Saturday, March 7, 2009

Manfaat tubuh Lembaga Baitulmal dan Zakat

LANJUTAN daripada cadangan yang saya nyatakan dalam rencana minggu lepas berkenaan penubuhan Lembaga Baitulmal dan Zakat elok rasanya saya terangkan sedikit sebanyak tentang cadangan ini.

Kita sedia maklum baitulmal dan zakat diadakan untuk membantu umat Islam. Baitulmal diberikan tanggungjawab untuk mengurus harta yang telah dibahagi-bahagikan mengikut hukum faraid.

Zakat pula merupakan "cukai" yang perlu dibayar oleh orang Islam. Kalau kita perhatikan tidak banyak maklumat yang tersebar tentang baitulmal dan zakat kecuali di Wilayah Persekutuan dan Selangor maklumat tentang zakat disebar meluas.

Baitulmal selaku wakil jabatan agama negeri mendapat bahagian mereka dalam pembahagian harta mengikut hukum faraid dalam kes yang mana pewaris sebenar tidak ada atau mereka yang menerima bukannya mengikut pewaris yang sepatutnya menerima.

Misalnya seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan harta tidak mempunyai anak dan menamakan orang lain, maka saudaranya sebagai pewaris.

Mereka hanya boleh mendapat satu pertiga sahaja daripada harta tersebut. Suami atau isteri akan dapat satu pertiga dan baitulmal akan dapat satu pertiga.

Bahagian baitulmal ini kalau kita andaikan di setiap negeri bernilai RM200 juta, maka untuk 14 negeri jumlahnya bernilai RM2.8 bilion.

Ini adalah nilai harta yang besar boleh digembleng untuk memberikan manfaat kepada umat Islam terutama sekali mereka yang dalam golongan miskin tegar.

Apa yang perlu dilakukan ialah kerajaan-kerajaan negeri memberikan kebenaran (bukan kebenaran mutlak) untuk ditubuhkan suatu lembaga pengurus sama seperti Tabung Haji untuk mengurus harta yang diperolehi oleh baitulmal.

Pada waktu yang sama kutipan zakat juga boleh dilakukan dalam lembaga yang sama supaya tidak ada sesiapa yang masih lagi tidak jelas tentang tanggungjawab mereka untuk membayar zakat.

Meluaskan tempat kutipan dan menyerapkan seberapa banyak maklumat tentang tanggungjawab membayar zakat boleh dilakukan melalui lembaga yang dicadangkan ini.

Ramai anak muda yang bekerja tidak faham tentang haul dan nisab dan juga tentang perkakas yang dibeli dan disimpan dan tidak digunakan langsung yang wajib dikeluarkan zakat.

Lembaga yang dicadangkan ini perlu membuat pindaan kepada Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan baitulmal di bawah kuasa negeri. Perkara ini boleh dibawakan kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincang dan dipertimbangkan.

Saya melihat banyak faedah yang boleh diperolehi daripada penubuhan dan penggabungan kedua-kedua institusi Islam ini.

Dengan nilai harta RM2.8 bilion, lembaga ini boleh membabitkan diri dalam pelbagai bidang ekonomi termasuk bidang rantaian bekalan dan penghasilan makanan halal.

Selain daripada itu badan ini juga boleh menubuhkan pasar raya yang boleh menjual barang-barang hasil pengeluaran masyarakat kita yang sukar untuk mendapatkan ruang jualan di pasar raya-pasar raya besar yang ada sekarang.

Kita lihat sahaja yang mampu mengeluarkan barang-barang berasaskan herba berpuluh kalau tidak pun beratus.

Badan ini juga boleh menceburi bidang kewangan seperti bank Islam, takaful dan pembrokeran pelbagai jenis. Bidang hartanah juga wajar disertai dan mungkin turut serta dalam operasi minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan nanoteknologi.

Sebahagian besar daripada pelaburan boleh dibuat dalam bidang penyelidikan yang mana kita begitu jauh ke belakang. Mungkin caranya diberikan geran kepada beberapa universiti untuk melakukan penyelidikan dalam pelbagai bidang seperti hutan tropika kita yang mempunyai penyelesaian kepada pelbagai penyakit.

Untuk menjaga kepentingan negeri-negeri dengan sumbangan baitulmal masing-masing sebuah akta lembaga ini perlu diwujudkan.

Apa jua nilai harta baitulmal negeri-negeri ini bukannya diserahkan kepada lembaga ini tetapi dianggap seperti dipinjamkan supaya dapat dilaburkan dengan memberikan manfaat kepada umat Islam.

Setiap negeri akan diberikan bahagian keuntungan mengikut nisbah sumbangan masing-masing. Misalnya kalau untung RM1 bilion dan setengah daripadanya akan dibahagi-bahagikan.

Negeri yang menyumbang RM200 juta daripada jumlah keseluruhan RM2.8 bilion akan dapat satu per empat belas daripada RM500 juta keuntungan.

Tujuan utama cadangan ini adalah untuk membantu umat Islam yang tidak mampu menyara hidup mereka, membantu sekolah anak-anak golongan yang tidak mampu membiayainya sehingga ke peringkat universiti supaya tidak seorang umat Islam di negara ini yang terpinggir.

Untuk ini suatu pangkalan maklumat mengandungi mereka yang termasuk dalam golongan ini dibangunkan dan dikemaskinikan dari semasa ke semasa.

Konsep utama pertubuhan ini ialah pegawai-pegawainya mesti turun padang dan bukan duduk di pejabat sahaja.

*Dato' Salleh Majid ialah Felo Utama Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 7/3/2009

0 komen:

Post a Comment