Saturday, January 29, 2011

AATB sasar ketiga terbesar takaful keluarga


KUALA LUMPUR - AIA AFG Takaful Bhd. (AATB) memberi tempoh tiga tahun lagi untuk menjadi pengendali takaful keluarga ketiga terbesar di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Azman Wan Mamat berkata, matlamat itu merupakan aspirasi AATB dengan mengambil kira Malaysia sebagai pasaran terbesar bagi syarikat tersebut.

''Malaysia telah mendahului dalam pasaran takaful dan peneraju di Asia serta menjadi rujukan di peringkat dunia.

''Bagaimanapun, penembusan takaful masih jauh rendah iaitu kurang 10 peratus.

''Justeru, matlamat kami mahu muncul sebagai pemimpin dalam takaful keluarga di Malaysia dan menjadi pengasas aliran kepada industri,'' katanya pada sidang media selepas pelancaran AATB di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Mohd. Razif Abdul Kadir.

AATB adalah syarikat usaha sama antara AIA Bhd. (AIA) dan Alliance Bank dengan masing-masing memegang ekuiti sebanyak 70 peratus dan 30 peratus.

Buat masa ini, Etiqa merupakan pengendali takaful keluarga terbesar dengan penguasaan pasaran sebanyak 25 peratus dan Prudential di tempat kedua dengan 18 peratus.

Menurut beliau, untuk mencapai sasaran itu, AATB akan mempelbagai produknya bagi memastikan ia mencapai sasaran pelanggan yang berbeza keperluan.

Beliau berkata, sebagai permulaan, AATB akan menumpukan kepada perlindungan, pendidikan, simpanan dan pelaburan.

Sempena pelancaran AATB, syarikat tersebut turut melancarkan tiga produk iaitu A-Mas, A-Prima dan Pelan Takaful Pengurangan Tempoh Gadai Janji.

A-Mas adalah pelan pelaburan yang menawarkan perlindungan dan pelaburan manakala A-Prima pula pelan seumur hidup yang menawarkan perlindungan sehingga umur 99 tahun.

Mengulas mengenai penubuhan AATB, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah Urusan AIA Bhd. dan Pengarah AIA AFG Takaful Bhd., Khor Hock Seng menyifatkan kerjasama itu menguntungkan kedua-dua pihak kerana ia menyatukan kekuatan kewangan dan kemahiran dua jenama yang kukuh di Malaysia.

Beliau berkata, AATB akan memberi fokus kepada empat aspek penting dalam kerjasama itu dengan menawarkan produk dan perkhidmatan yang unggul, mengadaptasi pendekatan pengedaran dalam mengakses pelanggan, mewujudkan tempat kerja di dalam masyarakat serta mewujudkan pengendalian operasi yang cekap.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 29/1/2011

0 komen:

Post a Comment