Thursday, October 14, 2010

Petua FPAM elak kesempitan hidup di hari tua

PETALING JAYA 13 Okt. - Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) menasihatkan golongan pekerja swasta di negara ini menabung sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan bulanan mereka bagi menjamin kehidupan selepas persaraan.

Usaha untuk menabung boleh dilakukan dalam institusi perbankan atau melalui pelaburan-pelaburan lain yang mendatangkan keuntungan termasuk melalui unit amanah.

Timbalan Presidennya, Tan Beng Wah berkata, para pekerja swasta boleh menggunakan simpanan tersebut sebagai pencen persendirian (private pension) dan tidak boleh terlalu bergantung kepada wang yang dicarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jelasnya, wang caruman KWSP dijangka hanya menampung sara hidup dalam tempoh dua hingga tiga tahun selepas persaraan dan ia mengundang kesempitan hidup kepada para pesara berikutan kos sara hidup yang meningkat.

''Kajian yang dilakukan mendapati lebih 94 peratus daripada 5.8 juta pencarum aktif KWSP akan memperoleh kurang daripada RM150,000 pada waktu persaraan. KWSP hanya merupakan jaring perlindungan (safety net) pekerja.

''Jumlah caruman terkumpul itu tidak mampu menampung sara hidup untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang kerana jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat,'' katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Penasihat Kewangan CIMB.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Persidangan dan Pameran Setiap Orang Boleh Bersara Dengan Baik 2010 (ECRWCE) di sini hari ini. Turut hadir Presiden FPAM, Wong Boon Choy.

Persidangan dan pameran itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Ketika ditanya peringkat umur yang sesuai untuk mula menyimpan 10 peratus daripada pendapatan bulanan, Beng Wah berkata, ia boleh dilakukan pada bulan pertama individu mendapat pekerjaan tetap.

Malah, umur paling ideal untuk melakukan simpanan secara disiplin adalah 30 tahun.

Beliau berkata, pihaknya mendapati ramai komuniti Malaysia menyedari kepentingan simpanan untuk persaraan pada usia 40 tahun hingga 45 tahun.

Jelasnya, pada waktu itu, tempoh simpanan menjadi singkat dan ia tidak mencukupi bagi menampung kehidupan selepas persaraan.

Ketika ditanya relevan umur persaraan yang lewat iaitu pada 60 tahun dan ke atas, Boon Choy pula berkata, persaraan pada usia lewat memberi lebih peluang untuk bebas dalam faktor kewangan.

Katanya, mereka yang bersara melebihi usia 58 tahun akan menikmati 'tahun emas' dan menikmati kehidupan yang lebih sempurna.

Menurut Boon Choy lagi, taraf hidup pesara mungkin berbeza sekiranya dihabiskan di kampung atau kawasan pedalaman berbanding di kawasan bandar.

Katanya, di kampung, para pesara tidak perlu berbelanja lebih sebaliknya berpeluang menggunakan sumber alam seperti ternakan dan tanaman sebagai bahan asas makanan harian keluarga.

''Apa-apa pun, ia bergantung pada gaya hidup seseorang dan kawasan yang didiami selepas persaraan,'' ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 14/10/2010

0 komen:

Post a Comment