Monday, October 18, 2010

Hanya 5 peratus umat Islam ada wasiat

PETALING JAYA 17 Okt. - Hanya lima peratus umat Islam di negara ini mempunyai wasiat dan keadaan itu menyebabkan tanah, harta dan wang tunai bernilai berbilion-bilion ringgit tidak dapat digunakan untuk manfaat orang Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif As-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed memberitahu, kurang kesedaran di kalangan orang Islam untuk menyediakan wasiat menyebabkan harta-harta tersebut terpaksa dipegang oleh pihak mahkamah sehingga kes-kes tuntutan harta diselesaikan.

"Jumlah harta yang belum dapat digunakan oleh orang Islam kerana kes-kes tuntutan itu belum diselesaikan sehingga 2007 adalah RM40 bilion dan wang tunai pula sebanyak RM1.5 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Setiap Orang Islam Perlu ada Perancangan Masa Tua' pada Seminar dan Pameran Setiap Orang Boleh Bersara dengan Bahagia di sini.

Seminar dua hari sehingga esok itu dianjurkan oleh Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) dengan disertai bank-bank terkenal seperti CIMB Bank, Maybank serta agensi-agensi perancangan persaraan.

Abdul Aziz Peru memberitahu, masalah harta yang tidak dituntut itu menyebabkan kerugian kepada orang Islam kerana harta dan wang tunai yang jumlahnya terlalu besar itu tidak dapat digunakan.

Beliau juga memberitahu, wasiat amat penting untuk waris menyelesaikan beberapa perkara yang berkait dengan pewaris.

"Sebagai orang Islam, apabila seseorang meninggal dunia, lima perkara perlu diselesaikan dulu oleh waris iaitu bayaran zakat, mengerjakan haji kalau belum berbuat demikian, memberikan hak isteri bagi harta sepencarian dan pelaksanaan pembahagian harta mengikut wasiat iaitu satu pertiga daripada harta.

"Harta-harta pewaris selebihnya harus dibahagikan mengikut hukum faraid," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang Islam membuat wasiat kerana mengikut kajian yang dijalankan pihaknya mendapati umur seseorang itu mengalami pelbagai masalah kesihatan bermula daripada 50 hingga 52 tahun.

Katanya, pada usia itu pelbagai penyakit mula mengganggu orang Islam seperti jantung, angin ahmar dan pelbagai lagi.

"Adalah lebih baik orang Islam membuat wasiat ketika berusia 40 tahun kerana pada usia ini kebanyakannya sudah stabil dengan mempunyai rumah, simpanan wang dan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Sekiranya wasiat ini dapat dibuat pada usia ini saya percaya, harta-harta yang tidak dapat digunakan akan berkurangan sekali gus dapat menjana pembangunan ekonomi orang Islam," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 18/10/10

0 komen:

Post a Comment