Monday, February 21, 2011

RM4 bilion tidak dituntut

Oleh: TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my

BACHOK 20 Feb. – Lebih RM4 bilion wang yang tidak dituntut oleh pemilik masih dipegang Unit Perbendaharaan, Bank Negara berikutan kegagalan waris mereka membuat tuntutan sehingga hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, wang berkenaan diserahkan kepada Perbendaharaan oleh pelbagai institusi kewangan di negara ini apabila akaun simpanan individu tidak aktif melebihi tempoh lima tahun.

Beliau berkata, wang itu dihantar ke unit berkenaan selepas pengurusan institusi kewangan menghantar notis kepada pemilik akaun simpanan bagi memaklumkan mereka supaya menuntut semula atau mengaktifkan urus niaga kewangan yang beku melebihi tempoh lima tahun tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Bagaimanapun, katanya, pewaris masih boleh membuat tuntutan mendapatkan wang berkenaan menerusi Pejabat Akauntan Bank Negara di setiap negeri dengan mengemukakan beberapa dokumen penting seperti surat pendaftaran kematian dan buku akaun simpanan wang untuk dipertimbangkan.

“Wang itu terkumpul daripada pelbagai sumber terutama hasil keuntungan bank konvensional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak dituntut pemegang akaun.

“Kegagalan membuat tuntutan mungkin disebabkan masalah kesukaran menguruskan pembahagian pusaka atau pewaris menganggap jumlah wang yang sedikit dan sukar diagihkan kepada waris yang ramai sehingga mereka mengambil keputusan mengabaikan usaha menuntutnya daripada institusi kewangan atau bank,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada 83 penduduk di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) pengurusan Risda di Kampung Lati Hilir, Bukit Marak dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Risda Kelantan, Zahari Mat Amin.

Pada majlis sama, 10 rakyat termiskin turut menerima bantuan zakat berupa pemberian beras dan barangan keperluan harian.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, pihaknya juga percaya sebilangan besar pewaris tidak mengetahui terdapatnya wang berkenaan yang disimpan oleh si mati termasuk masalah alamat surat-menyurat yang gagal dikesan.

“Pihak terbabit boleh membuat semakan di cawangan BNM berdekatan untuk mendapatkan kembali wang itu.

“Jika didapati wang itu masih tidak dituntut kerajaan mungkin akan meminjamnya untuk tujuan pembangunan negara,” katanya.

Mengulas mengenai PBR, beliau berkata, UMNO negeri ini berharap Kerajaan Persekutuan mengekalkan peruntukan RM18 juta sebagaimana diluluskan kepada Risda Kelantan sepanjang tahun lepas bagi membolehkan usaha menyediakan kediaman selesa dapat dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, peruntukan itu penting untuk membantu hampir 1,000 penduduk miskin supaya mereka dapat memiliki rumah sendiri dan membaik pulih rumah yang hampir roboh.

“Di Kelantan masih banyak lagi rumah yang perlu dibaiki dan masih ramai penduduk yang tidak memiliki rumah kediaman sendiri berbanding negeri lain yang ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Rakyat Kelantan perlu berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang tidak pernah meminggirkan mereka malah memberi layanan yang istimewa walaupun Kelantan diperintah oleh pembangkang,” katanya.

Menurut beliau, sikap cakna pucuk pimpinan Kerajaan Persekutuan terbukti kerana sebilangan besar rakyat miskin di Kelantan yang mendapat bantuan PBR diberi milik rumah baru bernilai RM33,000 sebuah secara percuma.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 21/2/2011

0 komen:

Post a Comment