Tuesday, April 28, 2009

Ceroboh tanah wakaf sekat pembangunan

PORT DICKSON - Pembinaan premis kediaman dan perniagaan secara haram dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang membantutkan pembangunan tanah wakaf di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Abd. Ghafar Yusof berkata, pencerobohan itu berlaku di hampir semua negeri dan halangan besar yang sedang dihadapi pihaknya adalah keengganan 141 keluarga yang mendiami tanah wakaf seluas 2.83 hektar di Georgetown, Pulau Pinang untuk berpindah.

''Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIP) bercadang membina pangsapuri kos rendah dan sederhana di atas tanah itu dan ia boleh didiami oleh 600 keluarga jika dapat disiapkan,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas merasmikan Seminar Pembangunan Hartanah Wakaf anjuran Yayasan Waqaf Malaysia di Mayang Sari Resort dekat sini hari ini.

Abd. Ghafar menambah, majlis agama Islam negeri yang bertanggungjawab mengurus institusi wakaf juga menghadapi kesukaran dalam menguatkuasakan arahan agar pihak yang menceroboh tanah wakaf berpindah daripada tanah berkenaan.

''Majlis agama Islam negeri tidak mempunyai sebarang peruntukan undang-undang khusus berhubung penguatkuasaan ke atas pencerobohan tanah wakaf.

''Pada masa ini, tindakan undang-undang hanya boleh diambil menerusi Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian daerah serta pihak berkuasa tempatan," katanya.

Dalam pada itu, Abd. Ghafar memberitahu, hanya 0.72 peratus daripada jumlah keseluruhan tanah wakaf seluas 9,947 hektar berjaya dibangunkan oleh majlis agama Islam negeri di seluruh negara setakat ini.

Sumber : ARKIB
Tarikh : 28/4/2009

0 komen:

Post a Comment