Friday, November 26, 2010

Wasiat diurus Amanah Raya meningkat


KUALA LUMPUR – Jumlah wasiat yang diuruskan oleh Amanah Raya Bhd. (Amanah Raya) diramal meningkat kepada 500,000 menjelang akhir tahun ini, melalui sokongan beberapa produk baharu.

Setakat Oktober lalu, Amanah Raya sudah menerima 460,412 permohonan untuk pengurusan wasiat, kata Ketua Pegawai Pemasarannya, Ahmad Saruji Abdul Aziz.

Beliau berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan perkembangan semasa di mana orang ramai mulai sedar kepentingan perkhidmatan pengurusan wasiat.

“Jumlah permohonan yang diterima pada tahun ini juga meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu dan ini menunjukkan produk kami kini mendapat tempat di pasaran.

“Kami juga mempunyai 16 rakan korporat yang terdiri daripada bank dalam usaha menawarkan produk baharu yang lebih kompetitif dan hasilnya sangat memberangsangkan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran pelan takaful keluarga, PruBSN Ummah di sini hari ini.

Ahmad Saruji berkata, selain rakan korporat tersebut, Amanah Raya turut bekerjasama dengan 10 agensi korporat dengan matlamat untuk memudahkan proses perluasan pasaran di pasaran tempatan.

Katanya, Amanah Raya turut merancang untuk bekerjasama dengan tiga buah bank dan dua buah agensi korporat tahun depan.

“Perkhidmatan yang kami tawarkan mendapat permintaan yang tinggi berikutan lebih eksklusif dan dijamin oleh kerajaan,” jelasnya.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 26/11/2010

Link: Warisan MUKMIN - Ejen Korporat AmanahRaya

0 komen:

Post a Comment