Tuesday, December 15, 2009

Hak 'anak kandung, anak tiri'

Oleh : NORAINI ABD. RAZAK

ISTILAH anak tiri, menganaktiri, dianaktiri biasa digunakan dalam perbualan seharian. Ia memberi gambaran negatif. Sememangnya sejak dari dulu lagi anak tiri digambarkan sebagai insan malang yang kekurangan segala-galanya. Kurang dari sudut kasih sayang, layanan dan pemberian harta benda. Anak tiri kononnya sentiasa disisihkan dan tersisih.

Ibu atau bapa tiri pula tidak pernah ada baiknya. Kejam, tidak berperikemanusiaan, ganas dan penuh dengan hasad dengki terhadap anak tiri. Manakala adik beradik tiri tidak akan membenarkan saudara tirinya mengecap sedikit kebahagiaan pun.

Watak ibu tiri dalam filem Melayu lama sering dilakonkan Siput Sarawak, Umi Kalthom dan Normadiah. Keserasian mereka memegang watak tersebut menyebabkan penonton meluat, marah dan geram, lantas mengundang simpati terhadap si anak tiri.

Tentunya apabila hubungan anak tiri dan keluarga tiri digambarkan sedemikian rupa, anak kandung pula umpama ditatang di atas dulang emas.

Segala-galanya indah bagi anak kandung - tidak ada keluh kesah untuk menikmati makanan yang enak, atau berbelanja mewah. Anak kandung juga selalu berwatak malas, tidak cerdik dan manja tidak bertempat.

Hakikat itu mesti ditelan - sekali menjadi anak kandung selamanya taraf itu kekal begitu. Anak tiri pula tidak akan mampu menjadi anak kandung kerana susur galur status yang berbeza. Justeru wujud perbezaan anak kandung dan anak tiri yang membawa kepada perbezaan layanan dari segenap aspek.

Namun hikayat anak tiri atau ibu bapa tiri yang dipertontonkan dalam filem klasik Melayu lama tidak semuanya betul terutama dalam kehidupan serba moden. Ibu bapa tiri lembut hatinya, manakala anak tiri pandai membawa diri, tidak menuntut yang bukan-bukan dan saling menghormati adik beradik tiri.

Keadaan itu jika mewujudkan perbezaan layanan sekali pun bukan disebabkan status anak tiri tetapi kerana hak yang sememangnya telah termaktub dan dimaktubkan.

Misalnya dalam soal pembahagian harta. Menurut undang-undang Islam, anak kandung ada bahagiannya, tetapi tidak anak tiri. Bagaimanapun ada konsep hibah atau hadiah, yang mana ibu atau bapa tiri boleh menghadiahkan bahagian tertentu untuk anak tiri.

Semestinya anak tiri yang pandai mengambil hati atau sedar diri akan mendapat bahagian tersebut. Lebih daripada itu, ibu bapa tiri tidak teragak-agak mewariskan pelbagai peranan penting untuk dipikul oleh anak tiri apatah lagi jika anak kandung berpaling menjadi anak derhaka.

Bagaimanapun untuk menyamaratakan hak anak kandung dengan anak tiri seratus peratus sememangnya mustahil. Ini kerana konsep kesamarataan tidak terpakai dalam konteks anak kandung dan anak tiri. Ini kerana anak kandung tetap anak kandung dan anak tiri tetap anak tiri. Hak mereka berbeza dan tidak setara.

Tetapi konsep kesaksamaan ada - di mana anak tiri dilayan mesra, tuntutan mereka didengari dan diadili, tetapi jika tuntutan itu bertujuan menyamai hak anak kandung sudah pasti ia tidak kena pada tempatnya.

Sebab itu istilah anak tiri, menganaktiri dan dianaktiri tidak boleh diguna secara semberono. Tidak juga boleh digunakan untuk menggambarkan layanan tidak adil kepada sesuatu kaum lantaran perkara yang dituntut bukan hak mereka.

Apabila yang bukan hak menjadi tuntutan maka ia sebenarnya tidak adil kepada pihak yang dituntut.

Misalnya dalam hak-hak di sisi Perlembagaan. Apa yang ditetapkan telah dipersetujui berdasarkan kedudukan sejarah bumiputera dan bukan bumiputera itu sendiri.

Peruntukan itu bukan dibuat tanpa kajian sejarah dan perbandingan dengan negara-negara lain di dunia.

Apa yang menjadi hak untuk bumiputera sememangnya hak mereka. Ia bukan bermakna laluan mudah untuk anak kandung (bumiputera) dalam menjalani kehidupan bersama ibu bapa kandungnya.

Laluan itu masih berliku lantaran ibu bapa kandung juga menumpahkan kasih sayang yang bukan sedikit kepada anak tiri yang lain (bukan bumiputera). Anak tiri diberi hak sewajarnya baik dari sudut politik, ekonomi mahu pun sosial.

Malah prestasi anak tiri yang cemerlang mendorong ibu bapa tiri menjadi lebih dermawan dan mengizinkan satu demi satu hak anak kandung dikongsi. Tetapi yang sedihnya dan dikesali dalam keadaan tertentu apabila ibu bapa kandung meminta anak tiri berkongsi sesuatu dengan anak kandung, mereka enggan.

Misalnya dalam pendidikan. Adakah anak tiri mahu berkongsi sekolah kebangsaan dengan adik beradik tiri? Adakah mereka mahu bersatu di bawah bumbung sekolah wawasan? Dan yang terbaru adakah mereka sudi memilih satu aliran? Jawapannya tidak.

Lebih mendukacitakan mereka enggan menggunakan bahasa kebangsaan dalam 'pertuturan' dalam setiap bidang yang telah diputuskan oleh ibu bapa tiri. Justeru di mana titik pertemuan antara anak kandung, anak tiri dan ibu bapa tiri?

Akan adakah titik pertemuan itu jika peraturan yang ditetapkan enggan dituruti sebaliknya yang bukan hak terus dituntut dan diperjuangkan?

Sewajarnya perkara ini direnungi. Isu ini tidak akan berhenti. Garis pemisah antara anak kandung dan anak tiri terlalu halus dan rapuh.

Dilema ibu bapa melayan kerenah anak kandung dan anak tiri sememangnya mencabar keupayaan mental dan fizikal. Umpama menarik rambut dalam tepung, hak anak kandung mesti terus dipelihara dan dijunjung.

Tuntutan anak tiri pula mesti didengar dan dipertimbangkan. Namun memberi pertimbangan demi pertimbangan boleh saja menyebabkan anak tiri pijak kepala sehingga menghilangkan rasa hormat terhadap anak kandung.

Kesemua ini menuntut kematangan. Ada sesuatu yang mesti 'dikorbankan' untuk memastikan yang hak terus menjadi hak sambil memelihara konsep kesaksamaan.

Sesuatu mesti dihayati - menjadi anak kandung ada cabarannya apatah lagi jika adik beradik tiri menunjukkan kelebihan serta prestasi yang bukan sedikit.

Anak kandung tidak boleh terus bergantung kepada keistimewaan yang diperuntukkan untuk mereka. Kalau dulu mereka merangkak, kini mereka mesti berlari meningkatkan prestasi untuk memastikan hak istimewa yang telah termaktub tidak dicabar sedemikian rupa.

Anak-anak kandung yang lemah dan berpecah menjadi punca anak-anak tiri bercita-cita tinggi mahu membolot apa yang difikirkan turut menjadi hak mereka.

Ibu bapa pula mesti bertegas - katakan pada anak kandung - "hak kamu memang terjamin, tetapi ia adalah untuk masa ini. Untuk masa akan datang, jika ibu atau ayah telah tiada, siapalah kamu di bumi bertuah ini."

"Ketika itu hak kamu tiada siapa mahu membela, ketika itu kamu adalah anak tiri, pengganti ibu atau ayah tidak akan membela nasib kamu. Perlembagaan yang mengiktiraf hak kamu telah diarkibkan."

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 15/12/2009

1 komen:

  1. Came here to get a view on anak tiri based on the situation I'm currently in. Turned out to get a bigger and meaningful perspective of it - about this nation! This is something I've never read, think of or related to! Kudos to the author and this blog admin for the source. Terima kasih :)

    ReplyDelete