Monday, December 14, 2009

ARB terima 800 permohonan tuntutan harta, wasiat

KOTA BAHARU - Amanah Raya Berhad (ARB) Kelantan menerima lebih 800 permohonan kes tuntutan harta dan wasiat yang kebanyakannya daripada pewaris Islam sejak Januari hingga bulan lepas.

Pengurus ARB Kelantan Maimun Daud berkata kira-kira 50 fail permohonan kes tuntutan wasiat daripada pewaris si mati dibuka untuk dikendalikan dalam tempoh itu.

“Ini menunjukkan tahap kesedaran umat Islam terhadap peranan pejabat ini semakin tinggi berbanding bukan Islam dengan adanya kempen kesedaran itu termasuk mengadakan kaunter bergerak ke seluruh negeri setiap bulan”, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat ini empat jajahan sudah diadakan kaunter bergerak iaitu di jajahan Jeli, Tanah Merah, Gua Musang dan Pasir Puteh dan sambutannya amat menggalakkan.

Mengikut Akta ARB 1965, setiap orang Islam yang ingin membuat permohonan wasiat melalui pejabatnya dikenakan bayaran minimum RM350, berbanding dengan bukan Islam RM500 untuk bayaran khidmat penulisan dan penyimpanan wasiat.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada jumlah harta pesaka yang hendak diwasiatkan seseorang pewaris itu, kata beliau.

Sumber : Bernama
Tarikh : 14/12/2009

0 komen:

Post a Comment