Saturday, December 5, 2009

Lewat dapat hak milik tanah

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my

KUALA KANGSAR 4 Dis. – Kurang kefahaman dan tiada kesedaran tentang pengurusan harta pusaka menjadi punca utama waris lewat mendapatkan hak milik tanah mereka.

Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Abdul Halim Ain berkata, terdapat pemilik tanah yang meninggal dunia lebih 50 tahun lalu namun kes memindah milik tanah pusaka masih gagal diselesaikan.

“Kelewatan ini sering berlaku disebabkan kefahaman yang cetek di kalangan waris berhubung proses penyelesaian harta pusaka,” katanya.

Beliau berucap pada Seminar dan Dialog Harta Pusaka bertajuk Pemergian: Hartamu Milik Siapa anjuran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) bersama Pejabat Daerah dan Tanah di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Mazbar Abu Bakar.

Abdul Halim berkata, kelewatan penyelesaian harta pusaka menyebabkan banyak tanah terbiar selain mewujudkan ketegangan antara para pewaris sehingga mengganggu-gugat kesejahteraan institusi keluarga.

Menurutnya, lebih memburukkan keadaan, apabila perbalahan kecil yang berlaku akhirnya menjadi besar sehingga membawa kepada kes pembunuhan dan sebagainya.

Jelas beliau, kejadian seperti itu dapat dielakkan jika waris segera membuat permohonan pembahagian harta pusaka sebaik sahaja berlaku kematian.

“Jabatan saya memberi jaminan dan komitmen untuk menyelesaikan setiap permohonan yang tidak bermasalah dalam tempoh kurang dari lima setengah bulan mulai awal tahun depan,” katanya.

Menurut Abdul Halim, bagi melancarkan proses permohonan pihaknya akan memperkenalkan sistem pembayaran cukai tanah dalam talian melalui khidmat perbankan Internet.

Menerusi kaedah itu, katanya, pemilik tanah tidak perlu lagi hadir ke pejabat tanah untuk membayar cukai tanah.

“Kita sedang berusaha menjadikan kaedah pembayaran cukai tanah menerusi talian ini pilihan utama pada masa akan datang,” katanya.

Abdul Halim menerangkan, JKPTG juga membangunkan sistem pengkomputeran pejabat tanah yang dinamakan e-Tanah yang telah dilaksanakan sepenuhnya di Pulau Pinang dan akan diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara.

“Terbaru, kita memanfaatkan sistem MySMS dengan menawarkan perkhidmatan ‘SMS Pusaka’.

“Melalui sistem ini, orang ramai boleh semak status permohonan pusaka kecil hanya dengan guna khidmat pesanan ringkas,” katanya.

Pada masa yang sama, tegas beliau, pihak jabatan akan menyalurkan maklumat berkaitan tarikh perbicaraan dan pengambilan perintah pembahagian harta pusaka melalui kemudahan telefon mudah alih masing-masing.

“Perkhidmatan ini merupakan penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan jabatan demi faedah masyarakat,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 5/12/2009

0 komen:

Post a Comment