Thursday, March 31, 2011

ARB saran wasiat awal

ARB saran wasiat awal - Elak pembekuan harta dan perselisihan sesama keluarga
Oleh: Salwani Md Zain


PENYEDIA perkhidmatan pemegangan amanah dan pengurusan pewarisan, Amanah Raya Berhad (ARB) menyasarkan 300,000 permohonan wasiat baru bakal didaftarkan sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 530,000 wasiat didaftarkan di bawah pengurusan ARB dan 80 peratus disertai orang Islam.

“Kami ingin mengajak orang ramai tanpa mengira kaum dan agama supaya membudayakan amalan menulis wasiat bagi mengelakkan pembekuan harta yang kini berjumlah RM42 bilion bersama 1 juta kes yang belum diselesaikan,” katanya selepas melancarkan Tahun Menulis Wasiat 2011 dan Skim Warisan Korporat yang dianjurkan ejen korporat ARB, Warisan Mukmin Sdn Bhd di Petaling Jaya.

Hadir sama, Pengerusi Warisan Mukmin, Datuk Mohd Nahwari Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Safri Mahat.

Menurutnya, kegagalan menulis wasiat akan menimbulkan masalah antaranya, pembekuan harta, tempoh pengagihan pusaka yang mengambil masa lama antara lima hingga 20 tahun, pentadbir yang tidak amanah kerana tiada wasi yang berkredibiliti dan pertelingkahan waris.

Bagi memudahkan orang ramai membuat wasiat, beliau berkata, ARB melantik sembilan syarikat yang disokong lebih 400 ejen korporat bagi memudahkan urusan di samping penganjuran aktiviti seperti ceramah; konvensyen; karnival; bengkel; temu janji korporat dan seminar.

Katanya, perkhidmatan menulis wasiat juga disediakan dalam dua kategori menerusi ejen korporat dan lebih 15 perbankan Islamik dan konvensional seluruh negara.

Ahmad Saruji berkata, Warisan Mukmin antara ejen yang paling aktif dan menawarkan Skim Wasiat Korporat dengan kos Penyertaan sebanyak RM300 seumur hidup.

Sumber: Sinar Harian
Tarikh: Khamis, 31 Mac 2011

0 komen:

Post a Comment