Tuesday, February 15, 2011

SGF mampu jadi pemangkin

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Pengenalan Rangka Kerja Tadbiran Syariah (SGF) pertama di dunia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berkuatkuasa 1 Januari lalu bertujuan menjadi pemangkin ketelusan kepada industri perbankan dan takaful Islam di negara ini.

Penyelidik Kanan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA), Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim berkata, rangka kerja itu merupakan satu langkah ke hadapan dalam industri perbankan dan takaful.

Beliau berkata, tujuan rangka kerja itu untuk memperkasakan elemen syariah dalam institusi perbankan dan takaful tempatan.

Selain itu katanya, SGF juga memastikan produk-produk yang ditawarkan mematuhi syariah dan pelaksanaan yang mematuhi hukum syarak.

"Ia merupakan satu pelaksanaan baharu dan paling mencabar. Ia memerlukan kesungguhan daripada semua pihak. Malah, memandangkan ia merupakan rangka kerja yang pertama, mungkin penambahbaikan diperlukan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis seminar sehari mengenai SGF untuk institusi kewangan di sini hari ini.

SGF berkuat kuasa pada 1 Januari 2011 dan perlu dilaksanakan selewat-lewatnya pada 30 Jun depan.

Ashraf berkata, rangka kerja ini hanya penambahbaikan kepada garis panduan yang pernah diperkenalkan BNM pada 1 April 2005 lalu.

Katanya, SGF itu adalah yang pertama di Malaysia dan dunia.

"Di peringkat bank pusat Asia Barat pun tidak ada rangka kerja seperti ini. Dari sudut tadbiran syariah, kita paling kehadapan,'' ujarnya.

Ashraf menambah, sebagai ahli majlis penasihat syariah BNM, beliau berharap rangka kerja itu akan menjadi pemangkin kepada industri perbankan dan takaful Islam supaya terus berada di hadapan dan ditangani sewajarnya.

Selain itu, industri perbankan dan takaful Islam di Malaysia, diharap menjadi lebih telus.

"Rangka kerja ini akan menambah baik perjalanan syariah di negara ini,'' ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CIMB Islamic Bank Bhd. (CIMB Islamic), Badlisyah Abdul Ghani berkata, rangka kerja baru itu adalah lebih hebat berbanding garis panduan sedia ada.

Katanya, SGF akan mendedahkan praktis yang lebih baik termasuk menggalakkan pemain industri membina jambatan perhubungan di antara jawatan kuasa syariah dan lembaga pengarah institusi perbankan dan takaful.

"Faedah SGF adalah ia merupakan struktur yang lebih baik serta mempunyai kredibiliti yang menyeluruh.

"Ia juga menjadi penanda aras untuk semua bidang kuasa yang serius dalam kewangan Islam,'' ujarnya.

Tambah beliau, sebagai pemain industri, pihaknya akan mematuhi arahan dan peraturan seperti yang terdapat dalam SGF.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 15/2/2011

0 komen:

Post a Comment