Wednesday, March 2, 2011

Pelajar gagal tajaan MAINS di Mesir bakal dikena tindakan

SEREMBAN 1 Mac - Pelajar tajaan Majlis Agama Islam negeri (MAINS) di Mesir yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang termasuk gagal dalam dua kali peperiksaan akan ditarik balik wang zakat mereka.

Pengerusi MAINS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau kecewa dengan prestasi ditunjukkan oleh pelajar terutamanya dalam bidang Pengajian Islam dan Perubatan.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, walaupun keputusan pelajar di sana antara yang terbaik di seluruh negara dengan mencatatkan lebih 70 peratus, bagaimanapun ia gagal mencapai matlamat disasarkan sebanyak 90 peratus.

''Kita dah mula buat (wang zakat). Kita potong zakat kita bagi pinjaman kepada mereka. Kita mahu lihat mengapa perkara ini boleh berlaku kerana mereka yang dihantar ke sana semuanya cemerlang dalam peperiksaan.

''Sebelum 'penyakit' ini merebak, kita perlu lakukan sesuatu bagi memastikan masalah dihadapi dapat diatasi dan ditangani sebaik mungkin," katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Pelajar negeri ini yang menuntut di Mesir, semalam.

Tambahnya, satu post mortem akan dilakukan bagi mengkaji punca sebenar kegagalan pelajar dalam kedua-dua bidang berkenaan melalui laporan yang akan disediakan oleh pegawai pelajar di sana dan juga pihak MAINS.

''Kita nak lihat apa punca utama mengapa para pelajar ini gagal dalam kedua-dua bidang pengajian sama ada kurang dari segi latihan dan sebagainya dan kita akan dapatkan laporannya nanti.

''Kita tidak mahu perkara ini berterusan kerana kita mahu supaya pelajar yang dihantar ke sana belajar dan bukannya untuk berseronok. Jika perkara itu berlaku ia amat mendukacitakan sekali," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 2/3/2011

0 komen:

Post a Comment