Sunday, December 13, 2009

Pengurusan harta pusaka perlu lebih bertanggungjawab

SEREMBAN - Pengurusan harta pusaka hendaklah dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab apatah lagi ia melibatkan soal wasiat yang perlu dihormati.

RAJA Salbiah Tengku Nujumuddin (kiri) bersalaman dengan peserta pada Seminar Pengurusan Harta Pusaka dan Wasiat di Seremban, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

Yang Dipertua Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO) Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin berkata, harta pusaka merupakan sesuatu yang amat berkait rapat dengan masyarakat Islam khususnya orang Melayu.

''Ia bukan sahaja berkisar kepada aspek pengurusan, sebaliknya cara pembahagian dan pengagihannya," katanya sewaktu merasmikan Seminar Pengurusan Harta Pusaka dan Wasiat anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Sembilan di sini hari ini.

Salbiah yang merupakan isteri Menteri Besar menjelaskan, jika ini gagal diurus tadbir dengan baik, maka akan berlaku konflik di penghujung penyelesaiannya.

''Ada yang bermasam muka, tidak bertegur sapa, hilang saudara dan sebagainya.

''Akibatnya, penyelesaian yang sepatutnya dicari, sebaliknya permasalahan berpanjangan pula yang kita dapat, lebih-lebih lagi di negeri ini berhadapan masalah tanah adat," katanya.

Tambahnya, antara punca yang dikenal pasti berlakunya konflik dalam pengurusan harta pusaka ini disebabkan kurangnya pemahaman tatacara serta enggan mengikuti perkembangan semasa.

''Sebenarnya pembahagian dan pengagihan harta pusaka ini boleh dipermudahkan dengan pemilikan satu dokumen yang bukan sahaja mematuhi perundangan bahkan dari sudut hukum syarak," tegasnya.

Kata Salbiah, amat malang sekali apabila rekod harta pusaka masyarakat Islam di seluruh negara menunjukkan ia mencecah RM40 juta.

''Ia suatu angka yang amat merugikan jika diambil kira soal pemilikan harta umat Islam yang tidak boleh dibangunkan untuk satu tempoh yang tiada penghujung.

''Semua ini berupa harta alih iaitu wang tunai dan kebendaan mahupun harta tidak alih seperti tanah yang tidak boleh digerakkan," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 13/12/2009

0 komen:

Post a Comment