Monday, March 9, 2009

Persediaan hadapi krisis

Oleh : NOOR FAZRINA KAMAL

BIASANYA kewangan sesebuah keluarga ditadbir oleh si isteri. Dia akan memastikan bahawa semua perbelanjaan wajib dibayar sebaik sahaja suami menerima gaji pada setiap bulan.

Walaupun kebanyakan isteri kini bekerja, perbelanjaan wajib seperti ansuran rumah dan kereta biasanya masih ditanggung oleh suami, menepati peranannya sebagai ketua keluarga.

Perbelanjaan lain mungkin akan dibiayai isteri, sebab itulah tujuannya mereka diberi izin bekerja demi meringankan beban suami.

Sebenarnya, walau sedikit manapun sumbangan wanita terhadap ekonomi keluarga, apabila berlakunya pergolakan ekonomi dunia sebagai mana berlaku sekarang, wanita turut menerima kesan daripadanya.

Justeru, mereka juga perlu cepat bertindak sebelum masalah tersebut meruncing dan seterusnya mendatangkan kesan kepada ekonomi keluarga.

Mungkin ramai di kalangan kita berpendapat kehidupan mereka ketika ini masih berjalan seperti biasa dan mampu memenuhi perbelanjaan seperti membeli pakaian apabila berlangsung jualan mega, menikmati makanan di restoran dan berhibur tanpa memikirkan soal keperluan wang simpanan.

Situasi ini turut dipersetujui oleh Perunding Kewangan Islam Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd., Nadiah Mat Soonan, yang berpendapat kebanyakan rakyat di negara ini masih belum merasai kesan pergolakan ekonomi kerana ia masih di peringkat permulaan.

Malah, fakta yang diperoleh daripada Mastercard mendapati bahawa dari 5 Julai 1 September 2008, pemegang kad kredit di Malaysia tela berbelanja sebanyak RM3.96 bilion apabila tiba musim jualan karnival mega.

"Lihatlah betapa mewahnya rakyat negara ini berbelanja. Bahkan, akhbar baru-baru ini melaporkan pemegang kad debit telah meningkat sebanyak 13 peratus sebulan.

"Seramai 52,444 rakyat Malaysia juga telah mendapatkan khidmat nasihat dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan dari jumlah itu seramai 21,160 telah menyertai penstrukturan semula hutang," jelas beliau dalam sesi pembentangan kertas kerjanya pada Wacana Wanita Dan Krisis Ekonomi Global: Cabaran, Harapan dan Saranan, baru-baru ini.

Wacana yang dianjurkan oleh Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) ini diadakan di Pusat Khidmat Rakyat, Parlimen Gombak, Pusat Bandar Melawati.

Nadiah menambah, kaji selidik oleh Citi's Financial Quotient (Fin-Q) 2008 turut mendapati hanya dua daripada lima orang yang menabung, manakala kurang satu daripada tiga orang yang menyedia dan mengikut bajet bulanan mereka.

"Daripada kaji selidik tersebut juga mendapati 12 peratus daripada responden tidak menabung, manakala satu daripada lima orang yang menabung pula mendakwa tabungan mereka akan bertahan selama empat minggu sahaja sekiranya mereka diberhentikan kerja," jelas Nadiah.

Menerusi fakta ekonomi yang dikaji oleh Nadiah juga mendapati di antara Oktober 2008 hingga Januari 2009, seramai 10,277 telah diberhentikan kerja.

"Daripada jumlah tersebut hanya 4,207 mendapat skim pemberhentian sukarela (VSS). Pemberhentian kerja ini banyak melibatkan kilang-kilang yang mana majoriti pekerjanya wanita," tambah beliau.

Menurut Nadiah, apa yang ingin ditekankan dalam situasi gawat ini ialah tindakan yang harus diambil sekiranya ada wanita yang diberhentikan kerja.

"Pertama sekali tunaikan zakat ke atas wang gratuiti yang diterima. Anda harus bersyukur kerana mendapat imbuhan tersebut.

"Simpan wang yang diterima untuk tabung kecemasan untuk tempoh sekurang-kurang saraan pada enam hingga lapan bulan akan datang," kata beliau.

Nadiah juga ingin mengingatkan wanita yang diberhentikan yang mempunyai komitmen pinjaman dengan bank untuk segera memaklumkan kepada pihak bank tentang keadaan kewangan mereka.

Perbincangan dengan pihak bank amat perlu untuk diberi kelonggaran supaya tidak disenarai hitam sekiranya ansuran bulanan gagal dibuat.

Wanita juga harus bertindak cepat dan jangan abaikan peluang agensi kerajaan yang menawarkan pembiayaan perniagaan.

"Perkara yang paling perlu diubah ialah cara hidup. Sebagai contoh, bagi yang kerap makan di restoran, haruslah diubah dengan memasak yang ternyata lebih jimat dan boleh dimakan semua ahli keluarga.

"Wanita juga harus berikhtiar mencari sumber pendapatan yang lain dan tawakal kepada Allah," katanya yang juga penasihat kewangan peribadi.

Nadiah mencadangkan antara langkah yang boleh diambil wanita sebelum terjerumus dalam krisis ekonomi ialah mengenalpasti kedudukan kewangan sekarang.

"Sediakan senarai hutang dan harta, catat dan kemaskini semua perbelanjaan bulanan dan pastikan perbelanjaan apa yang boleh dikurangkan.

"Kita mesti menyimpan dulu wang sebelum berbelanja, pastikan tabungan sekitar enam hingga lapan bulan kos saraan hidup. Belanja apa yang perlu bukannya apa yang kita mahu.

"Selain itu, tetapkan matlamat untuk mengurangkan hutang dan jangan menambah hutang untuk tahun 2009," jelas Nadiah.

Nadiah berkata, wanita juga harus memulakan pelan perbelanjaan dengan memfokuskan apa yang diperlukan bukannya apa yang dimahukan.

Kemudian wujudkan tabungan dan adakan polisi takaful untuk melindungi ketua keluarga sekiranya musibah berlaku.

"Saya ingin berkongsi tentang kisah pasangan suami isteri yang mengamalkan sistem sampul untuk mengagihkan pendapatan untuk pembayaran. Semua sampul ditandakan dengan perkara yang ingin dibayar dan perlaksanaannya dilakukan dengan jayanya. Saya rasa ia pengurusan kewangan yang efektif," ujar Nadiah.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 9/3/2009

0 komen:

Post a Comment