Tuesday, November 30, 2010

Langkah agih kekayaan secara adil

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Pelancaran skim pelaburan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) membuktikan kerajaan serius untuk memastikan golongan bumiputera dapat menikmati kekayaan negara secara adil dan saksama serta berjaya dalam bidang ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menerusi skim itu, golongan bumiputera akan melabur wang dalam unit amanah yang kemudiannya akan digunakan bagi membeli hartanah komersial bernilai tinggi.

Beliau berkata, langkah itu adalah selaras dengan hakikat bahawa golongan bumiputera tidak boleh dinafikan hak mereka untuk memiliki hartanah sedemikian memandangkan mereka adalah penduduk terbesar di negara ini.

"Tentu sekali kalau golongan bumiputera lalu-lalang di tengah kota raya dan kalau mereka mendongak ke atas serta melihat bangunan pencakar langit dan komersial, mereka merasakan bahawa bangunan yang tinggi nilainya tidak dimiliki oleh mereka.

"Sudah tentu ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan kurang senang di kalangan golongan bumiputera. Ini tidak menyumbang kepada kestabilan politik negara kita pada jangka panjang.

"Kita juga tidak mahu menafikan hak golongan bumiputera untuk terus melabur dan mencapai keinginan mereka untuk berjaya dalam perniagaan dan lapangan ekonomi,'' katanya ketika berucap melancarkan skim itu di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Pengarah Urusan serta Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Kamalul Arifin Othman.

Najib yang juga Pengerusi Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera berkata, langkah mewujudkan skim itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk membawa perubahan besar kepada ekonomi Malaysia agar kekayaan negara tidak tertumpu kepada golongan atasan semata-mata.

"Kita tidak ingin melihat jurang antara yang berpendapatan tinggi dan rendah semakin melebar. Melalui usaha seperti ini maka kita dapat membantu untuk mengurangkan jurang ini.

"Skim ini akan menyediakan satu lagi instrumen di mana kekayaan negara kita ini boleh dimiliki oleh seberapa ramai rakyat Malaysia,'' katanya.

Menurut beliau, langkah memperkenalkan skim itu dibuat bukan sahaja untuk meluaskan penyertaan pemilikan bumiputera dalam aset-aset komersial bernilai tinggi, tetapi juga untuk mencari satu kaedah agar pemilikan berkenaan terus berkekalan.

"Kerajaan akan terus bantu supaya pelaburan bumiputera dapat terus mencari peluang pemilikan hartanah yang strategik dan bernilai tinggi supaya hasrat kita untuk memperlihatkan sebuah negara yang lebih seimbang dari segi pembahagian kekayaan akan tercapai,'' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib menegaskan langkah terbaru itu bukan bererti kerajaan mengabaikan golongan bukan bumiputera yang memang mendapat hak mereka dalam pembangunan ekonomi negara.

"Fakta ekonomi menunjukkan bahawa golongan bukan bumiputera memang mendapat hak masing-masing dengan nilai dan peratusan penyertaan mereka berada pada tahap yang tinggi.

"Lebih-lebih lagi kalau kita membuat penilaian dari segi pemilikan hartanah di kota raya Kuala Lumpur ataupun Greater Kuala Lumpur sudah tentu angka-angkanya memperlihatkan keadaan yang sebenarnya,'' ujar beliau.

Sumber: Utusan Malaysia
Tarikh: 30/11/2010

0 komen:

Post a Comment