Wednesday, January 12, 2011

Lesen takaful pula menjadi sasaran


KUALA LUMPUR - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) merancang untuk menambah lebih banyak pusat khidmat pelanggannya di kawasan pendalaman sebelum akhir tahun ini.

Ketika ini, bank itu telah membuka 40 pusat khidmat seumpamanya di kawasan pendalaman khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pusat khidmat ini sangat penting kerana mampu menghubungkan golongan yang berada di kawasan pedalaman dengan pihak bank.

Katanya, untuk membuka sebuah cawangan di kawasan berkenaan memerlukan kos yang sangat besar dan tidak menguntungkan pihak bank kerana bilangan pelanggan yang sedikit.

"Cara terbaik adalah melantik koperasi untuk menjadi wakil sah Bank Rakyat di kawasan pendalaman. Ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial bank kepada masyarakat.

"Saya juga menggalakkan bank- bank lain turut menggunakan pendekatan yang hampir sama bagi membantu rakyat di pendalaman," katanya sidang akhbar selepas majlis pelancaran Takaful Keluarga oleh Bank Rakyat di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalannya Datuk Rohani Abdul Karim, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim serta Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa, Shahril Azuar Jimin.

Ismail Sabri berkata, Bank Rakyat juga akan membuka lapan buah cawangan baharu di Sarawak, Sabah, Pahang dan beberapa kawasan lagi sebelum akhir tahun ini.

Ditanya mengenai sama ada Bank Rakyat berminat untuk memiliki lesen pengeluar takaful di Malaysia, Ismail Sabri berkata, bank berkenaan memang berminat.

"Perkara ini bergantung kepada Bank Negara Malaysia. Jika mereka memberi lampu hijau, Bank Rakyat bersedia melaksanakannya," jelasnya.

Tambahnya lagi, Bank Rakyat merupakan antara bank yang melaksanakan operasi patuh syariah dan tidak menjadi masalah untuk bank tersebut menceburi bidang takaful pada masa depan.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 12/1/2011

0 komen:

Post a Comment