Friday, November 26, 2010

Kes harta sepencarian RM2 juta Siti Fairuz 13 Dis.

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 13 Disember ini tarikh akhir untuk merekodkan penyelesaian di antara penyanyi terkenal era 80-an, Siti Fairuz dan bekas suaminya berhubung harta sepencarian dan mutaah hampir RM2 juta.

Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain menetapkan tarikh tersebut selepas peguam syarie, Wan Nureen Wan Afiza yang menyebut bagi pihak peguam syarie, Zuri Zabudin Budiman memaklumkan, pihaknya gagal menghubungi anak guam mereka, Muhamad Zainuddin Kordi, 46, bagi mengesahkan terma-terma penyelesaian.

Hari ini, mahkamah sepatutnya merekodkan penyelesaian berhubung tuntutan mutaah dan harta sepencarian itu.

Sekiranya pada tarikh sebutan akan datang, Muhamad Zainuddin yang merupakan pembantu teknik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), tidak hadir ke mahkamah dan penyelesaian gagal direkodkan, mahkamah akan menetapkan tarikh bagi perbicaraan tuntutan tersebut.

Siti Fairuz atau nama sebenarnya Siti Fairus Sheikh Mohamed, 46, yang popular dengan lagu Bila Ku Rindu Ku Sebut Namamu disahkan bercerai secara taklik dengan Muhamad Zainuddin oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 14 Julai 2008.

Lafaz yang berbunyi: ''Kalau you nyanyi lagi, jatuh talak,'' itu yang dibuat kira-kira 15 tahun lalu disabitkan taklik oleh mahkamah kerana ia dengan niat menceraikan Siti Fairuz.

Penyanyi itu dikatakan melanggar taklik tersebut apabila menyanyi di Pentas Lanai Seni di sini kira-kira pukul 8.30 malam, 30 Mac 2008.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 26/11/2010

0 komen:

Post a Comment