Sunday, April 12, 2009

Syed Kechik meninggal dunia

ALOR SETAR - Pengasas Yayasan Syed Kechik, Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed, 81, (gambar) meninggal dunia kerana sakit tua pada pukul 3.41 petang semalam di rumah menantunya, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di Jalan Sultanah di sini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Bukhary di sini kira-kira pukul 10 malam tadi.

Menurut Syed Mokhtar yang juga anak saudara Syed Kechik dan merupakan Pengerusi Eksekutif Yayasan Albukhary, bapa mertuanya meninggalkan balu, Puan Sri Sofiah Abdullah, tiga orang anak dan 12 cucu.

Katanya, Allahyarham merupakan orang lama dalam UMNO dan menjadi salah seorang penyumbang kepada pembinaan Bangunan Tunku di sini yang kini menjadi pejabat UMNO Kedah.

Semasa hayatnya, Allahyarham Syed Kechik pernah memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang kepada Ketua Menteri Sabah pada 1968 hingga 1975 dan menjadi Setiausaha Politik Menteri Penerangan dan Penyiaran, Datuk Senu Abdul Rahman pada 1964 hingga 1965.

Syed Kechik juga melibatkan diri termasuk dalam bidang pembangunan hartanah, perhotelan, projek perumahan dan pelaburan asing.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menziarahi pusara Allahyarham Syed Kechik di sini pagi ini.

Beliau yang ditemani isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman berada di pusara Allahyarham selama kira-kira 15 minit bagi membaca tahlil.

Timbalan Perdana Menteri mempunyai hubungan persahabatan yang istimewa dengan Allahyarham yang juga merupakan bapa mentua Syed Mokhtar sejak 30 tahun lalu.

Sumber : ARKIB
Tarikh : 12/4/2009

0 komen:

Post a Comment