Thursday, June 26, 2008

Remaja dan Tabiat Berbelanja

Oleh: Nurul Izzah Sidek

SIBUK diperkatakan kini mengenai isu kenaikan harga makanan, harga bahan api petrol dan diesel serta kenaikan harga barang yang lain.

Kenaikan harga asas keperluan ini meresahkan bukan sahaja kepada pihak berkuasa, tetapi juga rakyat sebagai pengguna utama yang menerima kesan langsung daripada kenaikan harga ini. Kerajaan telah menggalakkan rakyat supaya merancang perbelanjaan secara berhemah dan terurus.

Namun begitu, terdapat juga rakyat Malaysia yang tidak terkesan daripada fenomena ini dan masih lagi meneruskan tabiat perbelanjaan yang boros dan tidak berhemah. Sebagai remaja, apakah peranan kita dalam mengawal perbelanjaan seharian? Apakah signifikan remaja dalam mengawal tabiat berbelanja?

Tabiat Berbelanja

Mengikut laporan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun lalu, pendapatan isi rumah purata di kalangan rakyat Malaysia meningkat kepada RM3,686 sebulan pada tahun 2007 berbanding RM3,249 sebulan pada tahun 2004.

Pendapatan isi rumah di kawasan bandar naik kepada RM4,356 sebulan pada tahun 2007 berbanding RM3,956 sebulan pada tahun 2004, manakala pendapatan isi rumah di luar bandar bertambah kepada RM2,283 sebulan berbanding RM1,875 sebulan. (Utusan Malaysia, 6 Mac 2008)

Sungguhpun demikian, dengan kenaikan harga kos bahan api, harga barang serta harga makanan, pengguna perlu lebih berhati-hati dengan perbelanjaan agar urusan lain seperti pembayaran kereta, rumah, bil-bil elektrik, air dan telefon serta lain-lain dapat diuruskan dengan baik.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh JPM menyatakan kebanyakan kes bankrap pada tahun 2006 adalah disebabkan pinjaman peribadi termasuk pembelian secara kredit dan sewa beli. Bagi hutang kad kredit, ia menyumbang sebanyak 2.10 peratus daripada 13,590 kes yang dicatatkan 2006.

Kerajaan mengadakan pelbagai kempen dan dasar untuk menggalakkan pengguna supaya lebih berhemah dalam perbelanjaan seharian. Malah pelbagai agensi diwujudkan untuk membantu pengguna dalam perancangan perbelanjaan mereka.

Antaranya, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi membantu kaunseling kewangan dan pengurusan hutang kepada individu dan juga pembiayaan pendidikan untuk mengawal situasi kewangan daripada penggunaan kredit.

Bagaimanapun, dasar kewangan dan belanjawan belum memadai jika rakyat tidak memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan dalam menjayakan dasar yang diperkenalkan. Kejayaan setiap dasar yang diperkenalkan itu banyak bergantung kepada sikap dan budaya rakyat berbelanja.

Sekiranya rakyat mengamalkan membeli barangan atau perkhidmatan mengikut selera dan tanpa perancangan, maka sudah tentu pihak yang menawarkan barangan atau perkhidmatan akan mengambil kesempatan daripada keghairahan pengguna berbelanja dengan menaikkan harga. Fenomena ini tentunya tidak akan berupaya mengekang kesan lain seperti inflasi.

Remaja juga tidak terkecuali daripada menerima impak ini. Kini timbul kecenderungan di kalangan remaja untuk membeli telefon bimbit, mengubah suai kenderaan, beli pakaian, permainan video yang bersifat sampingan atau hiburan.

Sayang sekali terdapat juga remaja yang membelanjakan wang sama ada daripada wang saku yang diberikan ibu bapa, pinjaman atau biasiswa daripada organisasi tertentu mahupun hasil duit poket daripada kerja sambilan mereka dengan membeli rokok, barang-barang terlarang, berbelanja di tempat-tempat hiburan dan sebagainya.

Perubahan gaya hidup yang cenderung untuk berhibur dan bersuka-suka telah mengubah pola perbelanjaan remaja dengan menghabiskan kepada perkara-perkara yang sia-sia. Apatah lagi dengan tabiat remaja yang suka mengikut trend terkini, pengeluar produk berlumba-lumba untuk menghasilkan barangan untuk menarik golongan muda ini untuk membeli.

Dengan kos hidup yang semakin meningkat, remaja perlu memahami beban yang ditanggung oleh ibu bapa dan perancangan kewangan yang lebih teliti perlu dilakukan supaya perbelanjaan terancang dapat dijalankan serta mengikut kemampuan yang ada.

Ubah Tabiat Berbelanja

Sama ada negara dilanda krisis ekonomi atau tidak, Islam sememangnya menganjurkan supaya umatnya mengamalkan amalan berjimat-cermat dan perbelanjaan berhemah. Ajaran Islam juga pada dasarnya amat melarang perbuatan yang membazir dan sia-sia.

Allah berfirman:…Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (al-Israk: 26-27).

Oleh itu, remaja juga hendaklah mengambil peranan dalam merancang perbelanjaan secara berhemah. Ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Perkara pokoknya adalah bagaimana menguruskan sumber wang yang diperolehi dengan baik.

Pakar kewangan ada mencadangkan perkara asas yang mudah iaitu senarai barang perbelanjaan ditulis dan dicatatkan supaya aliran keluar masuk wang dapat diperiksa selalu. Keperluan utama perlu didahulukan seperti membeli buku, peralatan sekolah dan sebagainya.

Keperluan hendaklah diasingkan antara keperluan yang mendesak ataupun keperluan pada masa jangka panjang. Dalam hal ini, kekuatan dalaman adalah sangat mustahak kerana tanpanya, senarai yang disediakan pun tidak akan berguna.

Selain itu, remaja juga amat digalakkan menabung untuk simpanan hari depan. Dalam keadaan masa kini, pembiayaan kos pendidikan dan taraf hidup yang makin meningkat memungkinkan bahawa semakin susah untuk mendapat pembiayaan perbelanjaan pendidikan atau sara diri.

Maka, dengan amalan menabung seawal umur remaja lagi, wang tersebut dapat digunakan untuk keperluan yang mendesak nanti.

Remaja juga boleh mengambil langkah untuk mengurangkan perbelanjaan kepada perkara-perkara yang mereka sering belanjakan. Contohnya, perbelanjaan membeli kredit panggilan telefon, pakaian dan makanan. Tidak dapat dinafikan barang-barang tersebut menjadi keperluan pada zaman ini.

Namun begitu, pengurangan penggunaan kredit telefon misalnya, dapat menjimatkan banyak wang yang boleh seterusnya dijadikan tabungan. Pembelian pakaian baru dapat dihadkan, pembelian makanan yang tidak berkhasiat juga dapat dielakkan sebagai langkah berjimat-cermat.

Dalam pada itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Mereka perlu menerangkan tentang kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga barang baru-baru ini kepada remaja agar remaja memahami situasi sebenar. Ibu bapa juga boleh melibatkan remaja dalam perancangan perbelanjaan harian supaya mereka memahami akan perbelanjaan rumah yang perlu untuk keperluan mereka seisi keluarga.

Selain itu, ibu bapa perlu memberi contoh yang baik kepada remaja dalam aspek perbelanjaan supaya anak-anak mereka dapat meneladaninya. Mereka perlu mengawal diri daripada terpengaruh dengan jualan-jualan murah dan menggalakkan anak-anak berberjimat-cermat dengan memberikan wang saku yang secukupnya mengikut keperluan dan tempat.

Di peringkat sekolah, subjek ekonomi dan perancangan ekonomi boleh menjadi subjek teras kerana ia relevan kepada kehidupan sekarang, sama seperti pentingnya subjek sejarah dalam silibus pelajaran. Ini kerana kerajaan turut dapat manfaat kerana dapat menjelaskan suatu keputusan berkaitan isu ekonomi contohnya kenaikan minyak baru-baru ini. Dengan ilmu ekonomi juga, kesedaran pelajar mengenai perancangan kewangan dan ekonomi mereka dalam mendepani cabaran pada masa akan datang akan meningkat.

Kesimpulan

Remaja perlu mengamalkan tabiat berbelanja berhemah dan berdisiplin dalam membantu keluarga dan diri sendiri pada masa akan datang. Amalan berjimat-cermat yang amat dituntut dalam Islam ini seharusnya menjadi panduan supaya suatu hari nanti, remaja serta keluarga tidak merasa tertekan dan bersedia dengan kemungkinan akibat daripada krisis ekonomi atau kenaikan harga barang dan kos sara hidup, bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan.

Ukurlah baju di badan sendiri setiap kali berbelanja atau membeli belah, jangan sampai besar pasak dari tiang.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 26/06/2008

0 komen:

Post a Comment