasaran untuk menambah pendapatan golongan miskin dan meningkatkan ekonomi domestik negara; menerusi usaha komersialisasi bidang pertanian dengan menggunakan teknologi tinggi.

Di antara bidang teknologi tinggi yang dicadangkan ialah bioteknologi. Bioteknologi adalah satu bidang teknologi terbaru yang digunakan untuk menghasilkan semula genetik (baka) sel hidup (organism). Melalui cara ini genetik sesuatu sel organisma boleh dihasilkan semula dalam jumlah yang banyak dan di dalam tempoh yang singkat.

Di dalam bidang pertanian, di antara lain bioteknologi boleh digunakan untuk mempertingkatkan kualiti tanaman dan tumbuhan serta produktivitinya. Proses regenerasi ini mampu memberi manfaat dan pulangan yang lumayan terutamanya kepada para petani dan peladang.

Dalam konteks para petani dan peladang negara kita, bidang bioteknologi mampu memberi kemajuan di dalam penghasilan hasil tanaman seperti padi dan buah-buahan.

Padi misalnya, pada ketika ini masih ditanam dan dituai tidak lebih daripada dua kali dalam setahun. Tetapi dengan menggunakan kaedah bioteknologi, padi boleh ditanam berulang kali setiap selepas dituai.

Dengan ini para petani boleh mendapatkan hasilnya, sama ada untuk dimakan atau dijual, berlipat kali ganda daripada biasa dalam tempoh setahun. Bahkan mereka tidak perlu bimbang lagi mengenai risiko bendang rosak atau tanaman padi tidak menjadi akibat banjir.

Ini kerana pada musim tersebut, mereka boleh melakukan aktiviti lain seperti menanam buah-buahan (juga dengan menggunakan kaedah yang sama) atau terus berehat sahaja atau melancong!

Begitu juga keadaannya kepada para peladang. Penanaman buah boleh dilakukan dalam mana-mana musim. Sama ada ia dalam musim buah-buahan atau tidak, buah-buahan ini masih boleh ditanam dan dihasilkan. Ia juga turut memberi pulangan yang besar kepada mereka apabila dijual.

Selain petani dan peladang, nelayan juga mendapat manfaat daripada kaedah moden ini. Bagi nelayan yang tidak mahu mengambil risiko menangkap ikan pada musim tengkujuh.

Mereka boleh melakukan aktiviti bertanam padi atau berladang buah-buahan. Bahkan mereka boleh terus melibatkan diri di dalam aktiviti ini jika ia mampu menghasilkan sumber makanan dan pendapatan yang lebih terjamin.

Di samping itu juga, melalui kaedah ini, hasil pertanian boleh dipelbagaikan produknya. Umpamanya pokok kelapa yang sudah menjadi tradisi masyarakat Asia menggunakan pelbagai bahan yang dihasilkan daripadanya.

Dengan menggunakan bioteknologi, hasil daripada sumber pokok tersebut bukan sahaja mampu ditingkatkan malahan dapat dipelbagaikan dengan lebih lagi.

Hasil-hasil pertanian ini sebenarnya bukan sahaja boleh digunakan sebagai sumber makanan sendiri sahaja. Bahkan ia juga boleh dijadikan sebagai aktiviti pengeluaran makanan secara komersial.

Dengan lain perkataan, ia dapat dijadikan sebagai salah satu bidang perusahaan dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS), yang diharapkan akan menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan utama negara.

Namun, mengharapkan usaha ini berjaya dengan sendirinya tanpa dorongan dan bimbingan yang serius daripada pihak berwajib, hanya akan sia-sia. Oleh sebab itu, adalah diharapkan agar tindakan proaktif kerajaan merombak tiga kementerian yang mempunyai hubungan rapat dengan usaha-usaha tersebut baru-baru ini, benar-benar dapat memberi impak yang positif. Begitulah juga dengan Majlis Perusahaan Kecil dan Sederhana (MPKS) yang akan ditubuhkan oleh kerajaan kelak.

Di pihak golongan sasar pula, diharapkan juga satu pelan tindakan yang bersistematik dan workable melibatkan skim latihan dan pendidikan secara komprehensif dan efektif serta berupaya membangunkan jiwa dan menyedarkan mereka terhadap tanggungjawab yang akan mereka pikul kepada masyarakat, negara dan agama selain diri sendiri sesudah berjaya, segera disusun.

Ini penting agar mereka tidak memandang usaha ini hanyalah tanggungjawab kerajaan terhadap golongan berkenaan semata, sebaliknya juga tanggungjawab individu terhadap individu lain.

Di dalam Islam, menyahut dan menyambut obligasi (tanggungjawab) sosial adalah sesuatu yang dituntut. Apabila wujud keadaan di mana terdapat golongan miskin yang perlu dibela, maka adalah menjadi tanggungjawab mereka yang berkemampuan untuk menunaikannya dengan apa cara yang termampu.

Salah satu cara membantu golongan miskin adalah dengan berzakat. Golongan miskin adalah di antara mereka yang tergolong di dalam lapan kumpulan Asnaf (mereka yang wajib menerima agihan zakat).

Dengan berzakat, melalui pembayaran kepada pihak amil yang dilantik, zakat tersebut akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan termasuklah golongan miskin.

Dalam perkaitan ini, peningkatan dalam hasil-hasil daripada pertanian yang telah diterangkan tadi, sewajarnya disyukuri nikmat kepada-Nya dengan cara berzakat. Di antara zakat yang boleh ditunaikan daripada hasil-hasil tersebut adalah zakat padi atau pertanian, zakat pendapatan ataupun zakat perniagaan.

Sesungguhnya, penciptaan hi-tech bertujuan memberi erti kepada kehidupan setiap golongan dan peringkat manusia, selain menjadi sumber pendapatan, ia juga sebagai katalis pembangunan sosial.

Namun, ia akan hanya menjadi pengertian yang kosong jika tidak dikaitkan dengan Maha Penciptanya. Wallahu a'lam

- MOHD SAFRI MAHAT, Pengurus Besar, Pusat Zakat Selangor.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 6/2/2004