Friday, March 27, 2009

Menuntut pusaka suami

Soalan:

SUAMI saya telah meninggal dunia pada 2007 kerana kemalangan jalan raya. Kami mempunyai seorang anak lelaki yang berumur tujuh tahun. Kami menetap bersama keluarga mertua di Perak. Oleh kerana saya berada dalam keadaan trauma akibat kehilangan suami, melalui surat pengakuan yang ditandatangani, bapa mertua saya telah membantu menguruskan semua harta peninggalan termasuk sebuah perusahaan kecil. Apa yang menjadi kemusykilan saya ialah mengenai pembahagian harta faraid arwah suami. Sehingga kini saya masih belum memperolehi hak 1/8 daripada harta pusaka. Bagaimana pula dengan hak saya untuk mendapatkan harta sepencarian? Apakah yang harus saya lakukan?

Balu Trauma,
Banting, Selangor.

Jawapan:

Secara lazimnya apabila salah seorang ahli keluarga yang meninggal dunia, sudah tentu kita dihadapi dengan persoalan pembahagian harta pusaka. Pengurusan harta pusaka bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Lebih-lebih lagi bagi membantu isteri arwah untuk membesarkan anak-anaknya seorang diri.

Hukum syarak telah menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah Al-Nisa menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.

Prosedur permohonan pembahagian harta pusaka kecil dipohon di Pejabat Tanah dan Galian iaitu harta yang kurang daripada RM600,000. Pentadbir Tanah akan memastikan sama ada waris ingin membuat tuntutan harta sepencarian. Kemudian kes ini akan dimajukan pula ke mahkamah syariah untuk diputuskan tentang harta sepencarian.

Oleh itu, tuntutan harta sepencarian dilakukan di mahkamah syariah manakala selepas keputusan diperoleh, perintah dari mahkamah syariah itu perlulah diajukan kepada Bahagian Pembahagian Harta Pusaka Kecil supaya harta yang berkaitan sahaja dibahagikan mengikut faraid. Puan sebenarnya tidak perlu untuk memfailkan satu petisyen yang berbeza untuk pembahagian harta pusaka ini.

Seksyen 29 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, puan berhak untuk membuat rayuan ke mahkamah tinggi atas keputusan yang telah diberikan oleh Pentadbir Tanah. Puan boleh menyatakan bahawa keputusan pembahagian harta pusaka yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah berdasarkan maklumat yang tidak tepat kerana puan sebagai waris yang berhak tidak disenaraikan sebagai salah seorang waris atau apa-apa faktor yang memberi kesan terhadap keputusan tersebut.

Puan boleh memohon agar ulang bicara dijalankan memandangkan terdapat perbalahan atau percanggahan maklumat dan sebagainya di Pembahagian Harta Pusaka Kecil, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Seksyen 16(1) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, apabila menerima notis rayuan di bawah seksyen 29, hendaklah menunggu sehingga rayuan itu diputuskan.

Puan haruslah bertindak segera sebelum pindah milik harta tersebut sempurna. Ini akan menyulitkan lagi keadaan kerana kemungkinan harta tersebut akan berpindah tangan apabila pindah milik telah sempurna.

Cara yang terbaik untuk menguruskan harta pusaka peninggalan arwah tentulah dengan mencapai satu kata sepakat. Oleh itu, bagi mengelakkan sebarang salah faham, dua orang boleh dilantik sebagai pentadbir harta pusaka arwah. Oleh itu, selain bapa mertua puan, puan juga sebenarnya lebih berhak untuk menjadi pentadbir harta pusaka arwah suami puan. Sekurang-kurangnya, harta peninggalan arwah dapat membantu puan sedikit sebanyak untuk memulakan hidup baru yang lebih mencabar, dan juga demi anak puan.

Diharap penjelasan yang diberikan dapat membantu puan.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 27/3/2009

0 komen:

Post a Comment