Wednesday, March 16, 2011

Takaful sasar premium naik

KUALA LUMPUR 15 Mac - Syarikat Takaful Malaysia Bhd. (Takaful Malaysia) menyasarkan peningkatan kutipan premium melebihi 25 peratus tahun ini, melepasi sasaran pertumbuhan perolehan premium industri takaful tempatan.

Pengarah Urusan Takaful Malaysia, Datuk Hassan Kamil berkata, sasaran itu mampu dicapai berikutan usaha meningkatkan bilangan ejen kepada 1,650 orang pada akhir tahun ini.

Kata beliau, selain itu, bagi memantapkan operasi Takaful Malaysia juga sedang melakukan pembaharuan prasarana di 35 buah cawangannya di seluruh negara dengan kos berjumlah RM15 juta.

Hassan berkata, daripada kesemua cawangan itu, sebuah cawangan di setiap negeri akan dijadikan pusat sehenti yang berperanan menyediakan perkhidmatan untuk pelbagai produknya.

"Ini memudahkan ejen kami atau pelanggan untuk menyelesaikan beberapa perkara penting dan tidak lagi diselesaikan di ibu pejabat, di sini (cawangan) sahaja. Ia turut mempercepatkan penyelesaian pembayaran polisi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Pusat Khidmat Pelanggan Setempat dan wajah baru laman sesawang Takaful Malaysia serta, pelan terbarunya iaitu Firstlife di sini hari ini.

Pelan Firstlife ditawarkan kepada pemegang MasterCard berumur di antar 18 hingga 45 tahun.

Turut hadir ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Takaful Malaysia; Datuk Ismee Ismail.

Dengan pembayaran RM155 setahun, pelan tersebut memberi perlindungan kematian dan keilatan menyeluruh dan kekal.

Hassan berkata, pihaknya berharap untuk mencatatkan caruman perniagaan sehingga RM5 juta atau 20,000 sijil pelan Firstlfe bagi tahun kewangan berakhir 2011.

Katanya, berdasarkan kajian, industri takaful dijangka mencatatkan pertumbuhan antara 25 peratus hingga 30 peratus pada tahun ini.

Justeru itu katanya, Takaful Malaysia yang mempunyai jumlah aset menghampiri RM5 bilion ketika ini yakni menguasai 40 peratus aset takaful.

"Dengan bertambahnya pengendali takaful tahun ini, persaingan bakal menjadi sengit. Kami merasakan pertambahan ejen serta pembaharuan perkhidmatan memainkan peranan penting," katanya.

Bagi tahun kewangan pada 31 Disember 2010 lalu, Takaful Malaysia mencatatkan perolehan premium sebanyak RM750 juta, iaitu kenaikan 20 peratus berbanding tahun kewangan 2009.

Sementara itu, Hassan berkata, anak syarikat Takaful Malaysia yang beroperasi di Indonesia iaitu Syarikat Takaful Indonesia kini sedang bekerjasama dengan Bank Muamalat Indonesia bagi tujuan pemasaran produknya

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 16/3/2011

0 komen:

Post a Comment