Pelan Pelaburan Mukmin

Islam menggalakkan umatnya memperkembangkan harta yang dimiliki bagi meningkatkan tahap keupayaan umat Islam melalui kekuatan ekonomi. Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah melalui aktiviti pelaburan.

Pelan Perlindungan Mukmin

Kehidupan ini sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis risiko musibah, kemalangan dan bencana, Sebagai langkah berikhtiar, seorang Mukmin itu harus merancang bagaimana dia dapat meringankan beban yang terpaksa dipikul olehnya atau ahli keluarganya jika musibah melanda.

Pelan Penyucian Mukmin

Islam bukan hanya mementingkan persoalan bagaimana sesuatu harta itu diperolehi tetapi juga bagaimana harta tersebut dibelanjakan. Seorang Mukmin dituntut menunaikan beberapa hak dan tanggungjawab terhadap harta yang dimiliki bagi tujuan penyucian harta tersebut.

Pelan Pewarisan Mukmin

Islam turut memberi penekanan dan panduan bagaimana mengagihkan harta pusaka yang ditinggalkan selepas kematian seorang Muslim. Di antara instrumen pewarisan ialah penulisan Wasiat, hibah, wakaf, faraid, pengamanahan dan pentadbiran harta pusaka.

Pengurusan Wang Al-Awlawiyyat

Pengurusan wang yang berhemah dan berkesan menjadi pegangan dan matlamat pengurusan kewangan seorang Mukmin. Pengurusan kewangan berteraskan "Fiqh Awlawiyyat" atau "Fiqh Keutamaan" menjadi suatu keperluan yang amat penting.

Monday, December 24, 2007

Berkat zakat mudah diperoleh tapi sukar ditunaikan

Oleh: Hamizul Abdul Hamid

DALAM sejarah Islam, sejak zakat diwahyukan Allah pada tahun kedua Hijrah, ia menjadi satu kefarduan yang diterima dengan senang hati oleh umat Islam.

Apatah lagi, zakat dari sudut sosial adalah satu bentuk kebajikan. Ia adalah satu sifat kasihan belas yang mendatangkan ihsan hingga akhirnya ia disuburkan lagi oleh agama Islam dengan dijadikan satu daripada rukun Islam.

Banyak kisah menarik pada tahap awal Islam, yang mempamerkan betapa Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat adalah pelopor kepada sifat kasihan belas dan suka berderma ini. Baginda Rasulullah sendiri digambarkan sebagai pemuda al-Amin (yang amat dipercayai) yang amat menyantuni golongan miskin dan melarat.

Digambarkan pada zaman jahiliah dan pra-Islam, golongan kaya di Kota Mekah seringkali mengeksploitasi golongan daif. Di antara keluarga miskin yang ditindas ialah keluarga Ammar bin Yasser.

Muhammad al-Amin telah menzahirkan rasa kasih sayangnya apabila Baginda sering memberi makanan kepada orang-orang miskin, membantu anak-anak yatim dan memelihara kebajikan ibu-ibu tunggal. Bahkan, sifat kasihan belas nabi menjangkau kepada semua makhluk Allah, termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Nabi sendiri bertuah kerana Baginda disokong dan diperteguhkan lagi dengan kehadiran isteri tercinta, Khadijah Al-Khuwalaid yang telah terbukti di dalam sejarah memanfaatkan harta kekayaannya demi perjuangan Islam.

Para sahabat seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab dan Abdul Rahman bin Auf sendiri adalah golongan yang banyak bersedekah dan berderma. Abu Bakar sendiri menebus Bilal bin Rabah apabila Bilal disiksa oleh tuannya dengan harga beratus dinar.

Justeru itu, apabila zakat diturunkan sebagai syariat, umat Islam menerimanya dengan lapang hati. Ini kerana, Allah s.w.t. sendiri telah memberikan pertunjuk bahawa keberkatan itu lahir daripada salah satu amalan murni yang dinamakan zakat. Firman Allah: Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. (Maryam: 31)

Faktor keberkatan

Kenapakah zakat melahirkan keberkatan? Jawapannya mudah, kerana ia adalah anugerah Allah. Apabila Allah s.w.t. mengarahkan sesuatu syariat dilaksanakan, semestinya di sana wujud pelbagai hikmah dan kebaikan. Hikmah bersolat misalnya menatijahkan kejayaan dari aspek disiplin diri. Hikmah haji melahirkan kesatuan ummah dan integrasi antarabangsa. Hikmah berpuasa pula menumbuhkan ketaatan dan kesabaran kepada Allah s.w.t. Maka, hikmah zakat pula menghasilkan kehidupan yang adil dan saksama.

Berkat pada hakikatnya adalah subjektif sifatnya. Ia tidak nampak oleh mata kasar namun dapat dirasai oleh mereka yang dipilih Allah. Namun, kehadiran berkat dapat disaksikan oleh mata. Sebagai contoh, apabila rumah tangga yang dibina aman damai, isteri menghormati suami, anak-anak mematuhi ibu bapa dan suami sendiri menjadi suami mithali, adalah pertanda keberkatan. Pertunjuk lain, ialah apabila rezeki dikurniakan Allah sentiasa mencukupi, tidak terjadinya banyak masalah dalam kehidupan, urusan seharian dimudahkan Allah dan sebagainya lagi adalah indikator keberkatan hidup mungkin telah dikurniakan Allah s.w.t.

Firman Allah yang bermaksud: Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (al-Baqarah: 274)

Bagaimana memperoleh keberkatan?

Inilah realiti berkat. Tidak susah untuk mendapatkannya namun amat sedikit manusia yang berusaha mengejarnya. Bayangkan, dengan hanya memperuntukkan 2.5 peratus daripada rezeki iaitu pendapatan bulanan kepada zakat, sudah memadai untuk memperoleh keberkatan daripada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. sesungguhnya Maha Mengetahui bahawa manusia akhir zaman akan berhadapan dengan pelbagai kemelut kehidupan. Kenaikan harga barang termasuklah petrol, peningkatan gejala sosial, keruntuhan akhlak, jenayah di sana-sini termasuklah bencana alam sebenarnya adalah satu peringatan daripada-Nya. Jelasnya, dunia ini dan kita semua adalah milik Allah, maka kita sepatutnya sedar apakah resipi bagi mencari kasih sayang Allah dan pada masa yang sama mencari jalan menghindari perkara-perkara yang mendatangkan kebencian Allah.

Oleh itu, di antara perkara yang dibenci Allah ialah kita terlalu menumpukan kekayaan sehingga mengabaikan hak-hak yang wujud pada harta-harta itu. Inilah sifat yang dipanggil melampau atau ekstrem dalam berharta. Firman Allah bermaksud: Makanlah dan minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak mengasihani orang-orang yang berlebihan. (al-A’raf: 31).

Sebaliknya, Allah s.w.t. amat menyukai orang-orang yang sentiasa berkasih-sayang, membantu sesama manusia dan memberikan manfaat kepada seluruh alam. Sebagaimana firman Allah bermaksud: Belanjakanlah hartamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik. (al-Baqarah: 195)

Kesimpulan

Zakat adalah satu jalan dari pelbagai jalan alternatif demi mendapat keberkatan hidup. Jika tidak, masakan Islam mewajibkan zakat dan mengangkat ibadat itu sebagai satu daripada lima tiang agama Islam. Apabila zakat dihayati, maka barulah lahir keindahannya.

Apakah kita tidak teringin mendapat habuan di dunia dengan hidup di dalam kedamaian dan hidup di akhirat kelak terhindar dari bakaran? Ingatlah, memberikan kehidupan yang baik di dunia dan akhirat juga adalah sebahagian daripada hak-hak badan kita yang perlu ditunaikan.

Bak kata hadis nabi: Jasad kamu mempunyai hak, adalah menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikannya hak-hak tersebut. (riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, marilah kita berzakat dengan seikhlas hati. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat nanti.

* HAMIZUL ABDUL HAMID ialah pegawai perhubungan awam di Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 24/12/2007

Saturday, December 22, 2007

Apakah Harta Sepencarian?

Oleh: Muhamad Isa Abd Ralip
Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Soalan:

RUMAH tangga saya bahagia selepas berkahwin lebih 15 tahun. Kemusykilan saya ialah apabila mengenai pasangan bergaduh, bercerai atau apabila satu pasangan meninggal dunia, kemudian mereka menuntut harta yang dibeli bersama.

Timbul kemusykilan kenapa suami isteri boleh menuntut harta sepencarian, apa beza dengan harta pusaka sedangkan bahagian harta pusaka untuk suami atau isteri sudah ditetapkan melalui sistem faraid. Apa rasionalnya dibenarkan menuntut harta sepencarian dan bagaimana mahkamah syariah membuat keputusan atau mekanisme yang digunakan untuk mengira jumlah nilai harta sepencarian?

Suami Bertuah
Selangor

Jawapan:

Harta sepencarian mengikut syarak ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Tuntutan biasanya ditimbulkan oleh isteri atau bekas isteri apabila membabitkan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkahwinan sama ada secara tak langsung misalnya urusan menguruskan rumah tangga. Sumbangan secara langsung misalnya isteri mengeluarkan modal terutama dalam bentuk kewangan untuk mendapatkan harta dalam tempoh perkahwinan. Begitu juga jika satu pihak itu meninggal dunia, pasangan akan meminta harta itu dibahagikan dulu sebagai harta sepencarian sebelum diisytihar sebagai harta pusaka.

Kitab At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah mengatakan, dalam tuntutan suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan hendaklah berdasarkan keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu.

Pemilikan ke atas sesuatu harta bukan berdasarkan kepada nama atas harta itu semata-mata kerana nama tertera belum membuktikan dia pemilik sebenar. Kenyataan itu dibuat dengan maksud adalah satu kezaliman jika hak milik sesuatu harta hanya diambil kira berdasarkan nama atas harta itu semata-mata sedangkan pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tidak dinyatakan ke atas harta berkenaan.

Rasional keharusan pembahagian harta sepencarian menunjukkan pengiktirafan syarak terhadap hak, habuan dan pemilikan pihak berusaha mendapatkan harta itu sepanjang perkahwinan. Hukum harta sepencarian tidak dinyata secara jelas. Cuma pembahagian itu dibuat bersandarkan kemaslahatan pihak atas prinsip keadilan dan hak.

Prosedur pembahagian harta sepencarian juga tidak dinyatakan secara tepat dalam hukum syarak. Merujuk kepada amalan biasa penghakiman di mahkamah syariah, pembahagian harta sepencarian ke atas seorang isteri ditentukan setakat harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.

Ini termasuk sumbangan isteri menguruskan rumah tangga, menjaga anak, melayan suami, menyebabkan suami merasa kehidupan yang tenang dan dapat menumpukan kerjaya sehingga suami dapat memperoleh harta dalam tempoh perkahwinan mereka. Tuntutan terhadap harta sepencarian bukanlah dihadkan kepada isteri saja, malah suami juga berhak menuntut harta sepencarian daripada isteri.

Seksyen 122 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 (EUKIS 2003 menetapkan: Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu.

Kemudian seksyen 122 (2) menjelaskan, pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian mengenai:

• Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu,
• Apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka,
• Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada seksyen 122 (2), mahkamah hendaklah membuat pertimbangan sama banyak. Namun, mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 122 (3).

Untuk menjalankan perintah di bawah Seksyen 122(3) mahkamah hendaklah memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 122 (4):

> Takat sumbangan yang dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga,
> Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada pertimbangan seksyen 122 (4), mahkamah dengan kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah, tetapi walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Perbezaan harta sepencarian dan faraid adalah faraid pembahagian harta pusaka yang ditetapkan syarak kepada para ahli waris. Ada tiga golongan ahli waris yang melayakkan mereka menerima harta pusaka, pertama, melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan juga wala’ (hubungan kekeluargaan). Isteri termasuk dalam golongan waris yang layak menerima pusaka melalui hubungan perkahwinan.

Hukum pusaka disyariatkan dalam Islam. Ia telah disahkan serta dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah serta ijma’ ulama.

Sumber: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Tarikh: 22/12/2007

Sunday, December 16, 2007

Darurat Pinjaman

Oleh: Zaharuddin Abd Rahman
(Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM)

“USTAZ, saya cuba memohon pembiayaan daripada bank Islam, tetapi mereka tolak. Adakah saya berdosa jika kemudian mendapatkan pinjaman riba daripada bank konvensional?” Demikian pertanyaan seorang pemuda berusia 30-an kepada saya sejurus kuliah yang panas berkaitan isu kewangan di sebuah masjid.

“Puas saya memohon daripada bank Islam, tapi semuanya ditolak. Kata nak selamatkan orang daripada riba, tetapi kenapa tolak permohonan saya?” luah seorang lagi pembaca menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya.

“Cerewet benar prosedurnya (bank Islam). Sepatutnya dimudahkan bagi menyelamatkan orang daripada riba. Ini tidak, kena tolak (permohonan) pula. Jadi daruratlah untuk ambil konvensionalkan, ustaz?” tanya seorang ibu tiga anak ketika waktu rehat satu Kursus Kewangan Islam kepada saya, baru-baru ini.

Adakah darurat atau hajiat apabila permohonan ditolak? “Belum lagi,” itu jawapan ringkas saya. Hujahnya saya sebutkan dulu iaitu: Ertinya: “Sesungguhnya apa yang diharuskan kerana darurat sesungguhnya memerlukan keyakinan akan wujudnya darurat itu selepas usaha pencarian (yang halal).” (Syarhul Umdah, 1/426)

Justeru dalam hal ini, adakah cukup digelar darurat atau hajiat, sedangkan baru satu bank Islam yang menolak? Sudah tentu belum, anda perlu mencuba di semua bank dan jendela perbankan Islam di Malaysia sebelum boleh mendakwa anda tersepit dan terdesak untuk terbabit dengan riba di bank konvensional.

Berikut senarai bank Islam dan jendela perbankan Islam yang wujud di Malaysia. (Rujuk juga www.zaharuddin.net) Bank yang ada lesen dan menjalankan operasi produknya 100 peratus mengikut syariah adalah seperti berikut:

Affin Islamic Bank Berhad
Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Berhad
AmIslamic Bank Berhad
Asian Finance Bank Berhad (AFBB)
Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)
Bank Muamalat Malaysia Berhad
CIMB Islamic Bank Berhad
EONCAP Islamic Bank Berhad
Hong Leong Islamic Bank Berhad
Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad
RHB ISLAMIC Bank Berhad (RHBI)

Bank konvensional tetapi ada lesen untuk mewujudkan jendela perbankan Islam bagi menawarkan produk menepati syariah pula adalah:

ABN Amro Bank Berhad
Alliance Bank Malaysia Berhad
Citibank Berhad
HSBC Bank Malaysia Berhad (Bahagian Islam dinamakan HSBC Amanah)
Malayan Banking Berhad
OCBC Bank (Malaysia) Berhad
Public Bank Berhad
Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (Bahagian Islam dinamakan Standard Chartered Sadiq).

Nota: Jika anda pergi ke semua bank ini, anda akan dapati produk pembiayaan Islam ditawarkan. Ia juga disahkan oleh Majlis Syariah mereka.

Institusi kewangan yang turut menawarkan perkhidmatan produk Islam adalah:

Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad
Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad
Export-Import Bank of Malaysia Berhad
Bank Pertanian Malaysian
Bank Simpanan Nasional Berhad
(Semua nama bank di atas adalah sumber Bank Negara Malaysia (BNM)

Jika semua bank di atas menolak anda kerana permohonan anda tiada kelayakan atau disenaraihitamkan, anda masih boleh mencuba beberapa koperasi yang menawarkan Pembiayaan Islam. Namun, ia hanya bagi yang layak saja seperti kakitangan kerajaan.

Bagi insurans Islam atau takaful pula, anda wajib mencari perlindungan daripada mana-mana syarikat takaful yang diiktiraf berikut terlebih dulu. Ia seperti berikut:

CIMB Aviva Takaful Berhad
Hong Leong Tokio Marine Takaful Berhad
HSBC Amanah Takaful (Malaysia) Berhad
MAA Takaful Berhad
Prudential BSN Takaful Berhad
Syarikat Takaful Malaysia Berhad
Takaful Ikhlas Sdn Berhad
Takaful Nasional Sdn Berhad
(Setakat Julai 2007, sumber: BNM)

Setiap bank dan pengendali takaful ada cara semakan kemampuan individu atau ‘credit checking’ yang tersendiri. Tidak semestinya jika permohonan anda ditolak di sebuah bank Islam, bermakna bank Islam lain juga akan menolak.

Setiap bank ada cara pemasaran dan strategi masing-masing. Sebagai contoh, AFBB tidak menawarkan pembiayaan kenderaan, BIMB pula difahamkan tidak membiayai pembelian kereta terpakai, manakala RHBI menawarkan pembiayaan bagi kereta terpakai tetapi hanya jenama tertentu.

Sehubungan itu, tidak boleh dianggap semua bank Islam akan menolak jika satu berbuat demikian. Jika semua institusi kewangan di atas menolak permohonan anda, baru kaedah hajiat atau darurat boleh terpakai. Itupun dalam konteks terbatas sebagaimana disebutkan: Ertinya: “Apa-apa yang diharuskan kerana sebab darurat, adalah dibataskan dengan batasan tertentu.” (As-Ashbah Wa An-Nazair, As-Suyuti, 1/82; Hawashi Asy-Syarwani, 3/27)

Ia mensyaratkan penggunaan minimum dan ada had tertentu. Ertinya, wajib dihadkan kepada jumlah dan kadar setakat menampung keperluan mendesak saja tanpa bermewahan dan mengambil kesempatan pula. Dalam konteks rumah, ia rumah pertama untuk didiami saja dan bukan rumah bagi tujuan pelaburan melalui sewa atau lain-lain.

Apa yang bank Islam semak daripada pemohon?Setiap bank ada cara masing-masing, saya tidak mampu menyatakan semua cara mereka dan ia juga bersifat terlalu teknikal. Secara umum, mereka menyemak:

Kemampuan pendapatan bulanan anda dan beban hutang anda dari bank lain. Ia dinamakan ‘Margin of Repayment’ dan ‘Agrgregated Margin of Repayment’. Setiap bank Islam meletakkan peratusan kemampuan pelanggan yang tersendiri bagi memenuhi standard kredit bank.

Sebagai contoh, ketika pemohonan dibuat, pelanggan mesti ada lebihan pendapatan bulanan sebanyak 50 peratus daripada semua jumlah hutang daripada bank lain.
Formula kiraan: Bayaran ansuran bank A+B+C=mesti kurang 50 peratus daripada jumlah pendapatan kasar bulanan.

Sebagai contoh, Karim berpendapatan bulanan RM5,000 dan ada sebuah rumah dengan bayaran ansuran sebanyak RM1,000, dua kereta RM550 dan RM600. Kini, beliau ingin membeli sebuah rumah lagi, justeru pihak bank akan memastikan kekuatan kewangannya seperti berikut: RM1,000+RM 550+RM600=43 peratus daripada RM5,000.

Jika dilihat daripada keputusan ini iaitu 43 peratus, ini bererti permohonan Karim layak diproses dan diluluskan.Jika tidak cukup, anda mungkin memerlukan penjamin atau memasukkan nama isteri atau suami untuk menggabungkan kekuatan kewangan bagi berurusan dengan bank ini.

CTOS — laporan ini biasanya mengandungi ‘Customer’s Legal Status’, sebagai contoh saman dan proseding kemuflisan, sebarang kes mahkamah dan lain-lain berkaitan undang-undang.

Menurut CTOS Sdn Bhd, mereka sentiasa mengemas kini informasi yang ada setiap hari. Maklumat ini mereka kumpul daripada maklumat awam di Jabatan Insolvensi Negara, surat khabar dan lain-lain. Namun baru-baru ini, perkhidmatan mereka mencetus kontroversi kerana banyak maklumat tidak dikemaskini dan menyebabkan bank menolak permohonan individu yang bersih daripada masalah undang-undang.

Sumber: Harian Metro
Tarikh: 16/12/2007

Friday, October 26, 2007

Mengenai Riba

Oleh: Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Masyarakat Islam Malaysia umumnya amat mengambil berat soal halal dan haram dalam isu pemakanan. Rata-rata umat Islam hari ini amat prihatin terhadap makanan yang dimakannya agar tidak terkandung elemen-elemen haram yang boleh menjejaskan keberkatan.

Persoalannya, apakah cukup sekadar memperakui barangan makanan bertanda halal tetapi wang yang digunakan untuk membelinya masih lagi bersumberkan perolehan yang haram? Sejauh manakah keprihatinan mengenai halal dan haram ini turut diterjemahkan dalam kegiatan muamalah yang lebih penting seperti urus niaga harian dan perolehan pendapatan?

Hakikat yang tidak dapat dinafikan, kesedaran umat mengenai halal dan haram dalam aspek perolehan pendapatan masih di takuk yang amat mendukacitakan. Umat lebih memperhitungkan soal barangan berlabel halal berbanding dengan sumber perolehan mahupun pendapatan.

Apa yang pasti, kesedaran mengenai sumber rezeki yang halal amat penting bagi menumbuhkan rasa keterikatan dengan hukum dan peraturan yang ditetapkan Allah. Rezeki yang diperoleh dengan cara halal tanpa merugikan orang lain pastinya akan membawa barakah atau keberkatan. Sedang yang haram termasuklah perolehan daripada sumber penyelewengan, penipuan, rasuah, pecah amanah dan riba hanya akan membawa padah dan kecelakaan.

Dalam konteks ini, penulis lebih cenderung memfokuskan isu riba dalam penulisan kali ini. Bagi penulis, tahap kefahaman umat mengenai riba masih terlalu rendah. Walaupun kerajaan telah berusaha menyediakan pelbagai insentif galakan dan membangunkan prasarana kewangan berpandukan syarak seperti institusi perbankan Islam, realitinya umat Malaysia masih ramai yang tidak mendukung sistem muamalah Islam yang diperkenalkan.

Laporan Bank Negara 2005 jelas membuktikan senario ini. Penguasaan pasaran sistem perbankan Islam yang bebas riba umpamanya hanya dalam lingkungan 11 ke 12 peratus berbanding jumlah umat Islam di Malaysia hari ini yang melebihi 65 peratus. Ini bermakna masih ramai umat Islam yang kekal mengamalkan urus niaga dengan perbankan konvensional yang berasaskan riba.

Bank Negara Malaysia sendiri secara sederhana meletakkan sasaran bagi tahun berakhir 2010 untuk sistem perbankan Islam meningkatkan penguasaan pasaran perbankan hingga ke tahap 20 peratus.

Ini juga memberi indikasi penting bagi 27 institusi-institusi perbankan dan kewangan Islam yang sedia ada untuk melakukan promosi secara besar-besaran bagi meyakinkan bukan sahaja umat Islam bahkan masyarakat bukan Islam untuk turut melabur dan menyimpan dalam institusi-institusi yang menawarkan produk-produk yang menepati syarak.

Dalam konteks ini, umat Islam sendiri terutamanya harus disuntik dan dipertingkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan berurus niaga secara halal tanpa melibatkan elemen riba. Umat harus difahamkan betapa besarnya dosa melibatkan diri dalam urus niaga yang mempunyai unsur-unsur riba tidak kira sama ada berbentuk pelaburan, simpanan mahupun pembiayaan.

Ini kerana Islam amat tegas memerangi unsur-unsur riba dalam sistem muamalah manusia. Pernyataan keras di dalam al-Quran bahawa Allah dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang terhadap golongan yang mengamalkan riba jelas menggambarkan betapa beratnya dosa riba yang sememangnya boleh mendatangkan penganiayaan dan ketidakadilan dalam hubungan sesama manusia (al-Baqarah: 279).

Malah dalam sebuah hadis sahih riwayat al-Hakim dinyatakan bahawa: “Riba mempunyai 73 jenis. Yang paling ringan antaranya menyamai kesalahan berzina dengan ibu kandung sendiri”. Terdapat sekurang-kurangnya 12 ayat yang secara khusus membincangkan isu riba dalam al-Quran. Malah terlalu banyak hadis yang memperincikan urus niaga muamalah yang bebas daripada elemen-elemen riba dan penindasan. Pengharaman riba turut ditegaskan sekali lagi dalam khutbah terakhir Nabi dalam peristiwa Haji Wida' sebelum kewafatan baginda.

Berdasarkan dalil-dalil inilah, sesetengah ulama menyatakan bahawa tahap pengharaman riba adalah lebih serius dan berat berbanding bentuk pengharaman lain seperti minum arak, judi mahupun makanan haram seperti babi. Ini kerana, Allah tidaklah sampai menegaskan secara keras seperti pengisytiharan perang terhadap mereka yang minum arak, berjudi mahupun memakan barangan haram seperti babi berbanding pengharaman riba.

Justeru, sudah tiba masanya kerajaan melihat perkara ini secara lebih serius. Kurikulum pendidikan agama di sekolah-sekolah umpamanya harus mulai diperkemaskan bagi membincangkan aspek muamalah Islam dengan lebih luas dan bukan sekadar menitikberatkan aspek ibadah fardu ain semata-mata.

Ini amat menepati aspirasi syarak atau disebut Maqasid as-Syariah yang amat menitikberatkan bukan sahaja pemerkasaan dalam konteks ibadah semata-mata tetapi turut memastikan kehidupan muamalah sesama manusia sentiasa berteraskan prinsip keadilan, kesaksamaan sekali gus menghindari sebarang bentuk penindasan dan penganiayaan.

Hanya dengan meningkatkan kesedaran dan kefahaman umat secara tuntas mengenai prinsip-prinsip muamalah berpandukan syarak sahajalah mampu merealisasikan impian kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju sistem kewangan Islam pada masa depan.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 26/10/2007

Wednesday, October 24, 2007

Peguam Syarie Menulis: Hibah secara bertulis boleh elak salah faham antara waris

ELEMEN penting dalam pemberian hibah adalah penerimaan barang hibah atau Al-Qabd. Al-qabd bermaksud mendapat sesuatu, menguasai dan boleh melakukan sesuatu ke atas barang berkenaan.

Selepas lafaz ijab kabul dibuat, sesuatu hibah menjadi sempurna apabila berlaku al-qabd atau penerimaan barang oleh penerima. Ia bermakna lafaz ijab oleh penghibah dan lafaz kabul oleh penerima saja tidak memadai untuk menyatakan sesuatu lafaz hibah sudah sempurna.

Contohnya, Ali menghibahkan keretanya kepada Ahmad dengan lafaz: "Aku beri kereta ini kepada kamu", lalu dijawab oleh Ahmad, "Baiklah aku terima." Tetapi kereta itu tidak diserahkan kepada Ahmad.

Hibah masih belum sah sehingga kereta itu diberi kepada Ahmad. Walaupun geran kereta berkenaan masih di atas nama Ali, namun Ahmad adalah pemunya kereta selepas hibah itu sempurna.

Persoalan sering ditimbulkan adalah bolehkah pemberi hibah menarik balik hibah yang sudah dibuat? Mengikut Mazhab Syafie, pemberi hibah berhak menarik balik hibah jika belum berlaku serahan barang hibah kepada penerima hibah.

Bagaimanapun, jika sesuatu hibah sudah sempurna dilaksanakan, fuqaha' berbeza pendapat dalam menentukan hukumnya. Mazhab Syafie dan Hambali berpendapat pemberi hibah tidak boleh menarik balik hibah itu, kecuali hibah daripada seorang bapa kepada anaknya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti orang yang menjilat muntahnya sendiri."

Persoalan bolehkah seseorang sakit tenat atau nazak membuat hibah? Contohnya bapa sakit tenat, tiba-tiba berpesan kepada anaknya supaya membahagi harta iaitu rumah kepada anak pertama dan tanah kepada anak kedua. Adakah pemberian itu dianggap hibah atau wasiat? Jika ia hibah, adakah sah dilaksanakan?

Contoh di atas dinamakan hibah dalam Mard al-Maut, iaitu sakit yang boleh menyebabkan kematian. Hibah dibuat pada waktu itu boleh dihukum mengikut satu daripada dua kaedah iaitu kaedah hibah atau wasiat.

Jika ayah tadi meninggal dunia selepas itu, sebelum al-qabd berlaku, maka hibah itu dihukum sebagai wasiat. Mengikut kaedah wasiat, hibah itu hendaklah dilaksanakan setakat tidak melebihi satu pertiga daripada harta si mati dan penerima hibah pula bukan seorang daripada waris penghibah/simati.

Dalam kes di atas, penerima hibah adalah waris, maka hibah yang sudah menjadi wasiat itu hanya boleh dilaksanakan jika semua waris yang lain bersetuju dengan hibah berkenaan. Tetapi, jika ayah tadi masih hidup dan pulih selepas itu, hibah adalah sah selepas rukun dan syaratnya dipenuhi.

Bolehkah ahli waris membantah hibah yang dibuat selepas pemberi hibah meninggal dunia? Contohnya, seorang ibu tunggal memberi tanah kepada anak angkatnya tanpa memberitahu anak kandungnya yang lain sebelum dia meninggal dunia.

Kes seperti ini banyak berlaku dan ia mewujudkan perpecahan di kalangan waris, lebih-lebih lagi jika hibah itu dibuat secara lisan. Sebab itu, kita menyarankan supaya hibah dibuat secara bertulis dalam bentuk dokumen yang boleh ditunjukkan kepada pihak yang tidak mengetahui wujudnya hibah itu. Ia bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dan kejadian fitnah memfitnah antara waris.

Secara asasnya sesuatu hibah boleh dicabar di Mahkamah Syariah, tidak kira sama ada hibah dibuat secara lisan atau bertulis dalam bentuk dokumen oleh individu, peguam atau firma berautoriti. Bagaimanapun, ia hanya boleh dicabar atau dipertikaikan dari sudut sahnya mengikut hukum syarak atau jika ada waris yang tidak bersetuju dengan kandungan hibah itu selepas pemberi hibah meninggal dunia.

Pertikaian seperti di atas berlaku kerana harta yang dihibah masih di atas nama pemberi hibah pada masa penghibah meninggal dunia. Secara asalnya, menurut undang-undang, harta itu adalah milik arwah melainkan penerima hibah dapat membuktikan harta itu dihibah kepadanya.

Perkara inilah menyebabkan sesuatu kes itu perlu dibawa ke Mahkamah Syariah. Jika pemberi hibah menghibahkan sesuatu harta dengan terus menukar namanya di dalam dokumen hak milik kepada nama penerima hibah, ia tidak menjadi pertikaian.

Segala-galanya sudah jelas, harta itu bertukar milik kepada penerima hibah seperti tertulis di dalam dokumen hak milik. Jika tidak, amalan hibah yang dibuat pada masa itu perlu disahkan Mahkamah Syariah sebelum boleh dilaksanakan.

Dalam kes Eshah Abdullah dan Lima Yang Lain lawan Che Aminah Abdul Razak dan Dua Yang Lain (J.H bhg 2, Rejab 1425), Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu ketika menerima rayuan perayu membuat ulasan seperti berikut: "Diandaikan jika bangunan itu sudah bertukar kepada nama penerima, kemungkinan kes ini tidak lagi perlu dibawa ke mahkamah, kerana segala-galanya sudah jelas dan tercatat dalam dokumen."

Mahkamah dalam kes itu juga memutuskan bahawa penerimaan hasil sewa bangunan berkenaan oleh penerima hibah adalah qarinah, wujudnya al-qabd atau penerimaan oleh penerima hibah.

Justeru, dinasihatkan sesiapa bercadang untuk membuat hibah supaya terus menukar nama kepada penerima hibah dalam dokumen hak milik harta atau sekurang-kurangnya menandatangani borang pemindahan/penukaran hak milik untuk kemudahan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, bagi harta yang sukar untuk dibuat pemindahan hak milik, hibah seharusnya dibuat secara bertulis dan disaksikan oleh saksi atau dimaklumkan kepada keluarga untuk mengelakkan berlakunya salah faham di kemudian hari.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Sumber: Berita Harian
Tarikh: 24/10/2007

Thursday, October 11, 2007

Dr Sheikh Muzaphar tinggalkan surat untuk ibu bapa sebelum ke Angkasa

Daripada Abdul Rahman Ahmad

BAIKONUR, (KAZAKHSTAN) - Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang berlepas ke angkasa malam tadi telah meninggalkan wasiat dalam tiga pucuk surat untuk ibu bapanya sebagai peringatan jika apa-apa berlaku kepadanya sepanjang misi itu.

Ibunya Datin Zuraidah Sheikh Ahmad berkata surat itu diserahkan kepadanya ketika beliau dan suaminya berada di dalam bas untuk menyaksikan pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa Dr Sheikh Muszaphar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

"Surat itu macam wasiat, dia meminta maaf, katanya beliau sayangkan kami berdua dan adik-adiknya dan jika ada apa-apa berlaku semua, salah dan silap minta dimaafkan," katanya dengan linangan air mata.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor, berangkat dari Cosmodrome, Baikonur di sini pada 7.21 malam waktu tempatan (9.21 waktu Malaysia) untuk menjalani misi ke angkasa itu bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari Russia.

Zuraidah berkata anaknya itu juga turut meminta supaya didoakan dia pergi dan balik dengan selamatnya.

Ketika menceritakan detik-detik pelancaran roket itu, Zuraidah berkata beliau menangis sekuat-kuatnya kerana tidak tahan sebak melihat anaknya berlepas.
"Saya juga takut kerana melihat api yang keluar begitu kuat daripada corong bawah roket berkenaan, itu amat menakutkan," katanya.

Bagaimanapun selepas melihat roket itu berada di angkasa dengan selamat, Zuraidah mengakui merasa amat lega.

Bapanya Datuk Sheikh Mustafa Sheikh Shukor berkata perasaan takut turut menyelubungi dirinya apabila melihat roket itu dilancarkan.

"Saya takut kerana apa-apa boleh berlaku walaupun saya sudah bersedia menghadapi apa jua keadaan. Ini kerana dia sudah dilatih lebih setahun," katanya.

Bagaimanapun, beliau gembira impian anaknya tercapai akhirnya, malah anaknya telah memaklumkan kepadanya bahawa dia akan terus terlibat dalam program angkasawan sekembalinya dari angkasa.

Sementara itu ibu kepada Kapt Dr Faiz Khaleed, Maznah Mohamed berkata beliau merasa gembira dan berharap Dr Sheikh Muszaphar akan pergi dan kembali dengan selamatnya.
"Saya doa dan harapkan dia dapat membuat yang terbaik untuk negara," katanya.

Mengenai cadangan anaknya dilibatkan dalam misi angkasa akan datang, Maznah berkata itu terpulang kepada Dr Faiz dan sebagai ibu, beliau akan menerima apa jua keputusan yang dibuat oleh anaknya nanti.

Agensi Angkasa Rusia (Rosmoscos) telah membuat keputusan pada Selasa untuk Dr Faiz menyertai misi angkasa bagi sesi 2008/2009.

Sumber: BERNAMA
Tarikh: 11/10/2007

Sunday, October 7, 2007

Lapor jika bank guna CTOS tanpa kebenaran pelanggan

SEREMBAN - Orang ramai diminta supaya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati bank menggunakan perkhidmatan Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) untuk mendapatkan maklumat kredit mereka, tanpa terlebih dahulu meminta kebenaran.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam membawa bank perdagangan terbabit ke muka pengadilan sekiranya mereka didapati berbuat demikian.

Beliau yang juga Presiden PPP berkata, tindakan bank-bank berkenaan secara jelas membelakangkan kepentingan pelanggan.

Kayveas berkata demikian semasa mengulas tindakan sesetengah bank yang masih menggunakan CTOS untuk memeriksa latar belakang pelanggan mereka tanpa terlebih dahulu mendapatkan kebenaran.

Kayveas bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Konvensyen PPP Negeri Sembilan di sini hari ini.

Kabinet pada Julai lepas mengarahkan semua agensi kerajaan dan kementerian yang mengeluarkan pinjaman supaya tidak lagi menggunakan CTOS sebagai rujukan bagi mendapatkan maklumat kredit berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, 22 bank komersial yang menjadi anggota Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) masih berkeras untuk terus menggunakan khidmat agensi rujukan kredit CTOS itu.

Namun Pengerusi ABM, Datuk Seri Abdul Hamidy Hafiz dalam satu kenyataan kemudiannya berkata, bank-bank terbabit diminta mendapatkan persetujuan daripada pelanggan terlebih dahulu sebelum merujuk kepada CTOS atau mana-mana agensi rujukan kredit.

Sumber: BERNAMA
Tarikh: 7/10/2007

Tuesday, September 25, 2007

Agihan dana tabarru' dalam takaful diharuskan

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan bahawa pengagihan lebihan dana tabarru’ dalam skim takaful dan penggunaan konsep wakalah dalam instrumen deposit adalah harus di sisi Syariah.

Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) BNM.

BNM berkata, MPS membenarkan lebihan akaun tabarru’ bagi pelan takaful keluarga dan pelan takaful am untuk diagihkan kepada peserta serta pengendali takaful adalah berasaskan kontrk takaful itu sendiri.

"Secara umumnya, kontrak takaful secara umumnya terbina atas dasar tabarru’ iaitu sumbangan dan ta’awun iaitu bantu membantu.

"Prinsip tabarru’ merupakan prinsip utama yang mendasari produk takaful, manakala prinsip lain seperti wakalah dan mudharabah digunakan dalam menyokong perlaksanaan operasi takaful,’’ kata BNM.

Menurut kenyataan itu, keputusan MPS membenarkan pengagihan tersebut dibuat adalah atas dasar upah prestasi bagi pengendali takaful.

Jelas BNM, secara umumnya, cara pengagihan seumpama itu turut diamalkan di kalangan pengendali takaful di Timur Tengah.

Selain itu, tambah kenyataan itu, MPS juga mengumumkan akaun deposit berasaskan kontrak wakalah bi al-istithmar iaitu perwakilan bagi tujuan pelaburan adalah diharuskan.

Namun begitu, katanya, perlaksanaan kontrak tersebut hendaklah dilakukan secara berhati-hati agar ia bebas daripada elemen jaminan oleh wakil terhadap pulangan pelaburan.

Kata BNM, wakalah bi al-istithmar merupakan kontrak Syariah yang baru diluluskan oleh BNM untuk digunakan dalam instrumen deposit dan ia diharap dapat menambah bilangan produk institusi kewangan Islam yang kreatif dan berinovasi.

Sumber: BERNAMA
Tarikh: 25/9/2007

Sunday, September 9, 2007

Menelusuri status janji dalam muamalah

Oleh: Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

JANJI atau dalam istilah Arabnya wa‘ad merupakan satu prinsip penting dalam sistem muamalah Islam. Malah status janji menempati kedudukan yang tinggi dalam Islam sehinggakan seseorang yang memungkiri janji dianggap munafik dan mengundang malapetaka Allah di akhirat kelak.

Dari segi syarak, janji atau wa‘ad membawa maksud komitmen seseorang untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu pada masa depan.

Di sini wa‘ad hanya bersifat sehala dan mengikat orang yang berjanji itu sahaja. Ia berbeza dengan perjanjian berbentuk kontrak atau ‘aqad yang bersifat dua hala dan mengikat kedua-dua belah pihak yang berakad dan telah menandatangani kontrak perjanjian tersebut.

Sebagai contoh, ‘Ammar berjanji untuk menjual keretanya kepada ‘Affaf pada harga RM20,000. Janji yang dilakukan ‘Ammar untuk menjual keretanya ini masih bersifat satu hala dan tidak mengikat ‘Affaf untuk menerima tawaran tersebut. Hanya apabila ‘aqad pembelian (‘aqad al-bai‘) termeterai barulah ia mengikat kedua-dua belah pihak untuk mematuhi segala syarat jual-beli yang ditetapkan syarak.

Perbahasan di kalangan ulama muktabar turut berkisar seputar status wa‘ad dari aspek perundangan sama ada ia boleh dikuatkuasakan sebagaimana kontrak biasa. Polemik yang sering tercetus adalah berkenaan persoalan apakah tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas seseorang yang mengingkari janjinya.

Dalam konteks ini wujud perbezaaan pandangan di kalangan ulama-ulama terdahulu dan kontemporari mengenai status keterikatan dan nilai perundangan sesuatu janji yang dilakukan.

Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafie, Imam Ahmad dan sebahagian ulama dari mazhab Maliki berpandangan bahawa penunaian janji adalah suatu yang kudus dari perspektif Islam tetapi tidaklah wajib atau boleh dikuatkuasakan melalui perundangan sebagaimana akad kontrak.

Bagi ulama-ulama seperti Samurah bin Jundub, Umar bin Abdul Aziz, Hassan al-Basri, Said bin al-Ashwa’, Ishaq bin Rahwaih, Imam Bukhari dan sebahagian ulama Maliki pula berpendapat menunaikan janji adalah wajib dan orang yang berjanji mempunyai tanggungjawab dari segi moral dan perundangan untuk mematuhi janji yang dibuat.

Polemik berkaitan janji ini lebih terserlah dalam realiti muamalah di zaman moden. Amalan dan penggunaan prinsip janji atau wa‘ad sebenarnya semakin meluas dalam operasi urusniaga kewangan dan perbankan Islam masa kini. Hampir semua kontrak yang diguna pakai dalam perbankan Islam mempunyai elemen janji bagi menjamin kelancaran operasi kewangan dan perbankan.

Sebagai contoh, bank yang menggunakan kontrak jual-beli secara murabahah dalam pembiayaan bagi membeli sesuatu komoditi atau barangan turut mendapatkan surat janji (undertaking letter) daripada pembeli.

Surat janji ini penting bagi memastikan pelanggan yang memohon pembiayaan tersebut membeli barangan yang dihajatinya itu setelah pihak bank mendapatkannya daripada pengeluar. Ini kerana akad jual-beli antara bank dan pelanggan hanya boleh termeterai apabila bank sudah memiliki komoditi tersebut sebelum menjualnya kepada pelanggan.

Ini sejajar dengan saranan Rasulullah: Tidak dibolehkan berjual beli sesuatu benda yang tidak wujud di sisi kamu. (Abu Dawud, at-Tirmizi dan an-Nasai).

Persoalannya apakah bank boleh mengambil tindakan mahkamah sekiranya pelanggan ingkar terhadap janjinya untuk membeli barangan tersebut daripada bank.

Menyedari realiti dan kekangan yang dihadapi oleh perbankan Islam inilah maka ulama kontemporari melakukan ijtihad dengan mengeluarkan fatwa baru mengenai status perundangan surat janji atau prinsip wa‘ad.

Sebuah resolusi telah diluluskan oleh Majlis Fatwa Tertinggi di peringkat OIC (Pertubuhan Negara-Negara Islam) mengenai status janji yang dibuat dalam urusniaga muamalah. Menurut resolusi tersebut, seseorang yang mungkir janji boleh diambil tindakan mahkamah sekiranya terbukti bahawa ada pihak yang mengalami kerugian dan kemudaratan.

Walau bagaimanapun pampasan hanya terbatas kepada tahap kerugian sebenar yang dialami oleh pihak menuntut dan tidak termasuk nilai keuntungan yang dinafikan.

Demikianlah sebahagian daripada isu kontemporari yang menyentuh amalan muamalah khususnya berkaitan dengan operasi perbankan dan kewangan Islam yang semakin rancak berkembang bukan sahaja di negara-negara Islam malah negara-negara bukan Islam seantero dunia.

Ia membuktikan bagaimana kayanya khazanah syariat Islam dalam mengatur dan memperincikan urusan kehidupan manusia agar terhindar dari sebarang penyelewengan dan kemudaratan.

Ini sekali gus menafikan tanggapan segelintir yang sering menyempitkan ruang lingkup Islam kepada urusan peribadatan dan ritual semata-mata. Walhal ulama-ulama muktabar telah membincangkan secara terperinci isu-isu muamalah termasuklah berkenaan dengan urusniaga kewangan.

Semua ini menzahirkan betapa Islam agama syumul yang menjamin kebahagiaan dan keselesaan hidup bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 9/9/2007

Keanjalan Sistem Muamalah Islam

Islam adalah agama fitrah yang sesuai untuk kehidupan di sepanjang zaman tanpa mengira sempadan waktu mahupun geografi. Justeru tanggapan segelintir yang mengatakan Islam agama kuno yang sudah tidak lagi relevan dengan zaman moden yang serba canggih kini hanyalah menggambarkan kedangkalan fikiran yang tidak memahami sifat tabii Islam itu sendiri.

Memang al-Quran mahupun hadis Nabi s.a.w. tidaklah memperincikan setiap perkara yang bersangkutan dengan kehidupan manusia secara tuntas. Malah al-Quran sendiri diturunkan dalam bentuk dalil-dalil yang bersifat qat‘i (putus) dan muhkam, dan juga bersifat dzanni (samar) atau juga dipanggil mutasyabihat.

Dalil-dalil yang qat‘i dan muhkam ialah nas-nas yang terang, tegas maksudnya dan tidak perlu lagi dibahaskan. Manakala dalil-dalil bersifat dzanni atau mutasyabihat merujuk kepada nas-nas yang masih samar dan memerlukan penjelasan dan pemahaman lebih lanjut.

Allah sendiri memperakuinya apabila menyebut di dalam al-Quran: Di antara isinya ada ayat-ayat muhkamat (iaitu ayat yang jelas maksudnya dan dapat difahami dengan mudah) itulah pokok-pokok isi al-Quran dan yang lain ayat-ayat mutasyabihat. (Ali-Imran: 7).

Menurut Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya Al-Ijtihad fi Syariah al-Islamiyah Ma‘a Nadharatin Tahliyyatin fil-Ijtihad al-Muasir menyebut, di antara hikmah turunnya ayat-ayat mutasyabihat ini adalah untuk memberi kesempatan bagi manusia menggunakan akal yang dikurniakan Allah berijtihad hingga membawa kepada beberapa pemahaman dan interpretasi.

Keanjalan Islam dalam konteks muamalah ini turut dijelmakan melalui kaedah fiqah yang disepakati oleh majoriti ulama muktabar kecuali Zahiri iaitu: “Hukum asal bagi muamalah adalah harus, selagi mana tidak terdapat larangan yang jelas terhadap perkara-perkara tersebut.”

Ini berbeza sama sekali apabila melibatkan urusan ibadah yang menyentuh hubungan manusia dengan Penciptanya. Ulama berpandangan hukum asal bagi ibadah adalah haram. Justeru, untuk melaksanakan sesuatu yang bersifat ibadah seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji mestilah berpandukan aturan yang ditentukan dalil-dalil syarak bagi mengelakkan terjebak dalam perbuatan bidaah (inovasi dalam ibadah) yang diharamkan.

Sebaliknya dalam konteks muamalah di mana tidak terdapat dalil qat‘i, ulama dibenarkan berijtihad dengan menggunakan pelbagai kaedah fiqah seperti qias (menyamakan perkara baru yang tiada nas dengan hukum asal yang ada nas kerana mempunyai ‘illah yang sama); maslahah (mengambil kira kebaikan umum), istishab (doktrin pengekalan hukum terdahulu); ‘urf (adat dan kebiasaan) dan sebagainya.

*Kaedah

Berasaskan pelbagai prinsip dan kaedah inilah ulama-ulama kontemporari cuba merungkai pelbagai permasalahan baru yang menyentuh hal-ehwal keduniaan yang dikategorikan dalam urusan muamalah atau hubungan sesama manusia.

Salah satu sektor yang pesat berkembang lantaran keanjalan sistem muamalah Islam ini termasuklah bidang kewangan dan perbankan Islam. Kaedah fiqah yang memberi kemudahan untuk ulama berijtihad telah merangsang pengenalan transaksi, kontrak atau prinsip-prinsip baru yang tidak pernah wujud sebelum ini.

Pelbagai produk kewangan dan perbankan Islam telah dibentuk dan diperkenalkan bukan sahaja memenuhi prinsip syarak malah selaras dengan kehendak pasaran dan keperluan pelbagai lapisan masyarakat. Umpamanya produk pembiayaan perumahan dan kenderaan menggunakan kontrak baru seperti musyarakah mutanaqisah dan ijarah wa iqtina. Begitu juga produk pasaran modal yang lebih canggih seperti instrumen sukuk yang berasaskan pelbagai kontrak seperti ijarah (sewaan), musyarakah (perkongsian untung rugi), mudarabah (perkongsian untung) dan murabahah (jual-beli).

Namun kebebasan berkontrak juga tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Ulama membahagikan kebebasan berkontrak kepada dua. Pertamanya ialah menyentuh hak Allah (huququllah) dan keduanya ialah hak sesama manusia (huquq al-ibad). Hak Allah tidak boleh diubah suai sedangkan hak sesama manusia masih terbuka luas untuk berlaku pengubah suaian selagi mana kedua-dua pihak yang berakad reda antara satu sama lain (rujuk ayat al-Nisa:29).

Sebagai contoh, dalam membentuk suatu kontrak mestilah bebas daripada unsur riba walaupun kedua-dua pihak reda antara satu sama lain. Ini kerana riba merupakan hak Allah yang tidak boleh dipertikaikan dan wajib dipatuhi oleh pihak yang bermuamalah. Namun, manusia bebas memasukkan syarat-syarat baru (sulh) selagi kedua-dua pihak reda tanpa menafikan hak Allah seperti pengharaman riba, maisir (judi) atau gharar fahish (ketidakpastian melampau).

Begitulah hebatnya sistem muamalah Islam yang diaduni keseimbangan antara unsur ketegasan dan keanjalan dalam mengatur kehidupan manusia. Dua unsur inilah yang menjadikan Islam sebagai agama yang kekal relevan dan mampu menangani pelbagai isu dan permasalahan baru dalam dunia yang serba canggih dan moden kini. Apa yang lebih mendesak kini adalah keperluan untuk mempersiapkan generasi ulamak yang bukan sahaja menguasai disiplin ilmu Islam tetapi mampu menganggapi permasalahan baru secara bijaksana dan inovatif.

Sumber: Utusan Malaysia

Sunday, August 19, 2007

Zuhud : Tanda Islam benci harta & kekayaan?

Oleh: Zaharuddin Abd Rahman

Ada yang tertanya-tanya samada Islam menentang kekayaan dan perolehan harta. Ada pula yang memainkan perkataan ‘zuhud' bagi menyokong kempen dan kefahaman mereka.

Benar, zuhud adalah satu sifat yang amat baik dan terpuji di dalam Islam, bagaimanapun saya mendapati terdapat salah faham masyarakat Islam dalam memahami ertinya, sehingga ia ditakrifkan sebagai menjauhkan diri dari dunia dan membiarkan diri miskin. Ada juga yang mengganggap zuhud sebagai tidak menggunakan harta yang diperolehi untuk diri, dan keluarga.

Selain itu, ia juga dikatakan zuhud jika berumah, berpakaian dan berkereta usang walaupun mempunyai harta. Membiarkan umat Islam tidak membina sebarang kilang, bangunan dan bisnes kerana ia dikira sebagai zuhud iaitu lari dari dunia sejauh-jauhnya. Dengan demikian dunia akan datang kepada kita. Adakah ini benar-benar yang diarahkan oleh Islam ?.

Tidak kurang juga yang membawakan dalil-dalil yang hebat seperti sabda Nabi SAW :-
كُنْ في الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أو عَابِرُ سَبِيلٍ
Ertinya : Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau seperti orang yang melintas ( Riwayat Al-Bukhari, no 6053, 5/2358 )

Diberi pula lagi dengan satu hadis Nabi SAW :
والله ما الدنيا فى الآخرة إلا مثل ما يجعل أحدكم اصبعه هذه وأشار يحيى بالسبابة فلينظر بم ترجع
Ertinya : Demi Allah, tiadalah kehidupan di dunia kecuali seperti seseorang yang mencelupkan jarinya ini ( di dalam lautan sambil perawi menunjukkan jari telunjuknya) dan lihatlah apa yang mengikut (jari tadi dari air) " ( Muslim, no 858, 17/192 )

Demikian juga firman Allah SWT :-
بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى
Ertinya : Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal (Surah A'la : 16 & 17 )

Apakah Zuhud Sebenar?

Sebenarnya zuhud bukanlah :-
1) Menjauhkan diri dari dunia
2) Berpakaian lusuh
3) Berkereta dan berumah buruk dalam keadaan mampu
4) Membiarkan diri miskin –

Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Sebagaimana yang dinyatakan dalam surah ‘ala ayat 16 dan 17 tadi, yang mana Allah SWT menyifatkan orang bukan Islam mengutamakan dunia semata-mata, kemudian Allah menyebut kehidupan akhriat lebih baik dan kekal.

Apabila Allah SWT menggunakan perkata "lebih baik" ini bermakna kehidupan dunia adalah "baik" , Cuma akhirat ‘lebih baik' dan ‘lebih kekal'. Justeru Islam tidak sesekali melarang umatnya mencari yang baik. Nabi juga pernah menyebut bahawa Allah itu maha baik dan suka yang baik-baik. Cuma yang salah dalam hal harta ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah dalam ayat berikut :-

كَلَّا بَلْ تُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ وَتَذَرُونَ الْآخِرَةَ
Ertinya : Sekali-kali janganlah demikian. Sebenarnya kamu (hai manusia) mencintai kehidupan dunia, dan meninggalkan (kehidupan) akhirat ( Al-Qiyamah : 20 & 21 )

Iaitu, mencari dunia sehingga melupakan akhirat.

"apakah maksud melupakan akhirat"? Tanya seorang peserta kursus kewangan kepada saya.

"iaitulah mengenepikan, tidak endah serta malas mencari ilmu tentang halal haram dalam perolehan dan perbelanjaan hartanya. Orang sebegini tidak endah samada ia riba, rasuah, pecah amanah, curi dan lain-lain, yang penting baginya adalah poket semakin penuh"

"termasuklah juga, mengabaikan kewajiban Islam kerana terlalu mabuk dalam mencari harta, seperti tidak solat, tidak berzakat, abaikan tanggungjawab kepada rumahtangga dan lain-lain" terang saya.

Tiba-tiba seorang rakannya pula bersuara : "Jadi apa kaitannya dengan zuhud ustaz?"
Ini bermakna zuhud itu adalah mencari dan membelanjakan harta tanpa melupakan hukum dan keredhaan Allah SWT. Pandangan Allah akan sentiasa menjadi ‘priority' dalam pengurusan dan pendapatan hartanya. Ia juga akan memastikan zakat dan sedeqah dikeluarkan. Itulah zuhud namanya dan bukannya menjadikan diri miskin dan menjauhi dunia.

"walaupun keretanya besar, rumahnya indah, jamnya berjemana" tambah saya lagi.

"Boleh ke ustaz gunakan benda-benda begitu ustaz" Tanya pemuda pertama tadi lagi.

Sudah tentu boleh, iaitu jika sudah ditunaikan seluruh kewajiban dalam perolehan harta itu dan hatinya sentiasa dijaga agar tidak bangga dan sombong dengan kejayaannya.

Buktinya adalah dari sabda Nabi SAW :-
قال أَتَيْتُ النبي في ثَوْبٍ دُونٍ فقال أَلَكَ مَالٌ قال نعم قال من أَيِّ الْمَالِ قال قد آتَانِي الله من الْإِبِلِ وَالْغَنَمِ وَالْخَيْلِ وَالرَّقِيقِ قال فإذا أتاك الله مَالًا فَلْيُرَ أَثَرُ نِعْمَةِ اللَّهِ عَلَيْكَ وَكَرَامَتِهِ
Ertinya : "Aku datang bertemu Nabi SAW dengan berbaju yang kurang elok lalu. Nabi SAW bertanya : "Adakah engkau mempunyai harta ?" Aku menjawab : " Ya" Baginda bertanya lagi : "Dari mana dan apa jenis hartamu itu?" Aku menjawab : "Allah telah memberiku harta dari ternakan unta, kambing dan kuda" Nabi terus membalas dengan katanya : "Jika seseorang kamu telah diberikan harta (yang halal) maka hendaklah atau haruslah ditunjukkan kesan-kesan nikmat dan kemuliaan Allah (yang diberikan) kepadanya"
(Riwayat Abu Daud, no 4063, 4/51, Tirimidzi, no 2006, 4/364 ; Tirmidizi & Albani : hasan sohih)

Imam Ibn Hajar berkata maksud hadis ini menyebut hendaklah seseorang itu memakai pakaian bersih yang layak dengan kedudukannya agar jika terdapat orang yang ingin meminta bantuan, maka boleh dikenali siapa yang boleh memberikannya. Pada masa yang sama mestilah ia menjaga niatnya dan menjauhi pembaziran. Demikian juga yang disebutkan di dalam kitab Tuhfatul Ahwazi (Rujuk Fath Al-Bari, 10/260 ; Tuhfatul Ahwazi, 6/122)

Tafsiran zuhud yang saya berikan adalah bersandarkan firman Allah yang tidak menegah kita menjadi kaya dan berharta, tetapi yang dikehendaki adalah sentiasa peka dan berjaga dengan tipu daya harta agar tidak lalai dari halal haram dan keredhaaan Allah.

Firman Allah :-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi. ( Al-Munafiqun : 9 )

Islam tidak melarang sama sekali kita untuk menjadi kaya dan menggunakan peralatan, kemudahan dan pakaian yang layak dengan pendapatan kita. Malah ia amat digalakkan untuk menjadi kaya dengan cara yang halal, kerana dengan itu zakat dapat dikeluarkan bagi membantu umat Islam yang tidak berkemampuan.

Harta hanya akan menjadi tercela bila ia membawa kepada kelalaian dan pengabaian yang wajib di sisi Allah : Inilah yang disebutkan oleh salah seorang ulama tabien yang terhebat iaitu Said Ibn Jubair iaitu :-
متاع الغرور ما يلهيك عن طلب الآخرة , وما لم يلهك فليس بمتاع الغرور ولكنه متاع بلاغ إلى ما هو خير منه
Ertinya : Harta yang menipu adalah apa-apa yang melalaikanmu dari mencari akhirat, dan apa sahaja yang tidak melalaikanmu dari akhirat bukanlah dari jenis harta atau kerja yang melalaikan tetapi ia dianggap harta yang boleh menyampaikan kamu kepada apa yang lebih baik (akhirat)" ( Jami' al-Ulum wal Hikam, hlm 360)

Takrif Zuhud di Sisi Ulama

Para ulama silam juga pernah membetulkan salah faham tentang pengertian zuhud ini. Lihatlah pengertian zuhud yang disebut oleh mereka :-

Imam Ibn Juzai berkata :-
ليس الزهذ بترك الحلال , ولا إضاعة المال فقد يكون الغني زاهدا , إذا كان قلبه مفرغاً عن الدنيا , وقد يكون الفقير دنيويا إذا اشتدّ حرصه , وكان معمور القلب بالدنيا
Ertinya : Bukanlah zuhud itu dengan meninggalkan ( pendapatan dan harta) yang halal, bukan juga membuang harta, kemungkinan seorang yang kaya itu bersifat zuhud apabila hatinya kosong dari dunia (tidak mengharapkan sesuatu dari dunia dan kekayaannya untuk dunia), dan berkemungkinan orang faqir itu adalah orang yang bersifat duniawi apabila hatinya amat berkehendakan dunia, tatkala itu hatinya segar dengan ikatan kepada dunia ( Al-Qawanin Al-Fiqhiyyah, hlm 471 )

Imam Sufyan bin ‘Uyainah ditanya berkenaan zuhud lalu beliau menjawabnya :-
إن نقصت لم يغنم وإن زادت لم يفرح ولا يكره الموت لفراقها
Ertinya : Sekiranya sesuatu harta itu hilang atau kurang sesorang itu tidak terlalu bersedih dan tatkala ia bertambah ia tidak pula gembira, dan ia tidaklah merasa bencikan mati kerana tidak mahu berpisah dengan hartanya " ( Jami' Al-ulum wal Hikam, hlm 256 )

Imam Al-Qarafi pula berkata :-
ليس الزهد عدم ذات اليد , بل عدم احتفال القلب بالدنيا , وإن كانت في ملكه
Ertinya : Bukanlah zuhud itu tidak mempunyai sesuatu di dalam tangan, tetapi ia adalah tidak bergembiranya hati dengan dunia ( perolehan dunia) walaupun ia jatuh ke dalam miliknya" ( Az-Zakhirah, Al-Qarafi )

Kesimpulannya

Diharuskan mencari harta sebanyak-banyaknya dengan syarat ia tidak melalaikan dari akhirat. Melalaikan akhirat adalah dengan tidak mengendahkan hukum Islam dan mengambil ringan tentangnya. Fokus utama mereka hanyalah memperolehi keuntungan dan menebalkan poket sahaja. Halal haram diletakkan sebagai hal kedua. Justeru, fahamilah konsep sebenar dalam pencarian harta, fahamilah pandangan Islam dalam semua instrumen mendapatkan harta, tidak dinafikan terlalu banyak cara dan instrumen baru serta canggih diperkenalkan tapi awas, tidak semuanya membawa kebahagiaan di akhirat kelak.

Bersifat zuhud bukanlah bermaksud membiarkan diri miskin, tidak berusaha, berpakaian dan berkenderaan lusuh dalam keadaan berharta dan mampu. Justeru, amat diharapkan umat Islam tidak menjadikan zuhud sebagai alasan ketidakmajuan mereka dan tidak pula tersilap memahami konsep harta dalam Islam hanya kerana tidak faham erti sebenar zuhud.

Sumber: Zaharuddin.net
Tarikh: 19 Ogos 2007

Tuesday, July 10, 2007

Harta Pusaka Tidak Dituntut Cecah RM40b

KUALA LUMPUR – Nilai hartanah dan jumlah wang yang tidak dituntut disebabkan isu pewaris yang tidak dapat diselesaikan, terdiri daripada semua kaum di negara ini, mencecah RM40 bilion sehingga kini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM38 bilion terdiri adalah hartanah kaum Melayu.

“Sebanyak RM1.8 bilion wang yang tidak dituntut dari Pendaftar Wang Yang Tidak Dituntut dan wang tidak diselesaikan pewarisnya yang berada di bawah kawalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, koperasi-koperasi dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) terdiri daripada harta semua kaum bernilai RM70 juta.

“Masalah ini berbangkit akibat perbalahan keluarga, kurangnya kesedaran mengenai harta pusaka dan waris sendiri tidak mengetahui wujudnya harta terbabit mengakibatkan ia tidak dituntut,” katanya semasa merasmikan Konvensyen Perwarisan Harta Islam 2007 dan Pelancaran Daftar Wasiat Malaysia di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Abdul Rahman Suliman.

Nazri berkata, masalah yang melanda semua kaum ini juga disebabkan masih ramai yang tidak memahami pentadbiran warisan, pendedahan mengenai wasiat, hibah (hadiah), pemegang amanah serta pengetahuan pengagihan harta selepas kematian.

“Faktor ini akan menyebabkan keluarga berbalah, bahkan harta yang ditinggalkan menjadi punca bencana keluarga sendiri dan paling malang, ia akan berlarutan hingga satu generasi ke generasi yang lain tanpa penyelesaian bahkan mungkin tidak dapat diselesaikan kerana membabitkan waris yang berlapis,” katanya.

Katanya, dalam satu kes yang unik, sebidang tanah berukuran 371.6 meter persegi (4,000 kaki persegi) di Kampung Baru, di sini mempunyai 100 orang yang berhak terhadapnya dan tidak dapat diselesaikan sehingga sekarang.

Merugikan:

Nazri berkata, masalah seumpama itu tidak seharusnya dibiarkan berterusan kerana ia bukan sahaja merugikan negara tetapi juga meninggalkan masalah dan beban terhadap waris yang berhak.

Sementara itu, beliau memuji langkah proaktif Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), sebuah syarikat milik penuh kerajaan yang mengendalikan harta pusaka sejak 1921 dengan mencatat peningkatan pengurusan wasiat Islam dan bukan Islam sejak tiga tahun kebelakangan ini.

AmanahRaya menyelenggarakan 221 wasiat Islam dan 652 wasiat bukan Islam pada 2004 dan meningkat kepada 666 (Islam) 968 (bukan Islam) pada 2005; 8,284 (Islam) dan 1,589 (bukan Islam) pada 2006 serta 12,152 (Islam) dan 6,187 (bukan Islam) tahun ini.
Beliau berkata, sistem penamaan bagi caruman KWSP, simpanan Tabung Haji, saham amanah, insurans dan takaful juga perlu dilihat semula dan diseragamkan supaya tidak timbul kekeliruan di kalangan masyarakat sama ada ia adalah wasiat, hadiah ataupun hanya pemegang amanah.

Katanya, kerajaan bersedia untuk membawa cadangan dan hasil rumusan konvensyen berkenaan bagi mempercepat dan mempermudahkan pengurusan harta pusaka dan wasiat ke Kabinet malah ke Parlimen demi manfaat semua pihak.

Mengenai Daftar Wasiat Malaysia (DWM) yang dilancarkan itu, beliau berkata, ia akan memudahkan pengurusan dan rekod bagi mereka yang membuat wasiat untuk menentukan sama ada si mati mempunyai wasiat yang bertulis ataupun tidak.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 10 Julai 2007

Monday, July 9, 2007

Wasiat Instrumen Bijak Pengurusan Harta

WASIAT adalah instrumen dan mekanisma terbaik kepada pengurusan dan pentadbiran aset dalam Islam.

Tuntutan berwasiat tidak hanya kepada orang kaya dan berharta, malah orang miskin dan tidak berkemampuan perlu berwasiat sebelum menghembus nafas terakhir.

Persepsi bahawa wasiat hanya aplikasi pengurusan dan pentadbiran harta orang kaya dan gaya hidup mewah perlu diubah segera. Ini kerana wasiat disyariatkan kepada seluruh umat manusia, termasuk bukan Islam.

Sekitar tahun 1990-an, kita dikejutkan dengan laporan hampir RM30 bilion nilai aset umat Islam dibekukan dan tidak dituntut akibat kematian yang rata-ratanya tanpa wasiat di samping sistem pentadbiran dan pengurusan harta yang lemah.

Terkini kita digemparkan sekali lagi dengan hampir RM40 bilion nilaian semasa aset umat Islam di Malaysia yang tidak dituntut atas alasan sama.

Situasi genting itu berikutan kelalaian umat Islam mentadbir harta mereka menurut syariat dan kurangnya maklumat serta rendahnya kesedaran berwasiat.

Isu yang dianggap sensitif bagi sesetengah pihak dan dianggap tidak penting serta dipandang remeh sudah membelenggu umat Islam sejak dulu lagi hingga di zaman serba moden dan sofistikated ini.

Lantaran itu, ia turut mendapat perhatian serius Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggesa umat Islam agar mengambil berat dan tidak lagi memandang ringan mengenai pengurusan dan pentadbiran harta mereka iaitu melalui alternatif penyediaan wasiat ketika masih hidup lagi.

Islam menyediakan platform terbaik untuk mengurus dan mentadbir harta secara lebih bijaksana, namun ruang dan peluang berkenaan tidak digunakan sepenuhnya.

Jika umat Islam masih memandang remeh mengenai penyediaan wasiat ke atas harta di bawah milikan dan kawalan mereka, sudah tentu nilaian aset tidak dituntut umat Islam akan terus bertambah dan dibekukan.

Kelalaian itu amat tidak ekonomik dan amat merugikan negara. Seharusnya aset bernilai itu ditadbir dan diurus sebaik mungkin agar ia bermanfaat kepada pihak yang memerlukan atau boleh disalurkan terus ke arah perkembangan dan kemajuan Islam.

Menurut istilah syarak, wasiat adalah pemberian seseorang kepada orang lain baik berupa wang, hutang ataupun manfaat untuk dimiliki oleh orang yang diberi wasiat sesudah orang yang berwasiat meninggal dunia. (Sayyid Sabiq, 1990)

Sebahagian fuqaha mendefinisikan wasiat sebagai pemberian hak milik secara sukarela yang dilaksanakan selepas pemberinya meninggal dunia.

Di sini, terdapat perbezaan antara hibah dan wasiat. Pemilikan yang diperoleh daripada hibah terjadi pada saat itu juga, yakni ketika pemberinya masih hidup sedangkan pemilikan yang diperoleh daripada wasiat hanya berlaku selepas kematian pewasiat itu.

Di samping itu, hibah berupa barang, sementara wasiat boleh berupa barang, hutang ataupun manfaat.

Legaliti dan legitimasi wasiat adalah berpandukan firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah, ayat 180 yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan tanda-tanda kematian, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu bapa dan karib kerabatnya secara ma’ruf. Ini adalah kewajipan atas orang yang bertakwa.”

Dalam sebuah hadis, dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Hak bagi seorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, sesudah bermalam selama dua malam tiada lain wasiatnya itu tertulis pada amal kebajikannya.”

Ibnu Umar berkata: “Tidak berlalu bagiku satu malam pun sejak aku mendengar Rasulullah s.a.w mengucapkan hadis itu kecuali wasiatku selalu berada di sisiku.” (HR Bukhari dan Muslim)

Terdapat beberapa kelebihan jika kita membuat persediaan awal menyediakan wasiat sebagai satu daripada proses pengurusan dan pentadbiran aset di bawah kawalan dan milikan kita.

Ini adalah kerana ia dapat diselenggarakan dengan baik, cekap dan profesional dengan kos yang minimum.

Wasiat kita dapat diurus dan ditadbir oleh orang yang bertauliah seperti peguam dan ejen wasiat yang mempunyai kelayakan dalam mengendalikan segala urusan berkenaan wasiat merangkumi aspek dokumentasi, penyimpanan, pengurusan, pemeliharaan sehingga kepada urusan pelaksanaan wasiat jika berlaku kematian.

Proses tuntutan harta pusaka juga menjadi lebih cepat, mudah dan lancar dengan adanya wasiat yang sah. Ini sudah tentu dapat mengelakkan berlakunya pergaduhan, perselisihan dan perebutan harta di kalangan waris yang berhak pada masa depan.

Di Malaysia terdapat agensi kerajaan seperti Amanah Raya Berhad (ARB) dan agensi swasta seperti Amanah Hibah, Warisan Mukmin dan Wasiyyah Shoppe yang menyediakan khidmat pengurusan dan pentadbiran wasiat secara profesional dan sistematik.

Kebiasaannya aset yang dilaporkan terpaksa dibekukan kerana tidak dituntut oleh pewaris berhak meliputi wang simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), simpanan di koperasi dan bank, kereta, hartanah seperti rumah dan bangunan, simpanan saham amanah, insurans dan pelaburan saham syarikat.

Sekiranya keadaan itu tidak diberi perhatian sewajarnya, ia boleh memberi impak negatif kepada perkembangan ekonomi negara kerana aset berkenaan beku dan tidak dapat dimajukan sewajarnya.

Kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi menerapkan kepentingan berwasiat dan semua pihak hendaklah peka mengenai mentadbir serta mengurus harta mereka melalui medium wasiat.

Untuk itu, di samping penyediaan wasiat melalui khidmat peguam dan ejen wasiat bertauliah, maklumat dan langganan khidmat itu boleh didapati melalui kaedah kursus gaya pos yang membekalkan buku dan cakera padat video (VCD).

Sumber: Berita Harian

Monday, May 28, 2007

Takaful Keluarga Jadi Alternatif Insurans Nyawa Berlandaskan Islam

TAKAFUL KELUARGA

PADA 15 Jun 1972, keputusan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa “Insurans nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insurans yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana akadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu;

a. Mengandungi gharar (ketidaktentuan)
b. Mengandungi unsur judi.
c. Mengandungi muamalah riba.”

Sehubungan itu, apakah alternatif yang ada bagi umat Islam di Malaysia, selain daripada insurans nyawa? Jawapannya ialah takaful keluarga.

Apakah itu takaful keluarga? Takaful keluarga dapat memberikan perlindungan serta memperoleh simpanan jangka panjang. Istilah perlindungan bermaksud sekiranya berlaku kematian atau keilatan (hilang keupayaan) dan lain-lain musibah ke atas anda ataupun keluarga anda, maka anda akan mendapat pampasan (biasanya dalam bentuk kewangan) yang bersesuaian dengan bentuk musibah dan perlindungan serta sumbangan yang anda pilih.

Yang dimaksudkan dengan simpanan pula adalah anda boleh mendapat semula wang sumbangan anda setelah kontrak perlindungan anda matang dan juga mendapat manfaat mudharabah, iaitu perkongsian keuntungan antara syarikat dan anda.

Ini kerana sebahagian sumbangan anda akan di masukkan ke dalam perlindungan sekiranya anda ditimpa musibah, manakala sebahagian lagi akan didepositkan sebagai simpanan dan pelaburan, dan anda berhak menikmati pulangan pelaburan daripada sumbangan simpanan.

Berikut adalah skim-skim yang terdapat di dalam takaful keluarga :-

SKIM TAKAFUL KELUARGA INDIVIDU (PERSEORANGAN)

Merupakan satu skim perlindungan bercirikan tabungan yang biasa ditawarkan kepada peserta individu untuk melindungi diri atau ahli keluarga mereka. Skim Takaful Keluarga Individu termasuk pelan pelajaran, gadai janji, kesihatan dan rider. Rider atau manfaat tambahan memberi perlindungan tambahan daripada takaful keluarga asas seperti manfaat hospital dan pembedahan.

Pelan pelajaran atau lebih dikenali sebagai Skim Takaful Pendidikan bertujuan mewujudkan tabungan bagi pendidikan anak-anak. Keistimewaan skim ini ialah ia boleh memberi manfaat tambahan kepada peserta dan juga anak tanpa melibatkan pembayaran sumbangan tambahan.

Di sesetengah syarikat, peserta di benarkan mengeluarkan sebahagian daripada simpanan tabungan untuk tujuan pendidikan anak-anak ketika mereka berusia 15 atau 18 tahun.

SKIM TAKAFUL GADAIJANJI (MRTA)

Skim Takaful Gadai janji atau MRTA ialah pelan takaful keluarga yang melindungi baki pembelian rumah seseorang individu semasa tempoh pembayaran ansuran kepada pembiaya (institusi kewangan atau pihak bank).

Skim ini tiada unsur simpanan dalam perlindungannya. Skim ini akan menyelesaikan baki pembiayaan perumahan peserta sekiranya peserta meninggal dunia atau mengalami keilatan kekal.

Apabila pembiayaan perumahan telah ditebus, kediaman tersebut akan ditukar milik kepada peserta atau Waris peserta. Peserta hanya membayar sumbangan sekali sahaja bagi takaful gadai janji apabila mengambil pembiayaan perumahan.

Kadar sumbangan bergantung kepada umur peserta, jumlah pembiayaan perumahan, kadar keuntungan dan tempoh pembiayaan tersebut. Peserta layak mendapat balik sumbangan takaful secara pro rata ke atas tempoh takaful yang belum lupus, sekiranya peserta menjual rumah tersebut atau membuat penebusan awal pembiayaan perumahan mereka.

SKIM TAKAFUL KELUARGA BERKUMPULAN

Merupakan skim yang direka khas untuk disertai oleh peserta dalam bentuk berkumpulan seperti Koperasi, Persatuan, Pertubuhan, Kesatuan atau mana-mana organisasi yang ingin memberikan perlindungan kepada ahli mereka.

Peserta akan menerima manfaat perlindungan daripada keilatan menyeluruh, manakala waris peserta akan mendapat manfaat apabila berlakunya kematian.

SKIM TAKAFUL ANUITI

Merupakan pelan yang memberi pendapatan tetap selepas peserta bersara.

SKIM TAKAFUL BERKAITAN PELABURAN

Merupakan satu skim di mana sebahagian daripada sumbangan peserta akan digunakan untuk membeli unit-unit pelaburan seperti unit saham atau sekuriti yang diluluskan syariah dan bakinya pula adalah untuk perlindungan takaful merangkumi kematian dan hilang upaya kekal.

Bagaimana untuk mendapatkannya? Polisi atau sijil takaful biasanya dibeli melalui khidmat perantara yang dipanggil agen atau wakil yang dilantik oleh pengendali-pengendali takaful untuk berkhidmat bagi pihak mereka.

Namun pengguna juga boleh menyertai produk takaful secara langsung daripada pengendali takaful yang tidak menggunakan khidmat perantara.

Perkembangan teknologi, perubahan nilai dan cita rasa masyarakat serta kemajuan ekonomi negara telah memberi impak yang besar terhadap perkembangan industri takaful seterusnya kepelbagaian pelan-pelan takaful keluarga masa kini.

Sebagai pengguna, anda bebas dan harus bijak memilih perlindungan yang lebih baik terutamanya dari segi keperluan, kos mahu pun kualiti perkhidmatan yang diingini. Kebebasan memilih ini selaras dengan kehendak dan tuntutan Islam yang mengutamakan prinsip adil dan ihsan dalam setiap urusan.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Tarikh: 28/05/2007

Thursday, March 29, 2007

Hidup Melebihi Kemampuan?

Oleh: RUSINAH SIRON

SECARA rasionalnya, perspektif permikiran kita dalam melihat sikap golongan muda yang suka berbelanja dan bergaya lagak yang di luar kemampuan mereka ini bukanlah sesuatu yang baru dan menghairankan kerana ia seolah-olah sudah menjadi gaya hidup yang diterima oleh golongan muda khususnya dan masyarakat Malaysia amnya yang memang suka berhutang dan memberi hutang dengan mempunyai pelbagai maksud dan tujuan hidup.

Penulis ambil satu contoh mudah dengan melihat senario graduan yang telah tamat belajar dari universiti atau kolej. Dengan usaha, pengetahuan dan tuah badan, kita andaikan graduan yang telah tamat belajar tersebut terus diterima bekerja dengan purata gaji RM2,000 (contoh ini tidak termasuk bagi graduan yang kurang bernasib baik yang mendapat gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan yang mereka capai iaitu RM800 - RM1,000).

Dengan gaji RM2,000, maka bermulalah kerjaya graduan tersebut sebagai eksekutif muda yang bekerja di bandar atau di kawasan pinggir bandar di mana mereka ditempatkan. Dengan semangat yang berkobar-kobar berserta dengan iringan doa dan kata-kata rangsangan ibu bapa, maka bekerjalah eksekutif muda tersebut dengan azam untuk membangunkan diri ke arah masa depan yang gemilang dan membantu ibu bapa dan keluarga yang telah banyak berkorban untuknya.

Tetapi setelah mengharungi hidup sebagai eksekutif muda dan terdedah dengan persekitaran kerja yang mencabar mental dan fizikal, perubahan demi perubahan yang positif dan negatif telah banyak mengubah hidup eksekutif muda sehingga perubahan tersebut telah menjerat diri dan kehidupan mereka sebagai individu, pekerja dan sebagai anak dalam keluarga iaitu hutang.

Bagaimana eksekutif muda ini boleh terdedah dengan hutang dan akhirnya hidup dikelilingi hutang? Mengapa?

Marilah kita bersama-sama melihat situasi ini dengan spesifik dan telus, mengapa eksekutif muda ini berhutang:

* Gaji bulanan, RM2,000
* Sewa rumah bilik, RM200 (berkongsi rumah dengan rakan).
* Ansuran kereta, RM300 (bergantung jenis kereta, kalau mahal harga keretanya, mahallah ansuran bulanannya).
* Duit minyak dan tol, RM450 (anggaran perjalanan pergi dan balik kerja, tidak termasuk perjalanan lain).
* Makan dan minum RM500 (hanya tanggung makan sendiri dan tidak termasuk belanja rakan dan teman wanita atau belanja keluarga, kebiasaannya jarang belanja keluarga kerana belanja diri sendiripun terlepas.
* Sosial dan riadah, RM300 (urusan sosial bersama rakan dan hal peribadi, meraikan hari jadi rakan, tonton wayang, hari kasih sayanglah dan pelbagai aktiviti rehat minda bagi orang-orang muda, kononnya).
* Bayar bil, RM200 (bil api, air, telefon, bil pelbagai).
* Bayar kredit barangan RM300 (hutang set hi-fi, TV, peti sejuk, dapur masak dan pelbagai barangan elektrik).
* Barangan peribadi, RM200 (top-up kad prabayar, barangan kesihatan dan kecantikan, pakaian, kasut, aksesori diri bagi wanita, aksesori kereta dan pelbagai barangan kesukaan diri sendiri).
* Hal-hal kecemasan, RM100 (sakit, beri pinjam kawan, kereta rosak dan sebagainya).
* Simpanan RM100 (kerana memikirkan hendak kahwin, simpan sedikit, lama-lama jadi bukit).

Ini tidak termasuk lagi dengan arahan “perintah bayar” daripada pinjaman pelajaran mereka di universiti yang sering eksekutif muda ini saja-saja buat lupa tapi tidak pernah lupa untuk bayar perbelanjaan yang berkaitan dengan urusan peribadi mereka. Katakan eksekutif yang memaksa diri untuk bayar pinjaman secara minimum RM100, berapa gaji bulanan mereka yang tinggal?

* Pendapatan daripada gaji, RM2,000
* Perbelanjaan daripada gaji, RM2,750
* Baki gaji, RM - 750

Daripada contoh di atas, kita lihat tiada langsung baki daripada gaji bulanan eksekutif tersebut malah menunjukkan ketidakcukupan gaji setiap bulan iaitu sebanyak RM750. Ini andaian bagi gaya hidup eksekutif yang paling minimum dengan kos hidup semasa.

Cubalah bayangkan jika eksekutif tersebut mengamalkan gaya hidup mewah yang langsung tidak sepadan dengan gaji bulanan yang diterima. Berapalah agaknya kurangan gaji yang perlu mereka hadapi setiap bulan. Itu tidak lagi termasuk jika kita mempersoalkan duit yang perlu diberi kepada ibu bapa yang tidak berhenti-henti berdoa agar anak mereka mampu menghantar wang untuk membantu meringgankan perbelanjaan keluarga.

Tapi apa yang nyata, harapan tinggal harapan yang tidak kesampaian. Tambah menyedihkan lagi, anak yang diharapkan membantu keluarga setelah bekerja, malah meminta wang lagi pada ibu bapa dengan alasan kos hidup tinggi dan baki gaji bulanan memang tidak cukup.

Bagi eksekutif muda yang sering tidak cukup wang kerana wang memang tidak akan pernah cukup bagi mereka kerana gaya hidup mereka itu akan mula memikirkan alternatif untuk mendapatkan wang tanpa perlu meminjam duit ibu bapa atau rakan-rakan kerana malu akan dicop muka subsidi akan menjadikan kad kredit sebagai “abang long” mereka.

Dengan pelbagai promosi yang menonjolkan gaya dan aura kad kredit sebagai satu gaya hidup bagi eksekutif muda masa kini, maka terpesona dan terpanalah eksekutif yang sering putus wang ini untuk menggunakan kad kredit sebagai sumber kewangan alternatif mereka. Tanpa mereka sedari atau dengan sengaja tidak sedar diri, kad kredit itulah yang menjadikan mereka terus berhutang dan akhirnya menjadi hutang melilit pinggang.

Mengapa eksekutif muda ini berhutang? Persoalan ini bukannya susah untuk difahami tetapi tidak mudah untuk dicari penyelesaiannya. Jawapannya terletak kepada lima P:

1. Personaliti - peribadi dan sikap seseorang yang sememangnya suka berhutang kerana sudah menjadi satu kebiasaan kepada dirinya melihat ibu bapa, adik beradik dan saudara maranya yang memang suka berhutang untuk memenuhi kehendak dan keperluan diri. Ibu dan kakaknya suka berhutang beli perabot, hutang kain, hutang pinggan mangkuk, hutang langsir sehinggalah beli alat solek pun hutang. Jadi budaya berbelanja lebih dari pendapatan yang ada dan berhutang sudah jadi amalan biasa pada dirinya, malah mendapat sokongan padu daripada keluarga.

2. Pengaruh Persekitaran - hidup mereka sentiasa di kelilingi oleh mereka-mereka yang menjadikan hutang itu sebagai gaya hidup malah rakan-rakan sendiri memberi galakan untuk berhutang bagi membeli kereta yang kononnya setaraf dengan kerjaya sebagai eksekutif. Malah ada yang beri nasihat songsang pada rakan dengan mengatakan shopping and spending is a part of happiness, so go for it!. Pengaruh negatif inilah yang menjadikan seseorang itu terus lena dibuai mimpi indah di atas tilam dan sofa yang juga dibeli secara hutang di kedai perabot!

3. Promosi - institusi kewangan dan yang berkaitan dengan kad kredit ini memang menyasarkan golongan muda dan berkerjaya sebagai pelanggan berpotensi dengan membuat promosi besar-besaran dan habis-habisan untuk menarik eksekutif muda ini menggunakan kad kredit. Pelbagai iklan dan mesej yang digunakan untuk memaksa eksekutif ini menggunakan kad kredit. Kehadiran jurujual yang tidak pernah penat senyum dan ketuk pintu pejabat memang menjadikan taktik-taktik promosi ini sebagai strategi untuk menarik golongan muda ini menggunakan kad kredit.

4. Pujian dan Perasan- sebagai eksekutif muda, banyak puji-pujian dan dorongan agar mereka ini terus kelihatan anggun, cantik dan bergaya selaras dengan umur yang masih muda dan kerjaya yang disandang. Kerana terlena dan perasan dengan pujian tersebut, maka berlumba-lumbalah eksekutif muda wanita dan lelaki ini membeli-belah barangan berjenama yang bukan murah harganya, falsafah mereka biar papa asal bergaya menjadikan mereka akhirnya papa dan merana kerana muflis. Siapa yang perlu dipersalahkan jika keadaan ini berlaku? Tepuk dada tanyalah selera!

5. Kehabisan - selalu pokai atau tidak cukup duit kerana gaya hidup mewah inilah yang menjadi fokus utama mengapa golongan muda banyak berhutang. Mari kita lihat gaya hidup mewah yang menyebabkan golongan muda ini terperangkap dengan dunia yang mereka cipta sendiri dan bandingkan dengan gaya hidup ala kadar yang boleh membantu mereka berjimat cermat dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Bagi golongan muda khususnya, tidak salah memilih apa juga gaya hidup yang anda kehendaki tapi ukurlah baju di badan sendiri, jalan mana yang hendak anda lalui, jalan menuju kebahagiaan atau kesengsaraan, andalah yang menentukannya.

Jika hidup dikelilingi hutang, banyak tekanan secara mental dan fizikal yang perlu anda hadapi. Tekanan fizikal seperti sukar tidur malam, keresahan, gangguan fikiran, panas badan, pening kepala, kekeruhan air muka, kelesuan, kemarahan dan pelbagai simptom fizikal yang akhirnya menjejaskan kreativiti, prestasi dan produktiviti pekerjaan anda sebagai eksekutif yang baru hendak mencipta nama dalam bidang yang anda ceburi.

Tekanan mental pula menjurus kepada gangguan jiwa sehingga menjadikan seseorang itu murung, beremosi yang tidak terkawal, sensitif, mengurung diri, takut pada bayang-bayang diri dan akhirnya boleh menjadi gila kerana tekanan jiwa yang dihadapi kesan daripada hutang tersebut. Jadikan diri anda debt free dan hiduplah secara ala kadar mengikut kemampuan diri.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 29/03/2007

Monday, March 12, 2007

Status Pelaburan KWSP: Pandangan Syariah

Oleh: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Surat Dari KWSP Tentang Status Pelaburannya

Pihak KWSP dengan rasminya memberitahu tentang status Shariah dalam pelaburan yang mereka lakukan. Di sini disertakan salinan surat mereka kepada PPIM. Bagi mendapatkan jawapan tentang dividen KWSP.

Sila buka di sini

Sumber: Zaharuddin.net
Tarikh: 12 Mac 2007

Friday, February 23, 2007

Penting Sediakan Dokumen Wasiat


Mengikut statistik, lebih dari sejuta kes tuntutan harta pusaka dengan nilai mencecah RM38 billion* masih tertunggak kerana tidak dapat diuruskan oleh pewaris. Kes-kes ini majoritinya membabitkan harta milik orang Islam kerana kegagalan menyediakan dokumen wasiat dan hibah ketika masih hidup.

Tujuan utama penyediaan dokumen wasiat ini bukanlah untuk menentukan pembahagian harta pusaka kepada waris, tetapi untuk memudahkan peralihan harta pusaka si mati yang telah dibekukan (disebabkan meninggal dunia) kepada waris, dengan melantik wasi/pentadbir harta pusaka yang sah (seperti Amanah Raya Berhad). Dan kemudian barulah harta pusaka dapat dibahagikan mengikut faraid dan cara yang dipersetujui.

Tanpa adanya dokumen wasiat, proses pengurusan harta pusaka secara puratanya akan mengambil masa antara 3-5 tahun dan ada yang terbengkalai begitu sahaja tanpa diuruskan. Ini mengakibatkan umat Islam dan negara rugi disebabkan harta pusaka yang dibekukan (RM38 billion!) gagal diusahakan secara ekonomik.

Ada juga yang mengganggap penyediaan dokumen wasiat ini hanyalah untuk golongan warga tua dan berumur sahaja, ataupun hanya untuk golongan berada. Tetapi yang kita sering lupa bahawa kematian itu pasti akan tiba dan pastinya ia datang pada bila-bila masa sahaja. Dan walaupun kita beranggapan harta yang dalam pegangan hanyalah sedikit, sekiranya ada dokumen wasiat dapat juga sekurang-kurangnya dimanfaatkan oleh waris, walau sedikit. Untuk penyediaan dokumen wasiat ini boleh dibuat di Amanah Raya Berhad sendiri ataupun melalui agen yang dilantik.

Sumber: Berita Harian
Tarikh: 23/2/2007



Nota Kaki Warisan MUKMIN:
Warisan MUKMIN Sdn Bhd merupakan salah sebuah agensi yang dilantik oleh Amanah Raya Berhad dengan No.Kelulusan Ejen Korporat: EK031. Maklumat lanjut: http://www.warisanmukmin.com
No tel:03-55125886

Sunday, February 11, 2007

Negeri dicadang guna Faraid

KERAJAAN negeri disyor mengguna pakai undang-undang faraid dalam pembahagian harta pusaka dan mengambil langkah memupuk kesedaran umat Islam mengenai kepentingan waris membuat tuntutan itu.

Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Sazmi Miah, berkata Kerajaan Persekutuan belum ada penyelarasan mengenai undang-undang Faraid kerana isu berkaitan agama dalam bidang kuasa negeri.

"Kerajaan sudah melipatgandakan usaha menyedarkan waris pemilik harta pusaka supaya jangan melengahkan tuntutan kerana harta pusaka bernilai lebih RM40 bilion belum dituntut setakat ini, termasuk RM38 bilion aset milik masyarakat Melayu.

"Bagi meningkatkan kesedaran umum, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian mengadakan seminar dan Dialog Harta Pusaka supaya orang ramai mengambil inisiatif menyegerakan permohonan harta pusaka sebaik berlaku kematian pemilik harta.

"Menerusi usaha itu, waris diberi penjelasan mengenai potensi tanah pusaka yang mempunyai nilai komersial untuk dimajukan bagi manfaat anggota keluarga," katanya menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang).

Sepanjang tahun ini, enam seminar dan dialog dirancang termasuk empat yang sudah dilaksana selain 103 program turun padang Sehari Bersama Waris pada peringkat daerah, khususnya dengan kerjasama penghulu dan pemimpin masyarakat setempat.

Tahun lalu, 31,377 kes tuntutan harta pusaka difailkan dan setakat 31 Ogos lalu, 28,125 kes didaftarkan, manakala tahun depan, tuntutan harta pusaka dijangka meningkat sehingga 42,187 kes.

Sazmi berkata, kerajaan tidak bercadang menggubal undang-undang mewajibkan waris membuat wasiat kerana tidak praktikal untuk mendakwa mereka.

Sumber: Berita Harian
Tarikh: 2/11/2007