Saturday, February 26, 2011

Bina hotel wakaf di Perlis

Oleh MARZITA ABDULLAH
utusansabah@utusan.com.my

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menanggalkan pelekat plak mercu tanda Bazar Wakaf Rakyat pada majlis perasmian wakaf itu di ruang legar Masjid Sungai Adam, Jejawi, Kangar, semalam.
------------------------------------


KANGAR 25 Feb. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya sebuah hotel wakaf setinggi tujuh tingkat dapat dibina di negeri ini melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Baginda bertitah, pembinaan hotel tersebut menyumbang kepada pembangunan negeri ini dan akan menjadi mercu tanda baru selain menjana pendapatan untuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

“Saya amat berharap dalam RMK-10 satu lagi perkembangan baru kepada pembangunan Perlis akan wujud jika sebuah hotel wakaf dapat dilulus dan dilaksanakan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Bazar Wakaf Rakyat MAIPs yang turut dihadiri oleh Naib Pengerusi Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Datuk Sohaimi Mohd. Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah Perlis, Jefperi Othman di ruang legar Masjid Sungai Adam, Jejawi di sini, hari ini.

Baginda turut menitahkan agar pihak jawatankuasa masjid yang terlibat dalam program wakaf itu berusaha keras menjaga dan menguruskannya dengan sebaik mungkin selain menjaga kesucian tanah wakaf dan masjid.

“Hasil sewa yang diterima hendaklah digunakan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti bermanfaat terutama yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan anak kariah masing-masing,” titah baginda.

Baginda bertitah, pembinaan bazar berhampiran masjid turut memberi keuntungan kepada anak-anak kariah melalui aktiviti jual beli barangan dan ingatan terhadap masjid dengan solat berjemaah.

Titah baginda, melalui RMK-9, negeri ini telah mendapat peruntukan sebanyak RM4 juta untuk membina lapan unit kedai teres dua tingkat di kawasan Bohor Lalang, Utan Aji, di sini.

“Dengan adanya bangunan kedai di kawasan tersebut maka akan wujud satu suasana perniagaan yang baru yang boleh memberi manfaat kepada para nelayan dan pengusaha kecil bagi memasarkan hasil mereka kelak,” titah baginda.

Sementara itu, Sohaimi berkata, menerusi bajet 2010, YWM telah memperuntukkan RM1.1 juta untuk pembangunan hartanah wakaf di negeri ini termasuk membangunkan Bazar Wakaf Rakyat yang kesemuanya terdiri daripada 27 unit gerai.

Katanya, selain bazar di Masjid Sungai Adam yang terdiri daripada lima unit gerai, Masjid Al-Barakah, Jelempok, Arau (5), Masjid Tun Abd. Razak, Repoh ( 2), Masjid Al-Ariffin, Padang Katong (5), Masjid Putra, Simpang Empat (5) dan lima unit lagi di Masjid Amir Fawwaz, Sungai Baru.

Dalam pada itu, pada majlis yang sama Felcra Berhad dan Koperasi Peserta Rancangan Felcra Lubuk Sireh Perlis Berhad menyumbangkan zakat masing-masing berjumlah RM162,801.54 dan RM13,000.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 26/2/2011

0 komen:

Post a Comment