Thursday, October 7, 2010

Portal e-muamalat bawa transformasi

LEDAKAN industri kewangan Islam telah membuka lebaran baru terhadap pola pemikiran masyarakat Islam di seluruh dunia.

Kepesatan pembangunan industri kewangan Islam yang meliputi sektor perbankan, takaful, pasaran modal, al-rahn, pengurusan harta amanah dan sebagainya menyemarakkan lagi anjakan pemikiran umat Islam untuk mula beralih kepada instrumen atau produk kewangan Islam yang kini mula mendapat tempat di hati mereka.

Perkembangan itu menimbulkan banyak persoalan dan kemusykilan di kalangan masyarakat negara ini berkaitan status hukum bagi transaksi-transaksi dan instrumen-instrumen kewangan yang berada di pasaran.

Bagi menyahut cabaran dan keperluan semasa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai sebuah agensi pusat yang menguruskan pembangunan hal ehwal Islam di negara ini melalui sekretariat di Bahagian Penyelidikan telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan portal e-Muamalat.

E-Muamalat yang julung kali dihasilkan di Malaysia dibangunkan oleh Jakim melalui cawangan muamalatnya khusus untuk memuatkan perbahasan-perbahasan fiqh muamalat di samping menjadi tempat rujukan umat Islam negara ini.

Ia bagi menjawab isu dan permasalahan semasa yang berlegar dalam masyarakat khususnya yang melibatkan penentuan hukum hakam dalam bidang kewangan, kontrak, perniagaan dan sebagainya.

Portal e-muamalat ini telah dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 28 September lalu.

Ia sempena Bengkel Eksekutif Kewangan Islam Ahli Ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di Kuala Lumpur.

Portal berkenaan telah beroperasi hampir tiga bulan sejak awal Ogos lalu.

Sehingga kini lebih 6,000 pengunjung telah melayari portal berkenaan.

Pada masa sama, portal tersebut juga mengandungi 11,587 muka surat untuk kemudahan capaian orang ramai.

Perkataan muamalat merujuk kepada urusan kehidupan manusia yang berkaitan dengan kegiatan harian dalam semua bidang meliputi akad, iltizam dan tasarruf yang membawa kesan pertukaran hak milik barangan atau wang untuk mendapat manfaat secara bersama berdasarkan kerelaan dan kepuasan.

Justeru, pengisian dalam portal e-Muamalat adalah menjurus kepada aktiviti-aktiviti ke arah menjana dan memperkasa sistem ekonomi Islam secara mapan dan bersepadu selaras dengan prinsip-prinsip syariah yang meliputi transaksi-transaksi seperti jual beli, sewa, gadaian, hutang, upah serta instrumen kewangan seperti sukuk dan sebagainya.

Selain itu, portal itu turut berperanan sebagai pangkalan data yang memuatkan maklumat-maklumat dalam bentuk artikel, glosari, direktori, soalan-soalan lazim, kalkulator faraid dan zakat dan sebagainya di samping mengetengahkan isu-isu semasa dalam industri kewangan Islam di negara ini.

Portal e-Muamalat turut menyediakan pautan ke laman web agensi-agensi yang terlibat secara langsung dengan industri kewangan Islam di Malaysia dan antarabangsa.

Antara pautan yang boleh didapati melalui portal ini adalah 24 bank yang menawarkan produk Islam di dalam negara, lima Bank Islam Antarabangsa serta 16 agensi-agensi kewangan.

Turut dimuatkan adalah pautan terhadap lapan portal ilmiah yang utama antaranya ialah portal Majma' Fiqh Al-Islami Antarabangsa yang menjadi sebuah badan di bawah OIC dan Akademi Penyelidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) yang diletakkan di bawah naungan Bank Negara Malaysia.

Antara yang menarik dan menjadi kandungan utama melalui portal ini, pengunjung boleh mengakses Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan berhubung isu-isu muamalat yang disertakan bersamanya latar belakang fatwa serta hujah dan dalil.

Pengunjung portal juga dapat mengemukakan kemusykilan berkaitan muamalat dan kewangan Islam. Untuk kemudahan orang ramai dari pelbagai golongan, Jakim menjemput untuk melayari laman portal terbaru ini di alamat http://www2.islam.gov.my/muamalat.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 7/10/2010

0 komen:

Post a Comment