Tuesday, February 15, 2011

Wasiat ekologi Rasulullah SAW

Oleh Shaharudin Idrus

Mengambil sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, Rasulullah SAW yang diutuskan untuk menjadi ikutan, pedoman dan penawar kepada umat manusia, maka bersama-samalah kita mengambil wasiat yang telah ditinggalkan melalui al-Quran dan As-Sunna.

Gunakanlah pesanan Rasulullah SAW tanpa sebarang keraguan dan dengan keyakinan yang tinggi untuk memakmur, memberi kesejahteraan dan mengelakkan kesesatan yang berpanjangan kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini tanpa mengira fahaman ideologi, politik, latar sosioekonomi dan etnik.

Segala sunnahnya harus menjadi pegangan dan ikutan agar kehidupan yang dijalani mendapat keredaan Allah SWT di dunia dan di akhirat kelak. Segala perilaku, perbuatan, tindakan, pengucapan, kiasan yang dilakukan oleh junjungan besar kita itu diilhamkan dan datangnya dari Allah SWT.

Rasulullah sendiri menekankan bahawa Baginda merupakan seorang manusia biasa tetapi kita menerimanya sebagai seorang manusia pilihan dan luar biasa yang kehadirannya di alam buana ini adalah sebagai pembawa rahmat ke serantau dunia termasuklah flora dan faunanya. Pelbagai sifat mahmudah yang dimiliki oleh Rasulullah boleh dijadikan contoh kepada kita untuk memperbaiki kehidupan harian dan mensejahterakan bumi ini.

Telah disepakati bahawa segala permasalahan yang menyangkut tentang alam sekitar yang berlaku kini misalnya pencemaran air dan udara, tanah runtuh, banjir kilat, hinggalah kepada keluarbiasaan keadaan cuaca di seluruh pelosok dunia adalah akibat langsung daripada hasil perbuatan manusia itu sendiri yang tidak berpegang sepenuhnya kepada prinsip-prinsip agama untuk memelihara alam ciptaan Ilahi yang telah disyariat dan disampaikan melalui Rasulullah kepada umat manusia.

Sementelahan pula, manusia yang mengaku sebagai khalifah di muka bumi ini memiliki tugas dan tanggungjawab yang cukup berat untuk memakmurkan bumi ini dan dalam masa yang sama memelihara serta tidak memanipulasi sumber-sumber alam ini secara melampaui batasan dan had tampungan yang sewajarnya.

Sememangnya Allah SWT membenarkan manusia untuk menggunakan seluruh sumber daya alam ini sebagai sumber rezeki bagi manusia dan juga seluruh makhluk yang hidup di atasnya, namun bukanlah dengan cara merosak dan merugikan aspek yang lain pula.

Tersirat dalam makna dan pengertian ini adalah konsep pembangunan lestari yang dipelopori oleh para sarjana Barat sekitar tahun 1970-an sedangkan maksud sebenar pembangunan lestari ini telah pun diungkap, diisyarat, dikias dan ditunjukkan oleh Junjungan Besar kita melalui hadis-hadis sahih Baginda sejak hampir satu ribu tahun setengah yang lampau.

Banyak kisah yang diriwayatkan di dalam al-Quran dan Hadis sahih yang memaparkan perilaku dan pekerti mulia Rasulullah dalam memelihara bumi ini. Perasaan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada binatang kesayangan misalnya menunjukkan Baginda seorang Rasul yang mengambil berat tentang fauna yang hidup berkeliaran di bumi ini.

Kita dianjurkan agar tidak sewenang-wenangnya menebang pokok atau membunuh binatang tanpa sebarang tujuan yang diharuskan. Kita juga tidak digalakkan untuk melakukan pembakaran terhadap kawasan-kawasan yang berhutan. Contoh-contoh yang diriwayatkan ini menggambarkan tentang keprihatinan Baginda terhadap pemeliharaan flora dan fauna yang wujud di muka bumi ini.

Baginda juga menganjurkan agar menjaga sumber air bersih dan tidak mencemarkan sewenang-wenangnya. Air yang mengalir dari telaga zam-zam sejak sekian lama dan hingga kini masih lagi berterusan memberikan sumber air yang luar biasa kepada semua manusia.

Air yang suci dan bersih ini digunakan untuk pelbagai kegunaan sebagai lambang keagungan Ilahi dan perlu dilestarikan. Justeru, air sungai, telaga dan tasik yang terdapat di merata-rata tempat di dunia ini juga perlu dilestarikan kewujudannya untuk menjadi sumber dengan pelbagai kegunaan kepada manusia.

Dalam Islam telah dianjurkan bahawa pemeliharaan alam sekitar telah pun diamalkan di dalam menjalani kehidupan harian umatnya. Dalam sistem pengurusan kawasan bandar dan sumber asli misalnya, telah ditetapkan kawasan-kawasan yang perlu dilindungi sumber-sumber asli yang terdapat di dalamnya yang dikenali sebagai kawasan haram.

Tujuannya adalah untuk melindungi ekosistem kawasan tersebut agar kekal terjaga dan dapat memberi manfaat kepada seluruh penduduk yang mendiami kawasan tersebut. Baginda sendiri telah menentukan kawasan-kawasan yang langsung tidak boleh diganggu gugat agar kestabilan ekosistem tidak terganggu dan mengekalkan sistem saliran serta kemudahan infrastruktur asas yang ada di kawasan perbandaran tersebut.

Baginda juga menyediakan kawasan yang sesuai untuk tempat tinggal binatang ternakan dan menyediakan ruang bagi kemudahan pengairan untuk binatang ternakan tersebut. Gambaran yang diberikan ini menunjukkan bahawa Islam sejak dari awal lagi telah memberikan perhatian yang begitu tinggi kepada penjagaan dan pengurusan alam sekitar bagi kepentingan dan kesejahteraan umat manusia.

Memelihara alam sekitar dari dicemari merupakan satu kewajiban dan menjadi sebahagian daripada ibadah yang perlu kita laksanakan.

Kisah-kisah perjalanan dan perjuangan Rasulullah yang telah diriwayatkan oleh perawi- perawi ini melalui pelbagai konsep dan prinsip yang diterapkan dalam memelihara alam ini, wajar diambil, diteliti, dihayati dan ditafsirkan dengan sebaik-baiknya agar dapat dijadikan panduan yang berguna dan berkesan melalui penggubalan strategi, pelan tindakan dan program yang boleh dilaksanakan kepada warga bumi ini agar kemusnahan yang telah melanda kini tidak menjadi lebih parah natijahnya kepada manusia hari ini dan akan datang.

Ilmu-ilmu yang berkait dengan ekologi dan alam sekitar ini sewajarnya didalami dengan sepenuh-penuhnya melalui pendekatan multi dan transdisiplin yang menggandingjalinkan para ilmuan dalam pelbagai bidang ilmu untuk bersama-sama memakmurkan bumi ini untuk kesejahteraan manusia seluruhnya.

Penulis ialah Felo Penyelidik/Pensyarah Kanan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 15/2/2011

0 komen:

Post a Comment