Friday, October 15, 2010

Penentuan harta penting sahkan status milik si mati

Waris mesti tahu klasifikasi pusaka elak pertelingkahan

PUSAKA hanya dapat terbentuk dengan wujudnya tiga asas utama iaitu si mati, waris dan harta. Tanpa salah satu perkara asas ini, maka tidak ada pusaka.

Apabila wujud pusaka, maka perlunya pentadbiran pusaka dan seterusnya urusan pembahagian pusaka yang akan dijalankan serta tertakluk kepada sebab, syarat atau halangan tertentu. Tanpa salah satu daripada tiga unsur itu, pusaka tidak akan wujud.

Fahaman mudah mengenai pusaka merujuk kepada harta yang mudah dikenal pasti seperti rumah, tanah, wang simpanan dalam bank atau amanah saham (ASB), emas permata dan kenderaan. Bagaimana harta lain?

Harta pusaka si mati adalah semua harta yang ditinggalkan oleh si mati yang diperoleh semasa hayatnya secara halal. Harta itu membabitkan transaksi jual beli, perniagaan dibuat secara persendirian atau perkongsian.

Harta diperoleh daripada pusaka, kaedah hibah, pemberian sedekah daripada individu dan pertubuhan atau pemilikan harta melalui wasiat juga termasuk dalam pusaka. Sewa yang belum dijelaskan kepada si mati dan hutang yang belum dijelaskan adalah dikira pusaka.

Harta lain yang termasuk sebagai pusaka ialah dividen/faedah yang dihasilkan daripada harta si mati dalam pelaburan dibuat semasa hayat, wang tersimpan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta barang yang dihasilkan selepas mati seseorang daripada usahanya semasa hayat.

Sudah menjadi aliran masa ini persengketaan membabitkan harta pusaka sering menjadi isu utama yang akhirnya mengakibatkan keluarga berpecah-belah. Oleh itu, selain penentuan waris, penentuan harta pusaka juga penting.

Apabila waris dapat mengenali dan memahami jenis harta, dengan sendirinya waris akan sedar peranan dan fungsi pentadbir sekiranya waris terpilih dan bersedia untuk memikul tanggungjawab ini. Dalam menentukan harta si mati, waris perlu tahu apakah harta yang termasuk sebagai harta pusaka dan apakah yang tidak.

Ramai juga yang keliru dengan harta lain kerana kurang pengetahuan. Waris perlu tahu apakah harta tidak diklasifikasikan sebagai harta pusaka. Ini penting bagi menjamin keharmonian hubungan sesama keluarga, jiran dan masyarakat setepat.

Harta yang tidak termasuk dalam harta pusaka dan tidak boleh dituntut oleh waris adalah harta si mati yang sudah diberikan kepada individu/persatuan/organisasi, dijual, diwakafkan seperti masjid, rumah anak yatim dan yang dipegang amanah oleh si mati kepada seseorang semasa hayatnya.

Khairat kematian, pemberian ikhlas oleh orang yang menziarahi kematian, faedah kematian, tambahan KWSP, imbuhan, pampasan dan sagu hati, pencen, bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Perkeso) dan harta yang dipinjam.

Setelah waris mengetahui dengan jelas harta itu, maka proses selanjutnya adalah menentukan status dan kedudukan harta itu. Ini boleh dilakukan dengan mendapatkan dokumen asal menyatakan harta berkenaan milik si mati.

Menentukan harta pusaka milik si mati penting dalam pentadbiran pusaka kerana pentadbir perlu mengesahkan dan membuktikan harta itu benar-benar milik si mati sebelum penilaian dibuat. Ini bagi memastikan tiada permasalahan timbul selepas agihan.

Bukti pengesahan pemilikan yang sah di sisi undang-undang perlu dihasilkan sama ada dalam bentuk kontrak, surat ikatan amanah, sijil, geran tanah, perjanjian jual beli dan sebagainya.

Ini bagi memastikan harta itu tidak dicabar statusnya kemudian hari. Di samping itu ia juga bertujuan mengelakkan berlakunya pertelingkahan dalam kalangan waris jika tiada dokumen sah dan mengelak menggunakan harta milik orang lain.

Di AmanahRaya, proses ini amat diutamakan supaya waris mendapat hak mereka dan bertindak sebagai saringan berpandukan kepada tatacara sedia ada selaras keperluan patuh syariah dan undang-undang ditentukan pihak berkuasa.

Tatacara proses akan dilaksana berpandukan kepada serahan dokumen sokongan asal yang sahih oleh waris sebelum proses siasatan atau carian dibuat.

Harta alih iaitu harta yang boleh dipindahkan dari satu tempat ke suatu tempat dan boleh dihapuskan atau dilupuskan. Harta alih boleh berkurangan disebabkan penggunaannya dan tidak boleh digunakan sepanjang masa.

Contohnya, kenderaan dan bagi tujuan itu kad pendaftaran kenderaan asal perlu dikemukakan semasa permohonan bagi memastikan pemilik kenderaan berkenaan. AmanahRaya akan mengeluarkan surat iringan bagi mendapatkan nilaian kenderaan dari Panel Penilaian AmanahRaya hanya setelah fail didaftarkan.

Jika kenderaan masih dalam status berhutang maka perlu mendapat pengesahan daripada pihak ketiga mengenai baki hutang. Hutang perlu dijelaskan menggunakan wang pusaka jika waris ingin memiliki kenderaan itu dengan persetujuan waris lain.

Oleh itu, waris berkenaan perlu menjelaskan baki hutang menggunakan wang sendiri. Jika semua waris tidak mahu memiliki kenderaan itu maka kenderaan akan dijual dengan harga pasaran. Hasil jualan dimasukkan ke dalam akaun si mati.

Sementara harta tunai atau sijil saham, surat pertanyaan dan pengesahan kepada institusi berkaitan perlu dilakukan bagi mendapat pengesahan status akaun. Jika si mati mempunyai banyak akaun dan sijil saham maka proses ini akan dilakukan serentak. Ini bagi memastikan status harta itu dapat disahkan sama ada milik si mati secara persendirian atau berkongsi.

Harta tak alih, harta yang tidak boleh dipindahkan atau dialihkan dari satu tempat ke suatu tempat termasuk semua jenis tanah dimiliki oleh si mati semasa hayatnya termasuklah tanah pertanian, bangunan, perindustrian atau lombong.

Bagi harta seperti tanah, geran tanah perlu dikemukakan semasa permohonan dengan membuat permohonan carian rasmi di Pejabat Tanah Daerah/Pejabat Tanah dan Galian mengikut lokasi tanah.

Jika si mati mempunyai tanah di lima lokasi atau negeri yang berbeza, maka proses ini turut membabitkan permohonan di semua negeri berkenaan. Ini bagi mengetahui status pemilikan harta itu sama ada dimiliki secara tunggal, bersama atau sebagai pemegang amanah saja.

Setiap status yang terdaftar ke atas harta itu memerlukan tindakan yang berbeza. Jangka masa ini juga tertakluk kepada pengesahan yang diterima daripada pihak berkaitan. Penilaian hanya dibuat setelah sah dan semua dokumen.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 15/10/2010

0 komen:

Post a Comment