Friday, March 4, 2011

SPRM bertindak tegas majikan hukum kakitangan lapor rasuah

PETALING JAYA 3 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 terhadap mana-mana majikan atau organisasi yang menghukum kakitangannya kerana menyalurkan maklumat mengenai kegiatan rasuah.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, akta tersebut yang diluluskan kerajaan sebelum ini adalah bertujuan untuk melindungi orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat kepada suruhanjaya tersebut.

Justeru, tegas beliau, adalah satu kesalahan jika pegawai atau kakitangan yang melaporkan maklumat mengenai kegiatan itu dikenakan tindakan oleh pihak majikannya.

"Sekiranya ada pegawai atau kakitangan memberi maklumat kepada SPRM dan tindakan diambil ke atasnya selepas melaporkan perkara itu, maka kita akan menjalankan siasatan.

"Contoh laporan yang wajib kita siasat dan ambil tindakan ialah berhubung pegawai yang membuat aduan kepada SPRM dikenakan hukuman seperti diturunkan pangkat, dibuang kerja atau apa-apa sahaja tindak balas daripada majikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa merasmikan Majlis Penutupan Seminar Integriti Dalam Koperasi anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah serta dua Naib Presidennya iaitu Armi Zainudin dan Jamal Abdullah.

Menurut Abu Kassim, Angkasa sebagai sebuah koperasi mengendalikan jumlah keahlian yang ramai iaitu lebih lapan juta orang atau satu pertiga daripada penduduk Malaysia turut perlu mempunyai undang-undang selaras dengan akta tersebut.

Beliau berkata, ia akan memberi implikasi yang besar jika mana-mana pihak dalam koperasi membuat keputusan untuk kepentingan diri sendiri dan mereka ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Rasuah jika terbukti bersalah.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 4/3/2011

0 komen:

Post a Comment