Wednesday, October 20, 2010

De Palma lancar Akademi Syariah

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Selepas berjaya dengan syariah compliant, syarikat yang menguruskan hotel De Palma, Biztel Sdn Bhd bergerak setapak lagi apabila menubuhkan Akademi Syariah di hotel cawangannya di Sepang.

Pengurus Besarnya, Datuk Mohd Ilyas berkata, akademi latihan yang berteraskan syariah ini akan dibuka pertengahan November nanti.

"Melalui akademi ini, kita akan menawar khidmat latihan berteraskan syariah kepada para kakitangan kerajaan dan swasta untuk mendalami pelbagai jenis ilmu dalam suasana yang selesa ala hotel dan resort," katanya kepada Harakahdaily.

Latihan ini akan dibuat di hotel De Palma cawangan Sepang yang mempunyai segala kemudahan hotel itu.

"Bagi setiap masa kita boleh melatih sehingga ke 200 orang peserta yang boleh tinggal terus di hotel kita," kata Mohd Ilyas.

"Berbeza dengan universiti dan kolej, kami akan sediakan latihan dengan bantuan penuh alat bantuan pengajaran dan praktikalnya di samping boleh tinggal di hotel ala resort kami," kata Ustaz Azlan Jalil (gambar), salah seorang Pakar Runding Motivasi yang bakal menjadi pakar rujuk dalam akademi ini.

Turut serta bersama beliau adalah Ustaz Heryanto Rizal Rokman.

Hotel De Palma Sepang terletak di bandar baru Salak Tinggi. Hotel ini mempunyai 30 bilik dan kemudahan lain yang baik untuk menjadi pusat latihan.

Salah seorang pengarah Biztel yang menguruskan kumpulan hotel milik PKNS ini, Tuan Haji Razwan Resat telah dilantik untuk memimpin akademi ini.

Sebelum ini, kumpulan De Palma telah melancarkan program memperkukuhkan syariah compliant yang dilancarkan dua tahun lalu.

Ia bertujuan untuk memastikan amalan hotel ini mematuhi sepenuhnya syariah Islam.

Dengan Akademi Syariah ini, ia telah bergerak setapak lagi dalam memenuhi keperluan umat Islam di negara ini.

Sumber: HarakahDaily
Tarikh: 20/10/2010

0 komen:

Post a Comment