Thursday, December 17, 2009

PNB cari jalan benarkan penama waris

Oleh : HAMDAN TAWADI

JOHOR BAHRU - Permodalan Nasional Bhd (PNB) sedang berusaha memenuhi kehendak pelabur amanah saham bagi membolehkan mereka menamakan penama bagi mewarisi saham itu, setelah meninggal dunia.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, ini kerana peruntukan peraturan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia tidak membenarkan penamaan seperti itu dilakukan oleh pelabur.

Katanya, keadaan itu menyebabkan keputusan untuk membahagikan saham di kalangan waris pelabur terletak dalam bidang kuasa mahkamah.

"Kita menyedari keperluan untuk langkah itu diperkenalkan memandangkan ia akan memudahkan pelabur menamakan penama seperti diamalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji.

"Kita kini sedang cari jalan bagi memenuhi kehendak pelabur tanpa melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Promosi Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) di sini hari ini.

Menurut Hamad Kama Piah, menurut prosedur sedia ada, apabila si mati meninggalkan saham bernilai RM600,000 ke bawah, waris boleh memohon pembahagian pusaka mengikut Ordinan (Pembahagian) Harta Pusaka Kecil, 1955 di pejabat Pentadbir Tanah.

Jika melebihi jumlah itu, katanya, waris boleh memohon pembahagian pusaka di Pejabat Pentadbir Pusaka, di Mahkamah Tinggi atau Pemegang Amanah Raya.

Beliau memberitahu, pembahagian akan dibuat berdasarkan perkiraan faraid bagi orang Islam manakala bagi bagi bukan Islam yang tidak membuat sebarang wasiat mengikut Akta Pembahagian (Pindaan) 1997 - Akta A 1004.

Tambahnya, bagi si mati yang bukan beragama Islam yang ada membuat wasiat, pembahagian mengikut seperti yang diwasiatkan.

Mengulas pemberian 100 unit saham AS1M percuma kepada pelajar tahun pertama institut pengajian tinggi awam (IPTA), beliau berkata, PNB dalam proses menyerahkan buku pelaburan kepada mereka yang layak.

"PNB sudah mula memberikan unit amanah saham percuma itu kepada pelajar IPTA, selepas institusi mereka menyerahkan nama yang layak.

"Kita tidak mempunyai sebarang masalah berbuat demikian kerana ia adalah bentuk promosi paling berkesan bagi menarik dan mendidik pelabur baru," katanya.

Menurut Hamad Kama Piah, dalam tempoh empat bulan pertama selepas AS1M dilancarkan, ia berjaya menarik penyertaan 231,000 pelabur dengan langganan berjumlah 2.852 bilion unit.

"Jumlah itu, membabitkan kira-kira 80 peratus peruntukan unit bagi kaum Cina yang sudah dilanggan, 19.7 peratus dilanggan India; 2.8 peratus dilanggan bumiputera dan 4.3 peratus dilanggan kaum-kaum lain," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 17/12/2009

0 komen:

Post a Comment