Friday, January 28, 2011

Persoalan harta pencarian

SOALAN:

SEBELUM beli sebuah rumah, niat kami suami isteri membeli untuk mendudukinya selepas bersara nanti. Malangnya, apabila Perjanjian Jual Beli disiapkan hanya terdapat nama isteri serta pinjaman bank pun nama isteri seorang atas beberapa faktor alasan yang diberikan isteri selepas perjanjian itu disiapkan.

Sebabkan percaya dengan kasih sayang maka diteruskan juga. Kini dah bercerai. Bolehkan saya tuntut rumah itu harta sepencarian kerana saya boleh buktikan penglibatan saya semasa ubah suai rumah itu?

JAWAPAN:

Rumahtangga dibina atas tujuan membina sebuah kehidupan yang penuh dengan kebahagiaan dan keharmonian dengan nilai kasih dan cinta antara suami dan isteri.

Allah SWT menjadikan setiap makhluk berpasangan dengan tujuan setiap kehidupan dapat merasa kebahagiaan hidup. Ini kerana setiap makhluk berhak hidup bahagia.

Ini jelas dalam firman-Nya yang bermaksud: Maha suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan sama ada daripada yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. (Yasin: 36)

Maha suci Allah SWT daripada segala sifat kekurangan dan kelemahan, Maha suci Allah yang Maha Mengetahui akan keperluan hamba-hamba dan ciptaan-ciptaan-Nya. Lalu dengan kudrat dan iradah-Nya Allah SWT menjadikan segala sesuatu berpasangan.

Melalui perkahwinan manusia dapat memenuhi kehendak naluri manusiawi dengan menjaga kehormatan diri. Maka melalui perkahwinan manusia dapat menyelamatkan diri dari perkara yang tidak baik.

Rumah tangga yang dibina akan menjadi episod penting dalam membentuk kematangan diri. Melalui perkahwinan manusia dikurniakan anak yang bakal menyambung kelangsungan tugas sebagai khalifah.

Sebab itu diawal perkahwinan banyak janji yang dimeterai antara suami dan isteri. Semuanya indah, cantik dan menarik. Namun apakan daya, ada yang terpaksa melalui saat dan detik yang tidak pernah tergambar, sehingga berlaku perceraian.

Di sinilah bermulanya masalah apabila masing-masing menuntut hak dalam harta sepencarian. Semua ini tidak akan timbul kalau perceraian tidak berlaku, namun kalau perceraian sahaja yang dilihat sebagai penyelesaian apa nak dikata. Semua ini terpaksa dilalui kerana ini memang permintaan suami isteri.

KemukaXXXX

Dalam persoalan harta sepencarian antara suami dan isteri perlu dibuktikan sekiranya ada bantahan dari mana-mana pihak, terutamanya suami atau isteri.

Harta sepencarian mengikut syarak ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Tuntutan biasanya ditimbulkan oleh isteri atau bekas isteri apabila membabitkan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkahwinan sama ada secara tak langsung misalnya urusan menguruskan rumah tangga.

Sumbangan secara langsung misalnya isteri mengeluarkan modal terutama dalam bentuk kewangan untuk mendapatkan harta dalam tempoh perkahwinan. Begitu juga jika satu pihak itu meninggal dunia, pasangan akan meminta harta itu dibahagikan dulu sebagai harta sepencarian sebelum diisytihar sebagai harta pusaka.

Kitab At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah mengatakan, dalam tuntutan suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan hendaklah berdasarkan keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu.

Pemilikan ke atas sesuatu harta bukan berdasarkan kepada nama atas harta itu semata-mata kerana nama tertera belum membuktikan dia pemilik sebenar. Kenyataan itu dibuat dengan maksud adalah satu kezaliman jika hak milik sesuatu harta hanya diambil kira berdasarkan nama atas harta itu semata-mata sedangkan pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tidak dinyatakan ke atas harta berkenaan.

Di dalam peruntukan undang-undang syariah Seksyen 122 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 (EUKIS 2003 menetapkan: Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu.

Kemudian seksyen 122 (2) menjelaskan, pada menjalankan kuasa yang diberi oleh sub seksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian mengenai:

Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu, apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka, keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Munasabah

Tertakluk kepada seksyen 122 (2), mahkamah hendaklah membuat pertimbangan sama banyak. Namun, mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 122 (3).

Untuk menjalankan perintah di bawah Seksyen 122(3) mahkamah hendaklah memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 122 (4):

Takat sumbangan yang dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga, keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada.

Tertakluk kepada pertimbangan seksyen 122 (4), mahkamah dengan kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah. Walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang ada kes-kes perceraian dan tuntutan harta sepencarian akan ke mahkamah syariah dan akan diadili berdasarkan bukti-bukti kukuh yang dapat dikemukakan oleh si penuntut kepada mahkamah.

Jika saudara ada bukti yang lengkap kemukakan ke mahkamah segala dokumen-dokumen beli rumah, perkongsian perniagaan dan apa-apa bentuk pelaburan bersama. Saya yakin dengan adanya bukti yang kukuh dalam harta sepencarian maka suami dan isteri akan mendapat keadilan dalam hal ini.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 28/1/2011

0 komen:

Post a Comment