Monday, April 27, 2009

Kadar Penembusan Takaful Dijangka Meningkat 12 Peratus Pada 2012

KUALA LUMPUR - Langkah Kerajaan untuk membenarkan kerjasama lebih besar antara pengendali insurans dan takaful tempatan dengan rakan kongsi asing akan membantu meningkatkan kadar penembusan industri takaful, kata seorang peserta industri.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn Bhd Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata dengan liberalisasi itu beliau menjangkakan penembusan industri berkembang kepada 12 peratus menjelang 2012, daripada kira-kira tujuh peratus ketika ini.

Untuk mengukuhkan lagi daya tahan dan daya saing industri insurans dan takaful, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin mengumumkan penyertaan ekuiti asing dalam syarikat insurans dan pengendali takaful akan dinaikkan kepada had sehingga 70 peratus.

Najib berkata had ekuiti asing yang tinggi melebihi 70 peratus bagi syarikat insurans akan dipertimbangkan bergantung kepada kes untuk peserta yang boleh mempermudahkan penyusunan semula dan pengukuhan industri insurans.

"Penembusan Takaful masih rendah, cuma tujuh peratus dan peserta sekarang masih belum lagi dapat menembusi pasaran sepenuhnya.

"Jadi dengan adanya peserta baharu, selagi tidak mengejar pasaran yang sama, ia tidak akan menjadi masalah kepada pengendali tempatan. Malah akan membantu meningkatkan kesedaran masyarakat," katanya kepada Bernama hari ini.

Oleh kerana persaingan industri dijangka berkembang, Syed Moheeb berkata peserta tempatan perlu meningkatkan daya saing mereka.

"Hanya empat daripada lapan pengendali kita yang besar dan dapat bersaing. Yang empat lagi agak kecil.

"Oleh itu, mereka perlu pertingkatkan prestasi. Kalau tidak, Bank Negara Malaysia akan memastikan mereka membawa masuk rakan kongsi baharu yang boleh membantu pertumbuhan mereka," katanya.

Sumber : BERNAMA
Tarikh : 27/4/2009

0 komen:

Post a Comment