Thursday, January 27, 2011

Permohonan bekas suami Norish batalkan harta sepencarian ditolak

SHAH ALAM - Permohonan bekas suami Norish Karman, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir untuk membatalkan tuntutan harta sepencarian yang dikemukakan oleh pelakon itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain yang membuat keputusan itu turut memerintahkan Norish meminda pernyataan tuntutan dengan memasukkan butiran terperinci berhubung aset yang disenaraikan sebagai harta sepencarian.

Beliau mengarahkan pernyataan tuntutan pindaan itu difailkan dalam tempoh 30 hari serta menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan semula kes itu.

Pada prosiding hari ini, Norish yang tidak hadir kerana menjalani penggambaran drama diwakili peguam syarie, Amli Embong manakala Hashimuddin dan peguamnya, Ahmad Burok turut tidak kelihatan.

Norish atau nama sebenarnya, Nor'asikin Karman, 36, bernikah dengan Hashimuddin, 62, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Negeri Sembilan pada 11 Januari 1998 di Perlis.

Mereka bercerai secara rasmi pada 15 Julai 2008 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya dekat sini.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Haqiem Amany, 10; Muhammad Hady Amieran, 6; dan Nur Hanyz Amanda, 5.

Berikutan kegagalan kedua-dua pihak untuk mencapai kata sepakat melalui kaedah sulh (perbincangan secara baik), Norish memfailkan permohonan untuk menuntut harta sepencarian serta nafkah bulanan untuk anak-anak.

Antara harta yang disenaraikan sebagai harta sepencarian ialah sebuah rumah di Bangi dianggarkan bernilai RM2 juta, Kondominium Danau Permai bernilai RM300,000, Kondominium Abadi Indah bernilai RM300,000, sebuah rumah di Seremban bernilai RM100,000, dan Kondominium Seri Hening di Ampang.

Norish juga menuntut nafkah bulanan sebanyak RM4,500 bagi tiga anaknya, sewa rumah dan pembantu rumah.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 71 dan 73 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor yang menyatakan bapa bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal, persekolahan dan perubatan kepada anak-anak.

Sementara menunggu tuntutan itu selesai, mahkamah sebelum ini memerintahkan Hashimuddin membayar nafkah bulanan sementara sebanyak RM700 dan wang saku tiga anak mereka yang tidak dinyatakan jumlahnya serta membayar sewa rumah RM2,000 sebulan.

Begitu juga keperluan harian rumah dalam bentuk barangan serta menyediakan sebuah kereta dan seorang pemandu bagi keperluan perjalanan anak-anak.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 27/1/2011

0 komen:

Post a Comment