Saturday, January 29, 2011

Dua lagi syarikat takaful beroperasi tahun ini

KUALA LUMPUR - Industri takaful Malaysia, yang kedua terbesar di dunia dengan aset berjumlah AS$3.2 bilion (RM9.76 bilion) pada 2009, akan menyaksikan kemasukan dua usaha sama takaful menjelang akhir tahun.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Mohd Razif Abdul Kadir berkata, kehadiran peserta-peserta tambahan itu akan memperkukuh lagi unsur persaingan dan inovasi dalam industri takaful.

"Prospek pertumbuhan kekal teguh memandangkan potensi besar yang belum diteroka," katanya pada pelancaran AIA AFG Takaful Bhd. (AATB), di sini hari ini.

AATB adalah usaha sama antara American International Assurance Bhd. (AIA Bhd) dengan Alliance Bank Malaysia Bhd., sebuah unit Alliance Financial Group Bhd. (Alliance) dengan modal berbayar berjumlah RM100 juta.

Mohd Razif menegaskan bahawa daripada kadar penembusan pasaran sebanyak 53.5 peratus bagi takaful dan insurans, takaful menguasai hanya 10.9 peratus pada September tahun lepas.

Bidang-bidang perniagaan yang belum diteroka dalam industri takaful keluarga iaitu sebanyak 50.3 peratus daripada caruman pada September 2010, ialah produk mikrotakaful, perubatan dan persaraan.

"Bermulanya AATB, sebagai pengusaha takaful kedua yang akan dilancarkan di kalangan pemegang lesen baharu, menawarkan cadangan nilai yang kukuh dan dijangka meningkatkan selanjutnya pembangunan industri takaful keluarga di Malaysia.

"Memandangkan rangkaian antarabangsa yang kukuh dan pengalaman luas rakan insurans asingnya, AATB pastinya juga berada pada kedudukan yang baik untuk mewujudkan pusat kecemerlangan takaful global bagi rantau ini di Malaysia.

"Ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab kewangan Islam antarabangsa," tegasnya.

Pada 2009, Bank Negara memberikan empat lesen takaful keluarga baharu sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk memacu inovasi dalam industri takaful.

Mohd Razif berkata, peserta idustri mestilah memberikan penekanan kepada usaha meningkatkan rangka kerja kawal atur dan kawal selia serta rangka kerja tadbir urus syariah bagi meningkatkan daya saing dan momentum pertumbuhan.

Inisiatif sebegini, katanya, disusun untuk dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat, untuk mencapai kejayaan mampan dan merungkai potensi keuntungan di dalam dan luar negara.

Beliau juga berkata, peraturan bagi industri takaful akan terus memberikan tumpuan pengurusan risiko yang berkesan dalam proses pembangunan produk dan oprasi pengusaha takaful. - Bernama

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 29/1/2011

0 komen:

Post a Comment