Sunday, March 6, 2011

7 staf awam Terengganu muflis

KUALA TERENGGANU - Seramai tujuh penjawat awam di negeri ini termasuk dua pegawai diisytiharkan muflis akibat hutang sepanjang tahun lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mazlan Ngah memberitahu, sebahagian daripada mereka merupakan penjamin kepada pihak peminjam, manakala sebahagian lagi dibebani hutang kad kredit.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kesemua mereka masih dibenarkan berkhidmat dengan kerajaan negeri tetapi ditempatkan di unit pentadbiran berlainan berbanding sebelumnya.

"Tahun lalu terdapat tujuh kes kakitangan kerajaan negeri diisytiharkan muflis. Mereka didapati gagal membayar balik pinjaman bank," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Hari Keluarga Kelab Wisma Darul Iman di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Mazlan diminta mengulas kemungkinan terdapat kalangan penjawat awam Terengganu yang diisytiharkan muflis kerana dibelenggu beban hutang pinjaman yang serius.

Khamis lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, seramai 1,086 penjawat awam di negara ini diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi pada 2009.

Pengisytiharan muflis itu disebabkan penjawat awam terbabit dibelenggu hutang yang serius.

Sehubungan itu, Mazlan meminta kerjasama semua ketua jabatan di negeri ini supaya sentiasa memantau kakitangan bawahan bagi memastikan mereka memohon pinjaman mengikut keupayaan sendiri.

Katanya, walaupun gejala itu tidak serius di negeri ini, langkah pemantauan perlu dilakukan agar mereka tidak terperangkap dengan hutang berlebihan sehingga menjejaskan perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, sepanjang tahun lalu dua orang penjawat awam dibuang kerja kerana salah laku.

"Dua penjawat awam ini dibuang kerja pada tahun lalu bersabit dengan kes mahkamah," katanya sambil menambah setakat ini terdapat kira-kira 11,000 kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 6/3/2011

0 komen:

Post a Comment