Friday, March 25, 2011

Hartanah naik mendadak?

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
bisnes.utusan@gmail.com.my

KUALA LUMPUR 24 Mac - Harga hartanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bakal menyamai Singapura dalam beberapa tahun akan datang sekali gus menjadikan harga rumah kediaman dan komersial naik mendadak.

Pakar Ekonomi JP Morgan Singapura, Ong Sin Beng berkata, kenaikan harga hartanah di kedua-dua lokasi di Malaysia itu berikutan lokasinya, kenaikan harga tanah tanpa kawalan dan terdapatnya pembangunan hartanah mewah di tempat-tempat strategik.

Katanya, daripada segi pasaran, senario itu amat baik kerana mampu menjana ekonomi tetapi menyukarkan golongan berpendapatan pertengahan memiliki hartanah yang harganya sebegitu mahal.

"Persoalan kini kenaikan harga hartanah yang mendadak menyempitkan lagi peluang kepada golongan tertentu untuk membelinya tetapi tidak bagi golongan kaya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) sempena Laporan Tahunan Bank Negara di sini hari ini.

Turut hadir ialah Penolong Gabenor Bank Negara, Dr. Sukhdave Singh dan Presiden MEA, Tan Sri Mohd. Sherif Mohd. Kassim.

Menurut Sin Beng, beliau menjangkakan dalam beberapa tahun lagi, harga hartanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang akan menyamai harga di Singapura.

Malah katanya, dari maklumat yang diperolehi, harga hartanah di Pulau Pinang telah pun hampir menyamai harga di Singapura.

Dalam pada itu, Dr. Subramianim Pillay dari MEA yakin terhadap unjuran ekonomi Malaysia bagi 2011 dan 2012.

Beliau berkata, Malaysia bergantung besar terhadap pelaburan tempatan dan apa yang berlaku di Jepun hanya merupakan gangguan sementara.

Katanya, syarikat-syarikat Jepun mungkin meningkatkan pengeluaran di kilang tempatannya berikutan kemudahannya di Jepun tidak dapat beroperasi.

"Dalam tempoh tiga bulan, kedudukan ekonomi dunia mungkin meningkat apabila Jepun mula membangunkan semula infrastrukturnya yang musnah, merangsang permintaan untuk bahan mentah," katanya.

Tambah Subramaniam, kebergantungan ekonomi kepada Jepun mungkin menjejaskan sedikit ekonomi negara namun beliau percaya negara matahari terbit itu akan bangkit dalam beberapa bulan akan datang.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 25/3/2011

0 komen:

Post a Comment